Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Hilang Wang Selepas Di Pukau Lelaki Turki Di Mesin ATM

Kita sering mendengar kisah individu yang dipukau sehingga kehilangan ribuan ringgit. Mangsa seolah-olah langsung tidak sedar ketika dipukau dan hanya menyedarinya apabila individu yang melakukan pukau berlalu pergi.

Pukau

Kali ini, seorang lagi pembaca yang pernah menjadi mangsa pukau sudi berkongsi pengalamannya.

Lelaki ini hanya mahu dikenali sebagai Aiman, tinggal di Ampang, Selangor.

Menurut Aiman, kejadian tersebut berlaku pada hari Sabtu, 24 Oktober 2015, lebih kurang jam 6.30 petang di sebuah bank tempatan di bandar Ampang.

Aiman memang kerap ke bank tersebut adakalanya sehingga dua atau tiga kali seminggu.

Pergi pula tak kira masa. Kadang-kadang siang hari, adakalanya sebelah malam.

Kebiasaannya Aiman ke bank tersebut untuk menyimpan duit hasil perniagaan pendawaian elektrik yang diusahakannya.

"Tapi hari itu saya pergi sebab nak bank-in duit pada kawan.

"Sampai bank, saya tengok ramai betul orang beratur menunggu giliran. Semua mahu guna mesin cash deposit.

"Rasanya lebih sepuluh orang tunggu giliran sebab barisan tu membawa sampai keluar pintu masuk.

"Bila saya tinjau, rupanya dua mesin CDM rosak. Hanya satu boleh guna, sebab tulah ramai orang beratur.

"Saya pun pergi ke mesin ATM dan keluarkan sejumlah RM2,850," cerita Aiman panjang lebar.

Sambung Aiman lagi, selepas mengeluarkan duit, dia kemudiannya beratur mengunggu gilirannya.

Turut beratur menunggu giliran di hadapannya seorang lelaki warga asing dan daripada iras muka, wajah lelaki itu seperti warganegara Asia Barat.

Tanpa memperdulikannya, Aiman terus beratur dan selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba lelaki tadi menyapanya.

"Maaf, tumpang tanya. Berapa banyak duit yang boleh masuk dalam mesin ni?" tanya lelaki tersebut dalam bahasa Inggeris.

Aiman menjawab 99 keping. Dia tidak syak apa-apa kerana pertanyaan lelaki itu biasa-biasa saja.

Jawapan Aiman membuatkan lelaki tadi semakin ramah berbual dengannya.

"Macam-macam kami bualkan. Lelaki itu beritahu dia berasal dari Turki.

"Lepas tu dia perkenalkan dua lagi rakannya. Seorang dalam bank, seorang lagi sedang menunggu di luar," cerita Aiman.

Selepas berbual, tiba giliran lelaki Turki tersebut, tapi tiba-tiba dia menolak Aiman ke depan. Dia mahu Aiman menggunakan mesin tersebut terlebih dahulu.

Habis tu, apa yang berlaku?

"Lepas banyak kali dia pelawa, saya pun ke depan. Lambat-lambat marah pula orang belakang," ujar Aiman.

Di depan mesin, Aiman menekan nombor akaun sebelum slot mesin tersebut terbuka.

"Biasanya saya akan keluarkan duit dan pegang di tangan walaupun giliran saya lambat lagi.

"Tapi entah kenapa hari itu saya tak buat macam biasa. Duit masih dalam poket. Bila slot terbuka, baru saya keluarkan duit. Semua duit tadi saya masukkan dalam slot.

Pukau

"Baru letak duit, tiba-tiba lelaki Turki tadi datang rapat ke sebelah saya dan terus mengambil sebahagian duit dalam slot itu.

"Saya tergamam. Lepas tu saya cepat-cepat pegang duit saya tapi tangan dia pun masih tak lepas pegang sebahagian duit saya.

"Sambil tu dia bertanya, mesin terima duit macam ni ke?" beritahu Aiman.

Apabila Aiman mengiakan, lelaki Turki tadi terus beredar dan Aiman yang masih terkejut langsung tidak mengesyaki apa-apa, meneruskan urusannya.

Tapi apabila melihat resit jumlah didepositkan, Aiman terkejut kerana jumlahnya hanya RM1,800 sahaja, bukan sebanyak RM2,850 seperti dimasukkannya sebelum itu.

"Masa tu baru saya pelik. Saya keluarkan RM2,850 dan saya tak asingkan. Saya masukkan semua ke dalam mesin tu. Mana lagi baki duit tersebut?

"Tak puas hati saya periksa semula melalui online jumlah yang saya keluarkan sebelum ini. Memang betul saya keluarkan RM2,850," cerita Aiman tergeleng-geleng.

Selepas kejadian tersebut, baru Aiman seolah-olah tersedar. Aiman perasan, semasa lelaki Turki itu meninggalkannya, di tangan lelaki tersebut tergenggam duit.

Tetapi ketika itu Aiman seolah-olah mati akal. Dia nampak tapi tak boleh berbuat apa-apa.

Akibat tak berpuas hati, pada hari Isnin, Aiman telah membuat laporan polis di balai polis. Aiman yakin dia telah dipukau oleh lelaki Turki tersebut.

Kemudian, Aiman pergi pula ke bank untuk melihat rakaman CTV. Apabila melihat rakaman itu, Aiman terkejut. Memang benar, lelaki itu telah mengambil duitnya.

"Sah, saya kena pukau. Dalam ramai-ramai orang macam itu pun dia boleh ambil macam tu saja.

"Pelanggan-pelanggan lain pun macam tak sedar apa yang berlaku pada saya," ujar Aiman.

Akibat kejadian tersebut, Aiman mengalami kerugian sebanyak RM1,050.

"Saya tak kisah tentang kerugian tu. Yang saya kisah, kes pukau memukau ni.

"Bayangkan dalam keadaan ramai orang pun dia boleh buat, inikan pula kalau kita sorang-sorang.

"Selepas buat report, baru saya tahu rupanya kes macam ni sudah banyak kali berlaku di bank yang sama.

"Sudah ramai yang kena tapi sampai sekarang suspek belum berjaya ditangkap.

"Lagi satu, saya nak berpesan, bila berurusan di bank, sebaiknya jangan layan atau berbual dengan orang yang kita tak kenal.

"Kita juga kena sentiasa beringat dan berhati-hati. Kalau tak nanti boleh jadi macam saya," nasihat Aiman mengakhiri ceritanya.

Pukau

Sebenarnya, kes Aiman buka benda baru. Merompak atau mencuri dengan menggunakan ilmu pukau sudah sering berlaku sejak dahulu.

Namun, perkara ini tidak boleh dibawa untuk perbicaraan kerana tiada akta atau undang-undang yang boleh disabitkan ke atas kes pukau.

Perlukah pelaksanaan undang-undang dilaksanakan ke atas kes pukau dan sihir? Anda rasa?

Nota editor: Artikel ini pertama kali disiarkan di majalah mastika bulan Oktober. Gambar Aiman tidak disiarkan atas permintaannya.

BACA INI JUGA: Sentiasa Berwuduk Mampu Menangkis Ilmu Pukau

-SENTIASAPANAS.COM



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Hilang Wang Selepas Di Pukau Lelaki Turki Di Mesin ATM"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info