Apabila Acer memperkenalkan gaming laptop Acer Predator 21X mereka di acara IFA di Berlin, kami pasti ramai orang, termasuklah kami di Amanz yang berfikir : “Diorang ni gila ke?”. Laptop tersebut hadir dengan spesifikasi yang pada waktu tersebut boleh dikatakan hanya hadir di dalam komputer-komputer desktop yang paling berkuasa, dan hanya mampu dibeli oleh mereka yang berdarah biru, dilahirkan dengan sudu perak di dalam mulut, ataupun tidak mempunyai komitmen keluarga dan duit yang terlalu banyak.
Di acara CES tahun ini, Acer memperkenalkan laptop Acer Predator 21X mereka sekali lagi dengan spesifikasi yang dimuktamadkan, akan tetapi pada waktu itu ia hanya hadir dalam beberapa pasaran yang terhad, dan Malaysia masih belum lagi termasuk dalam senarai pasaran tersebut.
Terkini, nampaknya Acer Malaysia akan membawa masuk laptop gergasi tersebut, dan kami di Amanz diberi peluang untuk menguji laptop ini untuk melihat sama ada berbaloi atau tidak untuk anda menjual buah pinggang anda dan sanak-saudara anda untuk mesin ini.
Spesifikasi
Acer Predator 21X | |
---|---|
Skrin | 21″ IPS WFHD IPS 2560×1080 pixel |
Pemproses | Intel Core i7-7820HK |
Kad Grafik | NVIDIA GeForce GTX 1080 x2 |
RAM | 64GB DDR4 |
Muatan Dalaman | 512GB SSD NVMe x2, HDD 1TB |
Sistem Operasi | Microsoft Windows 10 |
I/O | USB 3.0 Type-A x4 USB 3.1 TYpe-C x1 Pembaca kad SD x1 |
Video | HDMI 2.0 x1 (4K/2K) DisplayPort x2 (Sokongan GSYNC) |
Lain-lain | 2×2 802.11ac Pengesan Mata Tobii |
Acer Predator 21X ini hadir dengan spesifikasi-spesifikasi yang sangat jarang dilihat dalam sebuah laptop. Menurut pihak Acer Malaysia, spesifikasi-spesifikasi ini adalah tetap dan tidak boleh diubah. Walaubagaimanapun, dengan senarai komponen seperti ini, tidaklah begitu banyak benda yang mungkin ingin diubah oleh mereka yang membeli mesin ini.
Terutama sekali, Predator 21X ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7-7820HK, bersama-sama dengan memori DDR4 sebanyak 64GB dengan kelajuan 2400MHz. Dari segi storan pula, laptop Predator 21X ini hadir dengan muatan dua SSD PCIe 512GB dengan konfigurasi RAID0, yang menjadikannya storan SSD 1TB dengan kelajuan pemindahan yang sangat laju. Ia juga hadir dengan storan cakera keras sebesar 1TB untuk penyimpanan fail-fail media dan sebagainya.
Di sini hadir dua komponen yang terbesar di dalam laptop Predator 21X ini. Dua buah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 dengan memori GDDR5X sebanyak 8GB digunakan untuk menggerakkan bahagian grafik laptop ini, Saiz dan berat laptop yang besar ini boleh dikatakan kerana kad-kad grafik ini, dan juga penyejuk yang digunakan untuk menyejukkan kesemua komponen-komponen ini.
Skrin paparan merupakan sebuah lagi ciri yang sangat diketengahkan oleh Acer dengan laptop Predator 21X ini. Acer menggunakan sebuah paparan bersaiz lebar 21 inci dengan resolusi 2560×1080 pixel yang mempunyai skrin dengan kadar segar semula 120Hz. Bukan itu sahaja, paparan ini juga hadir dengan sokongan teknologi paparan NVIDIA GSYNC yang melupuskan masalah screen tearing akibat kad grafik dan paparan tidak bergerak bersama.
Beralih kepada papan kekunci, Acer Predator 21X hadir dengan papan kekunci mekanikal yang menggunakan suis Cherry MX Brown, yang pada pendapat kami sangatlah sesuai digunakan untuk bermain permainan video dan juga menaip, kerana suis kekunci ini tidak memerlukan daya tenaga yang banyak untuk mengaktifkannya.
