Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Ini Adalah Saluran YouTube Oleh Individu Tempatan Pertama Yang Mencapai 1 Juta Langganan

Terdapat pelbagai saluran YouTube pada peringkat antarabangsa yang telah mencapai lebih 1 juta langganan atau pengikutnya sejak bertahun yang lepas. Namun, untuk pasaran Malaysia yang masih kecil dan baru, angka tersebut masih tidak dicapai oleh mana-mana individu sehinggalah kini.

Hari ini, perkara berkenaan berubah apabila saluran Cartoon Hooligans menjadi saluran pertama milik anak muda tempatan yang mencapai jumlah langganan melangkaui angka 1 juta.

Bagi anda yang tidak mengenali saluran Cartoon Hooligans, ia merupakan sebuah saluran YouTube memfokuskan kepada kandungan berbentuk animasi dan kebanyakkan kandungannya adalah memfokuskan kepada parodi animasi popular seperti daripada Marvel, DC dan juga anime seperti Dragon Ball dan One Punch Man.

Saluran ini telah dimulakan oleh seorang anak muda tempatan yang berasal dari Kedah dan kini menetap di Subang. Dikenali dengan nama Bram Lee, beliau sebelum ini menceburi arena YouTube sebagai suka-suka sahaja, sebelum kini menceburinya untuk sepenuh masa.

Cartoon Hooligans

Bram Lee sendiri sangat meminati arena seni lukis dan grafik ini. Sebelum ini, beliau pernah memenangi anugerah daripada GempakStarz untuk kategori bawah 18 tahun. Kemenangan tersebut membuatkan beliau lebih meminati bidang grafik dan seni lukis ini. Ketika memenangi anugera daripada GempakStarz, beliau turut telah diajak untuk menjadi penyumbang komik sambilan untuk Gempak. Ketika itu, beliau mencuba berulang-kali untuk menjadi salah seorang penyumbang komik dalam GempakStarz.

Bercakap mengenai pengalaman beliau, Bram Lee mengatakan berulang-kali membuat panggilan supaya dapat menyumbang karya beliau, dan selepas beberapa kali, akhirnya ketika berumur 17 tahun, Bram Lee diberikan tawaran untuk menyumbang komik untuk GempakStarz pada bayaran RM60 sehelai.

Born GempakStarzSelepas itu, Bram Lee melanjutkan pelajaran dalam bidang grafik ini di The One Academy. Ketika itu, beliau meneruskan minat dan turut menyumbang komik ke GempakStarz. Sekiranya anda pernah mendapatkan novel grafik dinamakan BORN, Bram Lee-lah pelukisnya.

Bram Lee turut bekerja sebagai tenaga pengajar di The One Academy, selain pernah bekerja di Fly Studio. Bercakap mengenai hasil karyanya, Bram Lee berkongsi mengenai iklan Nippon yang berwarna-warni pernah dihasilkan bersama oleh beliau.

Bram lee juga pernah bekerjasama dengan rakan beliau untuk membangunkan syarikat membuat permainan untuk peranti mudah-alih, namun ia tidak begitu berjaya – dan selepasnya Bram Lee meneruskan minat dengan membuat kerja freelance untuk beberapa projek.

Kini, Bram Lee memfokuskan sepenuhnya kepada saluran YouTube beliau dan pada masa yang sama turut membuat jualan cenderamata dibawah jenama Cartoon Hooligans melalui web rasmi.

Cartoon Hooligans sendiri mengambil masa sekitar dua tahun untuk mencapai 1 juta langganan, dan video beliau mengenai Dragon Ball vs Marvel Superheroes telah menjadi titik tolak untuk saluran beliau dikenali pada persada antarabangsa. Berbeza dengan saluran YouTube lain, memandangkan Cartoon Hooligans memfokuskan kepada karya grafik, maka ia mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sesuatu video.

Ada kalanya, ia mengambil masa sekitar dua minggu untuk membuat sesuatu video, dan ada kalanya ia mengambil masa sehingga lebih 6 minggu. Bram Lee juga turut mengupah beberapa rakan lain untuk memperkemaskan hasil lakaran. Beberapa perisian turut digunakan oleh Bram Lee untuk menghasilkan kartun dan animasi – namun kebanyakkannya dijayakan dengan membuat lakaran di Adobe Photoshop dan kemudian dianimasikan menggunakan Adobe After Effects.

Bercakap ketika memulakan saluran berkenaan, Bram Lee pernah berjumpa dengan beberapa rakan-rakan YouTube lain termasuk JinnyBoy di Subang untuk mendapatkan idea dan maklumbalas mengenai saluran dan kandungan. Salah satu perkara utama yang dikongsikan dan masih diingati sehingga hari ini adalah menghasilkan kandungan yang berbentuk tahan lama atau evergreen – dan boleh ditonton pada bila-bila masa.

Bram Lee turut mengatakan sekiranya anda ingin berjaya di YouTube, anda mungkin perlu hasilkan kandungan yang pengguna ingin tonton terlebih dahulu berdasarkan kepada minat anda dan bukannya mengejar kepada duit. Kini, Bram Lee menjana pendapatan melalui YouTube yang lebih tinggi daripada hasil pendapatan beliau ketika melakukan kerja freelance sebelum ini.

Layari – Cartoon Hooligans di YouTube



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ini Adalah Saluran YouTube Oleh Individu Tempatan Pertama Yang Mencapai 1 Juta Langganan"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info