Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Mustaffa Othman, Bekas Pakar Daging Istana Ratu Elizabeth

Gambar bil makan steak yang beribu-ribu RM di bawah ini menjadi viral sejak beberapa hari lepas.






Puncanya mungkin kerana melihat harga makanan yang mungkin terlalu mahal. Tetapi jika difikirkan kembali ianya adalah hasil tangan bekas Pakar Daging Istana Ratu Elizabeth ini, maka ada golongan tertentu yang merasakan ianya berbaloi.



Mustaffa Othman, pemilik Me’nate Steak Hub, telah dikurniakan sepasang tangan oleh Allah SWT dan membawa lelaki ini jauh merantau ke Eropah.



Lebih manis, ia berjaya membuka gerbang Istana Buckingham, London, sekali gus membolehkan anak Malaysia ini berkhidmat kepada Ratu Elizabeth serta mendiang Puteri Diana.



Tanpa latar belakang pendidikan tinggi dan kocek kosong selain meninggalkan isteri dan anak di tanah air pada 1989, Mustaffa Othman, pemilik Me’nate Steak Hub, terbang ke kota London untuk mencari pengalaman, pelajaran serta sumber kewangan lebih baik.



“Sebelum membuat keputusan ke luar negara, saya memiliki perniagaan daging di pasar Subang Jaya. Bagi menimba penga­laman di luar negara dan menambah pengetahuan, saya menjual perniagaan itu kepada orang lain. Hasil penjualan saya gunakan untuk membeli tiket kapal terbang.



“Saya bukan jenis kenal erti takut, lantas saya ting­galkan keluarga di Kuala Lumpur serta pergi ke London tanpa duit poket.



“Sebaik tiba di sana, saya tidur di merata-rata tempat kerana ketiadaan wang untuk menyewa hotel atau mempunyai kenalan hampir seming­gu.



“Waktu itu, sebenarnya saya ke sana untuk mendalami ilmu ‘master in butchering and culinary di sebuah kolej swasta.



“Ia bukan berkaitan hal akademik sepenuhnya, sebaliknya mengenai kemahiran menguruskan daging, bermula daripada lembu beranak hingga ke dalam pinggan,” katanya ketika ditemui di restorannya di Jalan Kerja Air Lama Satu, Ampang.



Sesi pembelajaran berlangsung pada waktu siang, manakala malam pula lelaki kepada empat cahaya mata ini bekerja sebagai pemotong daging di kedai daging milik warga Pakistan di kota besar itu bagi menampung hidupnya dan keluarga di Malaysia.



Bekerja antara jam 3 pagi hingga 7 pagi setiap hari membolehkan Mustaffa membayar sewa bilik. Dia enggan bekerja di kedai daging milik warga Inggeris kerana khuatir ditugaskan memotong daging babi.



Menganggap tangan dimilikinya anugerah terhebat daripada Allah SWT, Mustaffa menerima tawaran pekerjaan dengan gaji jauh lebih tinggi hingga ditawarkan jawatan dalam Dawn Group of Companies pada 1991.



Syarikat besar yang juga pembekal tunggal sumber daging terbaik untuk istana Ratu Elizabeth itu kemudian menyedari kemahiran dan kelebihan dalam diri Mustaffa.



Berhasrat untuk bergelar pemotong daging, Mustaffa diuji apabila dia ditinggalkan di dalam sebuah bilik bersama paha lembu, sebilah pisau dan batu asah.



Tanpa menyedari situasi itu adalah sesi temuduga, tempoh kurang daripada 10 minit, daging yang tergantung berjaya dipotong dalam saiz sederhana kecil.



Meskipun kepakarannya terbukti, kerjaya Mustaffa bermula daripada bawah iaitu di seksyen pembung­kusan daging sebelum naik ke tahap seterusnya.



“Cara orang Barat me­ngendalikan daging jauh berbeza dengan negara kita. Mereka tiada masalah kesihatan jika memakan daging berbanding rakyat kita yang dimomokkan pe­ngambilannya mengakibat­kan penyakit.



“Di sana, lembu yang disembelih akan melalui ‘aging process’, kemudian dingin beku selama tujuh hari. Selepas itu baru daging dipotong dalam skala kecil dan dimasukkan ke dalam plastik vakum selama tujuh hari.



“Pada hari ke-15, baru daging berkenaan dijual di pasaran dan selamat dimakan kerana darah aktif mati pada hari ke-21. Daging memiliki banyak khasiat, oleh itu penting bagi kita mempelajari bagaimana menguruskannya,” katanya yang tidak lokek berkongsi ilmu.



Berkongsi cerita bagaimana terpilih sebagai pakar daging di istana, Mustaffa tidak tahu kriterianya namun dia memiliki kebolehan memotong daging mengikut berat tanpa meng­gunakan penimbang.



