Sembang Maniac

Sembang-sembang je

10 Memori Menarik Perisian Adobe Flash

Sedikit terkejut hari ini, dimana selepas desas-desus dan laporan mengatakan Adobe Flash mungkin akan pupus menjelang 2018 yang lepas, kini pihak Adobe sendiri mengumumkan mereka akan menamatkan sokongan untuk perisian berkenaan dan Adobe Flash Player pada penghujung 2020 kelak. Ini bermakna, selepas tarikh berkenaan, tiada lagi muat-turun atau kemaskini akan ditawarkan untuk perisian berkenaan.

Pernah suatu ketika dahulu Flash ialah pemalam yang sangat popular digunakan pada laman kerana memberikan animasi grafik yang menarik serta kemampuan interaktif yang tinggi. Di bawah ialah senarai 10 perkara menarik dan boleh tidak boleh dilupakan pernah dilakukan menggunakan perisian Flash.

10.SAJJAD ALI

Sekiranya anda belajar di kolej ataupun menggunakan aplikasi LimeWire sekitar tahun 2002 anda pasti mengenali animasi Flash ini. Ianya menjadi “viral” di kolej Universiti Teknologi Petronas tempat kami pernah melanjutkan pelajaran suatu ketika dahulu. Kami juga difahamkan Sajjad Ali turut viral di beberapa universiti lain seperti Uniten dan MMU. Mengapa ianya viral? Kerana ia merupakan antara animasi Flash terawal yang melakukan kejutan kepada mereka yang menontonnya. Di awal animasi penonton membaca cerita bagaimana Sajjad Ali memberikan inspirasi muzik kepada Michael Jackson. Sedang mereka asyik membaca secara tiba-tiba  mereka dikejutkan dengan jeritan hantu yang muncul secara tiba-tiba. Sajjad Ali dihantar kepada kawan sebagai jenaka ganas. Kami pernah melihat seorang teman terjatuh dari kerusi dan tercedera kerana kejutan Sajjad Ali. Sekiranya anda tidak pernah melihat animasi Sajjad Ali, tontonilah videonya di bawah.

9.SCARY MAZE GAME

Kepopularan Sajjad Ali mungkin menjadi inspirasi kepada Scary Maze Game. Kami percaya ramai di kalangan pembaca Amanz pernah bermain permainan Flash ini ataupun melihat video orang terkejut ketika memainkannya. Permainan Scary Maze dibangunkan oleh Jeremy WInterrowd pada tahun 2003. Premis permainan ialah mengawal titik kecil melepasi halangan yang semakin lama semakin sukar. Setibanya di peringkat ke-3, laluan menjadi semakin kecil dan pemain perlu melihat sehampir mungkin pada skrin. Secara tiba-tiba wajah Reagan dari The Exorcist akan muncul lengkap dengan jeritan menyeringai. Ribuan video prank Scary Maze Game wujud di YouTube tetapi video di bawah ialah yang paling viral sekitar tahun 2006. Sekiranya anda berminat, Scary Maze Game masih boleh dimainkan di laman Winterrowd Games.

8.PORTAL FLASH

Portal ialah permainan teka teki yang memerlukan anda menggunakan sel otak. Ia mual dijual pada tahun 2007 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Tetapi tidak semua pemilik PC mampu memainkan Portal kerana tidak mempunyai PC yang berkuasa. Oleh itu Portal edisi Flash dihasilkan oleh Hen Mazolski dan Ido Tal dua orang peminat tegar permainan yang dihasilkan oleh Valve. Portal versi Flash mempunyai 40 peringkat yang mencabar. Ia mengekalkan mekanisme permainan yang sama seperti versi 3D tetapi Portal kini menjadi versi 2D. Ianya masih mencabar dan memerlukan anda menggunakan medula oblongata secara intensif. Kerana kepopularannya, kesemua 40 peringkat Portal Flash kemudian dihasilkan semula oleh Valve di dalam Portal edisi asal. Sekiranya anda belum pernah mencubanya anda boleh melawat lama rasmi Portal Flash di We Create Flash.

