Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Ulasan: Xiaomi Mi 6 – Peranti Berkuasa & Menawan Pada Harga Berpatutan

Xiaomi Mi 6
Chipset Qualcomm Snapdragon 835
CPU 4 x Kryo 2.45 GHz
4 x Kryo 1.9 GHz
GPU Adreno 540
Memori 6GB RAM
Storan 64GB/128GB, tiada slot microSD
Kamera Utama 12MP (27mm OIS f/1.8) + 12MP (56mm f/2.6),
zoom optikal 2.0x, rakaman 4K
Kamera Hadapan 8MP, rakaman 1080p
Skrin 5.15-inci IPS LCD, 1080p, 428 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi b/g/n/ac, A-GPS, Bluetooth 5.0
Sistem Android 7.1.1 Nougat + MIUI 8
Bateri 3350 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 168g, 7.5mm

Xiaomi sentiasa terkenal dengan penawaran peranti berkuasa pada harga yang jauh lebih berpatutan berbanding pesaingnya. Perkara ini dijayakan atas pengurangan kos dari segi pengiklanan dan medium jualannya melalui atas-talian. Penjimatan ini dapat memberi manfaat kepada peranti hasilan mereka, dengan menghadirkan spesifikasi yang cukup menarik pada harga yang rendah. Perkara ini boleh dilihat daripada Xiaomi Mi5 sendiri, yang mana ditawarkan pada harga sekitar RM1.2k untuk peranti yang dijana dengan cip Snapdragon 820.

Pada tahun ini, mereka sekali lagi tampil dengan peranti yang cukup berkuasa menerusi Xiaomi Mi6, dengan rekaan yang lebih menarik berbanding flagship mereka sebelum ini. Ia hadir dengan kaca 3D pada 4 bahagian, selain menawarkan rekaan hadapan yang kemas dan elegan. Bukan itu sahaja, Xiaomi Mi6 juga antara peranti yang terawal membawakan cip pemrposesan Snapdragon 835, iaitu cip pemprosesan paling berkuasa untuk peranti Android keluaran tahun ini. Menariknya, ia ditawarkan pada harga dua kali lebih murah berbanding beberapa peranti pesaing di pasaran, seperti Samsung Galaxy S8 mahupun iPhone 7 Plus.

Xiaomi Mi6 turut membawakan penggunaan memori setinggi 6GB RAM, yang mana cukup besar berbanding kebanyakan peranti di pasaran yang menggunakan 3GB/4GB RAM. Ia juga membawakan fungsi dwi-kamera 12MP, meletakkannya bersaing seperti peranti iPhone 7 Plus yang turut menggunakan teknologi berasaskan zoom optikal. Dengan harga RM1599, ia dilihat sebuah peranti yang amat padat dengan penawaran spesifikasinya, namun bolehkah ia memberi penawaran yang hebat berbanding pesaingnya?

Rekabentuk

Jika diteliti pada rekaan Xiaomi Mi6, ia masih membawa sedikit rekaan Xiaomi Mi5 sebelum ini, terutama di bahagian belakang peranti. Jika sebelumnya lengkungan kaca hanya hadir pada 2 bahagian sisi, kaca 3D pada Mi6 hadir pada 4 bahagian sisi (iaitu pada kiri, kanan, atas & bawah). Rekaan seperti ini amat menarik perhatian dan selesa untuk dipegang, cuma ia terlalu licin untuk dipegang terutama ketika tangan berada dalam keadaan kering. Mujur Xiaomi ada membekalkan jelly case di dalam kotak secara tersedia, sebagai perlindungan peranti disamping membuatkan anda yakin untuk memegang Xiaomi Mi6 ini.

