Dengan Lumia 950XL, Microsoft menghasilkan phablet Windows 10 Mobile pertama mereka. Seperti Lumai 950, peranti ini direka untuk mereka yang mahukan yang terbaik daripada Microsoft. Dari segi spesifikasi 950XL adalah phablet yang berkuasa kerana menggunakan pemproses Snapdragon 810. Adakah spesifikasi yang tinggi ini sudah cukup untuk ianya bersaingan dengan phablt-phablet lain di pasaran.
Spesifikasi & Rekaan
Microsoft Lumia 950 | |
---|---|
Skrin | 5.7″ IPS LCD WQHD (518 ppi) |
Pemproses | Snapdrgon 810 (2.0 x 4 + 1.5 x 4 GHz) |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 200 GB) |
Kamera Utama | 20 Megapixel Pureview OIS (4K) |
Kamera Depan | 5 Megapixel FHD |
Bateri | 3340 mAh |
SIM/Telefoni | Dwi Nano SIM/ 4G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 2999 |
Rekaan 950XL adalah sama seperti rekaan peranti-peranti utama Lumia lain sebelum ini. Sisi dan panel belakang peranti ini diperbuat daripada bahan polikarbonat. Skrin peranti adalah sebesar 5.7″ IPS LCD WQHD, pemproses Snapdragon 810, RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 32 Gigabyte. Sokongan penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD ialah sehingga 200 Gigabyte.
Kemampuan optik pula ialah kamera utama sebesar 20 Megapixel PureView dengan sokongan OIS. Kamera hadapan pula ialah sebesar 5 Megapixel dengan lensa sudut lebar. Kamera belakang mempunyai sistem flash dengan tiga lampu. Menurut Microsoft sistem flash LED tiga lampu ini mampu menghasilkan gambar dengan tona warna lebih tepat. Ia mampu mengambil video pada resolusi 4K. Kamera utama mampu mengambil video pada resolusi 4K. Terdapat juga kamera infra merah pada bahagian hadapan untuk sistem imbasan muka Windows Hello. Dari segi bateri pula ia menggunakan bateri sebesar 3340 mAh dengan sokongan pengecasan pantas serta tanpa wayar terbina.
Ketiga-tiga butang navigasi back, Windows dan search terletak pada bahagian dagu peranti. Pada sebelah kanan terdapat butang kuasa,suara dan kamera yang diperbuat daripada logam. Susunan butang kuasa dan suara adalah sedikit unik. Butang kuasa yang besar dihimpit pada bahagian atas dan bawah oleh dua butang suara yang diperbuat daripada logam.Tiada apa-pada sisi kiri manakala slot pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah.Jack fon kepala 3.5mm terletak pada bahagian atas. Microsoft meletakkan pembesar suara mono pada panel belakang peranti bersebelahan lensa kamera. Bercakap tentang lensa kamera, modul kamera Lumia 950 terkeluar dari tubuh dan membuatkannya tidak dapat dibaringkan secara rata pada permukaan meja. Ianya mirip rekaan lensa pada Lumia 1020 tetapi jauh lebih kecil.
Panel belakang polikarbonat boleh dibuka bagi mendedahkan dua slot untuk SIM bersaiz nano dan slot kad MikroSD. Susuan ketiga-tiga slot juga unik seperti butang suara dan kuasa. Satu slot SIM Nano terletak di bersebelahan bateri manakala slot SIM Nano kedua di bawah bateri. Bagi mengakses slot SIM, bateri perlu ditanggalkan terlebih dahulu. Slot kad MikroSD pula terletak pada bahagian bawah panel belakang. Tiada masalah slot SIM kedua terpaksa dikongsi dengan kad MikroSD pada peranti ini.
