Apabila HTC One M9 dilancarkan ia menerima beberapa kritikan kerana tidak mempunyai spesifikasi yang mampu bersaing dengan peranti utama pengeluar lain. Skrinnya masih kecil dan tidak menyokong reoslusi QHD. Pengeluar lain menyokong pengimbas cap jari tetapi One M9 tidak menyokongnya. Ramai merasakan pembaharuan yang diperkenalkan pada M9 tidak banyak jika dibandingkan dengan M8. Oleh itu One M9+ dihasilkan bagi memperbaiki kekurangan yang ada. Di Malaysia hanya One M9+ dibawa masuk dan adakah ia mampu bersaing dengan peranti utama lain? Ulasan ini akan cuba menjawab persoalan anda mengenai peranti ini.
Rekaan
HTC One M9+ | |
---|---|
Pemproses | 2.2 GHz Lapan Teras Mediatek Helio X10 |
Skrin | 5.2″ SLCD3 QHD (534 ppi) |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB) |
Kamera Utama | 20 Megapixel Camera Duo |
Kamera Depan | 4 Ultrapixel |
Bateri | 2840 mAh (Tiada pengecasan pantas) |
SIM/Telefoni | NanoSIM / 4G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Harga Jualan | RM 2599 |
Dari segi rekaan dan bahan binaan One M9+ mengekalkan rekaan premium yang diperkenalkan oleh One M7. Perbezaan kali ini ialah tubuh peranti mempunyai dua
Pada bahagian dagu peranti turut diletakkan pengimbas cap jari yang sejak kebelakangan ini semakin popular di kalangan pengeluar seperti Apple, Huawei dan Samsung. Kewujudan pengimbas jari mengakibatkan kekisi pembesar suara Boomsound dengan sokongan Dolby Audio terbelah dua pada bahagian bawah. Ini sedikit sebanyak membuatkan peranti kelihatan sedikit aneh. Keseimbangan rekabentuk HTC One yang kami boleh katakan sebagai paling cantik di pasaran terjejas akibat kewujudan pengimbas jari ini.
Terdapat tiga pilihan warna untuk M9+ iaitu Gunmetal Grey, Gold and Silver dan Gold and Gold. Kesemua peranti mempunyai dua tona warna berbeza. Kemasan panel belakang adalah dari jenis kusam (matte) yang tidak memerangkap kesan cap jari apabila dipegang. Pada hari pelancaran versi gunmetal grey dan gold and silver akan dijual terlebih dahulu sebelum edisi gold and gold dijual kemudian. Peranti keluarga HTC One masih lagi mengekalkan tahap keselesaan yang tinggi apabila dipegang. Panel belakang yang melengkung mengikuti kontur telapak tangan. Tiada masalah peranti mudah tergelincir juga kerana kemasan kusam yang tidak licin apabila dipegang.
Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa dan suara. Lokasi butang kuasa kali ini mungkin lebih mudah diakses berbanding pada One M8 yang terletak di bahagian atas. Sungguhpun begitu saiznya yang sama dengan butang suara mungkin akan mengakibatkan berlaku kekeliruan ketika digunakan. Pada sisi yang sama terletak slot Nano SIM. Pada bahagian kiri pula terletak slot penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD. Menarik sekali slot ini menyokong penambahan memori dalaman sehingga 2 Terabyte. Ini adalah sedikit melampau kerana teknologi kad MikroSD hanya pergi sehingga kapasiti maksimum 256 Gigabyte. Ini menurut HTC adalah memastikan One M9+ “kalis teknologi masa hadapan”.
Perubahan besar turut dilakukan pada komponen dalaman. Pemproses Snapdragon 810 digantikan dengan pemproses 2.2 GHz lapan teras Mediatek Helio X10. Kelapan-lapan teras berfungsi pada kelajuan yang sama tidak seperti teknologi big,LITTLE Snapdragon 810. Saiz RAM masih lagi 3 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 32 Gigabyte.