Rekabentuk pada bahagian hadapannya juga membawa perubahan berbanding Mi5 sebelum ini, dengan penampilan yang jauh lebih kemas dan moden. Ia kini tidak lagi menyertakan penjenamaan “Mi” pada bahagian atas, seperti yang dilakukan pada peranti baru keluaran Xiaomi menerusi Redmi Note 4. Skrin pada bahagian hadapan ini juga telah membawa kemasan kaca 2.5D, dalam memberi imej yang lebih elegan pada rekabentuk Mi6. Apa yang cukup suka ialah pengimbas cap jarinya yang kini dibina di bahagian bawah kaca, tidak seperti sebelum ini yang dibina berasaskan butang.

Di bahagian bawah peranti menempatkan dua ruang pembesar suara, namun bunyi yang dikeluarkan pada bahagian ini hanya mewakili satu channel sahaja. Seperti iPhone 7, Xiaomi Mi6 kini menyertakan pembesar suara berasaskan stereo, dengan menjadikan earpiece untuk berfungsi sebagai saluran untuk audio. Bunyi yang ditampilkan agak lantang dan lebih imersif berbanding Mi5, terutama ketika mendengar kandungan multimedia dengan sokongan stereo. Berbalik kepada ruang di bahagian bawah peranti Mi6 ini, ia masih mengekalkan sambungan USB seperti Mi6 sebelum ini dengan sambungan berasaskan USB-C.

Seperti sudah menjadi standard pada peranti keluaran Xiaomi, fungsi IR blaster turut tersedia di bahagian atas peranti. Fungsi ini membolehkan pengguna menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh, untuk memudahkan anda mengawal perkakasan elektrik di dalam rumah anda. Namun satu perkara yang tidak lagi hadir bermula Mi6 adalah sambungan earphone jack 3.5mm, menyebabkan ramai yang kecewa dengan tindakan Xiaomi atas pengeluaran fungsi ini. Mujur Xiaomi ada membekalkan adapter USB-C ke 3.5mm di dalam pakej pembelian peranti, bagi memudahkan anda menyambung earphone kegemaran anda.

Bercakap mengenai pengimbas cap jari, peranti ini menawarkan masa responsif yang lebih pantas dengan kadar tindak balas sekitar 0.2s. Ketika diuji, pengimbas cap jari ini sememangnya memberi prestasi yang pantas, dengan kadar keberkesanan untuk menyahkunci peranti sekitar 90%. Ia juga mempunyai beberapa fungsi tambahan untuk pengimbas cap jari ini, seperti kebolehan untuk mengunci aplikasi pilihan anda seperti WhatsApp menerusi fungsi App Lock. Ia juga membolehkan anda untuk mengunci sesuatu album di dalam galeri bagi mengelakkan gambar peribadi anda diakses daripada pihak luar.

Paparan Xiaomi Mi6 masih membawa panel berasaskan IPS LCD, namun teknologi di belakang tabirnya telah membuatkan paparan ini amat terang untuk dilihat. Prestasi dari segi warnanya telah ditingkatkan berbanding Mi5, melalui peningkatan color gamut NTSC daripada 72% ke 94.4%. Begitu juga dari segi tahap keterangan skrin, yang mana kini lebih mudah dilihat di bawah sinaran matahari, melalui peningkatan brightness setinggi 600nit. Tetapi apa yang ditekankan untuk paparan Mi6 ini adalah sokongan perlindungan mata, dengan mengurangkan sinaran biru disamping mengekalkan warna pada skrin dalam keadaan vibrant. Resolusinya masih dikekalkan pada resolusi 1080p, yang mana masih tajam untuk dilihat pada masa kasar, tetapi mula memberi kesan untuk penggunaan VR.

Xiaomi Mi6 telah hadir dalam dua pilihan storan utama, menerusi storan 64GB dan 128GB. Pemilihan storan ini amat penting kerana ia masih tidak membawakan sokongan microSD walaupun peranti ini hadir dengan slot dwi-sim. Ia dijangka membawa harga sekitar RM1599 untuk versi 64GB + 6GB RAM, disamping versi 128GB + 6GB RAM pula dijangka membawa harga sekitar RM1855. Satu lagi variasi yang ditawarkan adalah variasi dengan rekaan seramik, yang bakal ditawarkan pada harga sekitar RM1999. Tarikh jualan rasmi untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui, namun seperti biasa, akan ada penjual yang membawanya ke sini melalui jualan peranti imported set dalam sebulan dua lagi.