Rekaan polikarbonat ini mungkin boleh dianggap menarik beberapa tahun yang lalu namun kami rasakan sudah ketinggalan sekarang. Majoriti peranti utama sekarang sudah menggunakan panel kaca ataupun logam. Pada harga jualan hampir RM3000 kami merasakan bahan binaan lebih premium seharusnya digunakan. Samsung Galaxy Note 5 yang mempunyai saiz setanding menggunakan bahan kaca dan logam namun boleh dijual pada harga yang lebih murah. Pengguna sekarang mahukan peranti mempunyai binaan yang baik sekiranya mereka membelanjakan wang yang tinggi untuk memilikinya. Keputusan Microsoft untuk mengekalkan rekaan polikarbonat ini menimbulkan banyak tanda tanya seperti tidak menyedari trend rekaan peranti utama terkini.
Saiz peranti yang agak besar ini membuatkan ia sedikit sukar untuk dipegang kerana mempunyai sisi bersegi. Bahan polikarbonat yang digunakan pula agak licin dan kami risau ia mudah tergelincir dari genggaman tangan pengguna.
Windows 10 Mobile & Continuum
Kerana penggunaan sistem operasi yang sama dengan Lumia 950, kami hanya akan menggunakan semula apa yang ditulis pada pandang pertama peranti tersebut untuk 950XL. Perbezaan yang wujud adalah sedikit seperti fungsi mod sebelah tangan yang menurunkan talam notifikasi ke bahagian tengah skrin bagi memudahkan jari mengaksesnya. Fungsi sebelah tangan ini diaktifkan dengan menekan butang Windows selama beberapa saat. Untuk kembali kepada paparan biasa pengguna hanya perlu menekan semula butang Windows selama beberapa saat.
Windows 10 Mobile yang digunakan cuba mengatasi kepincangan yang ada pada sistem operasi Windows Phone sebelum ini. Jumlah jubin pada muka hadapan kini bertambah dan boleh ditukar saiznya oleh pengguna (pilihan 3 saiz berbeza). Namun dari segi penggunaan ianya masih lagi seperti Windows Phone terdahulu. Tatalan ke kanan akan memperlihatkan senarai aplikasi yang terpasang. Kesemua aplikasi disusun secara menegak satu persatu dan bukannya secara grid seperti pada Sense 7 HTC. Oleh sebab itu kami rasakan adalah agak sukar untuk mencari aplikasi dengan pantas. Terdapat butang carian pantas namun ini juga bukanlah cara paling mudah untuk mencari aplikasi berbanding sistem grid yang digunakan pada Android serta iOS.
Pilihan aplikasi juga masih lagi agak menyedihkan. Anda banyak menggunakan perkhidmatan Google? Berita buruk buat anda kerana sokongan aplikasi rasmi untuk GMail, YouTube ataupun Hangout tidak dilakukan oleh Google pada Windows 10 Mobile. Kebanyakan aplikasi yang sedia ada seperti Twitter dan Instagram pula sudah lama tidak dikemaskini. Fungsi-fungsi baru seperti memuat naik video pada aplikasi Twitter sehingga kini tidak boleh digunakan pada aplikasi rasmi. Pengguna perlu menggunakan aplikasi berbayar dari pihak ketiga untuk menggunakan fungsi yang percuma pada platform lain. Tanpa sokongan aplikasi rasmi dan kemas kini yang pantas, aplikasi pada platform Windows 10 Mobile akan sentiasa ketinggalan berbanding pada platform lain.
Dua fungsi yang boleh menyelamatkan Windows 10 Mobile ialah Continuum dan Windows Hello.Windows Hello ialah sistem nyahkunci yang mengimbas muka pengguna. Ianya menggunakan imbasan 3D wajah pengguna menggunakan kamera infra merah. Ini bermakna anda boleh menyahkunci Lumia 950XL menggunakan Windows Hello walaupun di dalam keadaan gelap gelita. Windows Hello juga boleh mengenali muka pengguna yang memakai cermin mata. Nyahkunci dilakukan dengan pantas tanpa pengguna perlu menekan sebarang butang, mengimbas jari ataupun memasukkan pin keselamatan. Ia jauh lebih pantas jika bandingkan dengan pengimbas anak mata dan imbasan wajah yang digunakan pada peranti Android sekarang.
