Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Ratu Balqis: Permaisuri Agung Tamadun Saba

Keinginan Nabi Sulaiman a.s untuk mengetahui siapakah pemilik takhta Kerajaan Saba bermula setelah burung Hud-Hud menyampaikan laporannya berkaitan tentang wujudnya sebuah kerajaan yang besar, makmur dan dilimpahi dengan kekayaan tetapi sayangnya, pemimpin kerajaan tersebut beserta rakyatnya menyembah matahari.

Kerajaan Ratu Balqis
Gambar hiasan.

Lalu, Nabi Sulaiman a.s mengutuskan burung Hud-Hud untuk menyampaikan surat baginda kepada pemimpin Kerajaan Saba yang dimana di dalam surat tersebut terkandung tentang tawaran dari Nabi Sulaiman a.s untuk mengajak Permaisuri Balqis beserta seluruh rakyatnya menyembah Allah swt.

Kisah ini berlangsung dengan menariknya dan diceritakan bagaimana gambaran keadaan pada masa itu sehinggalah Permaisuri Balqis bersetuju dan yakin untuk menganut agama yang dibawa oleh Nabi Sulaiman a.s, setelah baginda Permaisuri Balqis menyaksikan pelbagai mukjizat dari Nabi Sulaiman a.s atas kurniaan Allah swt.

Daripada kisah yang boleh diambil daripada firmanNya ini, manusia sudah mengetahui tentang kewujudan sebuah kerajaan besar yang bernama Saba dan diperintah oleh seorang permaisuri, berhubung dengan kerajaan paling besar di bumi pada waktu itu, iaitu kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Ada banyak kisah yang mengangkat Permaisuri Balqis sebagai pemimpin yang berpengaruh sehinggakan kisah-kisah ini lahir dalam pelbagai versi seiring dengan perubahan zaman.

Ada sebuah versi yang mengisahkan bahawasanya Permaisuri Balqis merupakan seorang wanita yang cerdik, cantik, dan memiliki jiwa pemimpin. Ada riwayat yang mengatakan, setelah kemangkatan ayahnya, Kerajaan Saba dipimpin oleh seorang lelaki yang kejam.

Namun, setelah beberapa tempoh waktu, kepemimpinannya mendatangkan kemerosotan dan kerosakan terhadap negara. Permaisuri Balqis pun turun tangan dan mengambil alih kembali takhta Kerajaan Saba.

Versi lain pula mengisahkan, Balqis adalah putri Sayarahil bin Dzijadan bin Assirah bin al Haryts bin Qais bin Shaifi bin Saba bin Yasyjab bin Ya’rab bin Qahtan. Ayahanda Balqis merupakan raja yang berpengaruh dan baginda tidak berkeinginan berkahwin dengan wanita kelahiran tanah Yaman.

Maka, ayahandanya mengambil keputusan untuk menikah dengan perempuan dari bangsa Jin yang bernama Raihanah as-Sakan dan hasil dari perkahwinan itu, mereka melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Talaqam atau yang dikenali sebagai Balqis.

(Sumber ini merupakan sebuah sumber sekunder yang hanya diambil daripada mitos klasik bangsa kuno Arab dan Yahudi).

Daripada dua versi ini, kita akan melihat perbezaan, iaitu diantara fakta yang boleh diterima akal ataupun fakta yang luarbiasa penceritaannya.

Jadi daripada pelbagai versi berkenaan Permaisuri Balqis yang tersebar di serata dunia tanpa henti adalah lebih baik kita cuba mengkaji dan mengenali siapakah nama sebenar Permaisuri Balqis di dalam dunia sejarah mengikut kajian para ahli ilmuwan di seluruh dunia menurut kronologi sejarah yang didapati daripada kitab al-Quran mahupun kitab Perjanjian Baru/New Testament (Bible).

SIAPAKAH PEMILIK GELARAN PERMAISURI BALQIS DARI SABA?

