Pada acara pengumuman Leapfrog Mega Product Launch yang diadakan semalam, Leapfrog telah memperkenalkan sejumlah 30 peranti baru bagi lima jenama dibawah mereka iaitu SonicGear, Armaggeddon, PowerLogic, Elysium dan Audiobox. Dibawah keluarga SonicGear sahaja yang terkenal dengan penawaran aksesori memfokuskan audio, Leapfrog memperkenalkan lebih kurang 14 produk dibawahnya.
SonicGear Siri Pandora
Terdapat beberapa pilihan pembesar suara yang ditawarkan bagi siri Pandora dari SonicGear. Kesemua peranti pada siri ini membawakan rekaan yang klasik dan mempunyai ciri yang tersendiri. Peranti ini juga boleh memainkan lagu dari pemacu USB dan kad Mikro-SD serta berhubung dengan peranti lain menggunakan Bluetooth. Terdapat juga jack audio membolehkan pengguna menggunakan peranti ini sebagai pembesar suara.
Peranti audio SonicGear Pandora Neo Classic 800 merupakan pembesar suara dengan sokongan Bluetooth yang hadir dengan cesi kayu, sekaligus meningkatkan kualiti audio dan juga gayanya. Pandora Classic hadir pada dua variasi, dengan rekaan cesi kayu petak berbucu tepat dan juga berbucu melengkung. Bagi model ini, terdapat bateri terbina dalam sebesar 1800 mAh membolehkan pengguna membawanya kemana-mana.
Jika pengguna sukakan kemasan seakan-akan kulit, siri Pandora Neo 500 pula direka seolah-olah beg tangan. Rekaannya tampak feminin, dengan kemasan ditepinya nampak sesuai dimiliki oleh wanita yang ingin membawa pembesar suara ini kemana-mana. Seperti Pandora Neo Classic 800, terdapat bateri terbina dalam sebesar 1800 mAh sekaligus sesuai dengan rekaan bertangkainya.
Lagi satu peranti pada siri ini adalah Pandora Neo 200 yang tampil dengan badan plastik sepenuhnya namun tetap mempunyai tangkai memudahkan pengguna membawanya kemana-mana. Sekiranya pengguna mahukan peranti yang cukup pada fungsinya tanpa memerlukan gaya tambahan seperti Neo 500, peranti ini lebih sesuai. Terdapat bateri terbina dalam pada peranti ini namun tiada maklumat berkenaannya diketahui.
SonicGear X-Craft HP 2000
Bagi pengguna yang mencari fon kepala dengan mikrofon, salah satu pilihan dari SonicGear adalah X-Craft HP 2000. Ia hadir dengan span yang agak tebal dan berlekuk bagi menjamin keselesan pengguna serta wayar yang bersalut bagi menambah ketahanannya. Ia juga turut disertakan dengan mikrofon dan juga lampu LED pada bahagian pembesar suaranya. Dengan rekaan sebegini juga ia sekaligus membawakan kualiti Bass yang kuat sesuai untuk pengguna yang lebih sukakan kualiti Bass yang tinggi dan mendalam.
SonicGear Vibra 5
Jika pengguna lebih sukakan fon kepala dengan rekaan pada saiz sederhana, peranti Vibra 5 lebih sesuai bagi profil sebegini. Meskipun pada saiz sederhana, ia turut membawakan saiz span pada cuping pembesar suaranya pada ketebalan yang berkadaran, sekaligus turut menghadirkan kualiti Bass yang baik. Peranti ini juga turut hadir dengan wayar yang bersalut bagi meningkatkan ketahanan wayar dan hadir dengan pilihan warna dwi-tona yang menarik. Peranti ini juga mempunyai mikrofon yang boleh mengurangkan kebisingan sekaligus membolehkan pengguna menjawab panggilan telefon menggunakannya.
SonicGear Studio2
Bagi pengguna mengutamakan kualiti bunyi lebih dari segalanya, SonicGear turut menawarkan peranti audio Studio2 untuknya. Peranti ini mempunyai saiz yang besar bagi memuatkan pemacu bunyi yang lebih besar namun pada masa yang sama turut membawakan rekaan yang boleh dilipat. Peranti ini juga mempunyai kabel yang tipis dan pipih bagi mengurangkan kerosakan disebabkan tersimpulnya wayar peranti audio ini.
SonicGear Xenon 7
Jika pengguna lebih mengutamakan kenipisan dan juga kesenangan untuk membawa peranti audio kemana-mana, untuk pilihan peranti audio pada kelas headphone, SonicGear turut menawarkan Xenon 7 yang juga boleh dilipat. Peranti ini juga mempunyai mikrofon yang boleh mengurangkan kebisingan sekaligus membolehkan pengguna menjawab panggilan telefon menggunakannya. Ia juga hadir dengan rekaan wayar yang tipis dan pipih.
SonicGear Earpump Sport 2
Bagi pengguna yang inginkan peranti audio yang sesuai dipakai semasa melakukan aktiviti lasak dan kecergasan, peranti Earpump Sport 2 sesuai kerana sangat ringan dan mempunyai pembesar suara berjenis In-Ear. Bagi jenis ini, SonicGear turut menawarkan gantian Earbud dengan setiap pembelian peranti ini. Dengan rekaan yang mempunyai tangkai untuk diselitkan pada belakang cuping telinga, semestinya agak sukar untuk peranti ini tertanggal semasa aktiviti lasak sedang dijalankan.
SonicGear Siri SparkPlug
Semasa perkongsian dari SonicGear, pengasasnya secara berseloroh turut memperkenalkan peranti untuk siri SparkPlug yang hadir pada harga seperti Spark Plug atau dalam terjemahannya palam pencucuh. Terdapat enam rekaan berbeza bagi kategori Spark Plug iaitu Neoplug Leaf, Sparkplug Turbine 2, Sparkplug Golf, Sparkplug Rim, Sparkplug Turbo, dan juga Sparkplug Air. Kesemua peranti ini turut mempunyai mikrofon dan sesuai digunakan bersama telefon pintar. Ia juga mempunyai kabel sepanjang 1.2 meter dan terdapat gantian Earbud tersedia.
Sekitar 14 peranti telah diperkenalkan untuk keluarga SonicGear namun buat masa ini tiada harga tersedia untuk kesemua peranti ini. Leapfrog Malaysia menyatakan kemasukan produk ini akan ke pasaran tempatan secara berperingkat bermula pada bulan hadapan.
Banyak lagi menarik FB kami
http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Leapfrog Memperkenalkan Pelbagai Produk Audio Baru Dibawah Jenama SonicGear"