Dengan pelancaran Sony Xperia XZ2, Sony akhirnya mengikut trend semasa dan menghasilkan peranti dengan rekaan skrin 18:9. Selain daripada itu bahagian belakang juga melengkung. Rekaan dengan panel melengkung kali terakhir kami temui pada Sony Ericsson Xperia Arc S yang dilancarkan pada tahun 2011. Adakah rekaan yang berbeza dengan peranti pesaing ini sudah memadai untuk mengembalikan zaman kegemilangan Sony? Ini ialah pandang pertama kami untuk Sony Xperia XZ2
Spesifikasi
Sony Xperia XA2 Ultra | |
---|---|
Skrin | 5.7″ IPS LCD FHD+ HDR (424 PPI) |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 845 |
CPU | 4 x 2.7 GHz Kryo 385 Gold 4 x 1.7 GHz Kryo 385 Silver |
Cip Grafik | Adreno 630 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64 Gigabyte UFS (MikroSD sehingga 400 GB) |
Kamera Utama | 19 Megapixel, f/2.0, SteadyShot, |
Kamera Depan | 5 Megapixel, f/2.2, SteadyShot |
Bateri | 3180mAh (Pengecasan Pantas Qnovo + tanpa wayar) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano hibrid |
Jalur LTE | LTE Cat 18 |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Jari |
Harga Jualan | RM 3299 |
Di atas kertas tidak banyak perkara negatif boleh dikatakan mengenai peranti ini. Skrin 5.7″ IPS LCD digunakan dengan resolusi FHD+. Sony akur dengan permintaan peminat untuk akhirnya menggunakan skrin memanjang 18:9. Tetapi peranti ini masih mempunyai saiz dahi, dagu dan bezel yang lebih besar berbanding peranti pesaing. Ini membuatkan rekaan peranti ini kurang seksi jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy S9 yang turut baru memasuki pasaran tempatan. Tetapi seperti skrin S9, skrin LCD XZ2 ini menyokong paparan kandungan HDR dengan teknologi Triluminous.
Skrin yang agak besar ini dipadankan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 845, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64GB. Pihak Sony Malaysia hanya menawarkan satu sahaja model untuk peranti ini atas sebab memudahkan pelanggan melakukan pembelian. Di pasaran Eropah terdapat model dengan memori sebesar 6GB RAM. Bagi yang memerlukan storan tambahan. XZ2 menyokong kad mikro-SD sehingga 400 GB.
Pada peranti kelas utama kemampuan kamera adalah amat penting. XZ2 dilengkapi kamera utama sebesar 19-Megapixel f/2.0 dengan teknologi Motion Eye serta penstabilan SteadyShot. Kamera utama ini bukan sahaja mampu merakam pada tetapan 960 FPS malahan menjadikan XZ2 peranti pertama pintar pertama dengan kemampuan merakam video 4K HDR. Sony mungkin sudah berani menggunakan skrin 18:9 tetapi masih belum bersedia melangkah ke alam penggunaan dwi-kamera buat masa ini.
Kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel f/2.2 dengan sokongan penstabilan SteadyShot. Kamera hadapan ini hanya mampu merakam video pada tetapan maksimum 1080P sahaja. Tetapi menarik sekali ia menyokong sistem imbasan tiga dimensi 3D Creator yang sebelum ini hanya menyokong kamera belakang pada Xperia XZ1. Dengan ini pengguna akhirnya boleh mengimbas wajah sendiri menjadi objek 3D tanpa bantuan pihak kedua.
Mengusai peranti ini ialah bateri sebesar 3180 mAh dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C. Selain daripada itu sistem Qnovo juga disertakan bagi memastikan hayat bateri terpelihara walaupun kerap menggunakan sistem pengecasan pantas. Buat pertama kali juga, Sony menyertakan sistem pengecasan tanpa wayar pada peranti keluaran mereka yang menyokong format Qi.
Di atas kertas, Sony Xperia XZ2 ialah peranti yang amat berkuasa. Ia setanding dengan apa yang boleh ditemui pada Samsung Galaxy S9 dan Asus Zenfone 5Z yang turut dilancarkan di MWC. Perbezaannya ialah tiadanya penggunaan skrin takuk dan SAMOLED. Dengan spesifikasi yang setanding, Sony mempertaruhkan rekaan XZ2 yang unik untuk menarik perhatian pengguna. Ini seterusnya membawakan kita terus ke bahagian rekabentuk.
Rekabentuk
Pasca pelancaran terdapat dua reaksi yang kami lihat dari pembaca Amanz. Ada yang merasakan rekaan baru ini adalah amat perlu kerana harus diakui rekaan peranti Xperia tidak banyak berubah sehingga boleh dianggap membosankan. Penggunaan bingkai yang tebal dipadankan pula dengan dagu serta dahi yang besar membuatkannya kelihatan sedikit ketinggalan zaman.