Sistem

Xiaomi Mi6 masih membawa antaramuka MIUI 8, namun sistem operasi didalamnya telah dijana dengan Android 7.1 Nougat. Seperti yang terdapat pada peranti Xiaomi yang lain, antaramuka MIUI 8 masih membawakan homescreen tanpa sokongan app drawer, dengan meletakkan kesemua aplikasi pada paparan ini. Tampilan ikon yang hadir pada antaramuka ini juga masih mengekalkan penampilan yang ceria, yang mana boleh diubah melalui sokongan tema yang boleh dimuat-turun.

MIUI 8 membawakan tampilan antaramuka yang ringkas dan kemas, melalui penggunaan warna yang moden pada tampilan notification drawer, settings, dan aplikasi-aplikasi yang terbina pada antaramuka ini. Antaramukanya boleh dikatakan masih dipengaruhi daripada rekaan iOS, tetapi dilihat berkurangan untuk aplikasi-aplikasi terbina MIUI 8. Aplikasi Calendar, Clock, dan Weather mula membawakan rekaan tersendiri, dengan penampilan yang cukup ceria dan warna-warni.

MIUI 8 juga membawakan beberapa fungsi menarik seperti Dual Apps, yang membolehkan anda membuat aplikasi pendua untuk kegunaan dua akaun berbeza. Satu fungsi menarik yang dilihat menarik adalah Second Space, membenarkan anda untuk mengasingkan kegunaan peribadi dan kerja melalui dua ruang kerja berbeza. Ia juga membekalkan fungsi Game Booster, untuk meningkatkan prestasi permainan dengan mengurangkan jumlah aplikasi daripada berjalan di belakang tabir.

Xiaomi juga menawarkan aplikasi pengurusan peranti di dalam Mi6, melalui kehadiran aplikasi yang dinamakan sebagai Security. Ia bertindak sebagai pusat sehenti untuk peranti ini, dengan menawarkan fungsi seperti anti-virus, kawalan penggunaan data, network speed test, dan memory cleaner. Melalui aplikasi ini juga, anda boleh mengawal permission untuk sesuatu aplikasi, selain membenarkan anda mengurus senarai nombor yang diblock pada fungsi Blocklist.

Bercakap mengenai bloatware, Xiaomi Mi6 yang digunakan pada ulasan ini adalah set untuk pasaran China, yang mana memberikan sejumlah aplikasi yang terpasang untuk kegunaan pengguna di sana. Tetapi apabila Mi6 versi antarabangsa mula dijual kelak, jumlah aplikasi yang terpasang mungkin sama seperti yang hadir pada ulasan Xiaomi Redmi Note 4, melalui penyertaan sejumlah aplikasi daripada Google dan empat aplikasi daripada pihak ketiga.

Prestasi

Xiaomi Mi6 boleh dikatakan antara yang terawal menggunakan Snapdragon 835, selepas Galaxy S8 (dan Xperia XZ Premium walaupun hanya dipasarkan selepas bulan Mei-Jun ini). Antara perubahan signifikan yang hadir pada cip berbanding Snapdragon 820 adalah binaan 10nm, yang membolehkan cip berprestasi dengan lebih efisien berbanding rekaan 14nm. Ia juga membawakan modem Snapdragon X16 LTE serba baru, yang direka dengan kemampuan muat-turun setinggi 1 Gigabit per saat.

Apabila diuji daripada AnTuTu Benchmark, cip ini sememangnya mengungguli kedudukan yang teratas, dengan catatan mata sekitar 174,382. Prestasi ini adalah setara dengan Samsung Galaxy S8 versi Exynos 8890, yang mana telah mencatatkan mata 171,898. Dengan mata setinggi ini, ia telah meninggalkan peranti flagship yang terdahulu, dengan catatan mata sekitar 116,317 pada Xiaomi Mi5.

