Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Misteri Harta Karun Jeneral Yamashita

Dikatakan, banyak usaha-usaha pihak perseorangan mahupun organisasi berusaha mencari harta karun Yamashita ini, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara lain di Asia Tenggara namun, menurut pakar sejarah, dipercayai bahawa harta-harta karun tersebut sebenarnya tidak dapat ditemui lagi di Malaysia.

Harta Karun Jeneral Yamashita
Gambar hiasan.

Ini kerana, ketika tentera Jepun menyerang Tanah Melayu melalui Utara Semenanjung, mereka merampas dan menghimpunkan kesemua emas-emas itu dan terus dibawa ke Filipina melalui jalan laut.

Mereka mengumpulkan kesemua emas-emas dan terus dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa keluar dari Tanah Melayu.

Jadi, tidak ada yang disorokkan di Tanah Melayu mahupun Singapura ketika itu. Ini adalah satu pendapat, katanya.

Menurut pakar lagi, kebanyakan emas serta barang berharga yang dirampas adalah milik penduduk Tanah Melayu dan diambil dari bank-bank, kedai pajak gadai, kedai emas dan sebagainya.

Sebahagian besar emas yang dirampas oleh tentera Jepun adalah dari Myanmar, merupakan emas yang berbentuk patung Buddha dicuri dari kuil-kuil yang banyak terdapat di negara itu, termasuk batu permata, berlian serta barangan berharga lain yang dijarah dari Korea dan China.

Thailand juga menjadi sasaran tentera Jepun, namun disebabkan Jepun terikat dengan perjanjian bersama negara Gajah Putih itu, maka tidak banyak emas yang diambil dalam perjalanan mereka menyerang Tanah Melayu dan Singapura.

Banyak juga emas yang dicuri dari Sumatera dan Jawa, kemudian dileburkan menjadi jongkong sebelum dibawa ke Filipina.

Ditanya mengapa Filipina, kerana ia dianggap sebagai lokasi paling dekat dengan Jepun yang sekali gus menjadikan negara itu sebagai pusat pemerintahan dan operasi penting ketika itu.

Terdapat juga syarikat-syarikat Jepun yang bertapak di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua menjalankan aktiviti perlombongan tetapi bukan melombong emas.

Pihak Jepun tahu mengenai hasil bumi Tanah Melayu yang kaya dengan emas, tetapi mereka tidak menyasarkan kepada emas yang mudah dirampas.

Selain itu, tiada lombong emas yang dibuka oleh syarikat Jepun ketika itu, tetapi mungkin hasil bijih lain seperti timah dan besi yang lebih banyak.

Emas Yamashita

Menyentuh mengenai konspirasi emas Yamashita, pemburuan harta karun ini mula dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat (AS) yang sedar mengenai lokasinya di Filipina.

Selepas perang tamat, pihak CIA mula merancang agenda untuk mengaut emas yang dikatakan ditanam di bawah kubu bawah tanah di beberapa lokasi di Filipina.

Situasi menjadi lebih kompleks dengan komplot dan agenda rahsia untuk mendapatkan emas tersebut kerana menyedari nilainya yang teramat tinggi dan mampu membiayai sebuah kerajaan seperti AS yang mempunyai pelbagai perancangan untuk menguasai dunia.

AS melalui CIA menjadikan Filipina sebagai gerakan utama mereka selepas perang yang agak aktif dan hasilnya, wujud dakwaan yang mengatakan emas Yamashita telah diambil oleh AS sebaik Yamashita dihukum gantung selepas perbicaraan oleh AS di Filipina.

Terdapat dakwaan mengatakan AS membiayai perang dingin antara negara itu dengan Rusia menggunakan emas Yamashita ini malah, AS juga dikatakan membiayai Jepun menggunakan harta itu untuk mengekang penyebaran fahaman komunis di Asia.

Pada 1970-an, muncul seorang warganegara Filipina, Rogelio Roxas yang mendakwa menjumpai kubu simpanan harta karun yang turut mengandungi patung-patung Buddha emas padu.

Namun, penemuan itu menyebabkan wujudnya konflik apabila Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mendakwa harta itu merupakan milik negara dan merampas emas hasil penemuan Roxas itu.

Wujud juga dakwaan mengatakan Marcos yang turut mendapat sokongan AS, hidup mewah dari kekayaan hasil emas Yamashita yang tertanam di Filipina.