Di bahagian kanan papan kekunci ini ialah lima keyboard shortcut yang boleh diprogram untuk melakukan pelbagai jenis arahan, tidak kira ia untuk permainan komputer ataupun perisian-perisian lain. Kunci-kunci ini mempunyai tiga profile yang berbeza, jadi secara teori anda mempunyai 15 kekunci shortcut berbeza yang boleh digunakan untuk memudahkan penggunaan laptop ini.
Trackpad di bahagian kiri laptop ini pula boleh dicabut dan diterbalikkan untuk menjadi pad nombor seperti papan kekunci bersaiz penuh. Pada pendapat kami, ciri ini sangat baik kerana tangan anda tidak akan tersentuh trackpad apabila anda sedang bermain permainan video ataupun menaip dengan laju.
Laptop Acer Predator 21X ini juga cukup lengkap dari segi port I/O. Ia hadir dengan empat port USB 3.0 Type-A, sebuah port USB 3.1 Type-C dengan sokongan Thunderbolt 3.0, pembaca kad SD, port HDMI 2.0 yang menyokong sambungan keluar kepada paparan skrin dengan resolusi 4K pada 60Hz. Jika anda mempunyai paparan luaran dengan sokongan NVIDIA GSYNC, kedua-dua port DisplayPort tersebut juga menyokong teknologi paparan tersebut, dan secara teorinya, anda boleh menyokong tiga paparan luaran pada masa yang sama.
Laptop Acer Predator 21X ini juga merupakan sebuah laptop edisi terhad, dan hanya 300 unit laptop ini dibina, dan dijual di serata dunia.
Rekabentuk
Dari segi rekabentuk, laptop Acer Predator 21X ini mempunyai rekaan yang agak agresif. Binaan keseluruhan laptop ini diperbuat daripada logam aluminium, daripada kerangka bawahan, termasuklah penutup belakang paparan laptop ini.
Acer Predator 21X hadir dengan ukuran 56.79cm x 31.44cm x 8.30cm dan mempunyai berat sebanyak 8.5kg. Ini bukanlah sebarang laptop yang boleh anda bawa kemana-mana sesuka hati anda. Di arena PC, laptop sebesar ini dipanggil desktop replacement laptop, dan dari segi rekaan dan spesifikasinya, tugas laptop ini khusus untuk menggantikan komputer desktop yang lebih besar.
Di bahagian atas papan kekunci laptop ini hadir sebuah panel yang boleh dicabut untuk menunjukkan beberapa komponen dalaman Predator 21X. Di sebelah panel tersebut ialah butang kuasa laptop, dan diatasnya pula terdapat sebuah panel lutsinar yang menampakkan salah sebuah kipas AeroBlade yang digunakan untuk menyejukkan komponen-komponen laptop ini.
Bercakap tentang paparan pula, anda kan dapat lihat bahawa laptop ini tidak ditutup rapat apabila paparannya diturunkan kerana rekaannya yang melengkung. ini bukanlah satu masalah yang besar, malah ia akan mengurangkan keperluan anda membersihkan skrin tersebut kerana ia tidak akan bersentuhan dengan papan kekunci apabila ditutup.
Untuk menguasakan Predator 21X ini secara penuh, ia memerlukan bukan satu, tetapi dua power adapter 330W, jika tidak, laptop tersebut tidak akan mampu menggerakkan kedua-dua kad grafik GTX1080 di dalam laptop. Kedua-dua soket kuasa ini hadir di bahagian belakang laptop tersebut, dan Acer juga memberi sebuah aksesori pemegang adapter tersebut supaya ia kelihatan lebih kemas.
Acer juga tidak melupakan tentang audio, kerana mereka menggunakan sebuah sistem pembesar suara Acer TrueHarmony yang hadir dengan empat pembesar suara dan juga dua subwoofer. Bukan itu sahaja, sistem pembesar suara TrueHarmony ini juga hadir dengan pengiktirafan Dolby Audio Premium. Empat pembesar suara tersebut terletak di bahagian penjuru atas dan bawah, manakala kedua-dua subwoofer pula diletak di bahagian bawah laptop tersebut.
