Sembang Maniac

Sembang-sembang je

SBDJ Siri 165: Dikejar Makhluk Aneh

Dalam keadaan yang gawat itu, apa yang saya lakukan semua tidak kena. Kematian dirasakan terlalu hampir. Hujan terus turun dan badan terus mengigil. Semuanya menakutkan dan mencemaskan. Saya tidak mahu memikirkan tentang mahaguru dan anak buahnya. Hidup atau mati itu urusan mereka.

Toyol jadi-jadian

Sebaiknya dalam keadaan yang haru-biru itu, dimanfaatkan untuk membebaskan diri dari cengkaman mahaguru dan orang-orangnya. Itulah yang bergelodak dalam batin saya.

"Aku mesti gunakan peluang ini," ulang saya berkali-kali.

Tanpa berfikir panjang, saya buat keputusan nekad untuk merempuh pagar buluh kuning dalam hujan dan cahaya petir yang sabung menyabung untuk menyelamatkan diri.

Sambil berlari saya mula terfikir bahawa ilmu yang dimiliki mahaguru tidak dapat menahan kekuatan kuasa Allah. Sekali hujan turun, sekali petir berbunyi, mahaguru sudah menjadi kelam kabut.

Disaat saya merempuh pagar buluh kuning tadi, memang terasa seperti ada sesuatu yang memburu saya dari belakang. Memukul bahagian leher saya dengan bulu kabung (Enau).

Tidak memadai dengan itu, saya dihujani dengan reranting kayu dari kiri dan kanan. Semuanya tidak saya hiraukan.

Tidak dapat saya pastikan, apakah yang mengejar saya itu manusia atau makhluk lain. Maklumlah berlari dalam gelap tetapi, mulut saya tidak berhenti-henti membaca surah AL-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas.

Dengan keyakinan yang tinggi bahawa apa yang saya rencanakan secara mendadak pasti berhasil. Saya tidak mahu jadi hamba ilmu yang bertentangan dengan akidah Islam.

Kerana itu saya berlari dan terus berlari hingga bunyi telapak kaki makhluk aneh hilang entah kemana.

Walaupun tidak dikejar, larian yang dibuat tidak juga surut malah jauh dari berhenti. Surah AL-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas terus meniti dibibir tanpa mengenal noktah.

Mungkin terlalu banyak tenaga yang dikerah, membuatkan larian tidak sekencang tadi. Saya mula rasa penat dan tercungap-cungap.

Langkah saya mula terhoyong-hayang, seluruh sendi terasa sakit-sakit, tetapi perjalanan tetap diteruskan, walaupun terpaksa merangkak di bumi.

Begitulah bergerak dalam gelap tanpa matlamat memang sukar. Entah bagaimana saya bagaikan tersentak, bila terlihat sekumpulan kelip-kelip itu hilang entah kemana.

Bila langkah dimulakan kumpulan kelip-kelip itu muncul kembali. Sukar untuk dipastikan dari mana kumpulan kelip-kelip itu muncul.

LALUI

Apa yang menguntungkan saya, cahaya dari kelip-kelip itu menerangi sekitar kawasan yang saya lalui.

Secara tidak langsung kumpulan kelip-kelip itu jadi penyuluh jalan dan hati saya bagaikan diarah-arah untuk mengikuti ke arah mana kumpulan kelip-kelip itu pergi.

Dan perjalanan seterusnya amat menyenangkan kerana berpelitakan dari cahaya kumpulan kelip-kelip yang tidak diundang.

Disaat asyik melangkah, hidung saya terbau bunga melati yang cukup harum. Serentak dengan itu terdengar sayup-sayup kokok ayam.

Ertinya saya berada tidak jauh dari kawasan perkampungan. Kumpulan kelip-kelip yang jadi penyuluh jalan mula berkurangan dan berpecah dua.

Separuh menuju ke sebelah kanan dan yang separuh lagi masih jadi penyuluh jalan. Kokok ayam makin jelas kedengaran dan terasa dekat sekali.

Saya dongakkan kepala melihat langit yang bersih. Sesungguhnya saya tidak dapat memastikan ketika mana hujan berhenti.

Melihat keadaan awan, langit dan bintang, saya yakin waktu subuh kian hampir. Kokok ayam mula jarang kedengaran, tidak serancak tadi.

Dalam suasana hening dan damai menjelang subuh, langkah tetap diteruskan. Desiran angin yang lembut menyentuh dedaun dapat didengar dengan jelas.