Kemasyhuran Permaisuri Balqis tersebar di seluruh dunia sehinggakan kisah baginda ini diaplikasikan di dalam ajaran kuno Kabbala dan ajaran mistik Kristian. Walaupun mempunyai pelbagai bentuk versi yang adakalanya dipercayai atau diragui kebenarannya, tetapi kisah asli berkaitan Permaisuri Balqis boleh dikenalpasti secara berfakta dari tiga sumber utama iaitu:

1. Kitab suci agama Islam, al-Quran.
2. Kitab suci agama Kristian, Bible.
3. Kitab suci bangsa Ethopia, Kebra Nagast (The Glory of Kings).

Daripada ketiga sumber ini, kisah Permaisuri Balqis mempunyai tiga versi dan lain jalan penceritaannya. Bagaimanakah sosok bentuk Permaisuri Balqis di dalam setiap kitab-kitab ini?

Sumber al-Quran sudah diceritakan sebelum ini bagaimana seorang sosok permaisuri dari tanah Ma’rib (Yaman) yang datang ke kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Daripada hasil pertemuan tersebut, Permaisuri Balqis memutuskan untuk memeluk agama Islam lantas meninggalkan ajaran sembahan matahari.

Hasil dakwah Nabi Sulaiman a.s dibawa oleh Permaisuri Balqis ke kerajaan Saba dan ajakan baginda Permaisuri Balqis menyeru rakyatnya memeluk agama Islam diterima tanpa bantahan. Ini menjadikan kerajaan Saba mengesakan Allah SWT selama beberapa tempoh waktu yang lama sebelum kerajaan Saba kembali menyekutukan-Nya kembali.

Begitu juga dari sumber Perjanjian Baru (Bible) yang menceritakan kisah yang sama seperti yang tercatat melalui firman Allah swt di dalam kitab al-Quran berkaitan Permaisuri Balqis atau Queen of Sheba, Balkis.

Tetapi daripada kedua sumber utama ini hanya meriwayatkan perjalanan sebuah pertemuan diantara Nabi Sulaiman a.s dengan Permaisuri Balqis menerima agama Islam.

Lain pula kisah yang didapati dari kitab Kebra Negast iaitu sebuah kitab kuno suci bangsa Ethopia yang disiapkan daripada hasil gabungan kisah yang didapati dari bangsa Arab dan bangsa Yahudi pada abad ke-14 Masihi.

Dalam kitab ini, Permaisuri Balqis dikenali sebagai Permaisuri Makeda yang berbangsa Ethiopia pernah datang menemui Raja Solomon (Nabi Sulaiman a.s).

Dalam pertemuan ini, Raja Solomon terpikat dengan kecantikan dan kecerdasan Permaisuri Makeda lantas baginda ingin menjadikannya sebagai seorang isteri. Raja Solomon mendapat idea untuk menjadikannya isteri dengan jalan yang halus iaitu dengan mengikat perjanjian.

Apakah perjanjian itu?

Jikalau Permaisuri Makeda menyentuh atau mengambil barang milik Raja Solomon di dalam istana tanpa izin maka Permaisuri Makeda wajib menerima Raja Solomon sebagai suaminya yang sah tanpa bantahan.

Perjanjian yang dipersetujui oleh Permaisuri Makeda ini akhirnya memakan dirinya sendiri. Permaisuri Makeda melanggar sebuah perjanjian ini dengan meneguk air minuman yang ditemui didalam istana Raja Solomon setelah baginda Permaisuri Makeda dihidangkan dengan pelbagai makanan yang membuatkannya haus iaitu makanan yang mengandungi lada hitam dan cuka.

Permaisuri Makeda pun berkahwin dengan Raja Solomon dan baginda tinggal bersama Raja Solomon selama beberapa bulan sebelum kembali ke kerajaannya di Tigray.

Setelah Permaisuri Makeda bermukim kembali di singgahsana kerajaannya di Tigray, maka baginda hamil anak dari hasil hubungannya dengan Raja Solomon. Anak pertama Permaisuri Makeda ini pun lahir dan diberikan nama Ebna Hakim atau Menelik I.