Dengan cip berprestasi tinggi ini, Xiaomi Mi6 tidak menunjukkan sebarang isu dari segi prestasi, baik dari segi hiccup atau lag terutama ketika membuka sesuatu aplikasi. Membuka aplikasi harian saya dapat dibuka dengan begitu pantas, tanpa perlu menunggu sesuatu aplikasi berada dalam keadaan sedia untuk seketika waktu. Begitu juga dari segi kelancaran multitasking, penggunaan memori setinggi 6GB RAM membolehkan banyak aplikasi berjalan di belakang tabir, tanpa perlu dibebankan dengan masalah aplikasi direload selepas diakses semula.

Prestasi permainannya juga menujukkan peningkatan berbanding cip Snapdragon 820, dengan kehadiran grafik Adreno 540 yang memberikan kelancaran 25% lebih pantas. Memainkan sejumlah besar permainan dapat dimainkan pada tetapan grafik tertinggi, tanpa perlu risau dengan masalah prestasi yang dikurangkan. Ketika menguji permainan seperti Bully: Anniversary Edition dan Assassin’s Creed Identity, ia mampu memberikan bacaan frame rate yang amat konsisten, tanpa sebarang isu frame drop walaupun memainkannya pada jangka masa lama.

Kamera

Satu perkara yang turut diberi fokus pada Xiaomi Mi6 adalah keupayaan fotografi, yang mana menawarkan teknik dwi-kamera seumpama iPhone 7 Plus. Ia menggunakan teknik zoom optikal, yang mana turut ditawarkan pada ASUS Zenfone 3 Zoom yang pernah saya ulas sebelum ini. Walaupun teknologi kameranya dilihat hampir kelihatan serupa, tetapi perlaksanaan teknologinya adalah sedikit berbeza pada Mi6 ini.

Ia membawakan kamera utama wide angle 12MP f/1.8 27mm, yang mana turut dibantu dengan sistem OIS 4-paksi untuk mengurangkan kesan gegaran pada gambar dan video. Kamera keduanya pula dikuasakan dengan kamera telephoto 12MP f/2.6 52mm, dengan penawaran zoom optikal sebanyak 2x bersama kebolehan untuk mendapatkan kesan bokeh pada penggambaran Aperture Mode. Turut hadir bersama adalah lampu flash berasaskan LED dengan dwi pencahayaan sebagai pembantu untuk penggambaran malam.

Hasil kualiti penggambarannya memberikan peningkatan dari segi keperincian imej, yang mana kini lebih tajam dan lebih terang berbanding Mi5. Hasil warnanya juga lebih menyerlah dan lebih neutral, tanpa dibebankan dengan masalah gambar terlalu saturated. Kawalan dynamic range peranti ini juga menujukkan hasil yang ketara berbanding Mi5, yang mana kini cahayanya lebih sekata untuk penggambaran yang berlatar belakangkan cahaya.

Xiaomi Mi6 juga menujukkan peningkatan prestasi dari segi penggambaran low-light, yang mana kini dibantu melalui penggunaan sensor f/1.8. Bukaan aperture sebesar ini, saya sering menerima gambar yang terang pada waktu malam, tanpa dibebankan dengan masalah noise yang ketara. Keperincian imej pada penggambaran kurang cahaya ini juga masih memberikan hasil imej yang tajam, walaupun tidak sebaik Galaxy S8 yang membawakan aperture f/1.7. Saya boleh kata, prestasi kamera Xiaomi Mi6 hampir menyerupai Huawei P10 untuk kualiti penggambaran malam dan siangnya.

