Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Pandang Pertama Sony Xperia XA2 Ultra – Peranti Gergasi Dengan Kamera Swafoto Berkembar

Selang beberapa minggu selepas dilancarkan di CES 2018, Sony Xperia XA2, XA2 Ultra dan L2 dilancarkan di Malaysia. Ketiga-tiga peranti terbaru ini akan mula dijual secara rasmi pada 9 Februari. Kami sempat menghabiskan beberapa jam menggunakan Xperia XA2 Ultra. Ini ialah peranti dengan spesifikasi tertinggi di antara ketiga-tiga peranti ini. Ia juga satu-satunya yang dilengkapi sistem dwi-kamera pada bahagian hadapan lengkap dengan flash. Ini ialah pandang pertama kami untuk peranti ini.

Spesifikasi

Sony Xperia XA2 Ultra
Skrin 6″ IPS LCD FHD (367 PPI)
Pemproses Snapdragon 630
CPU 4 x 2.2 GHz Cortex A53
4 x 1.8 GHz Cortex A53
Cip Grafik Adreno 508
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte eMMC (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 23 Megapixel, f/2.0, SteadyShot,
Kamera Depan 16+8 Megapixel, f/2.0+ f/2.4, OIS, SteadyShot
Bateri 3580mAh (Pengecasan Pantas Qnovo)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano Bukan Hibrid
Jalur LTE Cat 12/13
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Jari
Harga Jualan RM 1999

Dengan skrin sebesar 6″ IPS LCD, ia adalah peningkatan dari 5.5″ yang digunakan pada XA1 Plus tahun lalu. Walaupun saiz dipertingkatkan, ia masih mengekalkan resolusi FHD sahaja. Sony masih belum bersedia terjun ke dalam dunia skrin 18:9 dan skrin 16:9 dikekalkan. Akibatnya bahagian dagu serta dahi XA2 Ultra adalah agak besar berbanding peranti setanding di pasaran.

Skrin yang besar ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 630, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64GB. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, kad mikroSD sehingga 256GB disokong. Slot kad mikroSD ini tidak mempunyai talamnya tersendiri dan tidak mengganggu penggunaan dua SIM bersaiz nano pada peranti ini.

Dari segi kemampuan optikal pula ia dilengkapi kamera sebesar 23-Megapixel f/2.0 pada bahagian belakang dengan sensor ExmorRS. Dwi-kamera hadapan pula ialah gabungan 16+8 Megapixel. Sensor 16-Megapixel f/2.0 ini menggunakan sensor ExmorRS dengan sokongan penstabilan OIS. Ini amat unik kerana kamera pada bahagian belakang tidak mempunyai penstabilan OIS.

Kamera 8-Megapixel f/2.4 pula menggunakan sensor ExmorR dengan lensa sudut lebar 120 darjah. Ini adalah bagi memberikan sudut pandangan yang lebih lebar untuk pengambilan swafoto secara berkumpulan. Kamera utama pada bahagian belakang boleh merakam video pada resolusi 4K dan gerak perlahan pada tetapan 120 FPS.

Sesuai dengan skrin yang besar, XA2 Ultra turut dilengkapi bateri 3580 mAh yang boleh dikatakan agak besar. Ia menyokong sistem pengecasan Qnovo Fast Charging melalui port pengecasan USB-C. Yang mengecewakan ialah pihak Sony tidak menyertakan pengecas pantas dengan setiap pembelian. Seperti Apple, untuk menikmati pengecasan pantas pengguna perlu membeli pengecas pantas secara berasingan.

Rekabentuk

Skrin yang besar mendominasi rekaan XA 2 Ultra. Walaupun berdahi dan dahu yang besar, pada bahagian sisi bingkai yang digunakan adalah amat kecil. Dua “mata” kamera dengan flash boleh dilihat dengan jelas pada bahagian dahi tetapi diimbangi oleh dagu yang besar bagi mengekalkan simetri peranti.

Pada bahagian bawah skrin pula terdapat tiga butang navigasi atas skrin. Butang home dihimpit butang multi-tugas pada sebelah kanan dan butang back pada sebelah kiri.

Dengan Xperia XA2 Ultra, rekaan Closed Loop digunakan sekali lagi sejak kali pertama diperlihatkan pada XZ Premium. Panel belakang adalah dari kepingan logam dengan kemasan yang kusam. Tiada masalah panel belakang memerangkap kotoran dan cap jari di sini.

Bahagian sisi adalah dibulatkan bagi memastikan keselesaan ketika memegang peranti. Keselesaan adalah penting kerana XA2 Ultra bukan sahaja lebih berat malah lebih tebal (9.7 mm) berbanding kebanyakan peranti di pasaran. Kami mungkin di dalam golongan minoriti yang tidak merasakan rekaan “gemuk” adalah negatif. Ini adalah kerana peranti tebal selalunya lebih selesa dipegang dan tidak mempunyai lensa kamera yang terkeluar terlalu banyak dari tubuh. Namun sedikit aneh pada XA2 Ultra ialah panel belakangnya yang melengkung. Ini membuatkannya tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja.

Bercakap tentang panel belakang, pengimbas cap jari kini dipindahkan ke sini. Selama ini Sony berkeras meletakkan pengimbas pada sisi kanan peranti. Mereka menerima banyak kritikan dari pengguna kidal yang merasakan kedudukan ini sedikit prejudis terhadap mereka. Pengimbas cap jari pada bahagian belakang berbentuk bulat dan amat mudah diakses. Rekaan ini digunakan secara meluas oleh pengeluar peranti sekarang.

