Binaan premium logam, panel kaca dan sistem imbasan cap jari adalah tiga elemen yang sering dikaitkan dengan peranti utama. Harga jualan pula mencecah RM 2000 di dalam kebanyakan kes. Dengan Elite 1, Leagoo cuba mengubah persepsi ini. Ia mempunyai kesemua elemen yang kami sebutkan di atas tetapi dijual pada harga mampu milik. Jadi adakah Leagoo Elite 1 peranti utama mampu milik yang harus anda miliki?
Spesifikasi
Leagoo Elite 1 | |
---|---|
Skrin | 5.0″ JDI LPTS FHD (386 ppi) |
Pemproses | 1.3 GHz Lapan Teras MediaTek MT6753 |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB) |
Kamera Utama | 16 Megapixel f/2.0 FHD, Dwi-Flash |
Kamera Depan | 13 Megapixel f/2.4 FHD, Flash |
Bateri | 2400 mAh |
SIM/Telefoni | Dwi MikroSIM/ 4G |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 999 |
Leagoo Elite 1 dijual pada harga RM 999 sebuah. Berdasarkan harga jualan kami menyangka spesifikasi, fungsi dan bahan binaan peranti ini pastinya berkualiti rendah. Tetapi tanggapan kami salah kerana peranti ini dilengkapi spesifikasi yang agak tinggi.
Skrin 5″ dengan resolusi HD penuh yang digunakan adalah dari jenis JDI LPTS. Pemproses pula adalah lapan teras 1.3 GHZ Mediatek MTK6754, RAM Sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman 32 Gigabyte. Sokongan penambahan memori dalaman adalah sehingga 64 Gigabyte menggunakan kad MikroSD. Dua slot Mikro SIM disertakan dengan salah satu slot diambil alih oleh kad Mikro SD jika anda memerlukan penambahan memori dalaman.
Kemampuan optik pula ialah 16 Megapixel f/2.0 pada bahagian belakang dan 13 Megapixel f/2.2 pada bahagian hadapan. Sensor buatan IMX Sony digunakan pada kamera utama. Kedua-dua kamera ini turut dilengkapi dengan flash. Terdapat butang khas pada sisi sebelah kanan yang boleh digunakan sebagai butang khas untuk melancarkan kamera sekiranya diperlukan. Akhir sekali bateri sebesar 2400 mAh digunakan dengan sokongan pengecasan pantas. Di atas kertas spesifikasi yang baru kami senaraikan tadi adalah agak baik bagi sebuah peranti yang dijua pada harga tidak mencecah RM 1000.
Rekaan
Parameter peranti diperbuat daripada logam aluminium. Panel hadapan dan belakang menggunakan kaca tahan lasak Gorilla 3. Butang kuasa, suara dan sisi tambahan ketiga-tiganya diperbuat daripada bahan logam terletak pada sisi sebelah kanan. Dari segi rekaan ia mengingatkan kami kepada sebuah iPhone 4S. Pada bahagian dagu peranti terdapat tiga butang navigasi. Butang home fizikal pada bahagian tengah dihimpit butan menu pada sebelah kiri dan back sebelah kanan. Pengimbas cap jari terbina terletak di dalam butang home fizikal. Bagi mengakses skrin multi tasking anda perlu menekan butang home selama beberapa saat.
Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala manakala pada bahagian bawah terdapat port pengecasan MikroUSB dan pembesar suara mono. Sungguhpun terdapat dua kekisi pada bahagian bawah peranti hanya satu daripadanya mempunyai pembesar suara. Sebuah lagi kekisi hanya lohong kosong dan tidak mengeluarkan bunyi. Ini sedikit mengecewakan kerana pada hemat kami pada tahun 2015 dan pasca HTC One M7 peranti dengan sistem audio mono tidak lagi boleh diterima kewujudannya.
Pada sisi kiri terdapat talam SIM. Talam SIM yang digunakan adalah agak aneh. Dua SIM bersaiz Mikro diletakkan secara bertingkat dan bukannya sebelah menyebelah seperti yang dilakukan pada peranti pengeluar lain. Kepada yang mungkin tidak faham dengan apa yang kami maksudkan bayangkan sebuah pita kaset dengan Side A dan Side B. Dua SIM Mikro yang digunakan pada Elite 1 bertindih seperti ini. Sekiranya kad MikroSD ingin digunakan, ia diletakkan di pada Side B. Secara keseluruhan peranti ini mempunyai binaan yang baik walaupun sedikit ketinggalan. Ianya selesa dipegang
Leagoo OS 1.1
Android 5.1 digunakan denga antaramuka Leagoo OS 1.1. Antaramukanya sama seperti kebanyakan antaramuka peranti dari China. Tiada talam aplikasi dan masih menggunakan butang menu. Seperti yang kami katakan di atas skrin multi tasking diakses dengan menekan butang home selama beberapa saat. Ini menimbulkan beberapa masalah. Tiada tetapan diberikan untuk penggunaan butang home dan ini menyebabkan anda tidak boleh melancarkan Google Now menggunakan aksi yang sama. Satu-satunya cara untuk melancarkannya pada Elite 1 ialah dengan meletakkan pintasan aplikasi pada skrin hadapan peranti. Ini sedikit sebanyak menyukarkan penggunaan peranti bagi mereka yang bergantung kepada pembantu maya Google ini. Butang menu apabila ditekan memberikan pilihan untuk memasuki skrin tetapan, menukar gambar latar belakang, widget, animasi transisi dan menghasilkan folder aplikasi.
Terdapat dua skrin khas untuk pemain muzik dan juga aplikasi kamera seakan Polaroid. Kedua-dua fungsi ni sama seperti yang kami temui pada Color OS peranti Oppo. Berbeza dengan Color OS, dua skrin tambahan ini tidak boleh dinyahaktifkan. Terdapat juga sokongan tema melalui aplikasi Theme. Pilihan tema adalah sedikit terhad tidak melebihi 20 setakat ini. Melalui aplikasi yang sama terdapat pilihan untuk memuat turun gambar latar belakang.
Leagoo OS 1.1 turut mempunyai sokongan pergerakan jari. Dari skrin kekunci aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dengan melakar beberapa bentuk menggunakan jari. Aplikasi WhatsApp contohnya boleh dilancarkan dengan melakar bentuk W. Nyata sekali pelbagai fungsi tambahan disertakan oleh Leagoo walaupun Elite 1 dijual pada harga amat mampu milik.
Kesimpulan
Leagoo memasuki pasaran dengan peranti kelas pemproses kelas pertengahan dengan kemasan serta beberapa fungsi yang sebelum ini hanya digunakan pada peranti utama. Dari segi rekaan kami rasakan ianya sebuah peranti yang menarik dan selesa untuk dipegang. Antaramuka Leagoo OS pula kelihatan menarik dan kemas.Pengimbas jarinya juga setakat ini berfungsi dengan pantas.
Satu-satunya masalah yang mungkin wujud ialah penggunaan pemproses kelas pertengahan Mediatek MT6753. Adakah kemasan dan fungsi premium dapat menutupi kelemahan pemproses ini? Jawapan ini akan anda ketahui di dalam ulasan penuh kami dalam masa terdekat.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama Leagoo Elite 1"