Katanya, Ratu Elizabeth memegang status Duli Teramat Mulia, jadi segala perkara membabitkan kerabat diraja harus dilakukan orang berkemahiran dan terbaik untuk berkhidmat di mah­ligai bagi memastikan ‘kemuliaan’ itu.



“Disebabkan kemuliaan itu, tiada perkara mahupun makanan kotor memasuki istana, termasuk daging khinzir.



“Ratu Elizabeth dan kerabat sememangnya tidak memakannya kerana tahu ia makanan paling kotor di dunia. Mereka juga hanya meminum alkohol (arak) untuk memanaskan badan, bukan tujuan mabuk.­



“Ketika itu saya dan se­orang lagi sahabat dari Australia bertanggungjawab dalam hal berkaitan daging, sama ada memotong, memasak mahupun menghidang, dan kami bertugas secara bergilir-gilir.



“Dua tahun setengah saya berkhidmat di istana, sewaktu bertugas saya berpeluang bertemu Ratu Elizabeth. Dia memanggil saya dengan nama Usman dan juga mesra bertanya soalan kepada pekerjanya,” kata­nya yang berusia 61 tahun.



Tangan kanan di dada, tangan kiri di belakang badan antara protokol ketika menghidangkan makanan kepada Ratu Elizabeth bertujuan memastikan kuku tukang masak bersih. Tat­kala menjawab soalan dilontarkan Ratu Elizabeth, dilarang sama sekali kerdipkan mata.



Menurutnya, berpeluang bekerja di istana mengajar dirinya mengenai etika, kepatuhan, kebaikan, kebersihan. Menafikan sebarang kesukaran mengerjakan ibadat, Mustaffa berkata, mereka di sana lebih me­nyukai pekerja yang mematuhi perintah agama masing-masing.



“Bayangkan surau yang disediakan di istana untuk tiga pekerja Muslim jauh lebih indah daripada rumah saya hari ini. Pengalaman di sana adalah perkara terbaik mendidik diri saya.



“Selepas dua tahun setengah berkhidmat di istana, saya membuat keputusan kembali bekerja di syarikat (Dawn Group of Companies). Dengan kedudukan kewangan stabil, saya mampu pulang ke Malaysia sebulan sekali sepanjang tempoh 11 tahun di perantauan.



“Pada 2000, timbul isu pe­nyakit lembu gila dan saya diberi cuti setahun apabila kilang tutup, namun masih menerima 10 peratus gaji. Saya pulang ke Malaysia dan enggan kembali ke sana,” katanya.



Tidak betah duduk diam, Mustaffa kemudian merisik pekerjaan di Tesco Puchong sebagai tenaga pengajar berkaitan daging, seterusnya ke pasar raya besar lain, termasuk Aeon Jusco dan Carrefour.



Membuka Me’nate Steak Hub enam tahun lalu, Mustaffa ingin menawarkan perkhidmatan makanan daging halal dan segar kepada masyarakat Muslim khususnya.



Diusahakan bersama teman dan dibantu empat cahaya mata­nya berjaya mengekalkan kestabilan restoran­nya hingga berjaya membuka cawangan di Wangsa Maju membawa nama Meet U Here.



Memilih kerjaya pakar daging, Mustaffa mengakui kesusahan hidup keluarga pada masa lampau yang tidak mampu membeli daging kecuali ihsan dan hari raya korban, membuatkan dirinya meminati daging.



Harapannya, masyarakat sepatut­nya memahami pengetahuan berkaitan makanan, termasuk daging, bagaimana menguruskannya, kaedah pemprosesan dan cara masakan sesuai, sekali gus memberi manfaat terhadap kesihatan diri - myMetro



PROFIL:



NAMA: Mustaffa Othman

JAWATAN: Master Butcher (pakar daging) dan pemilik Me’nate Steak Hub

FB : http://ift.tt/1znG38N

TARIKH LAHIR: 15 Mac 1951

ASAL: Kota Bharu, Kelantan

ISTERI: Mastura Lehman

ANAK: Muhammad Ezman (25), Amirul Aiman (24), Fareza (23) dan Khisofi (19)

PENDIDIKAN: GCE Advanced Level



Sememangnya seorang lagi rakyat Malaysia yang boleh kita banggakan.



Benar kata orang, Usaha Tangga Kejayaan!



BACA INI JUGA: Menjadi Jutawan Dengan Cara Yang Sangat Luar Biasa!



Sumber:

http://ift.tt/1znG50y







Banyak lagi menarik FB kami



http://ift.tt/14Mtwjx

via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Mustaffa Othman, Bekas Pakar Daging Istana Ratu Elizabeth"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info