Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Pandang Pertama: Asus ZenPad 7.0 (Z370CG)

Semasa di acara Computex pada bulan Jun yang lalu Asus telah memperkenalkan peranti tablet mereka yang diberi nama ZenPad, mengikuti kesemua nama keluarga ‘Zen’ berbanding sebelum ini. Semalam di acara media kelolaan Asus Malaysia, mereka telah mengumumkan Asus ZenPad 7.0 dan juga Asus ZenPad C 7.0 untuk pasaran tempatan.

Jika di acara Computex tempoh hari model yang diperkenalkan CEO Asus adalah ZenPad 8.0, ZenPad 7.0 seperti namanya membawakan paparan skrin bersaiz 7 inci. Ini kerana berdasarkan maklumbalas dan prestasi penjualan peranti mereka, Asus Malaysia membuat keputusan versi paparan 7-inci lebih popular di negara ini justeru membawakan ZenPad 7.0. Model yang hadir pada dua variasi ini mempunyai saiz yang sama dengan spesifikasi yang sedikit berbeza dan bagi pandang pertama ini ialah ZenPad 7.0.

Memperkasakan peranti ini adalah cip pemprosesan Intel Aton X3 empat-teras 64-bit dan 2GB RAM. Ia beroperasi menggunakan Android 5.0 Lollipop dengan paparan antaramuka ZenUI. Peranti yang mempunyai paparan bersaiz 7-inci ini mempunyai resolusi 1280×800 HD IPS dengan fungsi Tru2Life yang membuatkan gambar kelihatan lebih cantik dan realistik. Dengan paparan ini juga ia mempunyai sudut pandang yang luas, seluas 178 darjah.

Asus ZenPad - Pandang pertama -IMG_9921

Asus ZenPad - Pandang pertama -IMG_9906 Asus ZenPad - Pandang pertama -IMG_9901

Dari segi pengimejan, seperti peranti Zen yang lain ia dilengkapi dengan kamera utama 8MP dengan fungsi PixelMaster 2.0, membawakan kualiti imej yang baik meskipun gambar dirakam pada waktu kelam. Salah satu perkara yang kurang padanya ialah ketiadaan lampu limpah LED namun ini mungkin satu perkara yang normal buat kebanyakan tablet. Kamera hadapannya pula mempunyai sensor pengimejan sebesar 2MP cukup untuk merakam gambar selfie. Fungsi-fungsi lain pada peranti Zen yang lain juga terdapat pada ZenPad antaranya Beautification, Miniature, Time Lapse namun tiada fungsi kawalan professional seperti yang terdapat pada ZenFone 2.

Antara spesifikasi lain termasuklah ruangan storan sebesar 16GB yang boleh ditambah dengan penggunaan kad Mikro-SD. Kualiti bunyi peranti ini juga dikuasakan oleh SonicMaster DTS Audio. Bagi anda yang inginkan kualiti bunyi yang lebih baik, turut terdapat penawaran Asus Audio Cover dimana penutup berintegrasi hadir dengan pembesar suara 5.1 dan menghasilkan kualiti bunyi yang sangat bagus namun buat masa ini masih tidak dijual dalam masa terdekat. Kemungkinan ia akan hadir ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Asus ZenPad - Pandang pertama -IMG_9947 Asus ZenPad - Pandang pertama -IMG_9901

Dari percubaan singkat, apa yang menarik pada peranti ini pertamanya adalah dari segi kemasan. Kemasan di belakang peranti ini merupakan penutup plastik dengan permukaan bercorak crosshatch memberikan ilusi seakan dompet dan juga menambah cengkaman pegangan tangan terhadap peranti ini. Menerusi ujian percubaan menggunakan aplikasi dan membaca e-book, kesemua perkara tersebut dapat dilakukan dengan pantas dan tanpa lengah masa.

Peranti ini juga ditawarkan dengan beberapa pilihan penutup yang mudah ditukar iaitu Asus ZenCase. Menurut pihak Asus sendiri mereka ingin memenuhi kehendak pengguna yang mengutamakan tablet yang bergaya justeru penutupnya mudah ditukar disamping permukaan penutup belakang yang cantik. Satu perkara yang sedikit menghairankan adalah peranti ini walaupun membawakan fungsi telefoni, ia tidak memberikan sebarang fon telinga bersamanya jadi jika anda menggunakan tablet ini untuk fungsi telefoni, anda perlu menekupkannya pada pipi anda, atau menggunakan peranti Bluetooth untuk berhubung dengannya.

zenpad-scr-3 zenpad-scr-2 zenpad-scr-1

Tablet yang hadir dengan empat pilihan warna penutup iaitu Hitam, Putih, Metalik dan Oren ini akan mula dijual pada 26 Ogos dan harganya juga akan diumumkan pada tarikh berkenaan. Nantikan ulasan penuh berkenaan peranti ini tidak lama lagi.



Banyak lagi menarik FB kami

http://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Pandang Pertama: Asus ZenPad 7.0 (Z370CG)"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info