Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Merotan Anak Bakal Jadi Satu Jenayah?

Hukuman rotan untuk mendidik anak-anak sememangnya sudah sinonim dalam masyarakat kita sejak dulu lagi.






Namun, kenyataan terbaru oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 mungkin bakal mengubah kebiasaan tersebut.



Ia ekoran cadangan menjadikan hukuman rotan sebagai satu kesalahan dalam akta tersebut yang bakal dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.



Menurut Rohani, kerajaan tiada pilihan kerana Malaysia adalah antara negara yang sudah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).



CRC ditubuhkan untuk mempertahankan suara kanak-kanak dan akta yang melibatkan golongan itu perlulah selari dengannya.



Pada masa yang sama, beliau turut meminta agar masyarakat mengambil iktibar dalam kes yang membabitkan pasangan Malaysia yang dikenakan hukuman di Sweden kerana kesalahan merotan sebelum ini.



Menerusi The Rakyat Post, Rohani memaklumkan bentuk hukuman terhadap ibu bapa yang merotan anak masih dalam perbincangan.



“Kalau kita tengok Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



“Jadi, kalau akta baru nanti mungkin lebih berat atau kita tambah untuk lakukan kerja kemasyarakatan untuk jadikan mereka lebih sedar serta insaf.



“Bagi Seksyen 33 pula, ibu bapa atau penjaga melakukan kesalahan dan jika sabit boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.



“Walaupun merotan anak me­ru­­pakan sebahagian budaya ma­­syarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.



“Kita juga mengambil iktibar rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya



Setakat ini, hanya terdapat dua hukuman dalam Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Seksyen 31 dan Seksyen 33 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan kerana mendera atau mengabaikan anak.



Namun, ia dianggap masih tidak mencukupi dan disebabkan itu dalam penggubalan akta baharu tersebut, hukuman tambahan iaitu menjalani khidmat komuniti di pusat perlindungan kanak-kanak kepada individu yang didapati bersalah mendera dan mengabaikan anak turut dimasukkan.



Ini bertujuan memberi keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak mereka.



Apapun, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan pastinya akta baru yang akan digubal nanti sudah mengambil kira setiap sudut positif dan negatifnya.



Sumber: Utusan.com.my







Banyak lagi menarik FB kami



http://ift.tt/14Mtwjx

via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Merotan Anak Bakal Jadi Satu Jenayah?"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info