Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Pandang Pertama : Acer Switch 3 Dan Switch 5 – Tablet 2-Dalam-1 Dengan Ciri-Ciri Menarik

Dengan hadirnya kemajuan dari segi teknologi pemprosesan dan rekabina, komputer tablet binaan 2-dalam-1 kini semakin menular. Bermula dari konsep tablet Microsoft Surface, pelbagai jenama pembina PC telah mula membuat tablet komputer yang mampu melakukan pelbagai tugas komputer.

Di acara Acer GPC minggu lepas, Acer telah mengumumkan dua tablet terbaru daripada siri tablet komputer Acer Switch, termasuklah Acer Switch 3 dan Acer Switch 5, yang memperlihatkan beberapa penaiktarafan dari segi spesifikasi, rekabentuk dan prestasi daripada model pendahulunya, Acer Switch Alpha 12.

Spesifikasi

Acer Switch 3
Skrin 12.2″ IPS LCD 1920×1200 pixel
Pemproses Intel Pentium (Belum diumumkan)
Intel Celeron (Belum diumumkan)
Kad Grafik Intel HD Graphics
RAM 4GB DDR4
Muatan Dalaman 32GB, 64GB,128GB  eMMC
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
USB USB 3.0 Type-A x1
USB 3.1 TYpe-C x1
Pembaca kad MicroSD x1
Video HDMI
WiFi 2×2 802.11ac

Sama seperti Acer Swift 3 dan Swift 1 yang kami perkatakan sebelum ini, kedua-dua tablet Acer Switch 5 dan Switch 3 ini memenuhi dua keperluan dan kehendak yang agak berbeza, Kedua-dua tablet ini bukan sahaja mempunyai spesifikasi dalaman yang berbeza, malah mereka juga mempunyai rekaan luaran yang agak berbeza.

Bermula dengan Acer Switch 3, tablet tersebut mempunyai paparan skrin bersaiz 12.2 inci dengan resolusi 1920×1200 pixel. Ia diperkasakan oleh CPU Intel Pentium dan Intel Celeron, dan hadir dengan memori DDR4 sebanyak 4GB dengan muatan eMMC sebanyak 32GB, 64GB dan 128GB.

Acer Switch 3
Skrin 12.0″ IPS LCD 2160×1440 pixel
Pemproses Intel Core i5 Kaby Lake
Intel Core i7 Kaby Lake
Kad Grafik Intel HD Graphics
RAM 8GB DDR4
Muatan Dalaman 256GB, 512GB SSD PCIe
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
USB USB 3.0 Type-A x1
USB 3.1 TYpe-C x1
Pembaca kad MicroSD x1
Video HDMI
WiFi 2×2 802.11ac

Acer Switch 5 hadir dengan paparan bersaiz 12.0 inci pada resolusi 2160×1440 pixel yang dikuasakan oleh dua pilihan CPU generasi ketujuh Intel Core i7 dan Core i5, bersama-sama dengan RAM DDR4 sebanyak 8GB dengan pilihan storan SSD PCIe bersaiz 256GB ataupun 512GB.

Dari segi I/O pula, Acer Swift 3 dan 5 ini mempunyai jumlah port yang sama, akan tetapi oleh kerana beberapa ciri-ciri yang terdapat pada Swift 5, lokasi port tersebut tidak sama diantara kedua-dua laptop ini.

Kedua-dua laptop ini hadir dengan sebuah port USB 3.0 Type-A, sebuah port USB 3.1 Type-C dan juga sebuah pembaca kad microSD. Bagi kedua-dua laptop ini, kedudukan beberapa ciri, seperti pembaca kad microSD dan juga butang kuasa adalah berbeza.

Pembaca kad microSD misalnya terletak bersama-sama dengan port USB dan HDMI pada model Switch 3, manakala pada model Switch 5 pula pembaca kad tersebut terletak di bahagian atas tablet tersebut.

Satu lagi fungsi yang mempunyai lokasi berbeza diantara kedua-dua model ini ialah fungsi butang kuasa. Untuk Switch 3, butang kuasa terletak pada bahagian atas tablet ini, bersama-sama dengan butang pengawal bunyi dan juga butang Start Menu. Bagi Switch 5 pula, butang kuasa terletak di bahagian sisi sebelah kanan tablet tersebut, Ini adalah kerana butang pada model Switch 5 ini juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari yang hadir dengan sokongan Windows Hello.

