Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Asteroid 2004 BL86 – Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Artikel ini dibawakan dengan kebenaran phak Agensi Angkasa Negara (ANGKASA). Ikuti pelbagai kemaskini daripada mereka di Facebook atau Twitter.

KometPada lewat tengah malam hari ini, sebuah asteroid bersaiz besar – sekitar 1500 kaki akan melintasi Bumi pada jarak lebih kurang tiga kali ganda berbanding jarak Bumi ke bulan. Perkara ini membolehkan warga Bumi melihatnya menggunakan teleskop dengan mudah. Asteroid yang ditemui pada tahun 2004 ini dikatakan akan menjadi antara asteroid yang paling rapat dengan Bumi, dan akan mengambil masa bertahun lagi sebelum kejadian seumpamanya berlaku semula.


Latar belakang Asteroid 2004 BL86

Pada 13 Januari lalu, JPL NASA telah mengeluarkan kenyataan akhbar dengan tajuk “Asteroid to Fly By Earth Safely on January 26” dan berita tesebut telah tersebar disemua akhbar seluruh dunia dan juga media sosial. Asteroid yang dianggarkan bersaiz 0.5 km tersebut akan melintasi berhampiran Bumi pada jarak 3 kali jarak Bumi ke Bulan atau 1.2 juta km secara selamat. Tiada asteroid lain yang akan menghampiri Bumi lagi sehinggalah giliran Asteroid 1999 AN10 pula menghampiri Bumi pada 2027 nanti. Asteroid merupakan batuan atau jasad kecil yang berterbangan di angkasa lepas mengelilingi Matahari dan tidak melangkaui orbit planet Musytari. Kebanyakan asteroid berada di dalam jalur asteroid yang berada antara planet Marikh dan Musytari.


Bagaimanakah ia ditemui?

Asteroid 2004 BL86 ini telah ditemui oleh salah sebuah teleskop di White Sands, New Mexico yang beroperasi di bawah Program Lincoln Near-Earth Asteroid Research (LINEAR) survey pada 30 Jan 2004.


Bagaimanakah asteroid ini terjadi?

Asteroid dipercayai merupakan serpihan planet yang tidak menjadi atau sisa daripada proses pembentukan sistem suria kita semasa sistem suria kita masih muda dahulu. Mereka wujud sehingga ke hari ini dan terdapat jutaan asteroid di sistem suria kita serta kebanyakannya mengorbit di dalam orbit antara planet Marikh dan Musytari yang dikenali sebagai Jalur Asteroid.


Apakah perbezaan antara asteroid, komet dan meteor?

Meteor merupakan batuan bersaiz lebih kecil daripada asteroid – ia bersaiz sekitar antara butiran-butiran kecil sehinggalah beberapa meter. Meteor akan terbakar bila memasuki atmosfera Bumi dan menghasilkan coretan cahaya di langit pada waktu malam. Biasanya kita panggil sebagai tahi bintang atau shooting star.


Komet pula merupakan ketulan ais yang berasal dari luar sistem suria kita yang juga dikenali sebagai kawasan awan Oort. Komet juga mengelilingi Matahari dan bila menghampiri Matahari komet akan meruap dan menghasilkan ekor debu dan ekor ion. Komet mempunyai ekor tetapi pergerakannya kelihatan sangat perlahan jika dibandingkan dengan meteor.


Bagaimanakah cara untuk melihat Asteroid2004 BL86 ini?

Pada waktu malam/awal pagi (jam 1:20 pagi) 27 Jan 2015, dalam suasana gelap menghadap Timur Laut dengan sudut dongakan 70 darjah dari ufuk asteroid ini berada di buruj Cancer iaitu berada ditengah-tengah antara planet Musytari dan bintang Pollux. Sebenarnya sukar untuk melihat asteroid ini dengan mata kasar kerana ia terlalu malap dengan kecerahannya hanya pada magnitud ke sembilan sahaja.


Di manakah kawasan/tempat yang sesuai untuk melihat asteroid ini?

Kawasan yang gelap jauh dari pencemaran cahaya dan tempat atau kawasan lapang.


Adakah sebarang peralatan untuk melihat asteroaid 2004 BL86 ini?

Teleskop dengan diameter 10cm atau lebih besar atau binokular berkuasa tinggi diperlukan untuk melihat asteroid ini. Walaupun menggunakan peralatan astronomi, asteroid tersebut hanya akan kelihatan seperti sebutir bintang yang malap sahaja.


Adakah musim-musim tertentu untuk melihat asteroid di Malaysia?

Tiada musim tertentu untuk kita melihat asteroid. Asteroid sentiasa boleh di lihat pada bila-bila masa tetapi kebanyakannya kelam dan kita perlu menggunakan teleskop atau binokular berkuasa besar serta kita juga perlu mengetahui kedudukan asteroid-asteroid tersebut.


Adakah terdapat sebarang kesan kepada Bumi atau manusia?

Tiada kesan kerana kedudukan paling hampir asteroid tersebut kepada Bumi juga masih agak jauh iaitu 1.2 juta km atau 3 X jarak Bumi ke Bulan. Tiada apa yang perlu dirisaukan, insyaAllah kita semua akan selamat.


Artikel ini dibawakan dengan kebenaran phak Agensi Angkasa Negara (ANGKASA). Ikuti pelbagai kemaskini daripada mereka di Facebook atau Twitter.





Banyak lagi menarik FB kami



http://ift.tt/14Mtwjx

via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Asteroid 2004 BL86 – Apa Yang Perlu Anda Tahu?"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info