Pada tahun 1992, Imelda Marcos mengakui bahawa kekayaan suaminya dan dia adalah hasil dari emas Yamashita yang dianggarkan bernilai hampir 1 trilion Dollar AS.

YAMASHITA LETUP TEROWONG EMAS

Beberapa bulan sebelum Perang Dunia Kedua tamat di Filipina, beberapa pegawai tertinggi tentera Jepun sempat menyembunyikan bertan-tan ketulan emas dan harta karun lain di gua dan terowong-terowong rahsia dengan harapan mereka akan kembali untuk mengambilnya kemudian.

Kesemua harta itu adalah sebahagian daripada khazanah kekayaan yang dirampas dari 12 buah negara Asia termasuk di Tanah Melayu ketika pendudukan tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua.

Menurut pengkaji sejarah Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji mengenai harta karun Yamashita, Sterling Seagrave, ketika pasukan tentera Jepun menyerang negara-negara di Asia Tenggara, mereka membawa bersama pasukan khas bagi mencuri, menjarah dan merampas segala barang dan harta bernilai di bank-bank, kilang, rumah, kedai emas, galeri selain merampas milikan orang awam.

Seagrave dalam satu wawancara bersama akhbar South China Morning Post berkata, sebelum pihak Jepun menyerah kalah, Yamashita dan beberapa putera raja mengadakan majlis perpisahan disertai jurutera-juruteranya di dalam terowong bawah tanah sedalam 67 meter di kawasan pergunungan Luzon di Filipina yang dipenuhi dengan ketulan-ketulan emas yang merupakan harta rampasan perang.

Semasa kesemua jurutera itu mabuk dan leka, Yamashita dan putera raja terlibat menyelinap keluar dan memasang bahan letupan dinamit kemudian meletupkan pintu masuk terowong berkenaan, sekali gus menguburkan jurutera-jurutera itu.

Pegawai tertinggi berkenaan melarikan diri ke Tokyo sementara Yamashita pula menyerah kalah kepada Jeneral Douglas MacArthur tiga bulan kemudian dan sejak itu, kisah emas Yamashita menjadi perbualan hangat pelbagai pihak.

Seagrave turut mengakui pernah berjumpa dengan saksi semasa Yamashita meletupkan terowong bawah tanah pada malam tersebut.

Ben Valmores yang bertugas sebagai pembantu salah seorang putera raja itu dibenarkan keluar dari terowong tersebut sebelum ia diletupkan.

Valmores yang diarahkan menutup semua jalan keluar terowong-terowong Jepun di Filipina memberitahu Seagrave bahawa dia melihat sendiri emas-emas tersebut sebelum ia ditimbus di bawah tanah.

Seagrave kemudian mendakwa sumber kajiannya di Jepun memaklumkan kepadanya bahawa Valmores pernah berkhidmat dengan Putera Takeda Tsuneyoshi, cucu Maharaja Meiji.

Menurut sejarah, Jepun melancarkan kempen perangnya termasuk rancangan membawa pulang segala harta-harta bernilai yang dirampas di setiap negara yang diserang mereka.

Operasi Golden Lily

Melalui perancangan itu, Putera Chichibu telah diarahkan mengawal selia operasi di bawah organisasi dinamakan Kin No Yuri atau lebih popular dengan panggilan Operasi Golden Lily.

Sementara putera raja yang lain pula ditugaskan menyelia Operasi Golden Lily di kawasan-kawasan lain yang ditakluki Jepun ketika itu.

Seagrave berkata, pada 1998, dia pernah menguji Valmores dengan menunjukkan gambar lama kesemua putera-putera raja berkenaan yang diambil pada 1930, dan ternyata beliau masih mengingati Putera Takeda.

Katanya, dia pernah meluangkan masa dengan kesemua putera raja itu menghidangkan makanan dan teh ketika mereka sedang menyemak fail-fail kawasan simpanan harta-harta yang dirampas.

Adakah kenyataan Seagrave itu dapat memberi sedikit sebanyak jawapan kepada misteri emas Yamashita ini?

Walau pelbagai teori, bukti serta kenyataan demi kenyataan timbul, emas Yamashita terus kekal menjadi misteri yang tidak pernah dapat diselesaikan.

Kenapa? Kerana pelbagai pihak hadir dengan agenda dan kepentingan tersendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2



Banyak lagi menarik FB kami

http://bit.ly/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Misteri Harta Karun Jeneral Yamashita"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info