Oleh kerana siri Acer Switch ini adalah siri tablet 2-dalam-1, ia juga hadir dengan papan kekunci yang boleh dicabut, dengan reka-bentuk yang sama seperti yang digunakan oleh tablet Microsoft Surface. Papan kekunci ini hadir dengan lampu latar berwarna putih untuk memudahkan penggunaan dalam gelap. Selain dari itu, ia juga digunakan sebagai cover untuk tablet Switch tersebut, supaya paparannya tidak termasuk habuk.

Rekabentuk Dan Ciri-Ciri

Rekabentuk siri tablet Acer Switch ini tidaklah begitu radikal, kerana rekaannya masih menggunakan banyak rekaan daripada tablet Acer Switch Alpha 12, dengan beberapa perubahan, termasuklah jenis-jenis port yang digunakan dan juga saiz tablet tersebut.

Dari segi binaan, Acer Switch 3 dan 5 menggunakan aluminum sebagai binaan cangkerang tablet tersebut. Ini membuatkan tablet-tablet tersebut bukan sahaja kelihatan premium, tetapi juga membuatkannya agak tahan lasak.

Selain dari lokasi port seperti yang dinyatakan diatas, ada dua lagi perbezaan yang ketara diantara Acer Switch 3 dan Switch 5, iaitu saiz kedua-dua laptop ini, dan juga tapak kaki yang digunakan untuk mendirikan kedua-dua laptop tersebut.

Walaupun kedua-dua tablet ini menggunakan tapak yang kelihatan sama, Switch 5 menggunakan sistem retracting kickstand, dimana kaki tablet tersebut boleh ditolak dan ditarik dengan hanya menggunakan daya yang sangat sedikit,

Anehnya, ciri ini hanya hadir pada model Switch 5 dan tidak pada Switch 3. Pada hemat kami, tiada masalah jika Acer memuatkan ciri ini kepada Switch 3 juga, kerana binaan kedua-dua tablet ini sudahpun hampir sama diantara satu sama lain.

Lagi satu ciri yang boleh dilihat pada tablet Switch 5 ialah penggunaan penyejuk cecair Acer LiquidLoop yand juga diperkenalkan pada Acer Switch Alpha 12 sebelum ini. Penyejuk ini menggunakan paip haba dan cecair untuk menyejukkan komponen-komponen dalaman tablet tersebut tanpa menggunakan kipas.

Acer menyatakan bahawa kedua-dua tablet ini hadir dengan jangka-hayat bateri yang cukup panjang. Acer Switch 3 dikatakan boleh bertahan selama lapan jam dengan satu pengecasan penuh, manakala tablet Acer Switch 5 pula boleh digunakan selama 10.5 jam tanpa sebarang masalah.

Selain daripada papan kekunci yang dinyatakan sebelum ini, kedua-dua tablet ini juga hadir dengan sebuah stylus yang kini mempunyai 1024 tahap tekanan. Tidak seperti tablet Microsoft Surface, papan kekunci dan stylus ini akan hadir dalam satu pakej bersama-sama dengan tablet Switch 3 dan Switch 5, ia sangat berbaloi jika anda membeli tablet ini apabila ia berada di pasaran nanti.

Kesimpulan

Tablet Acer Switch 3 dan 5 baru ini hadir untuk mengisi kekosongan mereka yang mahukan sebuah peranti tablet yang seakan-akan Microsoft Surface, tetapi tidak mahu mengeluarkan terlalu banyak wang untuknya.

Rekabentuk dan ciri-ciri yang hadir pada tablet-tablet ini, terutamanya Acer Switch 5 memberi nafas baru kepada form factor tersebut, terutamanya dengan ciri retracting kickstand dan sistem penyejuk Acer LiquidLoop.

Jika anda hanya perlukan sebuah laptop yang digunakan untuk melayari laman web, menonton video dan membuat kerja biasa seharian, Acer Switch 3 mungkin cukup sesuai untuk anda, terutamanya dengan harga pengenalan $399 (RM1733).

Acer Swift 5 pula sangat sesuai bagi mereka yang perlukan sebuah laptop yang boleh mereka gunakan untuk kerja-kerja yang lebih memerlukan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi, dan boleh dibawa kemana-mana sahaja. Tablet Acer Swift 5 akan hadir di pasaran tidak lama lagi pada harga $799 (RM3470).



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama : Acer Switch 3 Dan Switch 5 – Tablet 2-Dalam-1 Dengan Ciri-Ciri Menarik"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info