FLASH-portal

7.LINE RIDER

Line Rider memulakan hidupnya sebagai projek Flash di dalam kelas oleh Boštjan Čadež, seorang pelajar Slovenia. Ianya kemudian dimuat naik ke laman DeviantArt pada tahun 2006. Pengguna boleh melakar laluan yang kemudian dinaiki oleh watak permainan yang menaiki sebuah lungsur salji. Line Rider menjadi popular kerana ia membenarkan pemain melakar laluan mengikut citarasa tersendiri dan menyimpannya. Bertitik tolak dari sebuah permainan Flash yang mudah, Line Rider kemudian menjadi permainan komputer di platform Nintendo DS, Wii dan juga iPhone. Ianya turut digunakan di dalam kelas untuk mengajar konsep fizik seperti momentum.

6.XIAO XIAO

Xiao Xiao ialah siri animasi orang lidi melakukan aksi kungfu melampau setanding dengan apa yang anda lihat di dalam filem Hong Kong. Keseluruhan animasi dihasilkan menggunakan Flash oleh Zhu Zhiqiang pada tahun 2002. Ia menjadi popular selepas dimuat naik ke laman NewsGrounds yang juga merupakan laman animasi Flash yang popular pada waktu tersebut. Sebanyak 10 animasi Xiao Xiao dihasilkan dan ia kemudian menjadi inspirasi kepada ratusan lagi penggiat Flash untuk menghasilkan versi mereka sendiri. Kepopularan Xiao Xiao kemudian digunakan oleh Nike untuk beberapa iklan mereka. Zhu Zhiqiang kemudian menyaman Nike kerana dikatakan meniru idea beliau. Nike kemudian didapati bersalah dan perlu membayar ganti rugi sebanyak $36000 kepada beliau. Kesemua animasi Flash asal Xiao Xiao masih boleh ditonton di laman Newsgrounds.

5.ANIMATOR VS ANIMATION

Terdapat ratusan animator yang mendapat inspirasi dari Xiao Xiao. Alan Becker ialah salah seorang yang mendapat inspirasi dan kemudian menghasilkan edisi beliau yang kami rasakan jauh lebih menarik dan kompleks. Animasi pertama Animator vs Animation dihasilkan pada tahun 2006 dan dimuat naik ke Newsgrounds dan DeviantArt. Seperti Xiao Xiao, Animator vs Animation turut menjadi viral dengan jumlah tontonan dikatakan mencecah 100 juta kali. Animasi ini kemudian dipaparkan di CNN, Comedy Central, Wall Street Journal dan Attack of The Show. Apa yang membuatkannya menarik? Keseluruhan animasi ini dihasilkan menggunakan Flash dan memaparkan pergaduhan di antara animator dan watak animasi di dalam susur program Flash itu sendiri.

4.MK VS SF

Siri permainan komputer manakah yang paling anda minati? Street Fighter ataupun Mortal Kombat? Watak manakah yang paling berkuasa? Ryu ataupun Raiden? Persoalan watak manakah yang paling berkuasa ini tidak pernah terjawab kerana permainan Street Fighter vs Mortal Kombat tidak pernah dihasilkan. Pada tahun 2005 animasi MK vs SF dihasilkan oleh Peroxicide yang memaparkan watak dua permainan komputer ini bertengkar sesama sendiri. Animasi ini dimuat naik ke laman Newsgrounds dan mendapat sambutan yang hangat. Peroxicide mengambil masa dua minggu menyiapkan karya agung beliau ini menggunakan 1000 sprites yang diambil dari permainan asal. Walaupun sudah berusia hampir 11 tahun, kualiti animasi MK vs SF masih lagi mengagumkan. Peminat dua permainan ini juga masih turut menanti Capcom dan NetherRealm Studio untuk menghasilkan permainan MK vs SF yang rasmi.

