Sembang Maniac

Sembang-sembang je

#iPhone10Tahun – 10 Inovasi Yang Dipopularkan iPhone Yang Menjadi Ikutan Industri


Selamat datang ke #iPhone10Tahun, siri artikel dan video di Amanz dalam meraikan ulang tahun kelahiran iPhone yang kini telah memasuki satu dekad. Dalam siri ini, kami mengupas beberapa perkara mengenai iPhone seperti teknologi dan sejarahnya dalam mempengaruhi penggunaan peranti pintar pada saat ini.


Agak mengejutkan minggu lalu apabila kami menyedari iPhone sudah sepuluh tahun diperlihatkan oleh mendiang Steve Jobs kepada umum. Peranti gabungan “iPod, telefon dan peranti internet yang mendahului zaman” keluaran Apple ini mengubah landskap dunia telefon mudah alih. Ia sekaligus membunuh telefon pintar biasa, komputer dan pemain muzik MP3. Terma peranti pintar mula digunakan secara meluas kerana inilah anjakan paradigma yang berlaku sekali setiap generasi yang amat dinantikan.

Selepas sedekad kewujudannya peranti pintar kini menjadi peranti yang digunakan setiap hari oleh hampir semua lapisan masyarakat. Di bawah ialah senarai sepuluh inovasi yang dipopularkan iPhone dan kemudiannya menjadi ikutan pengeluar lain sejak sedekad yang lalu.


1. Templat Kepada Rekaan Peranti Pintar Sedia Ada

Tidak melampau untuk mengatakan iPhone ialah bapa kepada rekaan peranti pintar yang wujud di pasaran sekarang. Sebulan kewujudannya telefon pintar seperti Nokia E62 dan Samsung i830 mempunyai pelbagai butang navigasi pada bahagian dagu. Dengan iPhone hanya terdapat satu butang fizikal yang merupakan butang home. Rekaan asas bahagian hadapan iPhone ini tidak berubah sejak dari generasi pertama. Ia hanya akan berubah dengan iPhone 8 yang dipercayai akan mempunyai pengimbas cap jari terbina pada skrin sekaligus tidak lagi memerlukan butang home fizikal.

Peranti Android pertama HTC Dream yang muncul pada tahun 2009 mempunyai lima butang fizikal dan satu tombol trackball pada bahagian dagu. Rekaan kemas tanpa butang navigasi hanya mula digunakan Android dengan Samsung Galaxy Nexus pada tahun 2011. iPhone menunjukkan peranti pintar tidak memerlukan banyak butang untuk berfungsi.

Lihat di pasaran sekarang dan cuba lihat berapa banyak peranti pintar yang kini kelihatan seperti iPhone. iPhone ialah templat kepada rekaan yang malarhijau dan pada masa yang sama praktikal.


2. Skrin Sesentuh Kapasitif Dengan Multi Touch

Sebelum iPhone skrin sesentuh pada telefon pintar menggunakan teknologi resistif. Pengguna perlu menggunakan stylus bagi berinteraksi dengan elemen antaramuka. Peranti tanpa skrin sesentuh pula menggunakan butang navigasi empat hala fizikal. Menggunakan peranti pra-iPhone adalah perlahan dan tidak intuitif.

Skrin sesentuh 3.5″ iPhone ketika dilancarkan adalah dianggap gergasi jika dibandingkan dengan skrin peranti lain. Skrin kapasitif yang responsif dipadankan dengan sistem operasi yang direka khas untuk dimanipulasi secara sentuhan mempercepatkan proses penggunaan peranti.

Dengan multi touch pengguna diperkenalkan kepada pinch and zoom untuk mengubah saiz paparan gambar dan laman web. Pada iPad pula aplikasi boleh ditukar dengan menatal menggunakan lima jari. Kesemua ini bermula dengan iPhone.


3. Mempopularkan Pengimbas Cap Jari

Pengimbas cap jari pada peranti pintar tidak dipelopori oleh iPhone. Takhta ini dipegang oleh Motorola Atrix yang dilancarkan pada tahun 2011. Pengimbas cap jari pada peranti Android ini terletak pada bahagian atas dan adalah kurang mesra pengguna. Kami yakin ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan peranti ini.

iPhone 5S yang dilancarkan pada tahun 2013 mempopularkan pengguna pengimbas cap jari. Ia terbina pada butang home di bahagian hadapan peranti yang ini jauh lebih mudah digunakan. Inovasi Apple ini kemudian diikuti oleh pengeluar-pengeluar lain dan menjadi rekaan standard kebanyakan peranti semasa.

Apakah yang menyebabkan TouchID berbeza dari yang digunakan pada Atrix? iOS menyokong integrasi TouchID di dalam aplikasi iOS dan keseluruhan sistem iPhone. Atrix dihasilkan Motorola tanpa input dari Android dan pembangunan aplikasi tidak menggunakan pengimbas cap jari pada aplikasi mereka.


4. Pemangkin Ekonomi Aplikasi

WhatsApp dan Instagram ialah dua aplikasi yang kami yakin ada di dalam peranti pembaca Amanz. Kedua-duanya pada awalnya hanya wujud di pada platform iOS. Kedua-duanya juga telah diambil alih oleh Facebook pada harga berbillion Dollar. Sejak App Store diperkenalkan pada tahun 2008 pada iPhone 3G, berjuta aplikasi dihasilkan pada iOS dengan hasil jualan mencecah $70 Billion.

Aplikasi pada peranti mudah alih bukanlah perkara baru tetapi iPhone menjadi pemangkin kerana memudahkan proses pembelian, muat turun, pemasangan dan rekaan yang mesra pengguna memenuhi piawaian ketat Apple. Pada awal kewujudan iPhone, ia diiklankan dengan cogan kata “there’s an app for that” untuk menunjukkan seleksi aplikasi yang jauh lebih besar pada platform iOS.