Pada waktu yang sama ada juga pengguna yang merasakan penggunaan skrin 18:9 pada peranti Xperia melanggar rekaan klasik Sony yang mementingkan fungsi dari gaya. Function over form memastikan peranti selesa digunakan. Kami mengaku tergolong di dalam kumpulan minoriti ini. Penggunaan skrin nirbingkai mungkin trend terhangat semasa tetapi realitinya kewujudan bezel, dahi dan dagu akan memastikan peranti lebih selesa dipegang tanpa skrin tersentuh secara tidak sengaja. Menggunakan permua jauh lebih selesa dengan peranti rekaan skrin 16:9.
Rekaan yang Ambient Flow digunakan pada Sony Xperia XZ2 ini adalah berbeza dari Omni Balance (Xperia Z2) dan Loop Surface (Xperia XZ Premium). Bahagian belakang diperbuat daripada kaca yang melengkung dengan sisi diperbuat daripada logam yang dibulatkan. Skrin 2.5D Gorilla Glass 5 pula digunakan pada panel hadapan.
Kesemua elemen ini bergabung bagi menghasilkan peranti yang amat selesa dipegang di dalam tangan. Ia mengikuti kontur telapak tangan pemegang dengan cukup sempurna. Sekali lagi kami nyatakan kami pada asalnya skeptis dengan rekaan Ambient Flow tetapi selepas memegangnya sendiri nyata tanggapan kami adalah salah. Tetapi paa waktu yang sama ia tidak boleh diletakkan rata di atas permukaan meja.
Meletakkan peranti pada permukaan meja dengan rata adalah perlu untuk XZ2 kerana ia menggunakan sistem pembesar suara stereo S Force dengan Dynamic Vibration System (DVS). Dengan DVS peranti akan bergegar mengikut bunyi yang dikeluarkan pembesar suara stereo S Force. Pada tetapan paling kuat, sistem DVS mengakibatkan peranti bergetar sehingga bergerak di atas permukaan ia diletakkan. Di majlis pelancaran semalam, XZ2 yang diuji hampir terjatuh dari meja kerana getaran DVS.
Permukaan melengkung juga bermakna jika XZ2 terjatuh secara mendatar ke permukaan lantai, hanya sebilangan kecil permukaan kaca akan menyerap hentakan awal. Tekanan ke atas permukaan kaca lebih tinggi dan tanpa permukaan yang besar untuk menyebarkan tekanan, panel kaca belakang XZ2 terdedah kepada masalah keretakan.
Masalah lain ialah XZ2 licin untuk dipegang dan memerangkap kotoran dengan mudah. Ini ialah masalah yang dialami 80% telefon pintar di masalah sekarang dan tidak eksklusif kepada XZ2.
Tetapi tidak semuanya negatif. Talam SIM dan kad mikro-SD XZ2 boleh dibuka dengan kuku jari tanpa memerlukan alat khas. Pada waktu yang sama pintu SIM Ini kalis air dengan tahap ketahanan IP68. Bercakap tentang talam SIM, dua SIM nano disokong tetapi slot kedua berkongsi dengan kad mikro-SD.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa, suara dari jenis rocker dan butang pengatup kamera. Ini ialah peranti buatan Sony dan kualiti rekaan butang mereka memang tidak pernah mengecewakan. Ia tegap dan sedap dipegang tanpa terasa seperti mencucuk hujung jari.
Bergerak ke bahagian bawah, terdapat pula port pengecasan USB-C.Port pengecasan ini juga mempunyai fungsi sekunder sebagai port sambungan audio kerana XZ2 tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm. Sebab rasmi yang diberikan oleh Sony ialah rekaan Ambient Flow mengutamakan kekemasan dan bicu audio tidak sesuai digunakan. Trend semasa juga menunjukkan penggunaan aksesori audio Bluetooth semakin popular.
Bercakap tentang Bluetooth, peranti ini menyokong penstriman LDAC dan DSEE HX untuk kualiti audio terbaik menggunakan aksesori tanpa wayar. Dari pengalaman peribadi, sistem audio dari peranti utama Xperia tidak mengecewakan jika dipadankan dengan aksesori audio yang berprestasi tinggi.
Jadi apakah rumusan kami mengenai rekaan Sony Xperia XZ2? Ia adalah perubahan besar dari rekaan skrin 16:9 sebelum ini. Bergantung kepada pengguna untuk merasakan ini langkah bijak ataupun tidak. Dari pandangan skeptis dan peminat rekaan Omni Balance, kami menyukai rekaan baru ini dari segi keselesaan di dalam genggaman tangan.
Namun panel belakang melengkung ini membuatkannya tidak sesuai diletakkan di atas permukaan meja kerana ianya licin. Besar kemungkinan pembelian kerangka tahan lasak adalah perlu atau alternatifnya meletakkan peranti di atas meja dengan skrin di bahagian bawah.
Antaramuka
Sistem operasi Android Nougat 8.0 digunakan dengan pelancar rekaan Sony. Tiada perbezaan boleh kami lihat jika dibandingkan dengan ataramuka Xperia XA2 Ultra yang baru sahaja kami ulas sebulan yang lalu.
