Sembang Maniac

Sembang-sembang je

6 Surah Palsu Yang Di Tambah Dalam Cetakan Al-Quran

Ramai rakyat Malaysia gemar membeli buku-buku rujukan Islam dari Indonesia berikutan penerbitan di sana yang nampak lebih rancak bagi memenuhi permintaan masyarakat Indonesia, selaku komuniti terbesar masyarakat Islam di dunia.

Surah Palsu
Gambar hiasan.

Bagaimanapun, berlaku satu penyebaran versi al-Quran yang dikatakan ada berlaku penambahan dengan wujudnya kemasukan 6 surah tambahan dalam versi al-Quran tersebut.

Menurut penyiasatan, terdapat hampir 12 surah palsu yang dicipta untuk ditambah dalam beberapa cetakan Al-Quran, namun ada 6 yang cukup terkenal dan dkenalpasti paling banyak disebar.

1. Al-Iman (Kepercayaan)

'Surah al-Iman' menceritakan berkenaan kisah pengikut Nabi Isa a.s. yang sedang belayar di atas lautan dengan ombak besar melanda mereka.

Dalam kepayahan, mereka ternampak kelibat Nabi Isa sedang berjalan air, yang membuatkan mereka mempersoalkan keadilan Tuhan.

Mendengar keluhan itu, Tuhan pun menegur mereka dan mengingatkan mereka tentang kekuasaan-Nya.

Berkat daripada itu, mereka pun diberikan kebolehan untuk berjalan di atas air yang membuatkan mereka terselamat dan mengucapkan syukur.

Isu 'surah' ini

Manusia biasa boleh berkomunikasi dengan Tuhan secara terus. Jika anda membaca surah ini, sukar untuk dikenalpasti sama ada mereka itu sedang memohon kepada Tuhan ataupun kepada anak Tuhan.

Yang paling jelas, pembohongan paling besar adalah apabila manusia biasa diberikan mukjizat.

2. Al-Muslimun

Surah Al-Muslimun ini berkisar kepada 'peringatan' yang diberikan kepada kaum Muslimin berikutan ketidak percayaan mereka kepada Allah dan Nabi Isa a.s., serta diperingatkan apa balasannya jika Muslimin tidak mempercayai kebenaran Nabi Isa a.s.

Kemudian, Tuhan dalam surah ini menegur Nabi Muhammad SAW kerana telah menyesatkan kaum Muslimin dengan meninggalkan amalan yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.

Pada peringkat akhir surah ini, Nabi Muhammad SAW dikatakan memohon maaf kepada Allah SWT atas kesilapannya menyesatkan orang Islam dan menyesal kerana berjaya dihasut godaan syaitan.

Isu 'surah' ini

Rasanya sudah jelas di mana pembohongan surah ini dilakukan. Rasulullah SAW adalah seorang yang terpelihara daripada dosa dan tidak mungkin berjaya diperdayakan syaitan, begitulah juga para Rasul yang lain.

3. Al-Tasajjud (Penjelmaan)

Kisah yang dipaparkan dalam 'surah' ini pula lebih kepada memperingatkan umat Islam berkenaan kekuasaan Allah SWT menjadikan apa saja yang dirasakan mustahil dilakukan.

'Surah' ini cuba mengajak umat Islam untuk menerima konsep Nabi Isa a.s. bukanlah seorang anak kepada Tuhan, tetapi sebenarnya telah pun menjadi sebahagian daripada Allah itu sendiri sejak mula lagi.

Kemudian Nabi Isa a.s. dikatakan dihantar kepada kalangan manusia untuk bercampur gaul dan hidup di kalangan manusia, lalu meninggal di kalangan manusia juga sebelum diangkat 3 hari selepas kematiannya.

Isi surah ini cuba memujuk umat Islam untuk menerima konsep Nabi Isa a.s. itu adalah anak Tuhan dan sesiapa yang tidak mempercayai konsep ini, bersedialah untuk berdepan kemurkaan Allah SWT.

Isu 'surah' ini

Konsep Nabi Isa a.s. sebagai anak Tuhan dan juga sebahagian daripada Tuhan merupakan satu kesalahan akidah yang jelas dalam Islam.

