Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Ulasan Samsung Galaxy Tab A 9.7

Samsung Galaxy Tab A 20150508_122003

Jualan tablet sejak kebelakangan ini merosot dengan aliran pembelian peranti bersaiz phablet semakin meningkat. Peranti berskrin 5.5″ yang pernah dikatakan terlalu besar kini dianggap saiz yang paling optimum untuk kegunaan menonton media dan juga kemudahan menyimpannya di dalam poket. Sungguhpun begitu ia tidak menghalang Samsung dari terus menghasilkan tablet. Kali ini mereka menghasilkan Samsung Galaxy Tab A dengan skrin bernisbah 4:3. Ini membuatkannya lebih menghampiri rekabentuk sebuah iPad dari Galaxy Tab S yang mereka hasilkan sebelum ini. Secara peribadi dan kami ada katakan tentang ini di dalam ulasan sebelum ini, tablet dengan rekabentuk 4:3 adalah lebih selesa digunakan berbanding tablet 16:9. Microsoft turut akur dengan rekaan ini dengan penghasilan tablet Surface 3 mereka yang menggunakan nisbah 3:2.  Nisbah skrin 16:9 mungkin bagus untuk TV dan monitor komputer tetapi pada tablet yang perlu digunakan pada dua orientasi berbeza ianya tidak ergonomik.

Samsung Galaxy Tab A 9.7
Pemproses 1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 410
Skrin 9.7″ TFT 768 x 1024 pixel (132 PPI)
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 Gigabyte)
Kamera Utama 5 MP (720P)
Kamera Depan 2 MP
Bateri 6000 mAh
SIM/Telefoni MikroSIM / 4G
Harga Jualan RM 1599

Telefon pintar Galaxy A kesemuanya mempunyai rekaan premium. Bahagian tepi dan belakang diperbuat daripada logam. Rekaan premium yang dilihat pada Galaxy S6 boleh dikesan susur galurnya dari peranti keluarga Galaxy A. Jadi adalah sedikit mengecewakan apabila Galaxy Tab A 9.7 yang kami ulas ini kembali semula kepada estetik plastik. Keseluruhan tubuh peranti diperbuat daripada plastik licin dengan kemasan matte. Kemasan plastik dengan catan berwarna logam diletakkan pada pertembungan skrin dan tubuh plastik ini. Mengapa tablet ini berkongsi nama dengan telefon pintar Galaxy A tidak kami ketahui sedangkan ia tidak mempunyai perkongsian dari segi rekaan ataupun spesifikasi.

Tambah mengelirukan kedua-dua model Tab A (8″ dan 9.7″) dilengkapi stylus terbina. Sebelum ini hanya tablet keluarga Note (seperti Samsung Galaxy Note 10.1) dilengkapi stylus. Adakah ia tablet dengan rekaan premium kerana ia berkongsi nam dengan telefon Galaxy A? Adakah ia sebuah peranti Note kerana mempunyai stylus? Jelas sekali Galaxy Tab A mempunyai masalah identiti yang aneh setanding dengan masalah identiti yang dihadapi oleh Azwan Ali.

Dari segi rekaan tablet ini mempunyai skrin 9.7″ TFT dengan resolusi  768 x 1024 pixel. Pemproses adalah 1.2 GHz empat teras Qualcomm Snapdragon 410, RAM 2 Gigabyte dan muatan dalaman 32 Gigabyte (sokongan MikroSD sehingga 128 Gigabyte). Kemampuan optik adalah 5 Megapixel untuk kamera utama dan 2 Megapixel untuk kamera hadapan. Tiada sokongan flash disertakan tidak seperti Tab S.

Butang kuasa,suara, slot MikroSD dan MikroSIM terletak pada sebelah kanan. Pada bahagian bawah terdapat jack fon kepala, MikroUSB dan pembesar suara stereo. Butan home fizikal dan dua butang navigasi kapasitif terletak di bahagain hadapan. Butang home dihimpit oleh butang back pada sebelah kiri dan multi tasking pada sebelah kanan.  Pada bahagian belakang terdapat dua cagak khas untuk penutup magnetik pintar Samsung. Rekaan cagak belakang ini sama seperti yang dilihat pada Tab S sebelum ini.

Samsung Galaxy Tab A Samsung-Galaxy-Tab-A-3

Samsung Galaxy Tab A Samsung-Galaxy-Tab-A-1Samsung Galaxy Tab A Samsung-Galaxy-Tab-A-2


TouchWiz

Android 5.0.1 digunakan dengan antaramuka TouchWiz. Seperti yang dilihat pada Samsung Galaxy S6, binaan terkini TouchWiz berasaskan Android Lollipop ini adalah sangat lancar dan pantang sungguhpun Tab A menggunakan pemproses kelas rendah.

