Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Bersama Be Malas – Perkhidmatan Pembantu Peribadi Berasaskan SMS

Jika beberapa tahun yang lalu startup yang mula beroperasi lebih kepada pengangkutan dan juga laman jual beli atas talian, tahun ini di Malaysia menyaksikan pelbagai startup yang wujud menawarkan perkhidmatan yang memudahkan pengguna dalam kehidupan seharian. Wujudnya startup seperti ini bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan, dan juga menyasarkan pelbagai bidang seperti pembantu rumah (MaidEasy), penyewaan lori (TheLorry), penghantaran dobi (LaundryDone), pencarian tiket bas (CatchThatBus), dan banyak lagi.

bemalastrial-finalSalah satu startup yang sedikit berbeza penawarannya namun boleh dikategorikan seperti di atas adalah Be Malas. Apa yang membezakannya adalah Be Malas menawarkan untuk memenuhi keinginan pengguna yang juga boleh merangkumi kesemua perkhidmatan startup yang telah disebutkan. Perkhidmatan sebegini boleh diumpamakan sebagai ‘pembantu peribadi’ atau lebih tepat iaitu ‘Concierge’. Perkhidmatan sebegini biasanya disediakan untuk golongan yang lebih berkemampuan, seperti contoh pembeli telefon Vertu yang akan menerima sokongan bantuan peribadi selama 18 bulan tetapi perlu berbelanja berpuluh-ribu ringgit, namun Be Malas ingin menyelesaikan masalah anda pada harga yang lebih rendah.

Beberapa minggu lepas kami telah berkesempatan untuk melawat pejabat Be Malas dan melihat bagaimana gerak kerja mereka serta menemuramah Adlin Yusman dan Suthenesh Sugumaran, pengasas Be Malas. Sehingga kini, mereka telah memenuhi pelbagai permintaan dari pengguna mereka dari seluruh Malaysia.

Dalam berkongsi bagaimana mereka memulakan idea ini, Adlin mengatakan yang beliau mendapat idea ini ketika menyenarai-pendek iklan pekerjaan semasa bekerja di syarikat yang lain. Menyedari kelecehan dalam menyenarai pendek dari 100 maklumat pekerja menjadi 10 yang terpilih untuk klien beliau, beliau mencadangkan jika proses yang sama dilakukan untuk bidang yang lain dan mencubanya pada akhir minggu.

Pernah menguruskan permintaan pengguna untuk mengendalikan cincin bernilai RM 30,000Percubaan Adlin dan Suthenesh membuahkan hasil apabila perkhidmatan Be Malas yang menawarkan untuk memenuhi keinginan pengguna selagi mana ia sah disisi undang-undang mendapat sambutan yang menggalakkan. Bermula dari saudara-mara, kawan-kawan pada bulan April tahun ini sehinggalah kini lebih dari 400 permintaan dari pengguna diproses setiap hari. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu menghantar SMS ke nombor 012-643 1303 dan ‘Malas Manager’ akan berhubung dengan pengguna.

Dari segi penjenamaan, walaupun nama ‘Malas’ dikaitkan dengan sifat yang negatif, namun sebenarnya untuk menjadi malas, ia memerlukan kos yang tinggi. Seperti contoh, jika pengguna tidak mempunyai masa untuk membersihkan rumah, perlu membayar pembantu rumah untuk membersihkannya. Dan jika pengguna tidak mempunyai masa untuk menghantar baju ke dobi, perlu mengupah orang lain untuk mengendalikannya. Kesemua kos tersebut memerlukan masa, dan salah satu benda yang boleh diniagakan dengan wang. Dengan perkhidmatan Be Malas, Adlin turut menyatakan yang mereka berhasrat untuk memudahkan orang sekaligus mengurangkan kerja pengguna mereka.

Dari segi operasi, mereka beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 petang dan bermula bulan Oktober ini mereka akan melanjutkan waktu operasi mereka sehingga malam. Terdapat dua krew utama didalam syarikat mereka yang dipanggil ‘Malas Manager’ dan ‘Rajin Runner’. Seperti namanya, ‘Malas Manager’ akan berhubung dengan pengguna dan menetapkan harga. Untuk harga perkhidmatan, akan terdapat caj ‘Lazy Fee’ dimana sekitar 10-15% caj akan dikenakan terhadap urusan tersebut. Caj ini juga termasuklah caj lain seperti GST, caj penghantaran, caj pembayaran kad kredit dan sebagainya, bergantung kepada barangan yang dipinta. Salah satu kelebihan adalah ‘Lazy Fee’ boleh dirunding antara pengguna dengan ‘Malas Manager’.

Lazy Fee, Malas Manager, Rajin Runner

‘Rajin Runner’ pula akan menguruskan permintaan serta menghantarkannya kepada pengguna. Terdapat satu lagi tahap dikalangan ‘Rajin Runner’ iaitu ‘Elite Valet’, iaitu pekerja terpilih untuk mengendalikan barangan yang berisiko tinggi.Barangan yang berisiko tinggi antara salah satunya adalah Be Malas pernah mendapat permintaan untuk menggilapkan cincin permata yang bernilai RM 30,000.

Oleh kerana bukan sebarang orang boleh mengendalikan barangan tersebut, ‘Elite Valet’ adalah pekerja yang dipertanggungjawabkan menguruskannya. Kepercayaan pengguna merupakan salah satu keutamaan Be Malas, kerana dengan pengguna yang percaya sedikit sebanyak akan memberikan lebih banyak pulangan kepada Be Malas.

bemalas-screen

Sewaktu awal mereka menubuhkan syarikat ini, mereka sendiri menguruskan tempahan sehinggalah Be Malas menerima dana pada bulan Julai yang lalu hasil dari pelaburan bersama Cradle dan KK Fund bernilai USD 500,000 (~ RM 1.9 Juta pada tarikh pelaburan diterima). Pelaburan tersebut telah digunakan untuk meluaskan kawasan operasi, dimana sehingga kini Be Malas telah mula beroperasi di seluruh Malaysia, dan juga di bandar utama yang lain seperti Singapura, Brunei, Vietnam dan juga Hong Kong. Mereka juga mempunyai rancangan untuk meluaskan perkhidmatan mereka di bandar Melbourne, Australia namun mungkin akan menangguhkannya berikutan sambutan yang lebih menggalakkan untuk pengguna tempatan dan Singapura. Di negara selain Malaysia, mereka menggunakan nama ‘Be Lazee’ dengan penawaran perkhidmatan yang sama.

Adlin juga turut berkongsi dalam memenuhi kehendak pengguna, keseluruhan warga kerja Be Malas juga secara tidak langsung mengetahui akan sesuatu perkara yang baru. Seperti contoh Burger yang sedap di sesuatu kawasan, dan juga kek cawan terhebat di Singapura. Malah apabila mempromosikan kedai tersebut, secara tidak langsung Be Malas juga telah mempopularkan kedai tersebut sekaligus membantu perniagaan yang kurang liputannya di alam digital. Be Malas juga pada masa hadapan akan mula memperkenalkan produk terbaru yang mungkin tidak ramai tahu, namun berminat dengannya.

Mungkin dengan pencapaian Be Malas dalam mendapatkan dana bernilai USD 500,000 boleh menjadi batu loncatan dalam mengembangkan lagi perkhidmatan mereka ke lebih banyak negara mahupun bandar sekaligus menjadikan mereka satu lagi startup yang bakal menyinar di persada antarabangsa selepas MyTeksi / GrabTaxi.

Layari: Be Malas


Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Bersama Be Malas – Perkhidmatan Pembantu Peribadi Berasaskan SMS"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info