4. Al-Wasaya (Perintah)

Salah satu surah palsu paling pelik yang ada. Kandungannya berkisar kepada perintah-perintah yang dikatakan datang daripada Allah SWT yang bersifat sangat spesifik.

Dalam 'surah' ini diletakkan panduan untuk menguap dan larangan meletak gambar anjing di dinding, sebelum mula mengarut dengan larangan keras terhadap dosa besar memakai kasut dengan kaki kiri terlebih dahulu.

Selain itu, dalam surah ini juga terkandung suruhan orang Muslimin untuk menyerang dan membunuh sesiapa saja kaum yang dikatakan golongan munafik. Selain itu, bersumpah dengan nama Allah digalakkan.

Isu 'surah' ini

Banyak perintah yang disebut dalam 'surah' ini sebenarnya adalah perkara-perkara yang perlu dielakkan.

5. 'Surah' Al-Nurayn dan Al-Wilaya

Dua surah ini sudah lama wujud sejak kurun ke 17 lagi, dengan kedua-duanya dikatakan datang daripada seorang penulis tidak diketahui dari India.

Setakat yang diketahui, belum ada lagi mana-mana versi al-Quran yang mempunyai dua surah ini di dalamnya.

Dikatakan ditulis oleh pengikut fahaman Syiah yang mengagungkan khalifah ke empat selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW berikutan nama Ali bin Abi Talib disebut dalam kedua-dua surah ini.

Surah Al-Nurayn yang membawa maksud 'cahaya' menceritakan tentang dua cahaya yang akan melindungi orang Islam dan menjadi penunjuk kepada jalan yang benar.

Dalam 'surah' tersebut, nama Saidina Ali disebut sebagai seorang alim yang sentiasa berdoa setiap malam agar Allah mengampunkan dosa-dosa orang Muslim.

Kandungan dalam surah Al-Wilaya pula hampir serupa dengan kandungan surah Al-Nurayn dari segi temanya; beberapa peringatan terhadap hari Akhirat dan peringatan kepada mereka yang tidak mempercayai kandungan al-Quran.

Surah tersebut diakhiri dengan pujian kepada Allah dan juga Ali sebagai saksi yang golongan Muslim haruslah tunduk pada Allah SWT.

4 surah pertama yang kami kongsikan di atas dikatakan disebarkan dalam salah satu cetakan Qur'an di Indonesia, namun tidak dapat dipastikan kesahihan kisah ini, sama ada benar-benar telah diedarkan atau tidak.

Surah Al-Nurayn dan surah Al-Wilaya pula telah pun diperdebatkan semenjak kemunculannya dan diakui adalah surah-surah palsu.

Tujuan kami berkongsikan isu ini hanyalah untuk kita bersama-sama mempunyai sedikit pengetahuan untuk mengenal pasti surah-surah palsu yang ada dan dikatakan kerap diletakkan di dalam sumber-sumber rujukan al-Quran dalam internet, yang amat mudah dipergunakan oleh sesiapa saja.

Beberapa pautan laman rujukan al-Quran yang ada dan pernah memaparkan surah-surah ini sudahpun tidak lagi beroperasi, tetapi adalah lebih baik kita mengetahui sendiri nama-nama 'surah' ini agar kita tidak leka dan terpedaya membacanya, tanpa sedar surah yang kita baca itu sebenarnya hasil ciptaan manusia belaka.

Selain enam ini, terdapat beberapa lagi surah palsu yang ada dinamakan Al-Hayat, Al-Afdal, Al-Mukataa, Al-Kitab, Al-Usfoor, An-Nabi dan Ad-Du'a, yang dikatakan berlegar-legar di internet.

Berhati-hatilah ketika membeli dari sumber rujukan dan tidak dikenali penerbitannya.

Sukar untuk dibendung dalam dunia yang bersifat tanpa sempadan, jadi kita perlulah lebih bijak dalam meneliti masalah ini.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "6 Surah Palsu Yang Di Tambah Dalam Cetakan Al-Quran"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info