Ciri-Ciri
Laptop sebesar dan berkuasa seperti Acer Predator 21X ini pastinya hadir dengan beberapa ciri-ciri yang sangat menarik. diantaranya ialah sistem pencahayaan LED RGB yang sangat digemari oleh pembina-pembina PC.
Pada Acer Predator 21X, terdapat beberapa “zon” di mana para pengguna boleh mengubah cahaya lampu yang disinarkan, dan ini termasuklah zon papan kekunci, zon butang kuasa, zon paparan dan juga zon trackpad. Lampu-lampu LED di kesemua zon-zon ini boleh diubah menggunakan perisian Acer Predator Sense.
Bercakap tentang Acer Predator Sense, ia merupakan sebuah perisian yang mengawal beberapa ciri-ciri utama yang lain yang terdapat pada laptop Predator 21X ini juga. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, salah satu ciri-ciri tersebut ialah pengubahsuaian sistem pencahayaan RGB di beberapa zon laptop ini. Perisian ini juga bertanggungjawab untuk mengubahsuai pengaturcaraan keyboard shortcut yang kami terangkan awal tadi.
Fungsi-fungsi lain yang boleh dikawal oleh perisian ini termasuklah pengawalan kelajuan kipas yang menyejukkan komponen-komponen dalaman, pengawasan suhu kedua-dua CPU dan kad grafik yang digunakan oleh Predator 21X ini, dan juga fungsi overclocking yang terdapat pada laptop ini.
Ya, CPU dan juga kedua-dua kad grafik pada laptop Acer Predator 21X ini boleh di-overclock, dan perkara ini dapat dilakukan dengan sangat mudah melalui perisian PredatorSense tersebut. Anda hanya perlu menekan satu butang, dan perisian tersebut akan melakukan semuanya untuk anda, tanpa perlu berfikir panjang.
Sayangnya, nilai-nilai overclock untuk kedua-dua CPU dan kad grafik tersebut sudahpun ditentukan, dan anda hanya boleh memilih satu daripada dua pilihan overclock melalui perisian tersebut.
Dari segi sistem penyejukan pula, seperti yang kami juga nyatakan sebelum ini, Acer hadir dengan sistem penyejuk dalaman yang menggunakan lima buah kipas, dan tiga diantaranya menggunakan kipas penyejuk Acer AeroBlade yang dipatenkan oleh mereka.
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kelajuan kipas-kipas ini boleh diubahsuai mengikut keperluan pengguna melalui perisian PredatorSense, akan tetapi kami harus memberi amaran bahawa mengubahsuai kelajuan kipas-kipas ini ke tahap yang paling laju akan menyebabkan bunyi bising yang sangat kuat.
Untuk membuatkan sistem penyejukan ini lebih cekap lagi, Acer juga meletakkan sejumlah sembilan paip penyejuk untuk mengalirkan haba dari laptop tersebut, dan dari situ, kipas-kipas yang disebut sebentar tadi akan mengalirkan haba terus ke belakang laptop tersebut.
Acer juga hadir dengan sistem Acer DustDefender di mana kipas-kipas penyejuk ini akan berpusing diarah yang bertentangan setiap tiga jam untuk mengelakkan habuk meresap masuk ke dalam sistem ini.
Di bawah paparan 21 inci Predator 21X hadir sebuah kamera pengesanan mata yang dinamakan Tobii Eye-tracking Camera. Jika anda pernah menggunakan laptop gaming yang premium, anda mungkin pernah melihat teknologi kamera ini beraksi sebelum ini.
Kamera Tobii ini mengesan pergerakan mata anda, dan melalui permainan-permainan video yang menyokongnya, seperti The Division dan Assassin’s Creed, kamera di dalam permainan video tersebut akan bergerak mengikut pandangan anda juga.
Aksesori
Dengan tanda harga sebuah kereta, anda pasti tertanya-tanya apa lagi yang Acer masukkan di dalam pakej laptop Predator 21X ini. Apabila anda membeli laptop ini, benda pertama yang anda akan lihat ialah sebuah Pelican Case yang ditempah khas untuk menyimpan laptop ini.
Bagi mereka yang tidak mengenali Pelican Case ini, ia sebuah peti yang digunakan untuk menyimpan peralatan yang mudah pecah. Apabila ditutup dengan rapat, peti ini kalis air, habuk, tekanan, dan amat susah untuk dipecahkan walaupun anda berkelakuan kasar dengannya.
