Sembang Maniac

Sembang-sembang je

5 Perkara Mengecewakan Pada Samsung Galaxy S9 Dan S9+

Samsung Galaxy S9 dan S9+ selamat dilancarkan pada hujung minggu yang lalu selepas berbulan maklumat mengenainya tertiris ke arena web. Banyak ura-ura yang didengari dan banyak juga yang tidak kelihatan kidungnya. Seperti biasa apabila peranti utama dilancarkan, kami mula mencari kebaikan dan keburukan model terbaru berbanding model tahun sebelumnya. Senarai di bawah ialah beberapa kekecewaan kami pada Galaxy S9 dan S9+

1.AR Emoji Tidak Sebaik Animoji

Pasca pelancaran iPhone X, fungsi Animoji menjadi bualan ramai. Media sosial dipenuhi klip video pendek pengguna menggunakan Animoji untuk menghasilkan animasi yang mencuit hati. Pengguna True Depth Camera memastikan animasi yang dihasilkan mengikuti wajah pengguna dengan tepat dan lancar.

Kedua-dua model Galaxy S9 dilancarkan dengan fungsi AR Emoji. Demo yang diperlihatkan di atas pentas jelas tidak lancar dengan animasi yang tersekat-sekat. Pergerakan wajah dan kepala tidak pada skala 1:1. Sela masa antara animasi dan pergerakan sebenar boleh dilihat dengan jelas. Galaxy S9 tidak dilengkapi True Depth Camera dan ini adalah sebab mengapa AR Emoji tidak sebaik Animoji.

Berita baik bagi Samsung ialah penggunaan Animoji adalah gimik yang hanya bertahan selama sebulan. Ia hanya mainan kanak-kanak yang akhirnya dilupakan majoriti pengguna. Kami yakin AR Emoji juga akan dilupakan dan kegagalannya tidak mendatangkan kesan negatif kepada Samsung.

2.Mod Desktop Masih Memerlukan Dermaga Dex

Dermaga Dex Pad diperlihatkan kali ini dengan peranti boleh diletakkan secara mendatar. Skrin peranti secara automatik berfungsi seperti pad sesentuh sebuah komputer riba. Sebagai pengguna Dex sebelum ini, kami amat menggemari aksesori ini. Tetapi hakikatnya ialah untuk mengakses mod desktop, aksesori dermaga Dex ini perlu dibeli berasingan pada harga yang agak mahal.

Tanpa Dex, fungsi desktop langsung tidak boleh diakses. Sementara itu Huawei telahpun menunjukkan mod EMUI Desktop untuk Mate 10.Fungsi desktop boleh dinikmati pengguna Mate 10 tanpa dermaga yang mahal. Dari segi praktikaliti, EMUI Desktop lebih baik berbanding dermaga Dex.

3.Kaca Mata Masih Tidak Boleh Digunakan Ketika Mengimbas Mata

Saya telah menggunakan kaca mata selama 29 tahun. Kerana kerap bekerja di hadapan PC, tahap rabun mata saya telah mencapai tahap yang kronik. Apabila sistem imbasan mata diperkenalkan pada Note 7, kami kecewa kerana ia tidak menyokong pemakai kaca mata. Kemudian Galaxy S8, S8+, Note 8 dan Note FE dilancarkan juga tanpa sokongan imbasan mata untuk pemakai kaca mata.

Kami mempunyai sebuah iPhone X. Sistem Face ID yang canggih tidak mempunyai masalah menyahkunci peranti walaupun kami berkaca mata. Memang S9 menyokong nyahkunci menggunakan wajah, tetapi umum diketahui ini bukanlah sistem yang paling tinggi tahap sekuritinya. Diharap pada Note 9 kelak akhirnya sistem imbasan mata akan membolehkan insan empat mata seperti saya menggunakannya.

4.Masih Menggunakan Android Oreo 8.0

Ini mungkin boleh dianggap perkara kecil tetapi mengapakah S9 dilancarkan dengan Android 8.0 sedangkan Android 8.1 sudah dilancarkan sejak Disember. Malahan sudah ada beberapa peranti bukan keluaran Google seperti Nokia 8 dan Essential Phone telah menerima versi terkini Android ini. Diharap dengan sokongan Project Treble, kemaskini ke Android 8.1 dapat diterima Galaxy S9 dan S9+ dalam masa terdekat.

5.Bixby Masih Belum Cukup Matang

Kami mengenali ramai pemilik Samsung Galaxy S8 dan Note 8. Dari kumpulan yang agak besar ini, kami tidak mengenai seorangpun yang menggunakan Bixby. Majoriti telah menyahaktifkan butang khusus Bixby pada peranti bagi mengelakkan ia tertekan secara tidak sengaja.

Apabila dibandingkan dengan Google Assistant, Bixby ialah seperti seorang remaja sekolah menengah yang bersaing dengan seorang pelajar ijazah sarjana. Kemampuan mengenal suara, memahami konteks dan kepelbagaian arahan pada Assistant jauh lebih baik berbanding Bixby. Samsung masih gigih menyertakan Bixby sebagai pembantu maya utama peranti mereka.

Hakikatnya ialah fungsi terjemahan masa nyata Bixby yang diperlihatkan adalah fungsi yang sudah wujud pada Google Translate sejak bertahun lamanya. Begitu juga dengan pelbagai fungsi seakan Google Lens yang lain. Maaf Samsung tetapi setakat ini Bixby menunjukkan ia bakal menerima nasib yang sama seperti S Voice,


Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Apakah kekecewaan anda mengenai peranti ini. Harus ingat harga yang tidak mampu bilik tidak layak memasuki senarai mengecewakan. Tinggalkan komen anda di bawah.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "5 Perkara Mengecewakan Pada Samsung Galaxy S9 Dan S9+"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info