Sembang Maniac

Sembang-sembang je

2016 : Cari Duit Dengan Fotografi, Apa Yang Perlu Dilihat?

Selamat Tahun Baru diucapkan buat semua. Apakah perbezaan terhadap diri anda pada hari ini berbanding setahun yang lalu? Kepada yang bertambah berat badan #syukurselalu kerana makanan masih mencukupi, buat yang sudah berteman dan berumahtangga #alhamdulillah. Tetapi bagaimana dengan kerjaya fotografi anda atau semangat hobi fotografi anda yang semakin pudar atau statik tidak berganjak? Oh buat mereka yang baharu sahaja menggadaikan kamera bagi mencukupkan wang hantaran, #redhajelah.

Fotografi 2016

Menjelang 2016 berdasarkan beberapa faktor tertentu seperti saranan Pak Menteri untuk menjana kewangan yang lebih tinggi, penulis menyaksikan terdapat beberapa perkara yang harus diambil perhatian bagi memastikan misi 2016 berjaya dikecapi tanpa gagal. Faktor-faktor ini dilihat daripada sudut pandangan dua golongan sasaran utama iaitu jurugambar sepenuh masa atau profesional dan separuh masa atau amatur daripada dua genre utama yang sering menjana pulangan terbanyak berbanding genre-genre fotografi yang lain. Genre yang dimaksudkan adalah genre fotografi perkahwinan dan juga komersial.


Genre Fotografi Perkahwinan

Fotografi perkahwinan merupakan genre yang paling banyak membuka peluang kerana hampir setiap minggu bakal ada pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan. Boleh dikatakan kuantiti tugasan fotografi perkahwinan adalah yang terbanyak selain daripada fotografi gambar passport. Genre ini sesuai diceburi semua pihak namun terdapat beberapa aspek utama yang harus diambil kira bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan genre ini di pasaran.

Sepenuh Masa / Profesional

1. Empat tahun lagi menjelang 2020, tak perlu kiranya ‘softcopy’ diperam sebulan lamanya. Dengan teknologi terkini seperti kebolehan WiFi, ‘live update’ dan sebagainya, tiada alasan bagi jurugambar untuk tidak memberikan paling tidak imej-imej penting ketika majlis untuk pengantin gunakan pada gambar profail mereka dan ‘update’ di laman sosial di hari bahagia mereka. Seminggu mungkin sudah basi.

2. Anda perlu tahu pasaran anda. Kenal pasti segmen pasaran masing-masing, kenapa perlu bersaing di segmen pasaran paling bawah jika anda berkemampuan untuk memberikan yang terbaik di segmen pasaran yang lebih tinggi dengan perkhidmatan yang lebih dan berkualiti. Segmen pasaran yang dimaksudkan adalah kategori pengantin berdasarkan bajet perkahwinan mereka. Segmen pasaran yang lebih tinggi seringkali menjanjikan lokasi dewan/vila , pakaian, makanan dan mungkin lokasi fotografi pasca-perkahwinan yang lebih menarik, toleh kiri dan kanan, latar belakang pasti tidak mengecewakan. Tetapi ini tidak bermakna segmen yang lebih rendah tidak menjanjikan pulangan lumayan. Dengan majlis perkahwinan yang lebih sederhana, tekanan yang dirasai mungkin agak rendah jika dibandingkan dengan majlis besar yang dihadiri dif-dif terhormat apatah lagi jika ada Pak Menteri, memang kau kena tolak dengan jurugambar lain atau bodyguard kalau kau lembik macam sotong.

Fotografi 2016

3. Bab gaya persembahan fotografi dan album mungkin bukan hak penulis untuk komen lebih tetapi mungkin yang paling utama adalah tujuan sesebuah rakaman fotografi perkahwinan itu harus dikaji agar tidak lari daripada tujuan utama iaitu sebagai kenangan. Kreativiti adalah hak mutlak jurugambar, tetapi kenangan adalah hak mutlak pasangan pengantin.

4. Sudah tiba masanya jurugambar berhenti daripada ‘berjanji mulut’ dengan pelanggan. Ini penting bagi melindungi hak anda dan juga pelanggan. Dokumen perniagaan bakal menjadi penyelamat kepada kedua-dua pihak jika berlaku sebarang penyelewengan tertamanya melibatkan pembayaran atau perkhidmatan.

Separuh Masa / Amatur

1. Bersaing secara sihat. Meskipun anda memiliki pendapatan tetap bulanan, ini tidak bermakna anda boleh melakukan kerja sambilan merakam fotografi perkahwinan untuk hanya sekadar cukup bagi menampung kenaikan kadar tol atau tambang keretapi bulanan anda sahaja. Anda perlu pastikan kadar harga yang dikeluarkan tidak terlalu rendah berbanding harga pasaran. Biar persaingan kualiti dan kreativiti menentukan rezeki masing-masing dan bukannya korban harga.

2. Fahami etika bekerja sebenar jurugambar, pengantin adalah pelanggan anda yang datang daripada pelbagai latar belakang dan berkeupayaan untuk mendengar nasihat anda, jangan samakan pengantin dengan majikan anda yang garang dipejabat dimana anda perlu turuti 100% kehendak mereka sehingga anda ditindas.

Fotografi 2016

3. Atur jadual dengan baik. Bagi mereka yang bekerja tidak mengikut hari bekerja, pastikan jadual anda diatur dengan baik, tiada pengantin yang mahu melihat jurugambar mereka berpakaian polis ataupun bomba ketika merakam majlis perkahwinan mereka.