Kebolehan zoom optikalnya pula dilihat memberikan hasil kualiti penggambaran yang masih baik, walaupun tidak setajam kamera utama yang hadir dengan bukaan aperture yang lebih sebesar. Tetapi apa yang membuatkannya kehadiran kamera kedua ini lebih bermakna, ia membolehkan kesan bokeh dilakukan di belakang objek, seolah-olah diambil daripada sebuah DSLR. Prestasi bokehnya saya boleh kata hampir sama seperti Huawei P10 dan iPhone 7 Plus, yang mana sangat kemas apabila ditelilti pada bahagian sisi objek.

Aplikasi kamera yang digunakan pada Mi6 ini masih menawarkan antaramuka yang serupa seperti kebanyakan peranti lain. Tetapi apa yang membezakannya adalah kehadiran ikon Portrait Mode pada bahagian atas, bagi memberi indikator untuk penggunaan mod ini. Ia juga membawakan nilai angka zoom di bahagian bawah, yang juga berfungsi untuk membuat penukaran daripada kamera utama dan kamera kedua. Beberapa mod lain turut tersedia seperti Panorama, Tilt-Shift, GroupShot, dan HHT (Hand Held Twilight) untuk digunakan pada sesi penggambaran anda.

Xiaomi Mi6 juga membawakan fungsi Manual Mode yang lebih menyeluruh berbanding siri Redmi, yang kini menawarkan kebolehan untuk mengubah shutter speed dari 1/1000s sehingga 1/4s. Ia juga membolehkan anda untuk mengubah white balance, fokus, jenis lens (wide/telephoto), dan ISO dari 100 sehingga 3200.

Untuk keupayaan video, Xiaomi Mi6 membawakan fungsi rakaman video 4K@30fps, selain memberikan pilihan saiz rakaman 1080p, 720p, dan 480p. Kualitinya amat sesuai untuk rakaman harian, dengan rakaman yang lebih stabil berbanding peranti sebelumnya. Cuma warnanya kadangkala sedikit gelap apabila dibandingkan dengan peranti-peranti yang ada di pasaran. Untuk kebolehan slow-motion, Xiaomi Mi6 masih menawarkan rakaman slow motion 120fps pada 720p walaupun cip pemprosesannya sudah cukup berkuasa.

Bateri

Xiaomi Mi6 telah membawakan kapasiti yang lebih besar berbanding Mi5, dengan membawakan kapasiti 3350 mAh berbanding 3000 mAh sebelum ini. Dengan binaan 10nm pada Snapdragon 835, ia mampu menjimatkan penggunaan tenaga dengan lebih efisien, jika dibandingkan dengan Snapdragon 820 sebelum ini yang dibangunkan dengan 14nm.

Hasil bacaan bateri yang dibawa Xiaomi Mi6 masih boleh dikatakan amat baik, yang mana saya sering mendapat 6-7 jam Screen-on-Time (SoT) untuk masa bertahan selama 24 jam. Ia suatu bacaan bateri yang baik, dengan memberikan bacaan SoT melebihi 4 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Ia juga lebih baik berbanding Galaxy S8, yang membawakan bacaan SoT sekitar 2-3 jam untuk mod paparan QHD+ dan 4-5 jam SoT untuk mod paparan FHD+.

Teknologi pengecasan Xiaomi Mi6 walau bagaimanapun masih menggunakan teknik pengecasan pantas Quick Charge 3.0, apabila dirujuk daripada halaman rasmi Xiaomi sendiri. Kehadiran teknologi pengecasan ini diperkukuhkan lagi dengan pengecas yang hadir di dalam kotak pembelian peranti, yang memaparkan logo Quick Charge 3.0. Untuk masa pengecasan peranti, Xiaomi Mi6 mengambil masa sekitar 1 jam 40 minit untuk mengecas peranti ini sehingga penuh. Ia berpadanan dengan masa pengecasan LG G6 dan HTC 10 yang mana turut mencatatkan masa pengecasan yang hampir sama.