Teknologi Camera Duo One M8 yang tidak disertakan pada One M9 digunakan semula pada One M9+. Kamera 20 Megapixel digunakan pada bahagian hadapan dan 4 Ultrapixel pada bahagian hadapan. Fungsi Duo Camera membolehkan pemfokusan semula gambar dilakukan selepas gambar diambil. Kesemua fungsi yang disertakan pada One M9 seperti Double Exposure turut disokong oleh One M9+. Akhir sekali bateri sebesar 2840 mAh digunakan sama seperti yang ada pada One M9. Kami menyedari kesemua peranti utama terkini setiap pengeluar mempunyai kapasiti di bawah 3000 mAh. Kami tidak tahu mengapa bateri yang lebih besar tidak digunakan sedangkan skrin peranti kini beresolusi QHD. Skrin QHD dengan mudah memendekkan hayat bateri. Jika kesemua aspek lain peranti boleh diperbaiki kenapa kapasiti bateri tidak ditambah?
Antaramuka Sense 7
HTC One M9+ menggunakan antaramuka Sense 7 yang sama seperti yang kami lihat pada One M9 dan One E9+. Kesemua fungsi yang ada pada One M9 dikekalkan. Sense 7 ialah antaramuka terkini yang berasaskan Android 5.0.2. Fungsi Blinkfeed masih dikekalkan dan begitu juga sistem tatalan atas ke bawah untuk talam aplikasi.
Perubahan yang dilakukan ialah skrin multi tasking kini boleh dipaparkan seperti lapisan kad dan bukan hanya dalam bentuk grid Sense 6. Seperkara lagi yang kami rasakan menarik ialah butang-butang navigasi di atas skrin kini boleh dikustomasi. Ini adalah sistem kustomasi yang sama yang digunakan pada peranti LG. Butang home, multi tasking dan back boleh disusun mengikut kehendak pengguna. Tambah menarik lagi butang navigasi tidak terhad kepada tiga sahaja seperti Android stock. Butang tambahan untuk menutup skrin dan menarik talam notifikasi boleh diletakkan sekiranya perlu.
Sebanyak empat butang navigasi boleh diletakkan pada bahagian bawah skrin. Kerana saiz skrin yang agak besar kami meletakkan butang kuasa pada slot keempat. Ia mempercepatkan proses mematikan skrin apabila tidak diperlukan. Ini adalah sangat mesra pengguna dan kami berharap boleh menjadi fungsi standard peranti yang menggunakan butang navigasi atas skrin. Setakat ini kami hanya melihat fungsi ini wujud pada peranti HTC, LG dan ZTE.
Fungsi tema juga wujud kali ini. Beberapa tema sedia ada boleh dimuat turun dengan set ikon tersendiri. Anda juga boleh memilih skema warna tersendiri berdasarkan latak belakang skrin yang anda pilih. Kesemuanya dilakukan sendiri oleh Sense 7 dengan beberapa input dari pengguna.
Pada bahagian widget pula, pihak HTC menambah sebuah fungsi baru yang memaparkan aplikasi yang sering digunakan anda mengikut lokasi dan masa. Sebagai contoh, sekiranya di rumah, ia akan memaparkan aplikasi yang banyak diakses anda – mungkin seperti YouTube, Chrome dan sebagainya, sebaliknya apabila di lokasi kerja, ia akan memaparkan anda aplikasi yang sering digunakan anda ketika itu – mungkin seperti Evernote dan sebagainya. Widget ini berfungsi secara pintar dan memaparkan anda dengan aplikasi berdasarkan kepada penggunaan harian anda.
Secara keseluruhan antaramuka Sense 7 menambahkan pelbagai fungsi baru dan mengekalkan rekaan minimalis yang telah mereka gunakan sejak One M7. Kami masih merasakan antaramuka Sense adalah antara yang paling menarik di kalangan antaramuka pihak ketiga di pasaran.
Pengimbas Cap Jari
Pengimbas cap jari M9+ terletak pada bahagian dagu hadapan peranti. Tidak seperti pengimbas pada iPhone 6 dan Galaxy S6 ianya tidak boleh ditekan. Ia lebih menghampiri rekaan pengimbas yang kami lihat pada Huawei Ascend Mate 7.