Sony masih belum bersedia menyokong fungsi seakan Pixel iaitu menatal ke atas dari muka hadapan untuk melancarkan talam aplikasi. Sebuah butang khas untuk melancarkan talam aplikasi disertakan begitu juga fungsi App Shortcut yang membolehkan pelbagai pintasan pantas dipilih terus selepas ikon aplikasi ditekan, picture in picture dan multi-window.
Satu perkara yang terus mengecewakan kami tentang peranti Xperia ialah tiada sokongan mengatur semula susunan butang navigasi atas skrin. Butang home kekal dihimpit oleh butang multi-tugas pada sebelah kanan dan butang back pada sebelah kiri. Fungsi kustomasi butang ini sudah menjadi standard pada peranti keluaran pengeluar lain seperti HTC dan Huawei. Ini ialah ngomelan kami sejak Xperia XZ Premium dan berterusan sehingga hari ini.
Juga seperti peranti-peranti Xperia terdahulu, Sony tidak menyertakan banyak fungsi tambahan. Aplikasi terpasang juga tidak terlalu banyak dengan aplikasi Album, Video dan Muzik digunakan dan bukannya Google Photos dan Google Music. Berikut ialah beberapa fungsi yang disertakan pada XZ2.
3D Creator – Pengimbas tiga dimensi yang wujud pada XZ1 kembali lagi dengan beberapa penambahbaikan. Ia kini jauh lebih mudah digunakan. Imbasan wajah boleh dilakukan sendiri oleh pengguna dengan 3D Selfie. Hasilnya cukup menakjubkan.
Dynamic Vibration System – Peranti bergegar segerak dengan alunan muzik atau runut bunyi video yang ditonton. Banyak mengingatkan kami kepada sistem Virtual Motion Sound System (VMSS) pemain kaset Panasonic Shock Wave pada dekad 90an dahulu.
Lift To Check Device – Fungsi seakan Raise to Wake pada iOS. Skrin hidup dengan sendiri apabila peranti diangkat.
Melancarkan kamera dengan pantas – Selain menekan butang pengatup kamera. Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.
Multi Window – Menggunakan sistem multi-tingkap natif Android Oreo bagi melancarkan dua aplikasi serentak.
One-Handed Operation – Mengecilkan saiz paparan skrin supaya lebih mudah digunakan sebelah tangan. Ini diaktifkan dengan menatal dari bucu bawah kiri atau kenan ke arah tengah skrin.
Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.
Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.
Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.
Xperia Actions – Pelbagai sistem automasi seperti mematikan notifikasi ketika sesi permua dan sistem pemasa menghalang gangguan ketika waktu tidur.
Kesimpulan
Bukan rahsia di kalangan pembaca Amanz bahaya saya ialah peminat tegar peranti keluaran Sony. Malang sekali selepas Xperia Z3, peranti yang dikeluarkan oleh mereka menimbulkan kekecewaan kerana kombinasi bateri tidak bertahan lama, kemampuan kamera yang mengecewakan dan rekaan yang dianggap ketinggalan zaman (saya secara peribadi tiada masalah dengan skrin 16:9).
Selepas ia dilancarkan di MWC 2018, saya sekali lagi agak kecewa dengan apa yang diperlihatkan. Semalam selepas ia di dalam tangan saya sendiri, kerisauan ini mula hilang sedikit demi sedikit. Rekaan baru ini berbeza tetapi mengekalkan rekaan ergonomik yang sinonim dengan Sony. Ambient Flow memastikan peranti selesa di dalam genggaman dan paling penting sekali peranti kelihatan seksi.
Skrin peranti akhirnya menyokong HDR. Pada hemat kami sokongan HDR lebih perlu dari skrin 4K yang disokong oleh XZ Premium. Walaupun hanya menggunakan teknologi LCD, saya secara peribadi suka dengan paparkan skrin yang tajam dan penghasilan semula warna yang semula jadi. Warna hitam mungkin lebih bermaya pada skrin SAMOLED tetapi apabila diletakkan bersebelahan Note 8, saya merasakan skrin XZ2 memaparkan visual yang lebih sedap mata memandang.
Kemampuan kamera adalah menarik tetapi kami belum sempat mengujinya dengan penuh. Peranti ulasan hanya akan diterima minggu hadapan dan ujian yang lebih mendapat serta komprehensif akan dilakukan. Mod rakaman 4K HDR yang ditawarkan adalah unik pada telefon pintar pasti mengujarkan untuk dicuba.
Tetapi kerisauan masih wujud. Pertama sekali panel belakang melengkung membuatkannya tidak boleh diletakkan rata pada permukaan skrin. Sistem DVS terasa seperti gimik yang hanya memakan bateri. Paling mengecewakan ialah tiada lagi sokongan bicu audio.
Pada harga RM 3299 Sony Xperia XZ2 dijual pada harga yang kompetitif dengan peranti utama yang dilancarkan tahun ini. Buat pertama kalinya kami sedikit optimistik dengan Sony. Diharap semasa sesi ujian di makmal Amanz kelak, tiada masalah ditemui yang sekali lagi akan menimbulkan kekecewaan.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama Sony Xperia XZ2 – Peranti Utama Berkuasa Dengan Rekaan Tubuh Yang Unik"