Sembang Maniac

Sembang-sembang je

12 Aplikasi Buat Duit Yang Benar-benar Membayar Anda Wang

Menurut laporan, daripada 30 juta penduduk di Malaysia, seramai 20 juta orang adalah pengguna aktif menggunakan media sosial melalui telefon mudah alih mereka, hampir 65 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.

Aplikasi-buat-duit

Secara puratanya, rakyat Malaysia melayari Internet melalui komputer peribadi atau tablet selama 8 jam 31 minit sehari, manakala jumlah masa purata yang dihabiskan bagi melayari Internet melalui telefon mudah alih pula adalah 3 jam 43 minit sehari.

Tidak cukup dengan itu, satu laporan oleh TechCrunch menunjukkan masyarakat dunia secara puratanya menggunakan sebanyak 30 aplikasi telefon pintar dalam sebulan.

Jika penggunaan sebegitu banyak aplikasi dan masa yang dihabiskan, mengapa anda tidak mengambil peluang untuk menjana pendapatan tambahan?

Jangan risau, di sini kami bukan mahu usulkan anda menjual barang di Facebook ataupun mengikuti skim 'multi-level' di internet.

Sebaliknya, semua aplikasi telefon pintar ini menawarkan wang kepada anda dengan cara melengkapkan kaji selidik, menonton video, berkongsi gambar, melakukan pekerjaan mudah dan lain-lain lagi.

Malah, aplikasi yang boleh didapati di iTunes dan Google Play Store ini telah mendapat liputan secara meluas di media barat seperti Forbes, New York Times, Good Morning America, CNBC, TechCrunch, CBS This Morning, Huffington Post dan lain-lain lagi.

1. ShopBack: DAPAT BALIK DUIT SETIAP KALI MEMBELI BELAH

ShopBack adalah salah satu syarikat yang memulangkan semula sehingga 30 peratus wang apabila anda membuat sebarang pembelian atas talian dengan mana-mana syarikat yang berdaftar dengan mereka.

Anda boleh membeli tiket penerbangan, menempah bilik hotel, membeli pakaian ataupun buku, merancang perjalanan, membeli makanan dan bermacam-macam lagi kerana terdapat lebih 500 gedung dan servis atas talian yang berdaftar dengan mereka.

Antaranya ialah Lazada, Zalora, eBay, Amazon, Taobao, Agoda, Booking.com, Expedia, Malaysia Airlines, AirAsia, Qatar Airways, Singapore Airlines, Foodpanda, Samsung, Grab, Nike, Kinokuniya dan lain-lain lagi malah, senarai syarikat ini bertambah saban hari.

Bagaimana pula mereka mampu memulangkan kembali sebahagian daripada wang pembelian anda?

Sebenarnya, syarikat yang terbabit dalam aktiviti urusniaga tersebut memberi komisen kepada ShopBack kerana telah membawa anda ke laman sesawang mereka untuk melakukan pembelian.

Sebahagian daripada komisen inilah yang digunakan oleh ShopBack untuk diberikan kepada anda!

Anda juga akan memperolehi wang percuma sekiranya berjaya merujuk rakan untuk menggunakan ShopBack.

Wang akan dibayar kepada selepas sejumlah nilai pembelian yang ditetapkan dilakukan oleh rakan anda itu.

Malah, mereka juga akan menerima wang bonus permulaan kerana mendaftar melalui rujukan anda.

ShopBack boleh dilayari samada melalui komputer peribadi ataupun telefon pintar.

2. MANIS: JANGAN BUANG DULU RESIT ANDA

Seandainya anda bukan seorang yang suka membuat pembelian secara atas talian tetapi sebaliknya gemar pergi sendiri ke tempat yang diingini, anda boleh mencuba aplikasi Manis.

Cara untuk mendapat ganjaran adalah cukup mudah, anda hanya perlu membelanjakan wang di mana-mana syarikat yang terlibat dengan Manis dan kemudian menangkap gambar resit pembelian anda menggunakan telefon mudah alih.

Kemudian, selepas memasukkan maklumat yang diperlukan dan memuat naik gambar resit tadi, anda akan menerima mata ganjaran (RM1 perbelanjaan di resit bersamaan 1 mata).