Contiuum pula mengubah phablet ini menjadi sebuah komputer Windows 10 desktop. Pengguna hanya perlu menyambungkan papan kekunci, tetikus dan monitor ke dok khas ini bagi mengubah peranti menjadi sebuah desktop penuh. Pada bahagian hadapan dok terdapat satu port USB-C untuk sambungan kepada peranti. Pada bahagian belakang pula terdapat 3 port USB-A, 1 port HDMI, 1 Display Port dan satu sambungan kepada sumber kuasa.
Pengalaman menggunakan Continuum pada Lumia 950 adalah berbeza dari apa yang kami alami dengan menggunakan Acer Jade Primo beberapa bulan yang lalu. Secara keseluruhan ianya jauh lebih lancar dan pantas. Apabila Lumia 950 disambungkan ke dok menggunakan kabel USB-C ia hanya mengambil masa beberapa saat untuk memaparkan imej ke monitor yang disambungkan. Sungguhpun peranti kini bersambung pada dok, ia masih boleh digunakan seperti telefon biasa tanpa sebarang masalah. Sebagai contoh katakanlah anda membuka aplikasi galeri gambar pada Lumia 950. Sekiranya anda menekan butang galeri pada desktop Continuum, secara automatik ia akan memaparkan gambar yang sama seperti di talefon. Perkara yang sama berlaku sekiranya anda membuka Office, Powerpoint dan Windows Store. Penyelarasan paparan pada peranti dan desktop secara automatik ini adalah amat mesra pengguna.
Bagi insan yang tidak mahu menggunakan lebih dari satu peranti pada satu-satu masa, Continuum ialah fungsi yang kami rasakan amat mereka nantikan. Kami cukup tertarik dengan apa yang kami lihat dan dengan sokongan lebih banyak aplikasi ianya pasti akan menjadi ikutan sistem operasi yang lain di masa hadapan.
Kesimpulan
Spesifikasi Lumia 950XL adalah tertinggi di antara dua peranti Windows 10 Mobile yang dilancarkan di Malaysia. Pemproses Snapdragon 810 lapan teras yang digunakan pastinya memberikan kuasa yang mencukupi bagi melakukan semua tugasan yang dilemparkan ke atasnya. Skirn 5.7″ yang digunakan pula cukup terang dan tajam setanding dengan beberapa lagi phablet yang sudahpun berada di pasaran sekarang. Dari segi rekaan kami rasakan mungkin ada sedikit kekurangan kerana masih lagi menggunakan rekaan polikarbonat yang tidak berubah sejak beberapa tahun yang lalu. Fungsi Continuum dan kamera tri-flash memberikan fungsi unik yang tidak ada pada pesaing di pasaran.
Seperti biasa apabila ada peranti yang menggunakan Snapdragon 810 kerisauan tentang kepanasan akan muncul. Kami menggunakan peranti ini untuk beberapa minit ketika majlis pelancaran dan tidak menyedari sebarang masalah kepanasan yang kami sedari pada beberapa peranti lain yang menggunakan pemproses ini. Tetapi seperti apa yang kami tulis pada pandang pertama Lumia 950, kerisauan paling besar ialah sokongan aplikasi yang kurang berbanding pada platform lain.
Dengan harga jualan RM 2999, Lumia 950XL adalah jauh lebih mahal berbanding dengan Samsung Galaxy Note 5 yang kami nobatkan sebagai raja phablet di pasaran sekarang. Sungguhpun lebih mahal ia kekurangan fungsi Stylus dan rekaan premium yang boleh dilihat pada Note 5. Kami tidak sabar untuk menguji sendiri peranti di masa hadapan untuk melihat kesemua kelebihan dan kekurangannya. Oleh itu teruskan membaca Amanz bagi mengetahui pendapat akhir kami untuk Lumia 950XL.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama Microsoft Lumia 950XL – Phablet Window 10 Mobile Pertama"