Permainan bercorak Tower Defense merupakan permainan yang memerlukan pemain untuk membina pertahanan mereka bagi mengekang serangan dari musuh yang bertalu-talu. Sekiranya permainan ini kelihatan membosankan, pembangun permainan tempatan Kurechii telah memberikan nafas baru terhadap permainan sebegitu melalui permainan terkini mereka Tiny Guardians.
Seperti namanya, Tiny Guardians membawakan rekaan watak yang agak… kecil. Dan comel. Pemain dikehendaki mengawal watak yang bernama Lunalie, seorang ‘summoner’ yang berupaya untuk memanggil perwira untuk melindunginya di setiap perjalanan. Namun bilangan perwira yang melindunginya terhad kepada jumlah ‘mana’ yang diperoleh pemain. Sebelum permainan bermula, ‘mana’ ini digunakan bagi memilih perwira yang akan bersama Lunalie dalam perjalanan. Kesemua 12 perwira ini dipaparkan didalam buku Lunalie dan bagi sesuatu masa, Lunalie hanya boleh memilih 5 jenis perwira untuk mengiringinya.
Semasa perjalanan, musuh-musuh akan menyerang Lunalie dan di sini terdapatnya elemen ‘Tower Defense’. Perwira yang dipilih oleh Lunalie mempunyai jarak lingkungan serangan. Perwira seperti Magician dan Archer mempunyai jarak lingkungan serangan yang luas, manakala soldadu seperti Knights & Assassin mempunyai jarak lingkungan serangan terhad. Strategi diperlukan adalah termasuk pilihan untuk membawa perwira tertentu semasa perjalanan tersebut. Oleh kerana hanya 5 perwira yang boleh dipilih dari 12, membuat pilihan tersebut merupakan sesuatu perkara yang penting.
Selain perbezaan jarak lingkungan serangan, perwira juga mempunyai skilnya tersendiri. Seperti contoh Knights, Rogue, dan Assassin tergolong dalam perwira serangan terhad, namun Assassin mempunyai kadar mengelak tertinggi dengan nyawa yang rendah, namun Knights mempunyai nyawa yang panjang tetapi tidak bergerak selaju Assassin.
Semasa bermain, faktor posisi perwira juga memainkan peranan penting. Nyawa perwira seperti Knights mempunyai nyawa yang tinggi, jadi mereka berpotensi untuk dijadikan sebagai ‘penghalang’ sebelum penjahat berupaya mendekati Lunalie. Jika anda meletakkan Magician atau Archer dihadapan serangan, sudah tentu mereka akan dikalahkan dengan senang kerana tidak mempunyai kadar pertahanan yang tinggi.
Setiap perwira ini boleh dinaiktaraf semasa permainan, membolehkan mereka mempunyai nyawa yang lebih banyak mahupun serangan yang lebih berkuasa. Bagi menaiktaraf mereka, ‘mana’ yang diperoleh pemain akan digunakan dan cara untuk menambahnya adalah dengan membunuh penjahat yang menyerang Lunalie sepanjang perjalanan. Lunalie juga berupaya melakukan 3 perkara iaitu menjana kawasan untuk menyembuhkan Lunaline dan perwira, melakukan serangan Meteor Storm, dan juga meletakkan perangkap. Namun kesemua ini memerlukan masa untuk mengecajnya.
Dari segi pemarkahan, markah berdasarkan bintang seakan Angry Birds digunakan, dan bintang yang diperoleh boleh digunakan untuk menaiktaraf skil perwira secara pasif. Seperti contoh boleh untuk membuatkan perwira dengan jarak serangan terhad untuk berupaya sembuh secara pantas, atau mengurangkan masa yang diperlukan Lunalie untuk mengaktifkan skil menjana kawasan sembuhannya. Juga terdapat syiling yang boleh diperoleh sekiranya pemain mengatasi sesuautu cabaran dan syiling ini boleh digunakan untuk membeli perwira yang lain seperti Berserker, Wizard, mahupun Dancer.
Dari segi rekaan permainan, permainan ini memang cantik dan comel serta rekaannya yang bagus. Satu perkara menarik mengenai Kurechii adalah nilai rekaan antaramuka dan watak mereka yang unik. Idea disebalik permainan ini juga tampak segar, dan pemain dikehendaki berfikir dan membuat keputusan dengan pantas. Sekiranya dibandingkan dengan permainan mereka King’s League yang lalu, permainan ini sememangnya menghendaki pemain untuk sentiasa prihatin dengan serangan yang dilakukan oleh penjahat semasa perjalanan Lunalie pada setiap jalan cerita.
Apa yang kurang pada permainan ini adalah jalan ceritanya. Dengan harga permainan ini menjangkau 3.99USD ( ~RM 14.50), jalan cerita permainan ini dilihat agak pendek dan hanya terdapat 14 tahap. Selepas 14 tahap tersebut, pemain boleh bermain lagi pada kadar kesusahan yang lebih tinggi yang turut akan memberikan ganjaran yang lebih banyak. Namun sekiranya anda seorang pemain kasual yang kemungkinan besar berhenti bermain apabila tiada lagi tahap baru dan tidak mahu bermain pada kadar kesusahan yang lebih sukar, mungkin ini salah satu faktor yang membimbangkan anda.
Permainan ini boleh dimuatturun untuk platform iOS dan Android. Sekiranya anda menginginkan permainan strategi yang boleh dimainkan pada masa kasual anda dan juga mencabar minda, permainan Tiny Guardians ini mampu memenuhi kehendak anda.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan – Tiny Guardians"