Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Rayhan Kabir Dan Pemerdagangan Manusia Di Malaysia

Warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang sebelum ini viral kerana mengeluarkan kenyataan dianggap sangat jahat dan berniat memburukkan nama Malaysia telah berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Rayhan Kabir Diusir Dari Malaysia

Usaha pemburuan Rayhan yang memakan masa 2 minggu ini akhirnya membuahkan hasil dan Imigresen menyatakan lelaki Bangladesh ini akan diusir dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi JIM berjaya menahan Rayhan yang dipercayai bersembunyi di sebuah kondominium di Setapak Kuala Lumpur pada jam 5.45 petang (24/7/2020).

Kejayaan ini adalah hasil daripada risikan dan buruan berterusan selama dua minggu. Syabas dan tahniah kepada pegawai-pegawai JIM atas usaha dan komitmen mereka.

Warga Bangladesh ini akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya, kata Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud.

'Saya Tak Bersalah'

"Saya tidak melakukan jenayah dan tidak menipu. Saya hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap pendatang asing.

"Saya mahu maruah migran dan negara saya terjamin serta percaya semua pendatang asing dan Bangladesh akan bersama saya," itu kata lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang menghantar pesanan WhatsApp kepada wartawan media Bangladesh, The Daily Star, sebelum ditangkap.

Dalam laporan media Bangladesh itu, Md Rayhan menegaskan dia tidak menipu ketika diwawancara stesen televisyen Al Jazeera.

Bye Rayhan

Berita ini pasti melegakan kita semua kerana memang itu yang kebanyakan rakyat Malaysia mahukan, agar mereka yang cuba memburukkan imej negara terus diusir pulang ke negara asal.

Sekarang, pulanglah ke kampung halaman dan belalah nasib bangsa anda sendiri ya, Rayhan Kabir.

PATI, SASARAN KEBENCIAN YANG TERSASAR

PATI (Pendatang Tanpa Izin), dalam erti kata yang lain juga dikenali sebagai Pendatang Haram. Bahasa yang lebih lembut ialah "Pekerja Tanpa Dokumen".

Dan sejak kebelakangan ini, media massa penuh dengan rasa kebencian terhadap pekerja migran dan pelarian, dengan beberapa insiden menyemarakkan dan mencetuskannya. Salah satunya adalah bot yang membawa masyarakat pelarian Rohingya dihalang daripada memasuki kawasan perairan Malaysia, dan yang kedua adalah insiden di Pasar Borong Selayang.

Kedua-dua insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen di mana pelbagai cerita dan troll mula membanjiri dan menular di media sosial. Kebanyakannya mengutuk kehadiran pelarian dan pekerja migran ini yang dipaparkan sebagai kurang ajar dan sudah melampau.

Golongan NGO dan aktivis yang bersimpati dengan mereka terus dikecam dengan bahasa yang kesat dan lucah. Satu lagi hujah yang sering digunakan adalah, "Jika anda suka, simpanlah mereka di rumah anda".

Penahanan PATI di Selangor Mansion juga mencetuskan satu debat sama ada langkah kerajaan menahan mereka itu betul atau salah.

Antara yang menentang pekerja migran ini boleh dikategorikan kepada beberapa golongan dengan yang paling ekstrim ialah mereka yang tidak boleh menerima semua orang dari luar – baik pelarian, pekerja berdokumen dan tanpa dokumen.

Terdapat juga satu golongan yang lebih ekstrim daripada posisi ini di mana mereka sehingga hari ini melihat rakyat beretnik Cina dan India sebagai pendatang walaupun sebahagian besar dilahirkan di Malaysia dan mempunyai kewarganegaraan.

Kemudian ada pula satu pihak yang boleh menerima pekerja migran asalkan mereka sah dan berdokumen. Maka golongan yang paling tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat adalah mereka yang dikenali sebagai PATI, iaitu dikategorikan sebagai orang yang datang tanpa izin.

Golongan pelarian juga kadangkala digolongkan sebagai PATI kerana mereka juga tiada dokumen sah.

Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 namun pelarian dilindungi di bawah naungan agensi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Tulisan ini akan memfokus kepada isu PATI, iaitu golongan yang "paling terkutuk" antara semua golongan di atas.

