Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Khasiat Dan Manfaat Kacang Gajus

Kacang gajus adalah kacang yang berasal daripada biji buah gajus dan sering dijadikan makanan ringan atau makanan diproses terutamanya untuk pembuatan biskut dan kek, namun di sebalik keenakan rasa kacang gajus, ia mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan dan dikaitkan dengan penurunan risiko pelbagai penyakit.

Khasiat Gajus

Dalam satu ujian percubaan intervensi manusia yang diterbitkan jurnal pemakanan Nutrients, pengkaji di Perkhidmatan Penyelidik Pertanian, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) dan Pusat Penyelidikan Pemakanan Manusia Beltsville memeriksa kandungan tenaga yang ada dalam kacang gajus.

Seramai 18 sukarelawan yang sihat dilatih untuk mengambil bahagian dalam kajian selama sembilan minggu.

Peserta mengambil pemakanan asas dikawal yang ditambah dengan kacang gajus iaitu 42 gram sehari sepanjang tempoh kajian selama empat minggu.

Mereka turut mengambil pemakanan asas dikawal tanpa penambahan kacang gajus dalam tempoh empat minggu berikutnya.

Sampel pemakanan daripada kajian itu bersama najis dan air kencing daripada 18 sukarelawan dikumpul semasa minggu terakhir dalam setiap fasa intervensi, selain kandungan protein, lemak dan tenaga turut dianalisis.

Keputusan kajian menunjukkan kandungan tenaga (kalori) dalam kacang gajus 16 peratus lebih rendah berbanding nilai yang biasa dinyatakan pada label makanan semasa dan dalam pangkalan data di AS termasuk Pangkalan Data Nutrien Untuk Rujukan Piawaian Kebangsaan.

Meskipun nilai tenaga semasa dilaporkan 163 kilo-kalori setiap hidangan, penyelidik USDA mendapati kandungan tenaga mengalami proses metabolisme untuk 28 gram hidangan kacang gajus adalah 137 kilo-kalori.

Sementara itu, satu lagi kajian terkini diterbitkan dalam Jurnal Nutrisi Klinikal Amerika menyimpulkan pengambilan 42 gram kacang gajus sehari tidak meningkatkan tahap kolesterol jahat atau lipoprotein dengan kepadatan rendah (LDL).

Info

Kacang gajus mengandungi protein dan mineral penting termasuk tembaga, kalsium, magnesium, zat besi, fosforus, potasium dan zink malah, sodium juga hadir dalam kuantiti yang kecil.

Menurut Pangkalan Data Nutrien Kebangsaan USDA, kacang gajus turut mengandungi vitamin seperti C, B-, E dan K serta tiamin, riboflavin, niasin dan folat.

Ia juga sumber kepada asid oleik dan membekalkan sejumlah lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu tanpa kandungan kolesterol jika diambil secara sederhana.

Manfaat

1. Kesihatan otot dan saraf

Kacang gajus adalah sumber magnesium penting untuk pembentukan tulang, otot, tisu dan organ tubuh lain.

Kandungan magnesium membantu mengekalkan tekanan darah, meningkatkan imuniti, mengekalkan fungsi saraf dan mengekalkan tulang yang kuat.

2. Mengurangkan risiko diabetes

Kacang gajus mengandungi jumlah gula sangat rendah dan tiada kolesterol jahat. Ini membolehkan kacang gajus selamat diambil pesakit diabetes, malah membantu mengurangkan risiko diabetes Tahap 2.

3. Meningkatkan kesihatan tulang dan gigi

Kacang gajus membekalkan fosforus yang penting untuk pembentukan tulang dan gigi.

Kandungan fosforus juga membantu dalam sistesis protein, menyerap lemak dan karbohidrat serta penyelenggaraan kesihatan sel.

4. Meningkatkan sistem imun

Kacang gajus mengandungi zink yang memainkan peranan penting dalam menguatkan sistem imun menentang jangkitan mikrob dan menyembuhkan luka.

Ia juga sangat penting dalam tempoh kehamilan untuk pembesaran bayi dan perkembangan kanak-kanak bagi mengekalkan tubuh yang sihat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Khasiat Dan Manfaat Kacang Gajus"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info