Saya menggigit bibir bila mendapati kumpulan kelip-kelip yang sedikit terus ghaib. Saya jadi panik, saya hilang pedoman.

Dalam kebingungan tanpa penghujung itu, terdengar bunyi reranting dan dedaun kering dipijak orang. Saya kembali cemas.

Bau wangi kian hebat menyengat lubang hidung dan saya terus melangkah mengikut kemahuan hati.

"Assalamualaikum..."

Seorang lelaki berserban dan berjubah putih dengan wajah yang bersih muncul di depan. Langkah saya terhenti.

"Waalaikum salam," saya menjawab.

Dia menghulurkan tangan. Telapak tangan kanan kami segera bercantum. Telapak tangannya terasa lembut, macam kapas. Jari-jemarinya bagaikan tiada bertulang.

Di dadanya tergantung lampu picit yang talinya membelit leher. Kelopak bibirnya yang merah segar mengukir senyum.

Wajahnya yang bersih dan lembut memancarkan keikhlasan hatinya. Membuatkan keyakinan dalam hati bahawa lelaki yang berdiri di hadapan saya, bukan dari golongan mahaguru.

"Tak lama lagi subuh datang, mari ke surau. Sementara menanti subuh, boleh kita buat sembahyang sunat fajar atau berzikir. Mari orang muda."

"Saya... sayyyyy..."

"Jangan bimbang, mari kita ke surau. Kalau tak mahu buat sembahyang sunat atau berzikir, boleh baca Quran," katanya dengan nada suara yang cukup lembut.

Dia mula menarik tangan saya. Dan kokok ayam masih kedengaran. Di kaki langit ada cahaya cerah.

Hati saya masih berbelah bagi, sama ada memenuhi pelawaannya atau menolak dengan kata-kata yang manis penuh sopan.

"Saya..."

"Saya tahu awak orang baru di sini. Awak sesat kerana ada orang yang mahu menyesatkan awak."

"Di mana suraunya tuan?"

"Di situ," jari telunjuknya menuding ke arah bangunan yang dibuat dari papan.

Bahagian halaman bangunan itu diterangi cahaya dari jamung. Terdengar suara orang membaca ayat-ayat suci penuh syahdu membuat saya teringat kepada datuk.

Kokok ayam terus juga kedengaran yang diselang seli dengan suara kanak-kanak menangis kerana terjaga dari tidur.

Saya kira tidak jauh dari surau, pasti ada perkampungan dan saya ingin berkenalan dengan penghuni kampung dan keluarga orang berserban dan yang berjubah putih.

Suasana terasa damai dan hening sekali. Suara orang mengaji Quran menguasai seluruh kawasan.

"Ikut saya, kita tidak boleh berlengah-lengah lagi," katanya.

Saya terus mengikutnya. Bau wangi terus menguasai lubang hidung. Sebaik saja sampai ke halaman surau, lelaki berjubah putih bersalam dengan seorang lelaki yang sebaya dengannya.

Lelaki berkulit hitam, memakai kain pelikat, baju Melayu cekak musang itu merenung tajam ke arah saya.

"Pasangkan lampu gasolin."

"Baik," jawap lelaki yang memakai kain pelikat itu.

Dia segera masuk ke surau. Suara orang mengaji Quran terus bergema sedangkan di dalam surau tidak kelihatan manusia.

"Bawa lampu picit ni, pergi bersih badan kamu di telaga. Tukar pakaian kamu dengan pakaian yang bersih."

Orang berjubah putih menyerahkan lampu picit dan bungkusan pakaian kepada saya.

"Pakaian kamu rendam dalam baldi dekat telaga, nanti ada orang yang membasuhnya. Pergi cepat, waktu subuh tak nanti kita."

Sebaik saja orang berjubah putih itu selesai berkata-kata, saya terus menuju ke perigi untuk membersihkan badan dan mengambil wuduk dan kembali ke pintu surau.

Saya lihat orang berjubah putih baru saja selesai menunaikan sembahyang sunat fajar. Dia berdiri dan merenung ke arah saya dengan renungan yang lembut.

"Masuk, subuh dah sampai."

Saya anggukkan kepala lalu melangkah ambang pintu surau.

"Kamu azan."

"Saaaayyyaaa..." saya jadi tergamam.

"Iya, kenapa? Kamu takut atau tak tahu?"

Saya tidak boleh berdalih lagi, terpaksa akur dengan permintaannya. Selesai saja azan, ruang surau mula dipenuhi dengan jemaah.

