Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Pandang Pertama : Acer Swift 1 Dan Swift 3

Siri laptop Acer Swift menggabungkan pelbagai kemajuan teknologi komputer. Berdasarkan model-model Acer Swift 7 dan Swift 5 yang dilancarkan tahun lepas, laptop dalam siri Acer Swift ini haruslah cukup berkuasa untuk membolehkan pengguna-pengguna melakukan tugas-tugas harian menggunakan komputer di mana-mana, mempunyai reka-bentuk minimalis dan elegan, dan pada masa yang sama, mempunyai jangka-hayat yang cukup panjang supaya pengguna tidak perlu risau tentang pengecasan apabila membawanya keluar untuk sehari.

Model-model siri Acer Swift yang baru dilancarkan, Acer Swift 1 dan Acer Swift 3 kedua-duanya mampu melakukan semua tugas-tugas diatas, tetapi kedua-dua laptop ini juga mengisi keperluan yang agak berbeza.

Spesifikasi

Acer Swift 1
Skrin 13.3″ IPS LCD 1920×1080 pixel
Pemproses Intel Pentium N4200
Intel Celeron N3450
Kad Grafik Intel HD Graphics
RAM 4GB DDR4
Muatan Dalaman Sehingga 256GB SSD
64GB eMMC
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
USB USB 3.0 Type-A x2
USB 2.0 Type-A x1
USB 3.1 TYpe-C x1
Video HDMI
WiFi 2×2 802.11ac MuMIMO

Bermula dengan laptop Acer Swift 1, laptop ini mempunyai paparan skrin IPS bersaiz 13.3 inci pada resolusi Full HD (1920×1080). Acer Swift 3 pula mempunyai dua pilihan saiz skrin paparan, termasuklah skrin IPS bersaiz 14.0 inci dan 15.6 inci, dan kedua-dua paparan ini juga hadir dengan resolusi Full HD.

Dari segi pemprosesan pula, Swift 1 hadir dengan pilihan CPU Intel Celeron N3350/N3450 dan Intel Pentium N4200. Dari segi memori dan storan, Swift 1 mempunyai RAM DDR4 sebanyak 4GB, manakala dari segi storan pula, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih sama ada mereka mahukan SSD sebesar 128GB, 256GB ataupun storan eMMC sebesar 64GB sahaja.

Acer Swift 3
Skrin 14.0″ IPS LCD 1920×1080 pixel
15.6 IPS LCD 1920×1080 pixel
Pemproses Intel Core i7-7500U
Intel Core i5-7200U
Intel Core i3-7100U
Kad Grafik Kad Grafik NVIDIA
Intel HD Graphics
RAM 4GB/8GB DDR4
Muatan Dalaman SSD sehingga 512GB
Cakera keras sehingga 2TB
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
USB USB 3.0 Type-A x2
USB 2.0 Type-A x1
USB 3.1 TYpe-C x1
Video HDMI
WiFi 2×2 802.11ac MuMIMO

Untuk Swift 3, pilihan CPU lebih menarik sedikit berbanding dengan Swift 1. Pengguna boleh memilih untuk menggunakan CPU Intel Core i7-7700U, Intel Core i5-7200U ataupun Intel Core i3-7100U. Pilihan komponen dalaman tidak berakhir di situ sahaja, kerana pengguna juga diberi pilihan untuk menggunakan memori DDR4 sebanyak 4GB ataupun 8GB, dan juga storan SSD antara 128GB sehinggalah 512GB. Jika jumlah storan lebih penting buat anda, Acer juga memberi pilihan untuk menggunakan muatan cakera keras dengan jumlah storan antara 500GB sehinggalah 2TB.

Setakat ini, dari spesifikasi dalaman, kita dapat lihat bahawa Acer Swift 1 lebih kepada pengguna-pengguna yang menggunakan komputer untuk tugas-tugas ringkas seharian, manakala Acer Swift 3 lebih cenderung untuk mereka yang inginkan prestasi yang lebih tinggi supaya mereka boleh melakukan tugas-tugas yang lebih professional.

Kemaskini spesifikasi Acer Swift 3 ini belum lagi berakhir, kerana ia juga hadir dengan sebuah kad grafik NVIDIA terbina didalamnya. Buat masa ini, pihak Acer masih belum mengatakan apa-apa lagi mengenai kad grafik ini, jadi kami hanya boleh memberi spekulasi bahawa ianya akan menggunakan kad grafik generasi Maxwell, ataupun Pascal melalui GTX 1030 yang diura-urakan akan hadir di pasaran tidak lama lagi.

Bergerak kepada port I/O, kedua-dua laptop Acer Swift 1 dan Swift 3 ini mempunyai susunan port yang sama. Di sebelah kiri terdapat sebuah port USB 2.0 dan juga sebuah pembaca kad SD, manakala di sebelah kanan pula, dua port USB 3.0 Type-A hadir dengan sebuah port USB 3.1 Type-C dan juga HDMI jika anda ingin melanjutkan skrin anda kepada paparan luaran.