Apabila kami ke ibu pejabat Acer Malaysia untuk menguji laptop Acer Predator 21X ini, ia diberikan kepada kami di dalam Pelican Case ini, dan kami diminta membukanya sendiri. Kehadiran Pelican Case ini sangat dialu-alukan kerana ia memudahkan proses menyimpan dan menggerakkan laptop ini, terutama sekali jika anda ke sesi LAN Party dan sebagainya.
Pelican Case ini juga boleh dibawa masuk ke dalam kapal terbang, jika anda ingin membawa laptop ini bersama-sama anda ke destinasi percutian ataupun kerja, akan tetapi, kami harus memberikan amaran bahawa kedua-dua laptop dan peti ini agak berat, dan ada kemungkinan anda perlu membayar cas muatan tambahan jika anda membawanya terbang bersama anda.
Selain daripada laptop, Pelican Case ini juga menyimpan kesemua kelengkapan yang hadir untuk kegunaan bersama-sama laptop ini juga, termasuklah power adapter, pemegang adapter, kabel untuk adapter-adapter tersebut, trackpad/numpad, tempat letak tangan dibahagian bawah papan kekunci, dan juga dua aksesori lain, iaitu lanyard dan juga kekunci berwarna Chrome Blue yang boleh diubah menggunakan keycap remover yang juga disekalikan di dalam sebuah kotak kecil.
Pengalaman Pengguna
Walaupun pengalaman kami menggunakan laptop Acer Predator 21X ini agak singkat, ia sangatlah mengujakan. Daripada membuka kotak dan Pelican Case yang laptop ini disimpan, kepada memasang power adapter, trackpad, tempat letak tangan dan sebagainya, tidak ada satu pun komponen laptop ini yang dirasakan murah. Semuanya mempunyai binaan premium yang membuatkan anda kami rasa mungkin laptop ini berbaloi dibeli.
Dari segi prestasi pula, kami menguji beberapa permainan video dengan laptop ini, termasuklah Counter-Strike: Global Offensive yang memaksimakan penggunaan paparan 120Hz tersebut, Tomb Raider yang diset kepada resolusi dan tetapan grafik Ultra, termasuklah juga Doom dengan tetapan yang sama.
Sewaktu kami menguji permainan-permainan komputer ini, FPS untuk kesemua permainan-permainan ini amat jarang sekali jatuh di bawah kadar 100FPS. Untuk permainan seperti Counter-Strike, gabungan grafik yang sangat laju, GSYNC dan sistem pembesar suara Acer TrueHarmony, kami juga dapat mengesan dari arah mana musuh-musuh kami muncul, tanpa perlu menggunakan headphone.
Akan tetapi, pada pendapat kami, gabungan komponen dan paparan ini juga merupakan salah satu kelemahan terbesar Predator 21X ini. Ia mempunyai spesifikasi dalaman yang terbaik dalam mana-mana laptop ataupun komputer desktop yang pernah kami gunakan, akan tetapi skrin melengkung yang disertakan tidak dapat memaksimakan penggunaan kedua-dua kad grafik ini.
Walaupun paparan tersebut hadir dengan teknologi GSYNC, resolusinya yang agak rendah membuatkan penggunaan dua kad grafik yang amat berkuasa ini agak overkill. Salah satu penyelesaian yang dapat kami berikan jika anda mempunyai wang untuk membeli laptop ini ialah untuk menyambungkan sebuah paparan skrin luaran yang mempunyai resolusi yang lebih tinggi (1440p, 4K) dan juga sokongan GSYNC untuk memastikan anda mendapat pengalaman yang lebih mendalam.
Overclocking juga merupakan satu lagi ciri yang diuar-warkan oleh Acer dengan laptop Predator 21X ini. Ya, anda boleh overclock CPU dan juga kedua-dua kad grafik yang hadir di dalam laptop ini, akan tetapi, ia hanya boleh dilakukan melalui perisian PredatorSense, dan angka-angka overclock ini sudahpun ditetapkan melalui perisian itu, dan tidak boleh diubah.