Sensor NFC juga diletakkan di belakang. Sekali lagi Sony ialah satu-satunya pengeluar yang meletakkan logo NFC dengan jelas supaya pengguna tidak perlu tercari-cari dimanakah kawalan NFC pada peranti mereka.

Pada sisi kanan terdapat butang suara jenis rocker, butang kuasa dan butang khas pengatup kamera. Rekaan kesemua butang adalah ergonomik dan kukuh. Sedikit komen yang mungkin boleh diberikan ialah butang kuasa berbentuk bulat yang digunakan bersaiz agak kecil. Dari segi kualiti binaan, Sony adalah antara pengeluar yang tidak melepaskan batok di tangga.

Pada sisi kiri terdapat talam dwi SIM bersaiz nano dan kad MikroSD. Dwi SIM nano berada di dalam talamnya tersendiri. Slot untuk kad MikroSD terletak bersebelahan slot untuk SIM ini. Talam ialah dari jenis yang hanya perlu ditarik keluar. Kami amat menggemari rekaan ini kerana tidak perlu bergantung kepada jarum. Bergerak ke atas terdapat satu bicu audio 3.5mm. Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C serta satu pembesar suara mono.

Kami amat menggemari rekaan peranti ini kerana ianya terasa premium dan padat. Penggunaan panel logam juga menyelesaikan masalah dunia pertama iaitu peranti yang terlalu mudah memerangkap kotoran. Walaupun agak besar, kami masih merasakan ia selesa dipegang dengan sebelah tangan kerana sisi dibulatkan serta panel belakang yang melengkung.

Antaramuka

Sistem operasi Android Nougat 8.0 digunakan dengan pelancar rekaan Sony. Tidak seperti HTC, Sony masih belum bersedia menyokong fungsi seakan Pixel. Masih terdapat butang untuk melancarkan talam aplikasi. Sokongan untuk menatal dari bawah ke atas untuk melancarkan talam ini tidak pula disertakan. Yang disertakan ialah App Shortcut yang membolehkan pelbagai pintasan pantas dipilih terus selepas ikon aplikasi ditekan, picture in picture dan multi-window.

Satu perkara yang terus mengecewakan kami tentang peranti Xperia ialah tiada sokongan mengatur semula susunan butang navigasi atas skrin. Butang home kekal dihimpit oleh butang multi-tugas pada sebelah kanan dan butang back pada sebelah kiri. Fungsi kustomasi butang ini sudah menjadi standard pada peranti keluaran pengeluar lain seperti HTC dan Huawei.

Sony sekali lagi tidak menyertakan banyak fungsi tambahan. Aplikasi terpasang juga tidak terlalu banyak dengan aplikasi Album, Video dan Muzik digunakan dan bukannya Google Photos dan Google Music.

Melancarkan kamera dengan pantas – Selain menekan butang pengatup kamera. Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Multi Window – Menggunakan sistem multi-tingkap natif Android Oreo bagi melancarkan dua aplikasi serentak.

One-Handed Operation – Mengecilkan saiz paparan skrin supaya lebih mudah digunakan sebelah tangan. Ini diaktifkan dengan menatal dari bucu bawah kiri atau kenan ke arah tengah skrin.

Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.

Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.

Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.

Kesimpulan

Sony Xperia XA2 Ultra menawarkan peranti dengan skrin besar tetapi masih belum bersedia untuk mengikuti kehendak pasaran yang kini dipenuhi peranti skirn 18:9. Rekaan nirbingkai pada peranti ini terhadap pada bingkai sisi. Bahagian dagu dan bahu masih lagi besar. Perubahan XA2 Ultra berbanding XA1 Plus tahun lalu terletak pada skrin, pemproses yang kini menggunakan Snapdragon 630 dan sistem dwi-kamera hadapan.

Kekuatan XA2 Ultra terletak pada kamera utama sebesar 23-Megapixel dan kamera hadapan 16+8 Megapixel disertakan sekali dengan flash. Ia juga mampu merakam pada tetapan 4K. Sistem penstabilan OIS disertakan pada kamera hadapan dan ini kali terakhir ditemui pada HTC 10. Ini meletakkan XA2 Ultra di kedudukan yang unik bagi peranti kelas pertengahan.

Bagi Sony kemampuan kamera yang baik adalah lebih penting. Jauh berbeza dari Samsung yang menyertakan kemampuan kalis air IP68 dan rekaan premium untuk peranti kelas pertengahan mereka.

Apa yang kami cukup gemari mengenai XA2 Ultra ialah ia sebuah peranti yang besar dan berat. Sesuai dengan telapak tangan kami yang agak besar. Ia masih lagi selesa digunakan secara sebelah tangan kerana rekaan yang dibulatkan pada sisi serta panel belakang melengkung.

Pada harga RM 1999 ia jatuh ke dalam kategori agak mahal. Namum bagi mereka yang mementingkan saiz sensor kamera yang besar ini mungkin peranti yang boleh disenarai pendekkan. Nantikan ulasan penuh untuk Sony Xperia XA2 Ultra dalam masa terdekat.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama Sony Xperia XA2 Ultra – Peranti Gergasi Dengan Kamera Swafoto Berkembar"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info