Mata ganjaran tersebut kemudian boleh ditebus untuk mendapatkan barangan seperti top up prepaid, tiket wayang, baucar membeli belah dan lain-lain lagi.

Mata ganjaran juga diperolehi apabila anda berjaya merujuk rakan anda untuk menggunakan aplikasi ini.

Setakat ini, Manis sudah mendapat penarafan 3.8 bintang di Google Play Store dan 2.8 bintang di iTunes.

3. TAPCASH: DAPAT DUIT SAMBIL MENCUBA APLIKASI DAN PERMAINAN

Tap Cash Rewards adalah aplikasi Android yang mempunyai penarafan yang tinggi di Google Play Store iaitu 4.3 bintang.

Anda hanya perlu memuat turun dan menggunakan aplikasi dan permainan mudah alih percuma yang ditawarkan oleh Tap Cash Rewards.

Sesudah itu, anda akan menerima mata ganjaran yang boleh ditebus dalam bentuk wang melalui PayPal ataupun baucar hadiah.

Sekiranya mendaftar sebagai VIP, anda juga akan mendapat mata ganjaran harian apabila login menggunakan aplikasi ini setiap hari.

Ahli VIP memerlukan anda untuk menggunakan akaun Facebook bersama dengan Tap Cash Rewards.

4. LOOT: JANGAN LUPA TANGKAP GAMBAR

Populariti laman sosial seperti Instagram dan hashtag seperti #OOTD membuktikan bahawa masyarakat gemar memuat naik gambar pelbagai barangan dan jenama.

Hanya dengan menggunakan aplikasi Loot anda boleh dapat wang dan ganjaran dalam bentuk yang lain.

Anda perlu menangkap gambar barangan atau jenama terpilih, kemudian memuat naik gambar tersebut di media sosial.

Setelah jumlah ganjaran anda mencapai nilai AS$10, anda boleh menebus keluar wang anda melalui akaun PayPal.

Setakat ini, aplikasi Loot! mendapat penarafan sebanyak 3.5 bintang di Google Play Store.

5. MOOLA: TAMPAL, PANDU DAN DAPAT WANG

Satu kajian yang dijalankan oleh McGill University, Canada, mendapati bahawa memandu kereta merupakan kaedah pengangkutan yang memberikan tahap tekanan yang paling tinggi.

Jadi, apa kata anda kurangkan sedikit tekanan memandu tersebut dengan menjana sedikit wang?

Aplikasi Moola membolehkan anda memilih sesuatu kempen dan selepas itu memasang pelekat berdasarkan kempen tersebut di kereta anda untuk dibawa berjalan.

Bagaimanapun, terdapat proses penilaian dan saringan terlebih dahulu sebelum anda diterima untuk mengambil bahagian dalam kempen tersebut.

Terdapat pelbagai jenis kempen yang ditawarkan oleh Moola dan terdapat di seluruh Malaysia tetapi kebanyakan lebih tertumpu di kawasan Lembah Klang.

Jumlah bayaran adalah berbeza mengikut kempen tetapi secara kebiasaannya, jika anda memandu sejauh 35km sehari (pada waktu siang), anda boleh memperolehi sehingga RM800 sebulan.

6. MatDespatch: DARI JADI MAT REMPIT, BAIK JADI MAT DESPATCH

Anda suka menghabiskan masa anda di jalan raya? Sama ada menunggang motorsikal, memandu kereta mahupun lori, anda boleh memohon untuk menjadi seorang 'despatch' (tukang hantar barang) mengikut kesuaian masa anda melalui aplikasi MatDespatch.

Aplikasi Android ini menawarkan servis penghantaran barang pada hari yang sama di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini penarafan yang diterima di Google Play Store adalah 3.8 bintang.

Jika tempat kerja anda banyak menerima barang penghantaran setiap bulan, ada baiknya menggunakan aplikasi ini untuk menambah pendapatan!

7. MOBROG: BERI PENDAPAT DAN JANA PENDAPATAN

Terdapat pelbagai syarikat dan penyelidik di universiti yang memerlukan pendapat dari orang ramai untuk membangunkan mahupun memperbaiki sesuatu produk ataupun servis.