3.HOTEL 626

Interaktif, ini ialah perkataan yang sering ditekankan apabila membangunkan laman web sekitar 2008. Flash ialah perisian yang digunakan bagi meningkatkan tahap interaksi pengguna dengan laman. Perbagai cara digunakan untuk mencipta interaksi. Tetikus digunakan untuk mengawal antaramuka dan juga animasi. Hotel 626 ialah laman yang kami rasakan mengubah jangkaan pengguna tentang apakah yang boleh dilakukan dengan Flash. Ianya laman seram yang dihasilkan untuk mempromosikan keropok Doritos. Ia hanya boleh dimainkan dari jam 6 petang sehingga 6 pagi. Laman seram ini memerlukan interaksi menggunakan tetikus, papan kekunci, kamera web dan juga mikrofon.

Seingat kami tidak ada laman sebelum Hotel 626 yang menggabungkan kesemua input ini dari pengguna. Tetikus digunakan untuk mengambil gambar hantu seperti di dalam Fatal Frame. Mikrofon digunakan oleh pengguna untuk mendodoikan hantu kecil yang sedang tidur. Kamera web pula mengambil gambar anda ketika terkejut kerana disergah hantu. Jika Scary Maze Game membuatkan anda terkejut, Hotel 626 akan memberikan anda mimpi buruk selama beberapa hari. Laman ini memenangi anugerah berprestij seperti Webby Awards, The FWA dan Cannes Cyber Lion. Malang sekali Hotel 626 tidak lagi berfungsi. Tambah malang ialah lapan tahun selepas kewujudannya, tidak ada laman lain yang mampu memberikan tahap interaksi pengguna seperti Hotel 626.

2.HAPPY TREE FRIENDS

Flash pada asalnya ialah program animasi keyframe yang diberi nama FutureWave. Hanya selepas dijual kepada MacroMedia ia menjadi popular sebagai alat animasi laman web dan juga penghasilan permainan video. Jadi kami meletakkan Happy Tree Friends di tempat kedua kerana menggunakan Flash sebagai program animasi seperti tujuan asalnya. Siapa tidak pernah menonton Happy Tree Friends di kalangan pembaca Amanz?  Kami rasakan sekiranya anda memiliki sambungan internet sejak 1999 pasti pernah menonton sekurang-kurangnya satu episod siri animasi comel tetapi ganas ini. Siri Happy Tree Friends wujud dari 1999 sehingga 2006. Ia anda pelopor awal penggunaan Flash di dalam siri animasi yang kemudiannya diikuti oleh siri lain seperti Arthur, Pucca dan Bob’s Burger.

FLASH-happy-tree-friends

1.YOUTUBE

Dimanakah YouTube tanpa Flash? Pemalam Flash diperlukan untuk memainkan video di YouTube sejak dari awal lagi. Ia hanya mula menyokong HTML 5 pada tahun 2010. Dengan YouTube muncul sebagai antara laman paling popular dunia yang menggunakan Flash, masa depan program ini kelihatan cerah. Tetapi bermula Januari tahun lalu, YouTube menggunakan HTML5 sebagai pemain default dan bukan lagi Flash. Ini ialah antara paku paling besar yang dibenamkan ke atas keranda Flash sebagai penggerak utama laman web dunia. Kami tidak lagi merindui Flash sejak kebelakangan ini. Masalah pemalam yang mengalami gangguan sehingga memerlukan pelayar ditutup terlebih dahulu tidak lagi berlaku. Tiada lagi keperluan mengemaskini Flash yang menghalang kami dari menonton video dengan tenang. Namun kami tidak akan melupakan memori indah dan juga seram yang kami lalui sejak mengenali Macromedia Flash pada tahun 2000. Terima kasih Flash.

Youtube-FLash



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "10 Memori Menarik Perisian Adobe Flash"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info