Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Masjid Hagia Sophia Kembali Selepas 86 Tahun Di Jadikan Muzium, Fakta Disebalik Konflik Antara Agama

Bangunan ikonik Turki, Hagia Sophia, yang dijadikan muzium sejak 1934, kini telah diisytiharkan bertukar status dan menjadi sebuah masjid semula, dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan keputusan berkenaan selepas mahkamah membatalkan status bangunan itu sebagai muzium.

Masjid Hagia Sophia

Hagia Sophia dibina 1,500 tahun lalu sebagai gereja Ortodoks ketika Konstantinopel menjadi tempat kelahiran Empayar Byzantine.

Selepas penaklukan Empayar Turki Uthmaniyyah yang dipimpin Sultan Mehmet pada 1453, ia telah ditukar menjadi masjid.

Namun pada 1934, pemerintah sekular menukarkannya kepada muzium dan dibuka kepada orang ramai.

Umat ​​Islam di Turki telah lama menggesa agar bangunan yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco itu ditukarkan menjadi masjid tetapi anggota pembangkang sekular menentang langkah tersebut.

Sejurus selepas pertukaran status itu, laungan azan pertama berkumandang di Hagia Sophia dan ia disiarkan di semua saluran berita utama Turki.

Konflik Disebalik Pertukaran Hagia Sophia Menjadi Masjid

Keputusan Turki untuk mengubah semula Hagia Sophia menjadi masjid selepas Ataturk mengubahnya sebagai muzium pada tahun 1934, ternyata tidak disenangi negara-negara jiran .

Yang membantah ni adalah negara-negara Kristian Ortodoks Timur (Eastern Orthodox) seperti Rusia, Greece dan Georgia, kerana Hagia Sophia adalah ibarat "Al-Aqsa" bagi mereka: tempat suci yang ditakluk oleh musuh yang berlainan agama.

Sebelum ditawan oleh Turki Uthmaniyyah pada 1453, Constantinople (nama lama Istanbul) adalah pusat Ortodoks Timur.

Ketua Gereja Orthodox Rusia, Patriarch Kirill, berkata beliau amat prihatin dengan keputusan itu, sambil menyifatkan Hagia Sophia sebagai salah satu mercu tanda terhebat kebudayaan Kristian.

"Ancaman terhadap Hagia Sophia adalah ancaman kepada keseluruhan tamadun Kristian, maka ia juga adalah ancaman kepada kerohanian dan sejarah kita.

"Sehingga hari ini, bagi setiap pengikut Orthodox Russia, Hagia Sophia adalah tempat ibadat terhebat Kristian," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan, menukar status bangunan bersejarah itu akan mengakibatkan 'kesakitan' dikalangan penduduk Rusia.

Lambang Agama Kristian

Hagia Sophia sebagai gereja terbesar di Constantinople dan juga di seluruh Empayar Rom Timur (yang menjadikan Ortodoks agama rasmi) mempunyai simbolisme luar biasa.

Kejatuhan Constantinople ke tangan Turki Uthmaniyyah yang beragama Islam justeru dilihat oleh Kristian Ortodoks sebagai peristiwa gelap, apatah lagi Hagia Sophia dijadikan sebagai masjid oleh Sultan Uthmaniyyah, Mehmet II (Al-Fatih).

Kerana itu, Kristian Ortodoks sentiasa mahu "membebaskan" Hagia Sophia dan juga Constantinople.

Pada tahun 1472, Ivan III berkahwin dengan Sophia Palaiologina, anak saudara Maharaja Rom Timur terakhir dan memakai gelaran "czar", yang bermaksud "caesar" – gelaran Maharaja Rom.

Rusia melihat dirinya sebagai "Third Rome", mewarisi kedudukan Empayar Rom (First Rome) dan Rom Timur (Second Rome) sebagai pelindung agama Kristian.

Kerana itulah Rusia melancarkan 12 perang terhadap Uthmaniyyah demi menakluk Constantinople, untuk memasang semula salib di atas kubah Hagia Sophia.

Perang terakhir adalah Perang Dunia Pertama (1914-1918) di mana Rusia menyertai gabungan Britain-Perancis dan Uthmaniyyah pula bersama pakatan Jerman-Austria.

Satu lagi negara yang bercita-cita menawan Constantinople ialah Greece yang merdeka daripada Uthmaniyyah pada tahun 1832.

Negara Greece yang beragama Ortodoks dan ingin menyatukan semula semua kawasan yang ada penduduk berbahasa Greek termasuk pantai barat Turki dan Constantinople.

Greece cuba merealisasikan cita-citanya selepas Uthmaniyyah kalah dalam Perang Dunia Pertama, tetapi tidak berjaya selepas dikalahkan oleh Ataturk dalam Perang Kemerdekaan Turki 1919-1922.