4. Sila rujuk segala yang terdapat bagi jurugambar profesional atau sepenuh masa di atas.


Genre Fotografi Komersial

Mungkin jumlah kuantiti tugasan yang berada di pasaran tidak sebanyak perkahwinan, tetapi genre ini boleh menjanjikan pulangan yang berbaloi sehingga bernilai setahun gaji bagi sesebuah tugasan. Kebijaksanaan dalam memilih genre fotografi komersial mengikut kepakaran adalah penting agar anda tidak hilang fokus dan boleh memberikan persembahan kreativiti yang terbaik. Berbeza dengan perkahwinan, cara kerja komersial mungkin lebih pendek tetapi memerlukan persiapan yang rapi dan kemas.

Sepenuh Masa / Profesional

1. Dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, dilihat banyak organisasi korporat terutamanya organisasi tempatan, kecil dan sederhana sudah mula menjauhkan diri daripada agensi-agensi pengiklanan. Mereka sudah mula dilihat berhubung terus dengan jurugambar atau aganesi fotografi sebagai jalan penyelesaian kepada penurunan bajet tahunan syarikat. Bersiap sedia untuk menjawab emel dan pangilan telefon.

2. Jangan terperangkap dengan ayat “Boleh tak bagi harga yang lebih murah untuk jangka masa panjang?” Kau ingat dia buat buku laporan tahunan lapan kali setahun? Atau syarikat-syarikat ini kemaskini rekabentuk laman web seminggu sekali? Maka pendirian harus tetap agar tidak terperangkap dengan syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan tinggi dengan menekan kos yang rendah, mangsanya adalah pembekal-pembekal kecil termasuk jurugambar.

Fotografi 2016

3. Jangan sesekali beranggapan anda tidak akan diheret ke mahkamah kerana anda hanyalah seorang jurugambar. Amalkan prosedur standard ketika berurusan dengan perkara yang melibatkan kontrak dan kewangan. Tampil dengan ‘hitam putih’ ketika berunding agar hak anda dan juga pelanggan dilindungi. Rujuk dokumen-dokumen penting perniagaan yang perlu digunakan yang banyak boleh diperoleh di laman-laman web.

4. Kemaskini laman web anda agar tampil ringkas dan meyakinkan dengan koleksi pilihan karya terbaik anda. Jangan humban segala-galanya ke dalam laman web dengan beranggapan pelanggan korporat anda akan kagum dengan ribuan imej yang anda pernah rakam sejak kecil. Percayalah bahawa mereka hanya ingin lihat apa-apa yang mereka ingin cari sahaja. Jika mereka tidak dapat apa-apa yang dicari daripada anda dalam masa kurang 5 minit, mereka akan berlalu pergi kerana masa mereka adalah terhad dengan kesibukan di pejabat. Balas emel secepat mungkin tetapi jangan gopoh.

5. Fahami tatacara berkomunikasi dengan badan korporat dan susun atur kerja agensi pengiklanan kerana anda mungkin perlu mengambil alih tugas sebagai pengarah kreatif atau pengarah seni. Di sini pengetahuan luas dalam bidang komersial dan juga pengkhususan terhadap pelanggan anda adalah penting bagi memastikan kehendak visual pelanggan berjaya diperoleh.

Separuh Masa / Amatur

1. Dapatkan rakan kongsi atau agensi yang boleh menguruskan pelanggan. Berbeza dengan genre perkhawinan yang sering berlangsung pada hujung minggu, agak sukar untuk anda di sini melainkan anda memiliki seorang rakan kongsi sepenuh masa. Pelanggan korporat anda akan menelefon atau memanggil anda untuk hadir ke mesyuarat atau berjumpa pada bila-bila masa ketika waktu bekerja. Anda tidak mahu bahagian sumber manusia mengeluarkan surat notis atau tunjuk sebab kerana tidak hadir ke pejabat selepas makan tengah hari atau gaji anda akan dipotong. Melainkan syarikat tempat anda bekerja adalah milik abah anda, penulis yakin anda boleh.

2. Bersedia dengan perubahan di saat-saat akhir. Macam-macam boleh berlaku apabila tiba di hari yang dijanjikan. Sama ada talent atau ‘pelakon’ yang diupah tidak sihat atau cuaca buruk. Jika berbaloi, ambil cuti tanpa gaji apa salahnya.

Fotografi 2016

3. Komitmen mungkin bergantung kepada jumlah atau kadar nilai sesebuah tugasan. Jika tidak mampu memberikan komitmen tinggi, pilih tugasan yang sesuai dengan keadaan anda atau mungkin tugasan yang boleh dilakukan di hujung minggu seperti merakam di studio untuk butik-butik dan sebagainya. Seringkali para usahawan atas talian atau kecil-kecilan tidak kisah untuk lakukan sesi pengambaran dihujung minggu kerana mereka adalah pemilik perniagaan dan cuti bukan soal utama.

4. Sila rujuk segala yang terdapat bagi jurugambar profesional atau sepenuh masa di atas.


Fotografi 2016

Perkongsian ini mungkin tidak sesuai untuk sesetengah pihak tetapi sesuai untuk kebanyakan yang lain. Setiap individu mungkin memiliki cara atau kaedah berbeza dalam menjalankan operasi perniagaan fotografi mereka. Penulis belum berniat untuk menulis buku, maka perkongsian ringkas ini diharap dapat membantu atau memberi sedikit sebanyak tatacara yang boleh diambil perhatian bagi memajukan lagi kerjaya fotografi anda.

Selamat maju jaya.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "2016 : Cari Duit Dengan Fotografi, Apa Yang Perlu Dilihat?"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info