Rumusan

Xiaomi Redmi Note 4 masih menawarkan sebuah pembelian peranti yang berbaloi atas penawaran spesifikasi yang sangat berpatutan dengan harganya. Malah ada beberapa perkara, Redmi Note 4 telah menunjukkan peningkatan yang lebih baik terutama dari segi keupayaan kamera yang kini lebih mesra low-light dan masa bertahan bateri yang lebih lama. Ia juga masih mengekalkan beberapa keistimewaan pada Redmi Note 3 seperti binaan berasaskan logam, kehadiran skrin 5.5-inci, pengimbas cap jari, dan fungsi IR blaster secara terbina.

Walaupun ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pesaing, Xiaomi Mi6 masih memberikan pengalaman menggunakan peranti premium melalui rekaannya yang cukup kemas dan elegan. Ia juga membawakan spesifikasi yang cukup tinggi, melalui kehadiran cip Snapdragon 835 dan memori 6GB RAM, sekaligus meletakkannya antara peranti yang berkuasa untuk tahun ini. Tidak cukup dengan itu, ia juga memberi manfaat kepada pengguna dalam mendapatkan keupayaan yang hadir Huawei P10 dan iPhone 7 Plus, tanpa perlu berbelanja lebih untuk mendapatkannya.

Xiaomi Mi6 juga banyak membaiki kelemahan yang hadir pada rekabentuk Mi5 sebelum ini terutama dari segi jisim peranti yang kini lebih berat dan selesa untuk dipegang. Ia juga tidak memberikan masalah haba yang serius seperti Mi5, sekaligus membuatkan penggunaan lebih selesa apabila digunakan pada jangka masa lama. Ia juga menambah baik kebolehan kamera, yang kini lebih terang, lebih tajam, dan lebih mesra penggambaran low-light.

Pro
  • Membawa peningkatan ketara pada bahagian kamera.
  • Snapdragon 835 menawarkan prestasi terpantas untuk cip sekelasnya.
  • Rekaan lebih berat dan selesa untuk dipegang.
  • Hadir dengan pembesar suara berasaskan stereo.
  • Pengimbas cap jari mampu menyahkunci peranti dengan pantas.
  • Menawarkan ketahanan bateri yang lebih lama.
  • MIUI 8 kini didatangkan dengan Android 7.1.1 Nougat.
  • Masih mengekalkan fungsi IR blaster.
Kontra
  • Tiada 3.5mm earphone jack.
  • Tidak hadir dengan microSD.

Walau bagaimanapun, ketiadaan sambungan earphone jack 3.5 dilihat antara kelemahan terbesar untuk peranti ini, seperti yang dilakukan pada Moto Z dan iPhone 7 Plus. Walaupun dibekalkan dengan adapter, pengguna perlu membawanya ke mana-mana yang mana terdedah dengan masalah tercicir atas saiznya yang kecil. Seperkara lagi, ia juga masih tidak menawarkan slot microSD walaupun kebanyakan peranti flagship di pasaran telah membawa fungsi ini semula.

Penawaran fungsi dan spesifikasi yang dibawa Xiaomi Mi6 ini bagi saya terlalu padat, yang mana cukup berbaloi sekiranya anda mencari sebuah telefon yang berpatutan dan berkuasa pada tahun ini. Ia menawarkan prestasi harian yang amat pantas, keupayaan kamera yang sangat baik, bersama jangka hayat bateri yang lama untuk kegunaan anda sepanjang hari. Binaannya juga membuatkan peranti ini amat menarik perhatian, membuatkan anda lebih menghargai peranti ini dengan lebih lagi. Secara keseluruhannya, Xiaomi Mi6 ini adalah sebuah peranti yang menawarkan spesifikasi seperti Galaxy S8, membawakan kamera seumpama iPhone 7 Plus, tetapi pada harga dua hingga tiga kali lebih murah berbanding pesaingnya.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Ulasan: Xiaomi Mi 6 – Peranti Berkuasa & Menawan Pada Harga Berpatutan"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info