Pada Mate 7 kami menggunakan jari telunjuk untuk diimbas dan ianya mudah dilakukan menggunakan tangan kiri . Perisian pengimbas cap jari One M9+ membenarkan beberapa cap jari disimpan sekaligus. Proses merekodkan cap jari juga mudah. Setanding dengan proses menyimpan cap jari seperti yang digunakan pada iOS dan juga Galaxy S6 yang kami pernah gunakan sebelum ini. Proses imbasan juga pantas dengan peranti dinyahkunci serta merta selepas jari diletakkan pada pengimbas.
Kamera
Kamera utama 20.1 Megapixel kini menyokong semula fungsi Duo Camera. Ini membolehkan gambar difokuskan semula selepas diambil, menghasilkan kesan 3 Dimensi dan meletakkan kesan khas pada latar belakang. Apabila aplikasi kamera dilancarkan terdapat butang khas bagi merubah mod mengambil gambar di dalam fungsi Duo Camera ataupun fungsi biasa. Di dalam fungsi biasa gambar yang diambil akan mempunyai resolusi lebih tinggi 20 MP. Di dalam mod Duo Camera saiz gambar yang diambil dihadkan kepada saiz 4 Ultrapixel. Kamera hadapan adalah kamera 4 Ultrapixel dengan lensa lebar bagi memudahkan mengambil gambar secara berkumpulan.
Kemampuan video pula ialah rakaman sehingga resolusi 4K untuk kamera utama dan 1080P untuk kamera hadapan. Tiada sokongan OIS pada kamera utama.
Semasa pelancaran One M7 beberapa tahun yang lalu HTC menggunakan slogan “Megapixel bukan segalanya” kerana kamera Ultrapixel yang digunakan oleh mereka hanya mampu mengambil gambar pada resolusi 4 Megapixel. Ini adalah jauh lebih rendah berbanding kamera peranti pesaing. Selepas dua generasi nampaknya HTC mengaku kalah dan kamera sebesar 20 Megapixel kini digunakan.
Tetapi ironinya slogan “mengapixel bukan segalanya” sangat sesuai digunakan untuk menggambarkan prestasi kamera One M9+. Ya sensor yang digunakan mungkin besar tetapi kualiti gambar yang diambil adalah mengecewakan. Gambar kurang tajam, penghasilan warna adalah kusam, blooming dan masalah dedahan berlebihan sangat ketara. Sekiranya One M9+ adalah sebuah peranti kelas pertengahan empat masalah yang disebutkan tadi mungkin boleh dimaafkan. Tetapi One M9+ ialah peranti utama yang bersaing dengan LG G4, Galaxy S6 dan Xperia Z3. Apabila dibandingkan dengan tiga peranti utama pengeluar lain kekurangan kamera One M9+ sangat ketara.
Hanya kemampuan kamera hadapan M9+ boleh bersaing dan dibanggakan jika dibandingkan dengan kamera hadapan peranti utama pesaing. Tetapi secara keseluruhan ia masih di belakang Samsung Galaxy S6.
Di bawah ialah beberapa contoh gambar dan video yang diambil menggunakan kamera utatam One M9+. Anda boleh lihat sendiri masalah-masalah yang kami katakan tadi.
Video
Rakaman video 4K disokong oleh peranti ini. Tanpa sistem OIS gegaran pada rakaman adalah jelas terutamanya sekiranya kamera bergerak. Kualiti audio adalah kurang memuaskan kerana menangkap kesemua bunyi persekitaran. Seperti kemampuan mengambil gambar, kemampuan merekod video juga kurang memuaskan.
Penanda Aras
Pemproses 2.2 GHz lapan teras MediaTek Helio X10 digunakan bagi menggantikan pemproses Snapdragon 810 yang bermasalah pada One M9. Menurut HTC kemampuan pemproses lapan teras sebenar ini setanding dengan Snapdragon 810 tanpa masalah kepanasan melampau. Tiga ujian penanda aras kami lakukan. Markah adalah seperti berikut. Ia mencatatkan 23759 markah pada Quadrant, 47103 markah pada Antutu dan 17287 markah pada Futuremark Unlimited. Ini meletakkannya di tangga ke 4 peranti paling berkuasa pernah diulas di makmal Amanz.
Markah yang dicatatkan adalah tinggi tetapi jauh di belakang Galaxy S6 yang anda boleh lihat mencatatkan markah yang amat tinggi. Bagaimana pula dengan kegunaan harian? Adakah pemproses dengan penanda aras yang tinggi memastikan peranti akan berfungsi dengan lancar?