5. Mempopularkan Penggunaan Pembantu Maya

Google Assistant, Bixby,Cortana dan Alexa kesemuanya perlu berterima kasih kepada Siri yang memulakan ledakan penggunaan pembantu realiti maya. Ia kali pertama diperlihatkan pada tahun 2011 dan hanya menyokong iPhone 4S. Kini ia boleh ditemui pada hampir kesemua produk Apple seperti MacBook, Apple Watch, Apple TV, iPod dan HomePod.

Bermula sebagai aplikasi yang hanya mampu menjawab soalan-soalan mudah, ia berevolusi untuk mampu berinteraksi dengan pengguna seperti insan sebenar menerusi teknologi kecerdasan buatan. Kemampuan Siri kini mungkin tidak setanding Google Assistant tetapi tanpa Siri, pembantu maya lain mungkin tidak akan wujud seperti sekarang.


6. Pemangkin Penggunaan HTML5

Steve Jobs bukanlah peminat nombor satu Adobe Flash. Beliau menulis artikel “Thoughts On Flash”  pada tahun 2010 mengenai sebab mengapa Flash tidak disokong pada peranti iOS. Antara sebab yang diberikan ialah ia memakan bateri, mempunyai kerentanan sekuriti dan tidak mesra peranti mudah alih.

Pada awalnya keengganan Apple untuk menyokong Flash menjadi bahan jenaka pengguna sistem operasi lain. Tetapi umum kita ketahui Steve Jobs terbukti betul dan tahun lalu hanya 5% laman web masih menggunakan Flash. Majoriti laman kini berpindah kepada HTML5 yang lebih terbuka, selamat dan tidak menyebabkan masalah apabila digunakan pada peranti pintar.


7. Slide To Unlock

Meyahkunci peranti dengan menatal skrin adalah kebiasaan tanpa mengira jenama peranti yang dipakai. Apple menyedari dengan skrin kapasitif sensitif kepada sentuhan dan teknik menyahkunci spesifik perlu dihasilkan. Mereka mempatenkan sistem Slide To Unlock yang digunakan pada iPhone. Walaupun dipatenkan ia masih ditiru pengeluar lain. Kes hanya selesai sekitar 2016 apabila paten ini dibatalkan. Oleh sebab itulah iPhone kini tidak lagi menggunakan sistem nyahkunci ini.


8. Apple Pay : Pemangkin Perbankan Mudah Alih

Penggunaan peranti pintar alih kini jauh melangkaui penggunaan komputer. Jika PayPal menjadi pemangkin e-dagang, Apple Pay adalah pemangkin kepada e-dagang pada peranti pintar mudah alih. Maklumat kad kredit disimpan pada peranti pintar dan untuk melengkapkan urus niaga pengguna hanya perlu menggunakan TouchID. Pembelian dapat dilakukan dengan cukup pantas.

Sistem yang sama boleh ditemui pada aplikasi perbankan peranti pintar mudah alih seperti Samsung Pay dan aplikasi seperti Maybank. Sekali lagi inovasi Apple merintis denai kecil yang kemudian menjadi sebuah lebuhraya.


9. 3D Touch

3D Touch diperkenalkan pada iPhone 6S dan 6S Plus. Skrin yang mampu mengesan tekanan membuka dimensi baru bagaimana elemen antaramuka iOS boleh dimanipulasi. Pelbagai menu tambahan boleh diakses dengan hanya menekan ikon. “Gimik” ini mula muncul pada peranti Android beberapa bulan selepas 3D Touch dilancarkan.

Sebenarnya kemampuan mengesan tekanan sudah wujud sejak Android 1.0 lagi tetapi pihak Google tidak menemui sebab untuk ia digunakan pada peranti pintar. Dengan Android 7.1.1, sistem menu tambahan dengan menekan ikon diperkenalkan pada Google Pixel. Ia kini boleh ditemui pada peranti lain seperti HTC U11 dan OnePlus 5.


10. Sistem Operasi Mudah Alih Yang Direka Khas Untuk  Digunakan Dengan Skrin Sesentuh

Menggunakan peranti pintar tidak sama seperti menggunakan komputer. Tiada tetikus dan tiada papan kekunci fizikal. Kesilapan sistem operasi sebelum iPhone ialah menggunakan design language sistem operasi desktop pada peranti pintar. Ini mengakibatkan penggunaan sistem-sistem operasi awal ini tidak intuitif kepada golongan yang tidak pernah menggunakan komputer. Learning curve untuk menggunakan peranti adalah curam.

iPhone adalah peranti pintar pertama yang menggunakan sistem operasi yang direka khas untuk digunakan peranti mudah alih dan skrin sesentuh. Elemen antaramuka boleh diubah dengan mudah kerana tiada butang fizikal. Tiada manual diperlukan untuk menggunakan iOS kerana ia intuitif. Anak kami yang berumur 3 tahun mampu menggunakan iPhone tanpa perlu diajar. Ini pada hemat kami ialah inovasi dan hadiah terbesar iPhone kepada dunia peranti mudah alih.


Adakah anda bersetuju dengan senarai kami? Adakah yang tertinggal dan sekiranya ya sila nyatakan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Selamat ulang tahun ke-10 buat iPhone. Sebagai peminat peranti pintar kami tidak sabar melihat inovasi seterusnya yang akan menjadi ikutan pengeluar lain.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "#iPhone10Tahun – 10 Inovasi Yang Dipopularkan iPhone Yang Menjadi Ikutan Industri"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info