Statistik yang menggerunkan!

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai persepsi masyarakat tentang pekerja asing di Jepun, Malaysia, Singapura dan Indonesia, didapati bahawa masyarakat Malaysia mempunyai persepsi yang amat buruk terhadap pekerja asing.

Laporan tersebut menyatakan bahawa 73% rakyat Malaysia berpandangan bahawa pekerja asing tidak harus diberi layanan yang sama seperti pekerja Malaysia dan perlu ada dasar yang mendiskriminasi, manakala 60% berpendapat jika ada isu penindasan terhadap pekerja asing, maka pihak yang patut disalahkan adalah pekerja asing itu sendiri.

Mengikut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia dalam satu kenyataan pada 19 April 2020, mengatakan bahawa terdapat lebih kurang 3.3 juta orang PATI berbanding dengan 2.2 juta pekerja berdokumen.

Anggaran mereka adalah untuk setiap seorang pekerja berdokumen, ada 1.5 kali pekerja tanpa dokumen atau PATI.

Mengikut Jabatan Perangkaan pula, sehingga 31 Mei 2019, terdapat 2,059,382 orang pekerja berdokumen dari 13 buah negara yang bekerja dalam 6 sektor. Namun, banyak pihak lain memberikan angka PATI dalam anggaran 5 juta orang.

Menurut satu rencana yang ditulis oleh Murray Hunter yang berjudul "Malaysia’s massive foreign worker dependency" atau kebergantungan yang berketerlaluan pada pekerja asing yang ditulis pada November 2019, terdapat sebanyak 2.27 juta orang pekerja asing berdokumen bekerja dan ditambah dengan 2.5 hingga 3.37 juta orang pekerja asing tanpa dokumen.

Jumlah tenaga buruh pekerja asing adalah lebih kurang 30% daripada jumlah keseluruhan guna tenaga Malaysia pada angka 15.3 juta. Kebanyakan pekerja asing termasuk PATI bekerja dalam kerja-kerja 3D – "Sukar, Bahaya dan Kotor".

Statistik ini amat mencemaskan. Ini bermakna 1/3 pekerja Malaysia merupakan pekerja asing. Yang menggerunkan adalah jumlah PATI melebihi pekerja yang berdokumen.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai pentadbiran dan kawalan sempadan yang jelas, bagaimanakah ini boleh berlaku?

Biasanya, di kebanyakan negara yang mempunyai pentadbiran yang baik, pekerja yang berdokumen semestinya jauh lebih tinggi berbanding dengan pekerja tanpa dokumen. Hanya sebuah kerajaan anarki sahaja boleh mempunyai angka seperti ini.

Penguatkuasa biasa berhujah mengenai lorong-lorong tikus. Adakah lorong-lorong tikus ini wujud di sempadan atau lorong ini wujud di KDN, Jabatan Imigeresan di Putrajaya dan lain-lain tempat?

COVID-19, Masjid India dan PATI

Pada Hari Buruh tahun 2020, Jabatan Imigresen bersama dengan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan satu operasi besar-besaran dan telah menahan 586 orang PATI, di mana mengikut Menteri Kanan Ismail Sabri, mereka semuanya sudah disaring dan dibuat ujian tiga kali dan didapati COVID-19 negatif.

Maka mereka ditahan dan dimasukkan ke depoh tahanan. Banyak pihak, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), NGO-NGO dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpendirian bahawa ini adalah langkah yang tidak bijak dan U-turn kerana sebelum ini telah disyor bahawa semua pekerja migran termasuk PATI tidak akan ditangkap jika mereka datang untuk membuat ujian COVID-19.

Dengan tindakan Kerajaan ini, sudah pastinya golongan PATI yang lain dalam bilangan jutaan tidak akan tampil ke hadapan untuk ujian atau rawatan apabila mereka mempunyai gejala-gejala penyakit COVID-19.

Tindakan mereka tidak tampil ke hadapan bererti mereka boleh secara aktif menyebarkan virus ini dan bukan sahaja membahayakan kesihatan mereka, malah akan mengakibatkan risiko kesihatan masyarakat di luar sana kerana terdedah kepada COVID-19.

