Menggunakan peranti pintar dengan skrin sesentuh ialah perkara yang mudah dilakukan tanpa mengira umur. Kami sendiri berjaya mengubah ibu kami dari seorang pengguna telefon mudah alih lama kepada peranti pintar dalam masa seminggu. Beliau tidak pernah lagi merungut mengalami kesukaran menggunakan peranti pintar. Kami boleh mengatakan dari pengalaman peribadi bahawa peranti pintar yang wujud sekarang boleh digunakan dengan mudah oleh seorang bayi berumur 10 bulang hinggalah seorang warga emas berumur 70 tahun.
Tetapi apabila mencecah usia yang lebih lanjut wujud kekangan fizikal untuk menggunakan peranti pintar. Sesetengah warga emas akan kehilangan kawalan jari dan tangan sekiranya menghidap penyakit Parkinson. Masalah yang sama turut dialami pesakit angin ahmar. Untuk dua kategori warga emas ini Ezi-PAD dihasilkan bagi membolehkan mereka terus menggunakan peranti pintar. Ia adalah sebuah cangkerang dengan papan kekunci fizikal besar. Dengan Ezi-PAD peranti pintar sesentuh akan berubah menjadi seakan sebuah peranti pintar boleh lipat. Butang kekunci gergasi memudahkan pengguna uzur menaip. Wujud juga sebuah butang khas untuk situasi kecemasan. Apabila ditekan ia akan menghantar mesej kepada waris terdekat lengkap dengan kedudukan GPS. Sekiranya tiada jawapan diterima ia akan kemudian menghubungi nombor panggilan kecemasan bagi memberikan bantuan kecemasan.
Ezi-PAD hadir dengan launcher EziSmart yang mempermudahkan lagi proses menggunakan peranti. Ikon pada skrin akan menjadi lebih besar dan pengguna boleh mendail dengan melihat wajah yang terpapar pada skrin. Fungsi ini mensasarkan warga emas yang mempunyai masalah penglihatan ataupun sudah mula nyanyuk.
Ezi-PAD adalah ciptaan Richard Chan, seorang warga Sweden berdasarkan pengalaman melihat kesukaran yang dialami mendiang ibu beliau. Mendiang ibu beliau mengalami kesukaran menggunakan telefon selepas diserang angin ahmar. Pernah sekali si ibu terlantar keseorangan selama lima jam selepas terjatuh di rumah. Ezi-PAD dicipta oleh Richard bagi memastikan apa yang dialami oleh ibu beliau tidak akan dilalui warga emas lain. Cangkerang dengan papan kekunci Ezi-Pad setakat ini hanya menyokong Samsung Galaxy S4, S6 dan Huawei P8 Lite. Aplikasi EziSmart pula hanya boleh digunakan oleh peranti Android. Cangkerang Ezi-PAD boleh dimiliki pada harga Kr210 (~RM 105) manakala launcher EziSmart boleh dibeli pada harga Kr30 (~RM 15). Launcher EziSmart boleh digunakan tanpa dipadankan dengan cangkerang Ezi-PAD.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ezi-PAD – Cangkerang Yang Memudahkan Penggunaan Peranti Pintar Untuk Warga Emas"