Mereka berpakaian serba putih. Wajah mereka nampak bersih dan berseri membayangkan ketenangan dan keikhlasan rohani.

Mereka terus melakukan sembahyang sunat subuh.

Subuh itu orang berjubah putih menjadi imam. Pembacaannya lancar sekali. Suaranya juga cukup baik.

Selesai sembahyang subuh dan berdoa, dia mengadakan kuliah subuh yang pendek menghuraikan surah Al-Kafirun.

Bila semuanya selesai, semua para jemaah bersalaman dengan saya. Ternyata para jemaah berat mulut, tidak mahu bertanya tentang diri saya.

Mereka sekadar mengucapkan salam bersama senyum yang ikhlas.

Bila mereka berada di ambang pintu dan melambaikan tangan ke arah saya, tubuh mereka nampak samar-samar dan akhirnya lesap entah kemana dalam sekelip mata.

Apa yang berlaku di depan mata membuat saya terpegun kehairanan.

"Jangan fikir tentang semuanya itu. Kamu pergi ke telaga semula, pakaian kamu sudah dibersihkan dan sudah kering."

Saya bertambah bingung menangkap percakapannya. Mana mungkin secepat itu pakaian yang direndam dapat dibersihkan dan dikeringkan.

"Kenapa tak pergi ambil pakaian kamu?"

"Di perigi?" soal saya sangsi.

"Iya, di mana lagi? Bukankah kamu yang rendam dalam baldi di telaga?"

"Iya..." dalam rasa serba salah, antara percaya dengan tidak, saya pun melangkah ke perigi.

Apa yang diungkapkan oleh lelaki yang berjubah putih itu memang benar. Pakaian saya kering diampaian dalam pondok perigi yang beratapkan daun rumbia. Siapa yang membasuh dan menyidai pakaian di ampai?

Tanpa mahu memikir tentang semuanya itu, pakaian segera saya tukar. Dan saya kembali menemui orang yang berjubah putih yang menanti di muka pintu surau.

Pakaian yang dipinjamkan saya pulangkan semula kepadanya.

"Masuk dulu," katanya.

Saya patuhi permintaannya. Kami duduk bersila tidak jauh dari muka pintu. Dari cahaya lampu gasolin yang menyimbah di halaman surau, saya dapat melihat kabus nipis yang bergerak lemah menyusup di celah-celah pepokok renik melepasi pepokok yang tinggi. Badan terasa segar sekali.

"Aku tahu kamu bermasalah," si jubah putih memecahkan suasana hening dalam perut surau.

"Iya," saya anggukkan kepala.

"Tak apa, biar aku hantar kamu ke sempadan. Sebelum matahari terbit, dengan izin Allah, kamu dapat jumpa datuk kamu."

"Tuan kenal datuk saya?"

"Aku tak kenal dia, tapi aku tahu siapa dia."

"Bagaimana keadaannya sekarang?"

"Dengan izin Allah dia terpelihara dari segala kejahatan," katanya dengan senyum.

CAHAYA

Keadaan hari bertambah samar-samar. Cahaya merah di kaki langit kian kuat. Ada hemat saya, sebentar lagi matahari pasti muncul.

Kokok ayam sudah lama berhenti tetapi diganti dengan teriakan ungka dan monyet di balik bukit.

Orang berjubah putih bangun. Api lampu gasoline dipadamnya. Api jamung di halaman tidak semarak tadi.

"Mari ikut aku, biar aku hantar kamu ke sempadan."

Saya segera mengikutnya menuju ke halaman surau. Api jamung di padamkan.

"Pintu surau tak ditutup tuan?"

"Tak mengapa, tak lama lagi ada orang datang nak buat sembahyang dhuha, tempat ibadat tak elok dikunci atau ditutup."

"Hummmmmmm..." sahut saya.

Saya mengikut orang berjubah putih melalui jalan kecil selebar dua kaki yang terletak dibelakang surau. Saya tidak dapat mengagak pukul berapa ketika itu.

Apa yang pasti subuh sudah hampir ke penghujung. Kami tidak banyak bercakap kali ini tetapi, bau wangi yang segar menguasai lorong kecil yang di lalui.

Saya yang tadi keletihan dan lesu kembali bertenaga. Saya tidak tahu kenapa secara tiba-tiba saya boleh sihat dan segar. Fikiran saya bebas dari teringat atau terkenangkan mahaguru dan anak muridnya.

