Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Lazada Kini Berusia 4 Tahun – Lampin Produk Terlaris, Ingin Lebih Memfokuskan Luar Bandar

Nama Lazada kini bukan sesuatu yang asing bagi pengguna internet tempatan yang berjumlah 20 juta orang. Ia telah memulakan operasinya secara rasmi pada bulan Mac 2012 yang lepas, dan kini telah empat tahun ia beroperasi. Lazada masih tidak membuat keuntungan daripada operasi mereka buat masa ini, tetapi ia boleh dikatakan telah memenangi perang arena e-dagang yang memperlihatkan pelbagai nama besar menutup penawaran mereka untuk pasaran tempatan.

Lazada Logo

Lazada Logo

Lazada pada tahun 2016 ini telah berusia empat-tahun, dan menariknya kini pelbagai produk boleh didapati melalui Lazada. Untuk makluman, Lazada merupakan syarikat yang dibangunkan dan menerima pelaburan daripada Rocket Internet. Pada awalnya, ketika ia diperkenalkan pada tahun 2012 yang lepas, ia hanya memfokuskan kepada peralatan elektrik sahaja tetapi kini ia berubah. Apatah lagi, agak mengejutkan kerana pada hari ini, produk yang terlaris pada laman jualan Lazada adalah lampin bayi – yang dikatakan sekitar 5% jualan daripada pasaran. Disamping lampin, antara produk lain yang turut popular pada laman e-dagang tersebut adalah termasuk powerbank, pengisar, bekas makanan dan juga pemacu USB.

Lazada pada tahun 2012 yang lepas telah memulakan operasi dengan penawaran lebih kurang 10,000 produk sahaja, tetapi hari ini, ia menawarkan lebih 5.5 juta produk melaluinya.

Kejayaan ini boleh dikatakan dicapai salah satunya adalah disebabkan oleh pengenalan Lazada Marketplace, membolehkan penjual luar turut menggunakan platform Lazada untuk menawarkan produk mereka.

Lazada Online Revolution

Sejak diperkenalkan, Lazada telah mencuri perhatian ramai pihak – termasuk pelabur. Posisi mereka sebagai laman e-dagang terutama di Malaysia dan juga dirantau Asia Tenggara membolehkan mereka menerima pelaburan ratusan juta, termasuk daripada pihak Tesco.

Wang tersebut juga dibelanjakan dengan baik oleh Lazada, dan akhir-akhir ini mereka dilihat lebih memfokuskan kepada keupayaan logistik – membolehkan pengguna menerima barangan yang ditempah dalam tempoh kurang sehari.

Lazada pada hari ini mempunyai dua gudang utama, iaitu satu di Subang, dan satu lagi di Kuching. Menariknya, Lazada turut sedang bereksperimen dengan penghantar mereka tersendiri, membolehkan barangan dihantar dengan lebih pantas kepada pengguna. Mereka juga mempunyai hari jualan siber mereka yang dinamakan sebagai Lazada Revolution yang sering menawarkan diskaun tinggi untuk produk pada laman jualan mereka.

Lazada e-Sentral

Bergerak ke hadapan, pihak Lazada mengatakan mereka akan terus memfokuskan kepada sokongan logistik mereka, disamping memperluaskan penawaran mereka di kawasan luar bandar. Pengguna di kawasan bandar boleh dikatakan agak mudah untuk mendapatkan sesuatu barangan, tetapi untuk luar bandar, kebiasaannya sesuatu barangan agak sukar untuk didapati. Ini membuka ruangan baru untuk Lazada – apatah lagi dengan kadar penembusan internet yang tinggi di Malaysia.

Lazada sendiri agak aktif dalam pemasaran mereka secara luar-talian, termasuk telah menaja Anugerah Juara Lagu baru-baru ini dengan menawarkan kupon diskaun kepada para penonton. Disamping itu, Lazada juga dilihat telah mula mengikat pelbagai jenama terkemuka dalam menggunakan platform mereka untuk tujuan jualan. Pelbagai jenama menggunakannya, termasuk dalam arena elektronik adalah Microsoft dan juga Huawei.

Disamping Malaysia, Lazada turut mempunyai operasi di beberapa negara lain sekitar Asia Tenggara, termasuk di Filipina, Thailand dan Indonesia.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Lazada Kini Berusia 4 Tahun – Lampin Produk Terlaris, Ingin Lebih Memfokuskan Luar Bandar"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info