Tatalan adalah lancar dan tidak menunjukkan sebarang sela masa. Aplikasi yang tidak diperlukan boleh dibuang dengan mudah. Kelancaran Tab A boleh kami katakan setanding dengan Galaxy S6 yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi. Tahniah kepada Samsung kerana menyelesaikan masalah sela masa pada tablet mereka.

Fungsi Multi Window masih lagi dikekalkan dan begitu juga dengan Air View setiap kali stylus dikeluarkan dari tempat simpanan. Tiada penambahan dari segi fungsi. Stylus Wacom yang digunakan adalah terbaik di dalam kelasnya dan masih memberikan kelancaran yang tinggi berbanding stylus kapasitif yang digunakan oleh pesaing. Sungguhpun begitu kami sedari melakar menggunakan stylus pada Tab A tidak selancar pada Galaxy Note 4. Ada sedikit sela masa. Garisan yang dilukis hanya muncul beberapa mili saat selepas stylus digerakkan. Masalah sela masa ini tidak pernah kami sedari semasa mengulas Note 4 tahun lalu.

Satu lagi kekurangan pada Tab A ialah butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu peranti tidak mempunyai sokongan lampu. Butang back dan multi tasking kekal gelap walalupun selepas di tekan. Penggunaan pada waktu malam adalah sedikit sukar kerana lokasi butang tidak mudah dicari di dalam keadaan gelap.

Kemampuan audio adalah memuaskan sungguhpun pembesar suara stereo menghala ke bawah dan bukannya ke hadapan. Bunyi yang dihasilkan cukup lantang untuk didengari.

Tab-A-9.7-Screen-1

Tab-A-Screen-2

Telefoni

Tab A menyokong rangkaian LTE dengan slot untuk sebuah MikroSIM. Melakukan panggilan telefon menggunakan Tab A adalah amat aneh kerana saiznya yang amat besar. Tambah canggung ialah ketiadaan pembesar suara pada bahagian telinga. Kesemua panggilan telefon boleh didengari oleh orang ramai kerana bunyi dipancarkan secara terus kepada pembesar suara. Penggunaan kit bebas tangan Bluetooth  untuk melakukan panggilan telefon pada tablet ini adalah keperluan sekiranya anda mementingkan privasi.

 


Kamera

Kamera pada hemat kami ialah kekuatan utama Galaxy Tab A 9.7 hanya sebesar 5 Megapixel pada bahagian belakang dan 2 Megapixel pada bahagian hadapan. Spesifikasi optik tablet ini setanding dengan sebuah Samsung Galaxy S yang muncul pada tahun 2010. Dari segi antaramuka, aplikasi kamera Tab A berkongsi elemen yang sama dengan S6. Sungguhpun begitu pilihan pra tetapan adalah terhad kepada enam sahaja iaitu automatik, panorama, beauty shot, sound and shot, sukan dan tangkapan berterusan. Tiada pilihan untuk memuat turun pra tetapan lain melalui Galaxy Apps seperti pada S6.

Pada tetapan 5 Megapixel gambar hanya boleh diambil pada nisbah 4:3. Tetapan resolusi video tertinggi pula ialah hanya 720P. Secara ikhlas kemampuan kamera Tab A 9.7 adalah tidak memuaskan. Tetapi kami sedari tiada manusia yang berfikiran waras akan menggunakan tablet sebagai kamera utama mereka.

Tab-A-Screen-3

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera utama Tab A. Jelas kelihatan penghasilan semua warna yang lemah, masalah dedahan berlebihan, blooming dan noise yang kronik di dalam keadaan gelap. Tablet ini tidak sesuai digunakan untuk mengambil gambar. Kemampuna optiknya adalah lemah.

TAB-A-pic-2TAB-A-pic-3TAB-A-pic-1

TAB-A-pic-5 TAB-A-pic-4

Penanda Aras

Ujian penanda aras menunjukkan peranti ini mempunyai kemampuan sederahan. Pemproses Snapdragon 410 dan 2 Gigabyte yang digunakan meletakkannya di atas Galaxy Tab Active tetapi di belakang Galaxy Tab S 8.4. Dalam penggunaan dunia sebenar prestasi Tab A adalah memadai untuk melayari web, membaca e-buku dan menggunakan laman media sosial. Permainan dua dimensi berjalan lancar tetapi permainan 3D tidak selancar yang kami lihat pada peranti dengan spesifikasi lebih tinggi,

Sungguhpun begitu dari segi kelancaran penggunaan dan kelajuan mentatal Tab A terasa jauh lebih baik berbanding Tab S 8.4 yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi. Android Lollipop dengan binaan terkini TouchWiz menyelesaikan masalah sela masa yang menghantui versi TouchWiz sebelum ini.