Anda boleh mendaftarkan diri secara percuma di aplikasi MOBROG (Malaysia) dan mengambil bahagian dalam pelbagai kaji selidik yang ditawarkan.

Secara puratanya, satu kaji selidik membolehkan anda menerima bayaran di antara RM2 dan RM10.

Pembayaran akan dilakukan oleh pihak MOBROG melalui akaun PayPal.

Aplikasi MOBROG (Malaysia) boleh di dapati di kedua-dua iTunes dan Google Play Store.

8. MoneyMachine: MARI MENONTON VIDEO

Satu lagi aplikasi yang hanya memerlukan anda melakukan tugasan yang mudah adalah Money Machine yang terdapat untuk peranti Android.

Melalui aplikasi ini, anda akan memperolehi mata ganjaran setelah menyempurnakan tugasan yang ditawarkan seperti menonton video atau memuat turun aplikasi mudah alih.

Anda juga akan mendapat mata ganjaran seandainya berjaya merujuk rakan anda untuk turut sama menggunakannya.

Mata ganjaran boleh ditebus dalam bentuk wang melalui akaun PayPal anda.

9. GoGet: MARI SAYA TOLONG AWAK

Seandainya anda memerlukan pertolongan untuk tugasan yang agak remeh seperti pergi membeli makanan, beratur untuk mendapatkan tiket, menghantar atau mengambil barangan, membawa binatang peliharaan bersiar-siar, mengemas rumah dan sebagainya, anda boleh menggunakan aplikasi GoGet.

Anda juga boleh menjadi seorang ‘GoGetter’ di mana anda akan dibayar untuk melakukan tugasan seperti yang dinyatakan di atas.

Anda terlebih dahulu perlu menjalani ujian atas talian, hadir pada sesi latihan dan membuat pembayaran pendaftaran sebanyak RM15.

Setelah memilih dan menyelesaikan sesuatu tugasan, anda boleh membuat pilihan menerima bayaran secara tunai ataupun pembayaran akaun bank.

Aplikasi GoGet boleh di dapati di kedua-dua iTunes dan Google Play Store.

10. Pact: MARI KITA AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

Seandainya anda memerlukan motivasi untuk menjadi seorang yang sihat dan cergas, anda boleh mencuba aplikasi Pact.

Melalui aplikasi ini, anda boleh membuat pertaruhan untuk mencapai sasaran kesihatan anda, sama ada bersenam ataupun diet makanan yang sihat.

Aktiviti anda akan disahkan oleh aplikasi ini melalui penggunaan GPS, gambar dan pelbagai servis yang lain.

Secara puratanya, sekiranya anda berjaya mencapai sasaran kesihatan, anda boleh memperolehi wang di antara AS$0.30 (RM1.27) sehingga AS$5 (RM21.10) seminggu.

Tetapi awas, sekiranya gagal mencapai sasaran, anda pula yang perlu membuat pembayaran! Kedua-dua senario tersebut pastinya memberikan anda motivasi, bukan?

11. CashMe

CashMe adalah aplikasi android dan iTunes yang memberikan mata ganjaran setiap kali kita menggunakan aplikasi ini dan sebarang promosi dalam aplikasi tersebut.

Mata yang terkumpul kemudiannya boleh ditukarkan kepada tunai (melalui Paypal) atau kita boleh tebus sebagai giftcard.

Semasa pendaftaran, anda dikehendaki membuat pengesahan menggunakan nombor telefon, bertujuan untuk mengesahkan identiti sebagai manusia dan bukannya robot/bot.

12. WowApp

WowApp adalah aplikasi yang menggabungkan beberapa ciri menarik seperti permainan, messenger, video, enjin carian dan lain-lain.

Dengan menggunakan WowApp, anda boleh berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga sama seperti menggunakan WhatsApp tetapi, kelebihan utama WowApp berbanding WhatsApp adalah setiap kali anda menggunakan WowApp untuk berkomunikasi, anda akan diberikan ganjaran dalam bentuk Coins.

Coins yang terkumpul kemudiannya boleh di tukar kepada topup kredit, duit tunai terus ke Paypal atau ke akaun bank anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: rojakdaily



Banyak lagi menarik FB kami

http://bit.ly/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "12 Aplikasi Buat Duit Yang Benar-benar Membayar Anda Wang"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info