Pada penggunaan seharian selama beberapa minggu kami tidak menemui sebarang masalah. Kesemua aplikasi yang kami cuba berfungsi tanpa sebarang kejadian ia tertutup dengan sendiri ataupun tidak boleh dipasang. Sungguhpun begitu kadang kala kami terlihat sedikit sela masa. Terutamanya ketika melakukan penukaran dari satu aplikasi ke aplikasi yang lain. Sela masa sebegini tidak sepatutnya berlaku pada peranti kelas tinggi. Jadi ini adalah sedikit mengecewakan.
Panel belakang juga menjadi agak panas sekiranya menggunakan aplikasi yang menggunakan pemproses yang tinggi seperti aplikasi penanda aras. Panel aluminium pada bahagian belakang mengalirkan haba dengan baik dan itu mungkin penyebab peranti menjadi panas apabila dipegang. Tetapi anda tidak perlu risau kerana ia tidak menjadi terlalu panas sehingga tidak selesa diletakkan di dalam genggaman.
Bateri
Bateri sebesar 2840 mAh digunakan dan ini bukanlah saiz bateri yang besar. Walaupun saiz dan resolusi skrin dipertingkatkan, bateri ini adalah pada saiz yang sama dengan apa yang digunakan pada M9. Sejak kebelakangan ni pengeluar banyak menghasilkan peranti dengan bateri bersaiz di bawah 3000 mAh. Mengapa spesifikasi peranti lain dipertingkatkan tetapi saiz bateri dikecilkan? Ini adalah amat tidak masuk akal sedangkan umum diketahui skrin lebih besar dan resolusi lebih tinggi memendekkan jangka hayat bateri.
Pada penggunaan berat ia mampu bertahan hampir 9 jam. Pada penggunaan sederhana ia mampu bertahan hampir 16 jam. Kemampuan bateri adalah memuaskan. Tetapi yang tidak memuaskan ialah ketiadaan sokongan pengecasan pantas. Fungsi ini sepatutnya sudah menjadi standard pada kesemua peranti utama. Bagi menambahkan kemarahan One M9 menyokong pengecasan pantas QuickCharge 2.0 Qualcomm. Dalam hal ini pemproses Mediatek Helio X10 boleh dipersalahkan kerana tidak menyokong sistem pengecasan pantas Pump Express Plus yang dibangunkan oleh Mediatek. Jika anda mahu menggunakan bateri yang kecil sekurang-kurangnya berikanlah sokongan pengecasan pantas.
Pesaing
HTC One M9+ ialah peranti utama HTC di Malaysia dan harus dibandingkan dengan dua peranti utama lain yang ada di pasaran. Kami memilih LG G4 dan Galaxy S6 kerana ianya peranti utama terkini dan yang terbaik di pasaran sekarang.
Peranti Utama | ||
---|---|---|
HTC One M9+ | LG G4 | Samsung Galaxy S6 |
5.2″ SLCD3 QHD (565 PPI) | 5.5″ IPS Quantum QHD (538 PPI) | 5.1″ SAMOLED QHD (577 PPI) |
2.2 GHz Lapan Teras Mediatek Helio X10 | 1.8 x 2 + 1.44 x 4 GHz Snapdragon 808 | 2.1 x 4 + 1.5 x 4 GHz Exynos 7420 |
PowerVR G6200 | Adreno 418 | Mali-T760MP8 |
3 Gigabyte | 3 Gigabyte | 3 Gigabyte |
32 Gigabyte (2 TB MikroSD) | 32 Gigabyte (2 TB MikroSD) | 32/64/128 Gigabyte |
Kamera Utama 20.1 Megapixel | Kamera Utama 16 Megapixel f/1.8 OIS | Kamera Utama 16 Megapixel f/1.9 OIS |
Kamera Utama 4 Ultrapixel | Kamera Utama 8 Megapixel f/2.0 | Kamera Utama 5 Megapixel f/1.9 |
2840 mAh (Tidak boleh dibuka) | 3000 mAh (Boleh dibuka) |
2550 mAh (Tidak boleh dibuka) |
RM 2599 | RM 2499 | RM 2559 |
Kesimpulan
HTC One M9+ ialah sebuah peranti yang baik. Rekaan dan kemasannya premium dan sangat cantik untuk dilihat. Warna dua tona pada sisi dan tubuh membuatkannya kelihatan seperti barang kemas dan bukannya peranti elektronik. Rekaan ini bukan hanya sekadar estetik malahan sangat selesa dipegang. Ramai mungkin mengatakan tiada inovasi dari segi rupa dilakukan HTC dan rekaan M7 dikitar semula. Ini adalah benar tetapi sekiranya rekaan terdahulu adalah cantik dan selesa dipegang, mengapa perlu diubah dengan drastik? Pepatah ada mengatakan “tiada keperluan untuk mencipta semula roda”. Jika iPhone boleh setiap tahun mengekalkan rekaan muka hadapan, lokasi kamera dan butang kawalan yang sama mengapa HTC dikritik kerana menggunakan alasan yang sama.