Di menu perisian tersebut, nilai overclock diletakkan pada tetapan Normal, iaitu tetapan asal, Faster, yang akan meningkatkan prestasi (dan suhu) sedikit, dan juga Turbo, yang akan memaksimakan prestasi Predator 21X ini setinggi-tingginya. Anda boleh menetapkan kelajuan kipas penyejuk komponen ke Auto, ataupun meningkatkan kelajuannya ke tahap tertinggi secara manual melalui PredatorSense,
Jika anda risau tentang bunyi bising dari kipas, pembesar suara TrueHarmony yang hadir dengan Predator 21X ini cukup kuat untuk menyaingi bunyi kipas tersebut, mungkin kecuali jika kipas tersebut ditetapkan pada kelajuan yang paling tinggi.
Bercakap tentang kipas penyejuk, sistem penyejukan Acer Predator 21X ini salah satu sistem penyejukan terbaik yang pernah kami lihat pada sebuah laptop. sewaktu bermain permainan video, dan juga ujian overclocking, kami dapati bahawa bahagian papan kekunci langsung tidak panas, dan kami dapat menggunakannya dengan rasa selesa.
Sewaktu ujian kami, kami tidak dibenarkan membuka panel atas dan bawah untuk melihat komponen dalaman laptop ini, akan tetapi, jika anda membeli sebuah laptop Predator 21X ini, anda boleh membukanya untuk menaiktarafkan komponen-komponen didalamnya di masa akan datang, tanpa kehilangan jaminan dari Acer.
Komponen yang boleh diubahsuai dengan sendiri ini termasuklah RAM, storan cakera keras dan juga SSD NVMe yang menggunakan form factor M.2.
Cara-Cara Membeli
Jika dompet anda lebih dalam dari akal, dan ingin membeli sebuah laptop Acer Predator 21X ini, anda boleh membelinya di Malaysia untuk harga mampu terbeliak RM39999. Akan tetapi, anda tidak boleh pergi ke sebarang kedai untuk membelinya. Anda perlu menghantar emel ke alamat ama.marcom@acer.com terlebih dahulu.
Dari sana, pihak Acer akan menerangkan langkah-langkah pembelian yang anda perlu lakukan untuk memiliki laptop tersebut. Menurut pihak Acer, pembayaran untuk laptop Predator 21X ini boleh dilakukan melalui cek, ataupun kad kredit menggunakan skim Easy Payment Plan (EPP).
Butiran mengenai skim EPP ini tidak diberitahu kepada kami, tetapi kami ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan membayar hutang kad kredit sebanyak RM40000 untuk laptop ini.
Kesimpulan
Laptop Acer Predator 21X ini merupakan sebuah bukti konsep bahawa sebuah komputer riba dengan spesifikasi-spesifikasi yang cenderung kepada seorang gamer tegar boleh dihasilkan. Ya, harga laptop ini kelihatan tidak masuk akal dengan komponen-komponen yang terdapat didalamnya, tetapi apa yang ditunjukkan oleh Acer disini, jika anda ada wang untuk membeli sebuah komputer riba dengan spesifikasi sebuah desktop gaming gergasi, anda boleh membelinya.
Seperti yang kami nyatakan awal tadi juga, hanya 300 unit laptop Acer Predator 21X yang dicipta untuk pasaran seluruh dunia, jadi anda mungkin perlu bertindak cepat untuk membeli sebuah unit laptop ini.
Jika anda mempunyai RM40000 untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya, dan tertanya jika anda patut beli laptop ini, jawapan kami ialah tidak.
Dengan duit tersebut, anda boleh membelanjakan sebanyak RM10,000-15,000 untuk sebuah PC desktop, paparan skrin multi-display dan setup papan kekunci dan tetikus yang cukup hebat. Wang selebihnya boleh digunakan untuk mengubahsuai bilik anda ataupun untuk memulakan bisnes baru.
Pada hemat kami, golongan yang akan membeli laptop Acer Predator 21X ini adalah mereka yang sudah tahu apa mereka inginkan, dan akan memanggil talian Acer Malaysia tanpa segan silu untuk membeli laptop ini.
Pro | Kontra |
|
|
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan : Acer Predator 21X – Gaming Laptop Dengan Tanda Harga Mahal Tak Mengenal Bangsa"