Permaisuri Makeda pun menghantar rombongan yang membawa anaknya, Ebna Hakim ke Jerusalem untuk bertemu dengan ayah kandungnya, Raja Solomon.

Raja Solomon ingin Ebna Hakim menetap di Jerusalem untuk mewarisi kekuasaan baginda tetapi Ebna Hakim lebih memilih untuk pulang ke Ethiopia dan menjadi raja di sana. Raja Solomon terpaksa akur dengan permintaan Ebna Hakim dan baginda mengizinkannya.

Raja Solomon menghadiahkan Tabut atau ‘Ark of Covenant’ kepada Ebna Hakim untuk dibawa pulang ke Ethiopia. Di dalam Tabut ini berisi dengan ’10 Perintah Tuhan’ atau ‘Ten Commandments’ yang diberikan Tuhan kepada Moses (Nabi Musa a.s).

Ada versi lain yang menyatakan bahawasanya rombongan Ebna Hakim ini mencuri Tabut ini lalu membawanya pulang ke Ethiopia. Tabut asli ini sekarang dipercayai diletakkan di sebuah gereja yang bernama ‘Saint Mary of Zion’ di daerah Aksum, utara Ethiopia.

Setelah kewafatan Permaisuri Makeda pada abad ke-10 SM, maka Ebna Hakim menaiki takhta kerajaan dengan menyandang nama sebagai Raja Menelik I merangkap pengasas Dinasti Solomon.

Kisah Dinasti Solomon yang diasaskan oleh Raja Menelik I ini boleh didapati di dalam buku Kabre Nagest. Walaupun buku ini dianggap sebagai kitab mitos semata-mata, tetapi bagi masyarakat Ethiopia menganggap ianya sebagai sebuah kitab asli tanpa mitos dan kitab ini juga disokong keasliannya oleh pihak gereja ‘Ethiopian Orthordox Tewahido’.

Kenapa kitab Nabre Nagest dianggap sebagai rekaan atau mitos?

Benarkah Raja Solomon melakukan hubungan seksual dengan Permaisuri Balqis atau Permaisuri Makeda lalu mendapat anak daripada hasil hubungan tersebut? Lalu anak tersebut membesar dan dijadikan raja Dinasti Solomon setelah kewafatan Permaisuri Balqis?

Benarkah Tabut asli tersebut masih berada di gereja tersebut? Jika ianya Tabut yang asli, mengapa pihak gereja masih menyembunyikan Tabut yang berisi 10 Perintah Tuhan itu?

Kesemua persoalan ini masih kekal misteri dan masih dikaji sehingga kini betapa tepatnya kisah dari Kabre Nagest tersebut ataupun ianya hanya rekaan semata-mata dari pihak agamawan tertentu pada zaman tersebut.

DI MANAKAH LOKASI TERLETAKNYA KERAJAAN SABA?

Negara Saba

Kerajaan Saba atau namanya dalam kitab Perjanjian Baru, Sheba, merupakan salah sebuah kerajaan kuno yang terletak di barat daya tanah Arab iaitu lebih tepat di wilayah Ma’rib yang dimana ianya sekarang dikenali sebagai Sanaa’ terletak di dalam negara moden Yaman.

Para sejarawan juga mencatat bahwa nama asli dari Saba’ adalah Abdu as-Syams.

Kerajaan Saba bukan sebuah kerajaan yang kecil dan lemah, tetapi kerajaannya merupakan salah sebuah kerajaan yang berdaulat dan menguasai jalur perdagangan di Laut Merah.

Kerajaan yang mempunyai dua buah kota besar, Ma’rib dan Sirwah, selalu aktif dengan pelbagai aktiviti perdagangan rempah-ratus dan hasil jualan tanaman yang subur seterusnya menjadikan kerajaan ini sebagai negara yang kaya-raya sehinggakan kerajaan Hadralmaut dan kerajaan Qataban tunduk untuk bersekutu di bawah panji daulah Saba.

