Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Permainan Tony Hawk Pro Skater 5 Bermasalah – Patch Pertama Sebesar 7 Gigabyte

Tony Hawk Pro Skater 2 ialah permainan konsol yang sangat popular apabila ia memasuki pasaran pada tahun 2000. Permainan ini menjadi mangkin kepada kegilaan sukan ekstrem di dunia dan Malaysia. Taman papan luncur bertambah di negara kita dan Malaysia menjadi tuan rumah kepada acara Asian X-Games dari tahun 2002-2004. Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Belia Dan Sukan pada waktu tersebut menjanjikan pelbagai insentif untuk memajukan sukan lasak di Malaysia. Kini taman papan luncur menjadi taman lopak air. Papan lungsur digantikan dengan telefon mudah alih. Permainan THPS sendiri dihentikan pengeluarannya sejak 2010 selepas Tony Hawk Ride mendapat sambutan yang amat buruk kerana memerlukan papan lungsur fizikal untuk dimainkan.

Tony-hawk-pro-skater-5-1

Lima tahun sudah berlalu dan Tony Hawk Pro Skater 5 mula dijual sejak semalam. Ramai penggemar sukan lungsur berharap kehadiran semula siri popular ini akan membawa banyak perubahan. Tiada lagi keperluan untuk memiliki papan lungsur fizikal untuk dimainkan dan ia kembali kepada corak permainan klasik. Malang sekali beberapa laporan kini muncul yang menunjukkan permainan ini bermasalah. Terdapat terlalu banyak pepijat yang menyebabkan pemain menembusi objek, watak kawalan tersekat di udara dan sistem kawalan yang tidak responsif. Patch hari pertama yang dikeluarkan Activision juga dilaporkan sebesar 7 Gigabyte. Ini adalah amat besar kerana jika anda memuat turun permainan ini menerusi PlayStation Network ianya sebesar 7.4 Gigabyte. Ini bermakna sekiranya anda membeli permainan edisi fizikal THPS 5, ianya sama seperti anda membeli sebuah cakera kosong kerana perlu memuat turun semula semua permainan dalam bentuk patch.

Sebagai peminat tegar THPS kami kecewa dengan apa yang berlaku. Kualiti grafik permainan ini juga nampak seperti sebuah permainan PS3 yang dihasilkan semula untuk PS4. Apa yang mengejutkan bagi kami ialah permainan ini hampir tidak mempunyai sebarang promosi sebelum mula dijual. Seolah-olah pembangun tahu permainan mereka bermasalah dan tidak sanggup untuk menghabiskan duit untuk mempromosikannya.

 

 



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Permainan Tony Hawk Pro Skater 5 Bermasalah – Patch Pertama Sebesar 7 Gigabyte"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info