Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Krisis Kepimpinan Yang Dahsyat Di Malaysia

Kepimpinan yang berwibawa merujuk kepada pemimpin - peringkat negara dalam konteks ini - yang mendapat kepercayaan dan mandat rakyat, juga berprestasi tinggi, berkebolehan serta ada sifat amanah, integriti, bertanggungjawab, mampu mentadbir negara dengan cekap berlandaskan perlembagaan.


Krisis kepimpinan
 
Allah SWT merakamkan kisah anak perempuan Nabi Shuib dalam surah al-Qasas ayat 26 bermaksud: "Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah."

Ayat itu menjelaskan dua ciri penting iaitu "quwwah" dan "amanah" yang jika mengikut keadaan pada hari ini, kita boleh terjemahkannya sebagai kompetensi dan integriti yang menentukan kepimpinan berwibawa.

Rakyat Malaysia kini sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan yang amat dahsyat sejak kemerdekaan, kerana ciri-ciri kewibawaan telah hilang di kalangan kepimpinan negara.

Amalan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa telah sampai ke tahap tragedi nasional, sangat menakutkan.

Wang suapan bukan lagi diberi secara bawah meja, sebaliknya bertukar tangan secara terbuka, tanpa rasa malu dan segan silu. Cash is king.

Ironinya, yang korup itu pula diangkat menjadi penasihat untuk membenteras amalan rasuah. Mungkinkah kerana kita memerlukan pencuri untuk menangkap pencuri?

Virus ini sukar dibendung selagi kita ada pemimpin yang gila kuasa dan harta. Ada tanda harga yang membolehkan kejujuran dibeli atau tawar-menawar.

Ia tiada vaksin kecuali rakyat berusaha membetulkan kompas moral kepimpinan negara. Kembali kepada jalan Allah dengan sebenar-benarnya.

Rasuah Norma Baharu?

Apakah maruah rakyat Malaysia benar-benar sudah terhakis sehingga sedemikian rupa? Tidak dapat lagi membezakan yang baik dengan yang buruk?

Adakah budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah menjadi sebahagian daripada norma baru dalam kehidupan rakyat Malaysia?

Hari ini, ketika ini dan saat ini, kita sedang melihat penguatkuasaan dua darjat, amalan yang jauh berbeza berbanding apa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Adakah pemimpin berasakan mereka ada hak untuk diberi pegecualian daripada mematuhi undang-undang hanya kerana mereka berjawatan menteri? Di manakah kompas moral mereka?

Akhirnya, rakyat yang menanggung derita akibat ketidakpatuhan orang kenamaan yang merasakan bahawa diri mereka tidak boleh disentuh langsung.

Negara boleh tergadai akhirnya

Selain integriti, kompetensi dalam mentadbir negara dengan cekap dan berkesan serta keupayaan untuk membuat keputusan yang tepat, teratur dan betul juga sering menjadi masalah.

Rakyat kini terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis akibat keputusan pemimpin yang mencabul amanah, tiada integriti, penunggang agama dan bukan pakar bidang dalam melaksanakan tanggungjawab.

Syarikat-syarikat kerajaan (GLC) juga diterajui oleh individu yang bukan pakar dalam bidang diperlukan.

Ahli-ahli politik juga dilantik sebagai Pengarah GLC dengan gaji (sebut rasuah) yang luarbiasa banyaknya sehinggakan sebagai contoh; AirAsia mampu menjana keuntungan sedangkan MAS mengalami kerugian berpanjangan, kerana semua keuntungan diratah sepenuhnya oleh orang-orang politik.

Mengangkat pemimpin yang tidak berwibawa hanya mengundang kehancuran tamadun sesebuah negara.

Jika sesebuah syarikat boleh jatuh bankrap disebabkan pengurus yang tidak berwibawa, tidak mustahil negara juga berhadapan dengan malapetaka yang sama, apatah lagi apabila ia melibatkan rakyat keseluruhannya.

Yang pasti, pemerintah dan pemimpin yang semakin terbuka mengamalkan rasuah akan menyebabkan negara akhirnya tergadai dan dijajah kembali dek maruah yang boleh jual beli.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Krisis Kepimpinan Yang Dahsyat Di Malaysia"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info