Lokasi kerajaan Saba juga masih dikaji sehingga sekarang. Seorang sejawaran Yahudi, Flavius Josephus, menyatakan yang kerajaan ini terletak di sekitar bumi Mesir ataupun Ethiopia.

Lain pula bagi sejawaran Muslim yang beranggapan bahawasanya kerajaan ini terletak di daerah sekitar negara Yaman.

Bagi Karl Mauch, ahli geologi Jerman menyatakan yang kerajaan ‘The Great Zimbabwe’ pada zaman dahulu merupakan salah satu tapak kerajaan Saba pimpinan Permaisuri Balqis.

Teori-teori lain terus menyusul dengan mengatakan yang tapak runtuhan peradaban di Napata dan Meroe (Sudan) merupakan tapak kerajaan Saba.

Melalui pelbagai teori ini, para ahli sejarawan tidak dapat menyatakan bukti yang konkrit untuk memastikan tapak-tapak runtuhan peradaban ini milik Permaisuri Balqis.

Tetapi, daripada kesemua teori terbabit, hanya satu lokasi sahaja yang diyakini tapak kerajaan Saba iaitu di sekitar kawasan Eritrea, Ethiopia and Yaman.

Lokasi berdirinya kerajaan ini masih dipalit dengan bermacam kontroversi diantara para ahli sejarawan sehinggakan Bill Glanzman, seorang pakar arkeologi dari Universiti Calgary menyatakan sumber yang sedikit untuk mengetahui pemilik nama Permaisuri Balqis menyulitkan ahli sejarawan menentukan di lokasi yang tepat kerajaan Saba.

APAKAH KEGIATAN UTAMA MASYARAKAT NEGARA SABA?

Jantung utama kemajuan dan kehebatan kerajaan Saba terletak pada kekebalan Empangan Ma’rib, iaitu sebuah empangan yang besar yang dibina diantara daerah Ma’rib dan Himyar.

Dengan terbinanya sebuah empangan yang besar, maka masyarakat Saba mengambil peluang bercucuk tanam di sekitar kawasan terbabit dan sekaligus pekerjaan bertani menjadi sumber pendapatan utama rakyat dan negara.

Tanaman rempah yang paling mendapat permintaan tinggi adalah jenis Myrrh dan Olibanum.

Bukan itu sahaja, bahkan kerajaan Saba mempertingkatkan pembangunan dengan membina istana dan pelbagai infrastruktur lainnya sehinggakan kerajaan Saba berdiri kukuh menandingi kemajuan peradaban lain di dalam dunia pada ketika itu. (Baca mengenai Empayar Marib)

APAKAH AGAMA ANUTAN MASYARAKAT SABA SEBELUM PERMAISURI BALQIS MEMELUK AGAMA ISLAM?

Pengajian sejarah tentang peradaban Selatan Arab bermula apabila sebuah rombongan ahli arkeologi dari ‘Academie des Inscriptions et Belles-Lettres of Paris’ yang diketuai oleh Joseph Halévy menemui tapak-tapak baharu di sekitar runtuhan peradaban kerajaan Saba dan menghasilkan sebanyak 686 inskripsi yang mengaitkan tentang penemuan mereka.

Lalu tahun berikutnya, sebuah ekspedisi dari Perancis yang dianggotai oleh Joseph Arnaud, tiba di Sana’a pada bulan Julai tahun 1843 M dan menziarahi tapak runtuhan empangan Ma’rib, kuil sembahan Ilmaqah dan tapak runtuhan kota Sirwah. Daripada hasil ini, beliau menghasilkan catatan sebanyak 56 inskripsi.

Pada tahun 1927-1928, seorang pengembara, Carl Rathjens dan seorang ahli geografi, Hermann von Wissmann menemui sebuah runtuhan kuil yang kecil di al-Huqqa, 23 km dari daerah Sana’a.