Di Singapura yang mempunyai kawalan ketat dan tidak mempunyai masalah PATI seperti Malaysia hari ini, sendiri mendapati kes COVID-19 yang naik mendadak kerana tersebar di kalangan pekerja migran.

Sekarang bayangkan dengan Malaysia, di mana majoriti pekerja asing yang berstatus PATI itu tidak akan datang untuk ujian dan mereka pun tidak akan percaya lagi dengan Kerajaan.

Maka walaupun ramai rakyat yang mengalu-alukan tindakan Kerajaan menangkap golongan PATI ini, tetapi mereka gagal melihat implikasi yang lebih besar dan kemudaratan yang boleh menimpa akibat tindakan ini.

Terlalu ramai PATI – salah siapa?

Siapakah harus dipersalahkan apabila terlalu ramai PATI? Adakah kita salahkan PATI itu kerana mereka curi-curi masuk atau kita kena mempersalahkan penguatkuasaan, pihak Imigresen dan Polis yang membenarkan sempadan kita diceroboh dan ditembusi? Atau patutkah kita salahkan pihak majikan yang mengambil mereka untuk bekerja?

Kita sering melihat rakyat Malaysia begitu teruja apabila melihat PATI ditahan, tetapi kita jarang melihat pihak berkuasa yang membenarkan mereka menceroboh masuk itu ditahan mahupun pihak majikan yang mengambil mereka bekerja itu ditahan atau dipenjarakan.

Maka antara tiga golongan yang mempunyai kaitan langsung dengan masalah PATI, iaitu agensi Kerajaan, majikan dan PATI – pihak yang selalu menjadi mangsa dan selalu kita kutuk ialah golongan yang paling miskin dan paling kurang berkuasa antara tiga pihak ini.

PATI – Bukankah agensi yang memperdagangkan manusia itu yang bersalah?

Ramai orang memarahi PATI, tetapi tahukah anda ramai juga antara mereka yang menjadi PATI merupakan golongan yang telah ditipu oleh agensi-agensi yang mengambil mereka atau mereka menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Ramai juga antara PATI yang pada awalnya ialah pekerja berdokumen, tetapi dokumen-dokumen mereka telah dipalsukan, ditipu dan diseleweng.

Mengikut kenyataan yang dibuat oleh gabungan untuk Hak Pembelaan bagi Pekerja Migran, 90% PATI merupakan mereka yang telah ditipu padahal sebenarnya mereka masuk secara sah dengan dokumen. Ramai yang ditipu setelah sampai di sini dan ada yang terpedaya dari awal lagi.

Ramai antara PATI ini sudah membayar wang yang banyak untuk masuk ke dalam negara kita, maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk bekerja secara haram daripada balik ke negara asal, di mana pihak pemiutang, ikan jerung dan lain-lain akan menanti mereka. Mereka juga akan memberi rasuah untuk mengelakkan diri daripada ditahan.

Banyak daripada agensi-agensi yang menipu ini mempunyai hubungan rapat dengan dengan pihak berkuasa tempatan dan ia sememangnya satu perniagaan yang membawa keuntungan lumayan.

Malaysia juga untuk dua tahun berturut-turut telah disenaraikan sebagai negara berada di Tahap Kedua (Tier Two) didalam senarai Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Ini merupakan satu petunjuk bahawa Malaysia telah gagal menangani pemerdagangan manusia dan terlibat dalam isu pekerjaan paksa serta perhambaan moden.

Adakah kita sudah lupa akan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak bukit di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 2015?

Laporan SUHAKAM merumuskan bahawa sindiket pemerdagangan manusia melakukan jenayah kemanusiaan di Malaysia dan Thailand ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya dari tahun 2012 hingga 2015.

PATI – Adakah majikan yang upah mereka itu bersalah?

Majikan pun memang mengakui masalah birokrasi dan lain-lain sekatan, maka mereka juga mengambil pekerja PATI. Bagi majikan, PATI ini bagus dan boleh mengurangkan kos mereka.

Mereka tidak payah membayar levi, tidak perlu membayar PERKESO dan lain-lain lagi, di samping tidak perlu membayar mengikut ketetapan gaji minimum. Pekerja ini pun tidak boleh membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja atau membuat aduan polis kerana status mereka adalah haram.