Yang mencacatkan sedikit kecantikan One M9+ pada hemat kami ialah pengimbas cap jari yang membuatkan kekisi pembesar suara Boomsound pada bahagian bawah terbelah dua. Seperkara lagi yang boleh dianggap negatif ialah rekaan dua butang suara dan kuasa yang sama. Dengan mudah butang yang salah boleh ditekan kerana tiada perbezaan dapat dirasakan apabilla butang-butang ini disentuh dengan jari.
Tiada komen negatif mengenai Sense 7. Ia masih antara antaramuka yang paling kami gemari. Tidak dipenuhi fungsi tambahan merepek dan sedap mata memandang. Rekaan ikon minimalis dan warna rata Sense 7 kena dengan rekaan fizikal peranti yang premium. Bagai pinang dibelah dua.
Pada penggunaan biasa One M9+ berfungsi dengan pantas dan lancar. Hanya kadang kala sela masa kelihatan namun tidak berlaku dengan kerap. Pengimbas cap jari pantas mengimbas tanpa sebarang masalah.
Kemampuan kamera mengecewakan. Saiz sensor sudah cukup besar tetapi gambar yang diambil kusam, tidak tajam, mengalami dedahan berlebihan dan sangat lemah jika dibandingkan dengan peranti utama lain. Kesilapan utama HTC disini ialah penggunaan sensor kamera yang lemah. Jika anda banyak mengambil gambar menggunakan peranti, One M9+ akan mengecewakan.
Kemampuan bateri adalah baik kerana mampu bertahan di antara 9-16 jam bergantung kepada penggunaan. Ketiadaan sokongan pengecasan pantas mengecewakan kerana ia sekarang dianggap fungsi wajib ada bagi peranti utama.
Secara keseluruhan HTC One M9+ adalah peranti yang baik. Tetapi kemampuan kameranya mengecewakan. Jika anda tidak peduli dengan kualiti kamera ia dengan mudah kami sarankan kepada anda. Malang sekali di dalam pasaran sekarang terdapat peranti dengan kamera lebih baik dan rekaan yang setanding dijual pada harga yang sama. Apabila dua peranti ini diletakkan sebelah menyebelah kami sudah tahu yang mana kebanyakan pengguna akan pilih terlebih dahulu.
PRO dan Kelebihan
- Kemasan dan kualiti binaan yang premium.Tubuh aluminium dua tona kelihatan sangat cantik.Turut selesa dipegang
- Antaramuka yang cantik dan mudah difahami.Pelbagai fungsi kustomasi seperti tema dan butang navigasi.
- Kemampuan memproses yang tinggi.
- Sistem audio Boomsound masih yang terbaik di dalam kelasnya. Masih belum mampu ditandingi sistem audio peranti lain.
- Sistem pengimbas cap jari berfungsi dengan baik. Pengimbas turut boleh diprogram menjadi butang home fizikal dan untuk menghidupkan semula skrin tertutup.
KONTRA dan Kekurangan
- Kemampuan kamera yang mengecewakan bagi peranti utama yang menggunakan sensor yang besar.
- Tiada sokongan pengecasan pantas.
- Harga yang agak mahal.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan HTC One M9+ – Peranti Berkuasa Dengan Kemasan Premium"