Galat-Tab-A-Benchies-2Tab-A-Benchies-1


Bateri

Kombinasi bateri 6000 mAh, pemproses kelas bawahan dan skrin hanya 720P memastikan Tab A mempunyai hayat penggunaan yang lama. Dalam kegunaan berat ia mampu bertahan sehingga 12 jam dan pada penggunaan ringan mampu bertahan selama hampir 3 hari. Ini adalah bagus untuk sebuah tablet. Jika ada perkara negatif yang boleh kami katakan tentang bateri ialah ia tidak menyokong fungsi Qualcomm Rapid Charge. Mengecas peranti dari 0- 100% mengambil masa hampir 6 jam. Kami rasakan sepatutnya peranti dengan kapasiti bateri besar harus diberikan sokongan pengecasan pantas oleh Samsung dan bukan hanya pada peranti utama seperti Galaxy S6 sahaja.


 

Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Samsung Galaxy Tab A 9.7 ialah Apple iPad Air 2 dan Google Nexus 9. Mari lihat perbezaan dari segi spesifikasi dan harga diantara 3 tablet ini.

Tablet
Samsung Galaxy Tab A Apple iPad Air 2 Google Nexus 9
9.7″ TFT 768 x 1024 pixel (132 PPI) 9.7″ QXGA (264 PPI) 8.9″ QXGA (281 PPI)
1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 410 1.5 GHz  Tiga Teras Apple A8X 2.3 GHz Nvidia Tegra K1
Adreno 306 Apple M8 Kepler DX1
2 Gigabyte 2 Gigabyte 2 Gigabyte
32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16 Gigabyte 32 Gigabyte
Kamera Utama 5 Megapixel Kamera Utama 8 Megapixel Kamera Utama 8 Megapixel
6000 mAh 7340 mAh
6700 mAh
RM 1599 RM 2151 RM 1999

Kesimpulan

Samsung Galaxy Tab A 9.7 adakah mengecewakan kerana ia kembali kepada rekaan plastik. Pada telefon pintar Galaxy A dan Galaxy S6 kita sudah melihat Samsung mampu menghasilkan peranti dengan bahan binaan premium. Binaan plastik dan tidak berapa tegap  Tab A adalah langkah kebelakang di dalam usaha Samsung untuk mengembalikan imej mereka sebagai pengeluar peranti berkualiti.

Mari bincangkan perkara positif yang kami boleh katakan tentang tablet ini. Ianya ringan, mempunyai saiz skrin yang baik dengan nisbah skrin yang sempurna. Kami tergolong di dalam golongan yang merasakan tablet dengan skrin 16:9 adalah kurang praktikal jika dibandingkan dengan tablet berskrin 4:3. Tindakan Samsung menggunakan 4:3 adalah bijak kerana kini menggunakan Tab A pada posisi mendatar ataupun menegak tidak terasa canggung. Peranti juga selesa dipegang. Stylus terbina adalah aksesori yang pastinya digemari mereka yang mahukan tablet dengan stylus terbina. Namun kami sedari kelancaran melakar adalah tidak setanding yang kami rasai pada Galaxy Note 4.

Samsung Galaxy Tab A aaaaaa

Perkara negatif pula ialah kamera yang tidak memuaskan, spesifikasi yang sederhana dan bahan binaan kurang kukuh. Tubuh tablet mudah melengkung sungguhpun hanya diletakkan tekanan yang kecil. Kemampuan memproses juga kecil. Skrin 4:3 yang digunakan malangnya menggunakan resolusi 720P. Paparan tidak berapa tajam dan kerana kami sudah dimanjakan dengan peranti dengan resolusi lebih tinggi kekurangan dari segi ketajaman skrin ini amat ketara.

Pada harga RM1599 Galaxy Tab A adalah tablet dengan sokongan selular yang lebih murah berbanding iPad Air 2 dan Google Nexus 9. Ia berfungsi lebih baik daripada tablet jenama kurang ternama tetapi masih belum setanding dengan raja tablet buat masa ini iaitu iPad Air 2.

PRO dan Kelebihan
  • Skrin pada nisbah 4:3. Senang digunakan pada kedudukan potret maupun lanskap. Sangat selesa dipegang.
  • TouchWiz baru dengan Android 5.0 tidak berfungsi dengan lancar.
  • Ringan dan selesa dipegang.
  • Stylus teknologi Wacom terbina disertakan.
KONTRA dan Kekurangan
  • Bahan binaan plastik dan tidak berapa kukuh.
  • Skrin 9.7″ dengan resolusi 720P. Tidak cukup tajam.
  • Kemampuan kamera yang rendah.

Skor-Amanz-Galaxy-Tab-A-97



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan Samsung Galaxy Tab A 9.7"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info