Ada juga kes di mana majikan itu setelah memeras semua tenaga PATI dan apabila pekerja ini mula menuntut untuk lebih banyak hak, maka mereka akan dibuang kerja secara tidak sah. Ada majikan yang pada masa-masa ini memberi umpan kepada polis untuk menangkap pekerja mereka yang tidak lagi diperlukan.

Sekali lagi, reaksi rakyat adalah marah pada PATI tetapi tidak marah pada majikan yang langgar undang-undang dan mengambil mereka untuk bekerja. Berapa ramai majikan yang pernah ditahan dan didakwa kerana kesalahan ini?

PATI – Perang dingin KSM dan KDN?

Untuk sekian lama, adanya satu perang dingin dari segi siapakah antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang patut mengurus pekerja asing di negara kita.

Banyak kumpulan termasuk pihak majikan, kesatuan sekerja dan NGO yang merasakan bahawa pihak yang sepatutnya menguruskan hal ehwal pekerja migran ialah KSM kerana mereka mempunyai kaitan terus dengan jumlah pekerja yang diperlukan, jumlah pengangguran dan sektor mana yang memerlukan pekerja.

Walaupun semua pihak merasakan pihak KSM yang patut mengendalikan perkara ini, namun KDN langsung tidak mahu membenarkan ini.

Pada bulan Ogos 2018, Kabinet telah membentuk satu Jawatankuasa Khas yang diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamuddin Yunus, untuk mencadangkan kepada kerajaan berkenaan dengan pendekatan holistik berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

Walaupun Jawatankuasa itu telah mengadakan sesi bertemu rakyat dan telah meneliti lebih 100 petisyen, namun laporan tersebut tidak dijadikan dokumen awam dan kemungkinan telah di-OSA-kan. (Nota: OSA ialah Akta Rahsia Rasmi.)

Apakah yang hendak dirahsiakan? Kerana pekerja asing merupakan satu perniagaan yang mega dan lumayan untuk sesetengah pihak.

Terdapat pelbagai kes rasuah termasuk Kes Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan pengambilan pekerja dari Bangladesh. Maka KDN tidak akan sekali kali melepaskan lombong emas ini kepada KSM.

PATI – Sasaran kebencian yang tersasar

Hari ini rakyat Malaysia benci dengan PATI. Keadaan krisis ekonomi dan COVID-19 menyebabkan kemarahan itu mencecah kemuncak. Satu penyelesaian yang munasabah dan berkekalan nampaknya tidak kelihatan.

Ini adalah kerana kita hanya menggunakan hujah dan sentimen emosi untuk menghalau PATI dan pada masa yang sama tidak mahu meneliti isu-isu struktural yang lebih serius, seperti isu monopoli, isu rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa.

Namun, rakyat Malaysia dipaksa oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk memesong pandangan kita kepada PATI sebagai pendatang haram padahal isu-isu yang lebih besar seperti isu rasuah dipinggirkan dan diremehkan.

PSM dan NGO-NGO hak migran sudah lama membuat persidangan meja bulat. Sudah lama memberi pandangan dan cadangan untuk penyelesaian yang menyeluruh. Pandangan ini malah disokong oleh pihak Kesatuan Sekerja, Persatuan Majikan, para akademik dan pihak berkepentingan yang lain, namun tidak ada kewibawaan politik untuk menyelesaikan isu ini.

Sehingga hari ini, tidak ada satu dasar peringkat kebangsaan yang komprehensif mengenai keperluan guna tenaga dan undang-undang yang selari dengannya.

Regulasi pendatang asing dan PATI sering ditukar prosedur operasi standar (SOP) dari masa ke semasa sehingga ia menjadi lawak jenaka kepada kebanyakan pihak yang berurusan dengan jabatan imigresen.

Lain kali, apabila kita bersorak kerana PATI ditahan, jangan lupa, kita tidak menyelesaikan masalah pokok. Kita hanya bermain-main dengan ranting-ranting. Esok lusa mereka kembali lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Rayhan Kabir Dan Pemerdagangan Manusia Di Malaysia"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info