Ingin rasa hati bertanya kepada orang berjubah putih tentang mahaguru dan anak muridnya. Apakah dia tahu tentang kisah mereka?

Anehnya keinginan itu tidak dapat saya ungkapkan, saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Akibatnya, keinginan tersebut hanya berlegar-legar dalam sanubari saja.

"Kenapa Tuan?"

Saya jadi terkejut, bila orang berjubah putih berhenti melangkah. Dia renung ke arah kaki langit melihat cahaya merah yang kian menipis. Cahaya cerah mula bangkit dan langit kelihatan terang.

"Cukup sampai di sini saja aku menghantar kamu."

Saya tergamam, bagaimana saya harus meneruskan perjalanan dalam hutan tanpa panduan.

Walaupun ada cahaya cerah di kaki langit tetapi, ditempat saya berdiri masih samar-samar. Tidak dapat mengenali seorang dalam jarak antara 25 hingga 35 kaki.

Kabus yang bangkit dari permukaan bumi menambahkan kesukaran untuk saya bergerak. Semuanya membuat saya cemas dan takut.

"Kamu bimbang?" orang berjubah putih bertanya.

"Iya tuan, saya tak pandai berjalan dalam hutan. Saya sampai ke tempat tuan tadi kerana sudah terdesak."

"Tak usah bimbang, yakinkan diri dan berusaha, selebihnya kita serahkan pada Allah," Si jubah putih memberikan suntikan semangat.

Dia juga menggesa saya supaya melangkah lurus ke depan. Jangan melencung ke kanan atau ke kiri.

BURUK

Baru lima langkah memulakan perjalanan, langkah saya terhenti. Hati saya berdebar dan takut semacam. Pelbagai kemungkinan buruk yang saya fikirkan menunggu di depan. Orang berjubah putih segera mendekat.

"Kenapa?"

"Saya takut, tuan."

"Dengar sini, sebelum ini kamu sudah berdepan keadaan yang lebih dahsyat. Kamu sudah tengok manusia melakukan kerja-kerja yang tidak disukai oleh Allah.

"Kamu mohon pada-Nya untuk keluar dari tempat terkutuk tu. Dengan izin-Nya kamu terlepas hingga kamu berjumpa dengan aku.

"Sekarang aku nak tunjukkan jalan ke sempadan kampung. Apa kamu tak memerlukan pertolongan dari aku?"

"Saya perlukan pertolongan tuan."

"Kalau begitu, kira langkah kamu sampai dua ratus langkah. Berhenti di situ. Di situ ada orang menunggu kamu. Aku tak boleh lama-lama di sini, selamat jalan."

"Terima kasih tuan."

Saya pun memulakan langkah pertama. Lebih kurang lima langkah perjalanan, saya pun menoleh ke belakang.

Orang berserban dan berjubah putih hilang. Begitu juga dengan bangunan surau. Apa yang saya lihat ialah pepokok besar dan pepohon renik.

Bau wangi masih dapat saya hidu. Suara ungka dan kera kian rancak, begitu juga dengan nyanyian beburung, bagaikan bergembira dengan cahaya matahari yang kian melebar di langit.

Keadaan hari beransur cerah. Perjalanan diteruskan seperti yang diinginkan oleh orang yang berserban putih itu.

Matahari terus mempamerkan diri. Cahayanya menerkam tiap liku hutan yang sedang saya lalui.

Kicau burung bertambah kuat dan tupai jantan begitu gagah memburu tupai betina dari dahan ke dahan.

Kokok dan ketak ayam cukup jelas kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara kanak-kanak bersorak riang.

Saya kira mereka sedang berlarian beramai-ramai menuju untuk mandi dan berenang di sungai.

Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, meyakinkan hati bahawa saya sebenarnya berada di pinggir sebuah perkampungan. Hati kecil dibungai keriangan yang tiada taranya.

Disaat kegembiraan yang memuncak kerana terlepas dari kekuasaan mahaguru dan anak buahnya saya dikejutkan dengan orang bercakap.

Berdasarkan pengamatan sendiri, jumlah orang yang bercakap lebih dari tiga orang.

Kerana keadaan hari sudah terang benderang, saya tidak gusar atau merasa takut menghadapi sebarang cabaran yang datang.

Apa yang perlu, saya mesti berhati-hati. Silap langkah atau terlalai pasti celaka menimpa diri.

Saya terus mengamati arah suara orang bercakap yang diganggu dengan bunyi pepokok renik ditebas dengan parang.