Pada tahun 1934, Ataturk menukar Hagia Sophia jadi muzium dan mengupah arkeologis dari AS bernama Thomas Whittemore untuk 'memasang semula' lukisan mosaic di dinding Hagia Sophia yang menggambarkan Mary (Maryam), Jesus (Isa), malaikat dan tokoh-tokoh ternama.

Lukisan-lukisan ini ditutup pada zaman Uthmaniyyah kerana bercanggah dengan akidah Islam, tetapi tidak dimusnahkan.

Ataturk tidak menjelaskan kenapa dia berbuat demikian, tapi besar kemungkinan adalah untuk mengelakkan konflik dengan negara-negara Ortodoks. Turki perlu berehat dari perang.

Dan sejak Hagia Sophia dijadikan muzium dan dibuka kepada pelawat, keinginan untuk "membebaskan" Hagia Sophia telah berkurangan kerana penganut Ortodoks masih boleh melakukan "umrah" ke Hagia Sophia.

Oleh itu, apabila kerajaan Turki menjadikan semula Hagia Sophia sebagai masjid, Kristian Ortodoks dalam dan luar Turki risau seni Ortodoks dalam Hagia Sophia akan diharamkan sekali lagi, dan orang bukan Islam akan dilarang masuk.

Erdogan dikritik hebat dan dituduh mahu meraih populariti dan tidak sensitif dengan agama lain, walaupun jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin memberi jaminan Hagia Sophia masih akan dibuka kepada pelawat.

Dan langkah terbaharu Turki ini pasti akan menambahkan lagi kesangsian antara Turki, Greece dan Rusia.

Dan mungkin itu juga adalah strategi Erdogan yang suka "mengusik" negara-negara jiran untuk mencapai tujuan dan matlamatnya.

Pembatalan Mahkamah

Berikut terjemahan ringkas penghakiman Mahkamah Turki:

"Mahkamah membatalkan keputusan Majlis Menteri bertarikh 24 November 1934 mengenai penukaran Hagia Sophia daripada sebuah masjid ke sebuah muzium. Keputusan beralasan mengenai Hagia Sophia juga diumumkan.

Menurut maklumat wartawan CNN TURK Serhat Dal, mahkamah menyatakan bahawa tidak boleh dihalang untuk digunakan oleh masyarakat dalam keputusan yang berhujah bahawa Hagia Sophia dimiliki oleh Yayasan Fatih Sultan Mehmet Khan dan dipersembahkan kepada masyarakat sebagai masjid.

Penghakiman itu juga dinyatakan bahawa Hagia Sophia, "Tidak boleh digunakan secara sah kecuali untuk sifat masjid dalam akta yayasan dan tidak mungkin untuk menghalalkannya untuk tujuan lain. Harta tanah tak alih yang telah dilindungi sejak zaman kuno tidak dapat dicegah dari digunakan oleh masyarakat di mana hak-haknya dibiarkan digunakan."

Pencetus utama langkah ini tentulah Presiden Turki hari ini, iaitu Recep Taayyip Erdogan yang menyifatkan tindakan mengubah Hagia Sophia (atau Ayasofya dalam sebutan Turki) kepada sebuah muzium merupakan satu 'kesilapan besar'.

Menurut Erdogan, sudah tiba masanya binaan yang menjadi mercu tanda Istanbul itu diubah semula menjadi sebuah masjid.

"Hagia Sophia tidak akan dijadikan muzium. Status itu akan ditukar dan kita akan mula mengenalinya sebagai Masjid Hagia Sophia. Sesiapa yang datang ke Hagia Sophia akan menziarahinya sebagai sebuah masjid," katanya pada tahun 2019 yang lalu.

Hagia Sophia ditukar menjadi masjid pada 1453 dan berfungsi kira-kira 500 tahun sebagai tempat ibadat Islam, menjadi model kepada masjid lain di kota itu antaranya Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Kebanggaan Kristian Ortodoks dengan kemegahan gereja itu berakhir dengan kejatuhan Constantinople ke tangan Empayar Uthmaniyyah apabila Sultan Mehmed II, menguasai tempat itu yang kemudian dinamakan Istanbul pada 1453.

Baginda mengetuai solat Jumaat di situ dan mengarahkan bangunan itu diubah suai menjadi masjid.

Arkitek terkenal, Mimar Sinan diberi tanggungjawab memulihara bangunan itu, yang kemudiannya mereka bentuk dan memasang menara lambang masjid di luar selain mihrab dan mimbar di dalam.

Hagia Sophia kekal sebagai masjid hingga 1935 apabila fungsinya ditukar muzium oleh Pengasas Turki Moden dan presiden pertama negara itu Mustafa Kamal Ataturk, pemerintah Republik Turki (1923-1938).

Selepas Empayar Uthmaniah tumbang, negara moden dan Sekular Turki ditubuhkan sekali gus menyaksikan masjid itu dijadikan muzium pada 1935.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Masjid Hagia Sophia Kembali Selepas 86 Tahun Di Jadikan Muzium, Fakta Disebalik Konflik Antara Agama"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info