Minggu lalu kami ada menulis tentang lima perkara yang menarik mengenai phablet Samsung Galaxy Note 8. Kesemuanya pasti memberikan kepuasan kepada mereka yang ingin memiliki peranti dengan stylus terkini di pasaran. Tetapi selepas 48 jam menggunakannya, kami turut menemui beberapa perkara yang sedikit merisaukan. Berikut ialah senarai lima keraguan kami mengenai Galaxy Note 8.
Baca – 5 Perkara Menarik Dengan Samsung Galaxy Note 8
1. Bateri Bersaiz Kecil
Selepas insiden bateri Samsung Galaxy Note 7, Samsung lebih berhati-hati dalam penggunaan teknologi bateri mereka. Bateri kecil dengan kapasiti kecil tidak lagi digunakan bagi mengelakkan kemalangan yang lalu. Akibatnya Galaxy Note 7 dilengkapi bateri yang hanya sebesar 3300 mAh.
Ini adalah lebih kecil berbanding Galaxy S8+ (3500 mAh), Galaxy S7 (3600 mAh) dan Note 7 (3500 mAh). Kerisauan wujud kerana Note 8 dilengkapi skrin yang lebih besar berbanding ketiga-tiga peranti yang kami sebutkan tadi. Tiada gunanya mempunyai peranti yang berspesifikasi tinggi sekiranya bateri tidak mampu bertahan sepanjang hari.
Pada tahun 2017, tahap ketahanan hampir 24 dengan SOT melangkaui 7 jam harus menjadi standard pada peranti utama. Kami kurang yakin ini dapat dilakukan.
2. Saiz Yang Terlalu Besar
Samsung Galaxy Note (2011) ialah peranti yang bertanggungjawab memulakan penggunaan skrin yang besar. Skrin 5.3″ yang digunakan pada waktu tersebut dikatakan terlalu besar tetapi kini dianggap saiz standard.
Galaxy Note 8 ialah yang terbesar pernah dihasilkan dengan skrin sebesar 6.3″. Sepanjang tempoh penggunaan kami tidak berani mengenakkannya dengan hanya sebelah tangan. Ia lebih lebar dan panjang berbanding Galaxy S8+ yang pada hemat kami juga sukar digunakan dengan hanya sebelah tangan.
Skrin yang besar dipadankan dengan tubuh aluminium dan kaca yang licin adalah kombinasi yang boleh menjurus kepada ia mudah terlucut dari genggaman.
3. Wujudnya Samsung Galaxy S8+
Ramai yang merasakan Samsung Galaxy S8+ dihasilkan untuk peminat Note 7 yang enggan menanti setahun untuk Note 8. Ia adalah peranti keluarga Galaxy S terbesar pernah dihasilkan dengan skrin 6.2″.
Oleh sebab itu Note 8 dengan skrin 6.3″ tidak memberikan perbezaan saiz skrin yang besar. Tambahan lagi Galaxy S8+ kini boleh dimiliki pada harga serendah RM 3166 (harga jualan asal RM 3699) sebuah. Adakah skrin serta RAM sedikit lebih besar, kamera berkembar dan S-Pen adalah nilai tambahan yang berbaloi untuk memiliki Note 8 yang dijual pada harga RM 3999?
Harus diingatkan ketika Galaxy Note 7 dilancarkan tahun lalu di berharga RM 3199. Harga jualan Galaxy S7 Edge pula ialah RM 3099. Perbezaan harga hanya RM 100. Tahun ini perbezaan harga semasa mencecah RM 833.
4. Masih Tiada Sokongan HDR Rasmi
Sekiranya anda sedar, Samsung tidak menyentuh kemampuan HDR pada Note 10 walaupun teknologi skrin Infinity Display menyokongnya. Ini besar kemungkinan selepas mengumumkan kemampuan HDR pada Galaxy S8 April yang lalu, sehingga kini ia belum menyokong penstiman menerusi Netflix, Amazon Video ataupun YouTube.
Sekiranya anda membelanjakan hampir RM 4000 pada sebuah peranti utama, pasti anda mahukan kesemua fungsi yang disertakan digunakan sepenuhnya. Ketiga-tiga platform penstriman video HDR di atas ditawarkan di Malaysia. LG G6 dan Xperia XZ Premium, dua peranti yang kini di pasaran Malaysia mempunyai sokongan HDR rasmi oleh Netflix.
5. Permukaan Kaca Yang Besar
Ini ialah kerisauan utama kami sejak Samsung menggunakan panel kaca yang besar pada bahagian belakang dan skrin dwi-lengkung pada Galaxy S6. Dengan Galaxy Note 8 ia nisbah permukaan kaca kepada logam meningkat lagi kerana penggunaan skrin Infinity Display.
Note 8 mungkin menggunakan kaca Gorilla 5 tetapi dari pengalaman peribadi rekaan hampir kaca kesemuanya ini kurang tahan lasak berbanding rekaan peranti dengan bezel tebal dan panel logam pada bahagian belakang. Penggunaan kerangka tahan lasak kini mandatori bagi mengelakkan kos baik pulih yang tinggi sekiranya peranti terjatuh.
Berita baik di Malaysia ialah mereka yang melakukan pra-tempahan akan menerima pakej tukar ganti skrin Samsung Protection Plus percuma untuk 12 bulan pertama dan kerangka lutcahaya dengan setiap pembelian. Samsung menyedari kos menukar skrin pada peranti mereka sejak S7 Edge mencecah RM 1160 dan dengan penawaran dua perkara di atas, pelanggan tidak perlu risau perlu berbelanja besar untuk membaiki peranti.
Ini ialah lima kerisauan yang kami yakin turut berlegar di kepala sesetengah pengguna yang ingin memiliki Note 8. Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Adakah yang kami tertinggal dari senarai di atas?
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "5 Kerisauan Kami Mengenai Samsung Galaxy Note 8"