Papan kekunci Acer Swift 1 dan Swift 3 juga rasa lebih kurang sama seperti Swift 5, yang pada pendapat kami rasa agak selesa walaupun jika ia digunakan untuk jangka masa yang lama. Selain dari itu, armrest dan trackpad kedua-dua Swift 1 dan Swift 3 juga boleh adalah lebih besar sedikit berbanding dengan Swift 5, dan dalam pada itu, model Swift yang terbaru ini juga hadir dengan pengimbas cap jari yang terletak di sebelah kiri trackpad tersebut, di bawah papan kekunci.

Rekabentuk

Rekabentuk Acer Swift 1 dan Swift 3 juga menerima kemaskini yang baru. Sebelum ini, hanya Swift 7 yang mempunyai cangkerang aluminum yang penuh, manakala Swift 5 pula mempunyai rekabentuk yang sedikit berbeza, dengan model berwarna hitam mempunyai penutup belakang yang beralur.

Kedua-dua model Acer Swift 1 dan Swift 3 mempunyai cangkerang aluminium unibody yang memberikan kedua-dua laptop ini rupa yang menawan. Menariknya, kedua-dua laptop ini juga akan hadir dalam beberapa pilihan warna, termasuk emas, perak dan menarik sekali, merah jambu.

Dari segi ketebalan pula, kedua-dua laptop ini cukup nipis, akan tetapi ukurannya berbeza mengikut model. Swift 1 yang hanya mempunyai satu saiz paparan hadir dengan ketebalan 14.95mm, manakala Swift 3 dengan saiz paparan 14.0 inci mempunyai ketebalan 17.95mm, dan model dengan paparan 15.6 inci pula mempunyai ketebalan 18.95mm.

Rekaan minimalis dan ringkas ini juga dapat dilihat pada berat peranti ini. Swift 1 dikatakan mempunyai berat 1.3kg, manakala Swift 3 pula seberat 1.8kg. Ini membolehkan laptop-laptop ini dibawa kemana-mana sahaja, dan oleh kerana Acer menjanjikan jangka-hayat bateri 10 jam untuk kedua-dua model Acer Swift ini, anda hanya perlu mengecas laptop ini dengan penuh pada hari sebelumnya, dan tidak perlu membawa adapter pengecasan apabila anda keluar seharian bersama Acer Swift 1 dan Swift 3.

Acer juga telah mengumumkan model Acer Swift 3 Special Edition yang mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama dengan Acer Swift 3 yang biasa, tetapi dengan penutup belakang yang diperbuat daripada gelas.

Ciri-Ciri

Acer Swift 1 dan Swift 3 ini hadir dengan beberapa ciri-ciri yang kami telah nyatakan sebelum ini, temasuklah pengimbas cap jari yang menyokong teknologi Windows Hello, yang membenarkan anda menggunakan cap jari sebagai kata laluan untuk menggunakan komputer anda.

Bukan itu sahaja, kedua-dua laptop ini hadir dengan sokongan WiFi 802.11ac 2×2 MuMIMO yang bukan sahaja menjanjikan kelajuan internet WiFi yang laju, tetapi sambungan yang lebih stabil walaupun anda tidak begitu dekat pada router.

Bagi kami, Acer Swift 3 akan menjadi topik perbualan yang agak menarik, kerana ia bakal hadir dengan sebuah kad grafik NVIDIA yang kami pasti menjanjikan prestasi grafik yang lebih baik daripada model-model Acer Swift yang lain, tetapi kami tertanya-tanya jika ianya benar-benar mampu menjanjikan jangka-hayat bateri dalam lingkungan 10 jam apabila ianya keluar di pasaran.

Kesimpulan

Pengumuman model-model Acer Swift 1 dan Swift 3 ini menunjukkan bahawa Acer serius dalam percubaannya untuk menyerang segmen laptop kos rendah dan juga kos pertengahan.

Dengan Swift 1, Acer mempunyai sebuah laptop yang cukup bagus untuk kegunaan asas seharian, seperti melayari laman web, menonton video di iflix, Netflix, YouTube dan sebagainya, manakala Acer Swift 3 dengan kad grafik NVIDIA boleh dikatakan untuk mereka yang mahukan prestasi yang lebih mainstream dengan kebolehan grafik yang lebih baik daripada Intel HD Graphics.

Sama seperti Acer Predator Triton 700 yang kami tunjukkan sebelum ini, laptop Acer Swift 1 dan Swift 3 ini dikatakan akan hadir pada pertengahan tahun ini, sebahagian daripada kempen “kembali ke sekolah” mereka.

Harga untuk laptop-laptop siri Swift yang baru ini dikatakan bermula pada harga $330 (RM1432) untuk laptop Acer Swift 1, manakala harga untuk laptop Acer Swift 3 pula bermula pada $600 (RM2604).

Apa-apa pun, buat masa ini, kami akan menunggu untuk pihak Acer membuat pengumuman mengenai spesifikasi kad grafik NVIDIA yang akan digunakan oleh Acer Swift 3, kerana pada pendapat kami, ianya sebuah model laptop yang memberikan tawaran nilai yang terbaik di dalam segmen thin & light ini.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama : Acer Swift 1 Dan Swift 3"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info