Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Pandang Pertama Huawei Nova – Nexus 6P Mini?

Huawei NOva_001Huawei Nova ialah salah sebuah dari dua telefon pintar di dalam keluarga terkini peranti keluaran Huawei. Melalui Nova, mereka ingin menghasilkan peranti kelas pertengahan dengan kemasan serta rekaan premium. Sebelum ini peranti kelas pertengahan sering dianaktirikan dengan rekaan plastik yang kurang menarik.Jadi adalah percubaan mereka berjaya?

Spesifikasi

Huawei Nova
Skrin 5.0″ IPS LCD 1080P (423 ppi)
Pemproses Snapdragon 625
Cip Grafik Adreno 506
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 12 Megapixel f/2.2, PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel
Kalis Air Tidak
Bateri 3020 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1/2/3/4/5/7/8/12/17/20
NFC Tiada
Infra Merah Tiada

Dengan skrin 5.0″, Nova ialah sebuah peranti yang kecil. Kekecilan peranti semakin terasa kerana rekaan bezel yang amat nipis dan nisbah skrin kepada panel hadapan yang amat tinggi. Skrin IPS LCD dengan resolusi HD penuh digunakan dengan kepadatan pixel 441 pixel.

Pemproses kelas pertengahan Snapdragon 625 memperkasakan peranti cili pada ini. Ini ialah pemproses yang sama seperti yang digunakan pada Zenfone 3 dan Moto Z Play. Ini dipadankan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Kepada yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte disokong.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama 12 Megapixel f/2.2 dengan sistem pemfokusan PDAF. Kamera selfie pula sebesar 8 Megapixel. Kamera utama Nova mampu merakam video pada resolusi 4K.

Bateri sebesar 3020 mAh membekalkan kuasa kepada peranti dan menyokong pengecasan pantas 5V/2A melalui port pengecasan USB-C. Ini bermakna ia mengecas mengikut standard QuickCharge 2.0 Qualcomm. Sedikit aneh kerana Snapdragon 625 menyokong QuickCharge 3.0.

Terdapat sebuah pengimbas cap jari berbentuk bulat pada bahagian belakang peranti. Sistem imbasan cap jari generasi ke-empat digunakan. Ia mengesan tahap kedalaman alur jari pengguna sebelum menyahkunci. Imbasan secara 3D ini menurut Huawei adalah lebih boleh diandalkan bagi memastikan keselamatan maklumat peribadi anda.Kerana ia peranti kelas pertengahan, ia tidak disertakan dengan pemancar infra merah dan juga NFC.

Huawei NOva_002

Rekabentuk

Huawei Nova_004Tidak dapat dinafikan Nova ialah adik kecil kepada Nexus 6P dari segi rekabentuk. Perbezaan ialah saiz peranti yang lebih kecil, spesifikasi lebih rendah serta penggunaan EMUI dan bukannya Android Stock.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam dengan panel belakang melengkung bagi memastikan keselesaan apabila ianya digunakan. Panel kaca pada kamera belakang melengkung mengikut tubuh peranti. Pada model berwarna putih panel kaca berwarna putih digunakan. Pada model lain pula kaca hitam digunakan. Harus diakui model berwarna putih kelihatan agak aneh akibat penggunaan kaca berwarna putih ini.

Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan. Seperti pada P9 Plus, butang kuasa mempunyai kemasan berwarna merah sebagai petanda visual membezakannya dengan butang kawalan suara. Pada sisi kiri pula terdapat slot untuk talam untuk dua SIM bersaiz nano. Ia adalah dari jenis hibrid dan apabila kad MikroSD digunakan, ia akan mengambil satu slot SIM sedia ada.

Pada bahagian atas terdapat bicu audio 3.5 mm dan pada bahagian bawah terdapat slot pengecasan USB-C serta sebuah pembesar suara mono. Kualiti bunyi pembesar suara agak lantang tetapi mula pecah pada tetapan audio lebih tinggi.