Ilmaqah merupakan dewa sembahan masyarakat kuno Saba dan dipastikan bahawasanya Ilmaqah merupakan dewa yang disembah oleh Permaisuri Balqis sebelum baginda memeluk agama Islam.

Agama ini dikenali sebagai agama Semitik yang menyembah Matahari-Bulan-Venus. Ditlef Nielsen, yang mengeluarkan tesis berkaitan kepercayaan kepada Matahari-Bulan-Venus menyatakan di dalam hipotesisnya iaitu:

1. Agama Matahari-Bulan-Venus merupakan agama pagan pertama masyarakat Arab kuno.

2. Matahari melambangkan sebagai dewa, bulan melambangkan sebagai dewi lalu Venus melambangkan sebagai anak daripada dewa dan dewi ini.

3. Setelah masyarakat pada zaman tersebut aktif dengan pelbagai kegiatan pertanian, maka matahari merupakan sumber utama kesuburan untuk tanaman mereka. Jadi, mereka memilih untuk menyembah matahari lalu meninggalkan sembahan pada bulan dan Venus.

Banyak Tuhan

Walaupun panggilan nama dewa sembahan masyarakat Saba banyak pada masa itu dengan pelbagai gelaran seperti ‘Athtar’, ‘Ilumquh’, ‘Shams’, ‘Hawbas’, ‘Dhāt Himyān’, ‘Dhāt Baʿdān’, ‘Dhāt Baʿdānum’, ‘Dhāt Zahrān’ dan Ilmaqah, sudah diketahui umum bahawasanya sembahan mereka adalah untuk dewa matahari sebagaimana dikisahkan di dalam al-Quran.

Seorang penulis Islam dari Iraq, Mahmud al-Alusi menulis berkenaan Kerajaan Saba di dalam kitabnya, Bulugh al-‘Arab fi Ahwal al-‘Arab, Vol.2, mukasurat 70, yang masyarakat Saba mengamalkan ajaran agama Islam (zaman ini dikenali sebagai Zaman Pra-Islam) seperti menunaikan haji dan umrah di Baitullah, mandi wajib setelah melakukan hubungan seksual, mengetip kuku dan lelaki diwajibkan bersunat. Kesemua amalan ini seiring dengan ajaran Nabi Ibrahim a.s sepertimana yang diturunkan kepada Nabi Sulaiman a.s.

Ya, begitulah serba sedikit berkaitan Permaisuri Balqis ataupun di dalam legenda masyarakat Ehtiopia baginda dikenali sebagai Permaisuri Makeda yang dipercayai oleh ahli sejarawan yang masyarakat Saba bersama pemimpinnya menyembah dewa matahari Ilmaqah lalu mereka bersama-sama memeluk agama samawi (Islam) melalui dakwah Raja Nabi Sulaiman a.s seperti yang dikisahkan di dalam kitab suci agama Islam, al-Quran dan kitab suci agama Kristian, Bible.

Kami memohon maaf sekiranya maklumat berkaitan Permaisuri Balqis kurang memuaskan disebabkan kajian tentang permaisuri ini masih diperdebatkan tentang asal-usulnya, susur galurnya, tempat pemerintahannnya, apa yang berlaku padanya setelah menemui Nabi Sulaiman a.s, dan sebagainya.

Semoga dengan penerangan pendek daripada saya ini dapat membakar semangat para penuntut ilmu yang lain untuk menyelidiki dan menkaji siapakah sebenarnya Permaisuri Baqlis dan membungkam mitos yang disangka fakta oleh masyarakat Ethiopia di dalam kitab Kebra Nagest.

Wallahu’alam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
1 Komentar untuk "Ratu Balqis: Permaisuri Agung Tamadun Saba"

Numpang promo ya Admin^^
ajoqq^^com
mau dapat penghasil4n dengan cara lebih mudah....
mari segera bergabung dengan kami.....
di ajopk.club....^_~
segera di add Whatshapp : +855969190856

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info