Barangkali manusia laknat dan puaknya masih memburu aku. Itu kesimpulan yang saya buat bila menghadapi saat genting.

Badan saya kembali menggeletar, kematian terbayang dalam tempurung kepala. Pada saat itu juga tergambar dalam kepala, bagaimana tubuh Osman Garing dipotong-potong.

Saya segera menyembunyikan diri dengan cara merebahkan tubuh di perdu pokok besar. Pokok-pokok renik sekeliling saya lenturkan untuk menutup sebahagian dari tubuh.

Dengan berbuat demikian menyukarkan kumpulan orang yang bercakap itu bertemu dengan saya.

Suara orang bercakap makin lama makin dekat. Ada seketikanya mereka menyebut dan melaung nama saya dengan sekuat hati.

Dan saya bertambah cemas. Badan dan muka saya rapatkan ke bumi.

"Di sini kamu bersembunyi."

Saya segera angkat muka dan sepasang kaki betul-betul di depan batang hidung saya. Dan saya tidak berani menatap wajah orang yang bersuara itu.

Saya kira, riwayat hidup saya akan berakhir di perdu pokok besar. Kedua belah mata saya pejamkan sambil menantikan mata pedang mahaguru jatuh ke batang leher saya.

Lama juga saya menanti tetapi, tiada apa pun yang menyentuh leher saya.

"Apa sudah jadi dengan kamu ni, semalam-malaman kami mencari kamu, tak tentu makan tak tentu tidur.

"Rupa-rupanya kamu sembunyi di sini. Bangun cepat, jangan meniarap begitu nanti dada kamu sejuk."

Saya buka mata dan dongakkan wajah. Haji Bagus terpaku di depan. Belum pun sempat berkata-kata dan bangkit, Tuk Siak menerpa lalu memeluk tubuh saya erat sekali. Kemudian barulah saya dibangunkan.

Di belakang Haji Bagus dan Tuk Siak terpacak lebih dari sepuluh orang penduduk kampung dengan golok dan parang di tangan.

Di wajah mereka tergambar kepuasan dan keriangan. Tugas mereka mengesan kehilangan saya sudah berhasil.

Keriangan jadi milik mereka dan kehampaan membelit hati saya. Dua tiga kali saya menarik nafas kecewa. Datuk tidak bersama mereka. Ke mana datuk?

Barangkali dia berada di masjid atau sedang berusaha mencari saya sendirian. Itu yang terputik dalam hati.

"Dari petang membawa ke malam hingga ke pagi ni, kami mencari kamu," datang lagi pertanyaan dari Haji bagus. Saya hanya menarik nafas panjang.

"Kemana kamu pergi? Kamu disembunyikan orang halus?" menyusul pertanyaan dari Tuk Siak.

Seperti tadi juga saya hanya mampu menarik dan melepaskan dengan sepasang kelopak mata yang pejam celik.

Fikiran saya bercelaru dalam sinar matahari pagi yang kian meninggi. Saya tidak dapat menberikan jawapan.

"Tuk saya di mana?"

Itu yang terlontar dari mulut. Orang sekeliling berpandangan sesama sendiri. Tuk Siak dan Haji Bagus menggigit bibir, mata mereka tertumpu ke arah matahari yang sudah berada di puncak bukit.

Suara unggas dan ungka tetap macam tadi, masih rancak menyambut kemunculan matahari.

"Tuk saya dimana?"

Untuk kedua kali, pertanyaan yang tidak mendapat jawapan dilakukan kembali. Tuk Siak tepuk bahu Haji Bagus.

"Tadi dia bersama-sama kami, bila sampai dekat pokok besar itu dia berpecah dengan kami," jelas Haji Bagus sambil menudingkan telunjuknya ke arah pokok besar dengan akar hutan berjuntaian di dahan.

Pokok besar yang rimbun berdaun lebat itu mengingatkan saya peristiwa petang semalam.

Di situ, saya menemui wanita yang mengakibatkan saya mengalami pelbagai bagai kejadian aneh.

Bagi sekian kalinya saya menarik nafas panjang. Sepasang mata saya alihkan ke arah lain.

Saya tidak mahu memandang pokok besar yang kulitnya menggerutu dililit akar hingga ke dahan.

Setiap dahan ada akar berjuntaian. Di bawah pokok besar itu ada pepokok renik.

"Bagaimana kalau kita tunggu datuk saya di sini?"

