Tragedi MH17 baru sahaja menyambut ulang tahun pertamanya pada 17 Julai yang lalu. Sebanyak 298 nyawa penumpang dan anak kapal terhenti di ruang udara Ukraine. Sehingga kini pihak yang bertanggungjawab masih belum diheret ke muka pengadilan. Insiden penembakan pesawat awam oleh pihak tentera sebenarnya bukan perkara baru dan pernah dua kali berlaku sebelum ini. Pesawat Iran Air 655 ditembak jatuh kapal perang Amerika Syarikat pada tahun 1988 mengorbankan 290 nyawa. Pesawat Korean Airlines 007 pula ditembak jatuh pesawat pejuang Soviet pada tahun 1983 mengorbankan 269 nyawa.Seperti tragedi MH17, pihak bertanggungjawab masih belum menerima hukuman dunia dan hanya mahkamah tuhan akan memberi balasan setimpal.
Sungguhpun kejadian “tersalah tembak” bukan perkara yang baru berlaku, sistem anti serangan misil pada pesawat penerbangan komersial masih belum digunakan secara meluas. Insiden MH17, Iran Air 655 dan KAL 007 akan berlaku lagi di masa hadapan sekiranya sistem anti serangan misil tidak digunakan. Buat masa ini sistem anti serangan misil hanya digunakan pada pesawat tentera dan sesetengah pesawat rasmi kerajaan seperti Air Force One. Israel menjadi negara pertama yang memasang sistem anti misil pada pesawat penerbangan awam menggunakan sistem C-Music.
C-Music dibangunkan oleh Elbit Systems selepas insiden pesawat 757 awam milik Arkia Airlines diserang misil di Mombasa Kenya pada tahun 2002. Serangan melibatkan dua misil mudah alih MANPADS gagal menemui sasaran tetapi ia memaksa kerajaan Israel untuk mempertimbangkan penggunaan sistem anti misil pada pesawat awam yang menjadi sasaran musuh. Sistem C-Music mula dicuba tahun lalu dan diubahsuai dari sistem SkyShield yang digunakan untuk tujuan ketenteraan. Ia dipasang pada beberapa pesawat 737-800 yang terbang ke destinasi yang dianggap berisiko tinggi. C-Music mampu mengesan serangan misil dan kemudian mengelirukan sistem kawalan misil tersebut menggunakan pancaran laser. Misil kemudian akan hilang kawalan dan akan meletup jauh dari sasaran sebenar.
Pemasangan C-Music menelan kos yang tinggi (sekitar RM 288 Juta) tetapi bagi Israel ianya penting bagi memastikan keselamatan penumpang pesawat awam negara tersebut. Persoalannya sekarang perlukah sistem anti serangan misil ini dipasang pada pesawat awam sebagai “insuran” bagi memastikan insiden seperti MH17 tidak berulang di masa hadapan. Jawapan kepada soalan ini ialah faktor kos dan berapa seriuskah pesawat penerbangan awam meletakkan nilai pada nyawa anda.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Sistem Anti Serangan Misil Mula Digunakan Pada Pesawat Penerbangan Awam Israel"