Sungguhpun kecil, penggunaan kerangka logam membuatkannya terasa berat di dalam tangan. Kami tidak pasti tentang anda tetapi kami secara peribadi gemarkan peranti yang sedikit berat. Apabila terlalu ringan ia terasa kurang premium dan seakan telefon permainan.

Namun pada waktu yang sama peranti terasa amat kecil kerana saiz tangan kami yang kecil. Sudah bertahun lamanya kami tidak menggunakan peranti dengan saiz skrin yang kecil setiap hari. Akibatnya ia terasa amat canggung. Panel logam belakang juga terasa sedikit licin.

Secara keseluruhan Nova mempunyai kemasan yang baik setanding dengan sebuah peranti utama. Dengan kewujudannya bersama dengan Honor 8, Asus Zenfone 3 dan Moto Z Play, di masa hadapan penggunaan kemasan premium pada peranti kelas pertengahan akan menjadi kebiasaan dan keperluan.

 

Antaramuka

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar EMUI 4.1. Tiada perubahan drastik yang kami sedari pada pelancar yang digunakan pada kesemua peranti Huawei dan Honor tahun ini. Ia masih lagi bukan pelancar yang tercantik di pasaran dan boleh dikatakan sedikit ketinggalan zaman. Tiada elemen Material Design diterapkan dan bagi mereka yang mementingkan estetik, EMUI akan mengecewakan.

Kekurangan rekaan antaramuka sedikit terubat dengan pelbagai fungsi tambahan yang disertakan. Perkara baru yang kami sedari (atau mungkin tidak perasan sebelum ini) ialah fungsi Student Mode. Apakah yang mampu dilakukan dengan mod ini kami terangkan di bawah.

Student Mode – Mengawal tempoh penggunaan peranti oleh kanak-kanak. Pemantauan aplikasi dan laman web yang boleh dilayari juga boleh dilakukan.

App Twin – Menggunakan dua akaun berbeza untuk satu aplikasi. Dua akaun WhatsApp boleh digunakan pada satu peranti.

Knuckle Gesture

  1. Smart Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengetuk skrin sesentuh sebanyak dua kali.
  2. Smart Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan melukis huruf S pada skrin menggunakan buku lima.
  3. Draw – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera.

Themes – Mengubah tema antaramuka peranti mengikut mood.

Navigation Bar – Menyusun kedudukan empat butang navigasi di bahagian bawah skrin.

Huawei NOva_003

Huawei NOva_002Huawei NOva_001

Kesimpulan

Sebuah percubaan menarik untuk mengitar semula rekaan Nexus 6P menjadi sebuah peranti baru. Dari segi rekaan dan kemasan tidak banyak komen negatif boleh kami berikan. Ia memang setanding dengan peranti-peranti utama yang sudahpun wujud di pasaran. Tubuh melengkung serta penggunaan skrin 2.5D membuatnya kelihatan amat seksi. Masalah yang mungkin wujud ialah peranti ini mempunyai tubuh logam dan sedikit licin. Tambahan lagi rekaan Nexus 6P yang dikitar semula mungkin menjadi bahan jenaka. Seperkara lagi versi putih mempunyai panel kaca dengan warna yang kurang menarik pada panel belakang.

Huawei Nova_005

Spesifikasi kelas pertengahan yang digunakan adalah lebih dari memadai untuk kegunaan seharian. Kami sudah mencuba beberapa peranti dengan Snapdragon 625 dan ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada kami. Harga jualannya di Eropah ialah € 399 (1824) adalah kurang kompetitif untuk pasaran Malaysia. Tetapi ini ialah harga semasa bagi peranti kelas pertengahan dengan kemasan mewah. Kami tidak sabar untuk mengulas peranti ini sekiranya ia memasuki pasaran Malaysia kelak



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac

Related Post

0 Komentar untuk "Pandang Pertama Huawei Nova – Nexus 6P Mini?"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By Catatan Info