Usul yang diajukan membuat Tuk Siak mengerutkan dahi. Haji Bagus mengosok-gosok hujung dagunya berkali-kali.

Orang-orang kampung yang ada di situ hanya membisu. Mereka setia dengan Haji Bagus dan Tuk Siak.

"Begini saja, kita balik dulu. Tak guna menunggunya di sini," cetus Tuk Siak.

Saya keberatan mahu menerima cadangan itu.

"Kenapa?" tanya saya.

SENANG

Saya tahu, Tuk Siak dan Haji Bagus kurang senang dengan pertanyaan saya itu. Tetapi, mereka tidak memperlihatkannya. Kedua orang tua itu masih tenang dan masih boleh memberikan senyuman untuk saya.

"Kita balik dulu Tamar, aku yakin datuk kamu tahu apa yang mesti dibuatnya," lembut suara Haji Bagus.

Belakang saya diurutnya dua tiga kali. Saya pun anggukkan kepala, tanda setuju.

"Mari kita balik."

Haji Bagus memberitahu anak buahnya yang disambut dengan senyum. Meredah tumbuh-tumbuah hutan yang melata diperut bumi membuat kaki seluar basah oleh air embun.

Perjalanan menuju ke kawasan kampung tidak dibungai dengan percakapan. Semuanya melangkah dengan tenang di bawah sayap matahari yang kian keras memancarkan cahaya.

Di angkasa kelihatan burung helang tinggi dengan kepak terkembang sambil mata merenung ke bumi mencari mangsa.

"Berhenti," kata Haji bagus.

Anak buahnya yang berjumlah lebih sepuluh orang (tidak termasuk saya) segera berhenti melangkah. Mereka berpandangan sesama sendiri.

Helang liar tetap berlegar-legar di udara sesekali berbunyi nyaring. Kicau burung, bunyi ungka dan monyet tidak kedengaran lagi tetapi diganti dengan bunyi reriang rimba.

"Macam ada bunyi orang berjalan, cepat sembunyikan diri. Jaga keselamatan diri masing-masing," tambah Haji Bagus.

Semua anak buahnya berpecah. Ada yang sembunyi di balik perdu kelubi, di balik banir dan sebagainya.

Saya ditarik oleh Haji Bagus bersembunyi di kelompok pokok pisang hutan.

Bunyi ranting kering kena pijak jelas kedengaran, begitu juga bunyi batang-batang pokok kecil patah akibat dirempuh suatu benda yang besar membuat hati saya menggelabah dan takut.

Saya gugup, sepasang gajah yang cukup besar melintas di depan saya dan Haji Bagus. Anggota sendi saya terasa lemah.

Pasangan gajah itu terus meredah hutan, memijak anak-anak pokok yang menghalang perjalanannya menuju ke utara.

Belalainya terus mematah pokok bayas dan kabung yang tumbuh meliar. Setelah menelan umbut bayas dan umbut kabung, belalainya mengibas tubuh sementara telinga yang besar dan lebar tetap bergerak menimbulkan bunyi seperti orang menggaru bahagian kulit yang gatal.

"Dia tak ganggu kita, dia nak cari rezeki," bisik Haji Bagus kepada saya, sebaik saja sepasang gajah itu hilang dari pandangan.

Haji Bagus segera memberitahu anak buahnya supaya keluar dari tempat persembunyian.

Perjalanan selanjutnya cukup hati-hati.

Haji Bagus mengingatkan anak buahnya supaya menghindari dari bertemu atau melalui laluan binatang buas demi keselamatan diri.

Perjalanan yang diteruskan di bawah keramahan matahari itu, tidak terasa penat. Kabus nipis yang bangkit di kaki bukit, sudah hilang diusir oleh sinar matahari.

Mungkin sudah berada di kawasan selamat, ada diantara anak buah Haji Bagus bersiul-siul dan bernyanyi dalam nada suara yang rendah. Malah mereka mula menjarakkan diri dengan Haji Bagus dan Tuk Siak.

Bila melintasi kawasan yang agak berbukit saya terlihat asap berkepul di udara. Bila ditinjau lebih dekat, saya terlihat sekumpulan budak-budak berusia antara 10 hingga 15 tahun sedang bermain gasing di bawah pokok jambu yang berdaun lebat. Bunyi terkukur dan merbuk peliharaan bersahut-sahutan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 165/284

BACA: SBDJ Siri 164: Dendam Tok Guru
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "SBDJ Siri 165: Dikejar Makhluk Aneh"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info