Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Northrop Grumman Memenangi Kontrak Membina Pesawat Pengebom Stealth Terkini Amerika Syarikat

Bila bercakap tentang pesawat kalis radar ataupun stealth, dua pesawat akan segera muncul di dalam fikiran orang ramai. Lockheed F117 Nighthawk ialah pesawat pengebom pertama dan ia digunakan secara meluas ketika Perang Teluk 1992 untuk melakukan serangan awal ke atas Iraq. Pesawat ini dihentikan operasi pada tahun 2008. Northrop Grumman B-2 Spirit pula ialah pesawat “sayap terbang” yang mula beroperasi pada tahun 1997 dan digunakan secara meluas mengebom markas Taliban di dalam “peperangan menentang keganasan” di Afghanistan. Sungguhpun mempunyai kemampuan kalis radar,  misi pengeboman konvensional besar-besaran Amerika Syarikat masih lagi bergantung kepada Boeing B-52 Stratofortress yang sudah beroperasi sejak 1955. Stratofortress adalah pesawat yang paling lama beroperasi di dalam inventori Tentera Udara Amerika Syarikat.

LRSB-northrop

Dengan kemajuan sistem radar, peluru berpandu anti pesawat serta kemajuan pesawat tempur negara lain, Amerika Syarikat kini memerlukan pesawat pengebom baru. Projek Long-Range Strike Bomber (LRSB) ialah projek membina pesawat pengebom kalis radar yang mampu memastikan Amerika Syarikat mampu menentang Russia dan China sekiranya perang meletus di masa hadapan. Projek bernilai $60 Billion (RM 256 Billion) ini baru sahaja dimenangi oleh Northrop Grumman. Antara keperluan projek LRSB ialah pesawat mampu melakukan pengeboman jarak jauh menggunakan senjata konvensional, pintar dan termonuklear seperti yang mampu dilakukan B-52. Harga setiap unit pesawat juga harus dihadkan kepada $564 juta sebuah. Ini adalah lebih kurang 1/4 kos pembinaan sebuah B-2 Spirit. Pesawat harus dibangunkan segera sebelum memulakan operasi di penghujung dekad 2020.

Pihak tentera bercadang membeli di antara 80-100 pesawat LRSB yang akan menggantikan armada B-52 dan B-1 yang sudah ketinggalan zaman. Projek LRSB adalah perlu kerana Russia juga sedang membangunkan pesawat kalis radar jarak jauh mereka sendiri di bawah projek PAK-DA. Nampaknya perang membangunkan teknologi peperangan baru kembali hangat selepas terhenti apabila Kesatuan Soviet tumbang pada tahun 1991. Seperti yang kita lihat di Syria sekarang, Russia kini kembali menunjukkan kekuatan ketenteraan secara besar-besaran. China pula menunjukkan taring dengan pembinaan kem tentera di Laut China Selatan. Sebagai negara yang bergantung kepada China dan Amerika Syarikat, Malaysia tersepit di tengah-tengah.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Northrop Grumman Memenangi Kontrak Membina Pesawat Pengebom Stealth Terkini Amerika Syarikat"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info