Sembang Maniac

Sembang-sembang je

SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci

Apa yang didengar dan dilihat, ternyata menghadiahkan kegembiraannya yang tiada taranya. Dan saya buat tidak kisah dengan tingkah laku anak buah Haji Bagus. Biarlah mereka bersiul atau menyanyi semahu-mahunya.

Toyol jadi-jadian

Apa yang dapat saya kesan di sebalik semuanya itu, mereka berusaha memperlahankan langkah agar jarak mereka dengan Haji Bagus kian jauh.

Saya tidak tahu, apakah tindak tanduk mereka itu dapat dikesan oleh Haji Bagus. Tidak wajar saya ambil tahu.

Saya terus melangkah dengan mengambil kira keselamatan diri, terpaksa berpaut pada batang-batang pokok kecil.

Kami kini sedang menuruni kawasan berbukit menuju ke tanah pamah. Silap langkah atau tersilap paut, badan bergolek di bumi dan berhenti bergolek bila sampai di kaki bukit.

Kerana itu harus melangkah dengan hati-hati dan teliti. Dua tiga kali saya dikejutkan oleh mengkarung liar yang berlari di bawah dedaun kering.

Nyamuk terus mengelilingi cuping telinga, bunyinya menganggu perjalanan. Begitulah, sesudah peluh membasahi sekujur tubuh, akhirnya kami berhadapan dengan jalan berpasir selebar tiga kaki.

Ada kesan tayar basikal dan motosikal di samping tapak kaki manusia dan binatang ternakan.

Panas makin terik, angin yang bertiup lembut sudah lama berhenti tetapi, unggas terus berbunyi.

Saya mula terasa penat dan mahu berhenti. Malangnya saya tidak dapat berbuat demikian kerana Haji Bagus tidak mengizinkan perjalanan diberhentikan tanpa kebenaran darinya.

Setelah hampir dua rantai memijak jalan berpasir, tanpa disangka-sangka Haji Bagus berhenti melangkah.

"Kita sekarang ada di hujung kampung. Kita dah sampai," Haji Bagus bersuara lalu duduk bertengek di akar pokok tepi jalan berpasir.

Saya masih berdiri dan tidak dapat membuat keputusan sama ada terus berdiri atau duduk.

"Kenapa duduk?" tanya Tuk Siak yang terlewat beberapa minit

"Nak tunggu budak-budak," sahut Haji Bagus.

Tuk Siak anggukkan kepala dan terus duduk di sisi Haji Bagus. Dan tanpa rasa malu saya terus duduk atas rumput tepi jalan.

Lebih kurang lima minit kemudian anak buah Haji Bagus pun sampai. Mereka berkumpul lalu mengelilingi kami (Haji Bagus, Tuk Siak dan saya).

Semuanya bermandi peluh tetapi masih mempamirkan wajah keriangan dan senyuman.

"Kamu tahu, kita ni dah berada di hujung kampung."

"Iya, kami tahu Pak Aji."

"Jadi aku nak tanya kamu semua, kamu nak ke masjid atau nak terus balik ke rumah masing-masing," suara Haji Bagus bernada lembut yang diakhiri dengan senyum.

"Begini saja Pak Aji, kami ikut ke masjid dulu. Kemudian baru balik ke rumah masing-masing," jawap lelaki bermisai yang menjadi jurucakap kawan-kawan.

"Aku setuju dengan cara kamu tu, kita ke masjid dulu dan baca doa kesyukuran kerana kerja kita berhasil," celah Tuk Siak yang disambut dengan tepukan gemuruh.

GARANG

Perjalanan yang terhenti diteruskan. Selesai saja melalui jalan berpasir, kumpulan kami terus membelah jalan tanah merah yang terbentang di tengah kampung dan akhirnya melintasi kawasan perumahan.

Matahari terus bersinar garang. Kerana angin mula bertiup yang sekaligus berjaya menyingkirkan rasa panas di tubuh kami.

Kanak-kanak yang bermain gasing dan galah panjang di halaman rumah segera berhenti bermain.

Seluruh perhatian mereka tertumpu ke arah kami yang bergerak bagaikan ombak. Manakala suri rumah menjengukkan muka di tingkap dan di muka pintu.

Beberapa orang lelaki setengah baya bergegas turun dari rumah lalu bersatu dengan rombongan kami menuju ke masjid.

Saya tidak tahu, apakah kehilangan saya selama lebih 14 jam itu menjadi berita yang menggemparkan seluruh kampung tersebut?

Pasti kehilangan saya menjadi buah mulut penghuni kampung. Buktinya, semua insan di dalam kampung melemparkan pandangan ke arah saya.

Semoga di sebalik daun pintu dan tingkap ada gadis Tanah Jambi yang bermata galak dan hidung mancung.

Mana tahu, secara diam-diam ada yang simpati nasib malang yang saya alami dan akhirnya jatuh hati kepada saya.

Terhibur rasa hati dengan angan-angan yang berpeta dalam kepala secara mendadak.

Saya melangkah dengan tenang dan pura-pura buat tak kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Sepasang mata saya arahkan ke masjid yang tersergam indah di hadapannya, seolah-olah menanti kepulangan saya.

Alangkah bahagianya, kalau datuk dan Andi Kamarool menyambut kepulangan saya di pintu masjid, fikir saya dalam hati sambil menghayun langkah bersama Haji Bagus dan Tuk Siak.

Lebih kurang dalam jarak 100 hingga 150 kaki mahu sampai ke kawasan masjid (setelah melepasi selekoh kecil) tiba-tiba hati saya berdebar.

Saya dapat merasakan ada empat biji mata meenung gerak geri saya.

Apa yang bergolak dalam dada tidak saya cakapkan dengan Haji Bagus dan Tuk Siak. Dalam cemas dan debar langkah diteruskan.

"Assalamualaikum."

Serentak kami menoleh ke kanan. Datuk dan Andi Kamarool muncul dari celah-celah rimbunan pepokok kecil. Saya menarik bafas lega.

"Kemana kamu pergi."

Biji mata datuk terbeliak ke arah saya.

"Sasssss..." saya tidak meneruskan kata-kata kerana saya tergamam.

"Jangan dipaksa cucu kamu, semangatnya belum pulih. Kalau kamu marah-marah buruk jadinya," Tuk Siak mengingatkan datuk.

"Saya faham," suara datuk lembut.

"Kamu diseksa Tamar?" Andi Kamarool mengajukan pertanyaan.

"Kamu diseksa Tamar?" soal Andi Kamarool lagi.

"Iya, " kata saya perlahan sambil anggukkan kepala.

Dan selanjutnya tidak ada pertanyaan yang diajukan oleh Andi Kamarool kepada saya. Wajahnya nampak gusar sekali.

"Tak usah buang masa, kita ke masjid dulu. Kita buat sembahyang syukur," Haji Bagus mengemukakan usul.

"Satu cadangan yang baik," sahut Andi Kamarool.

Datuk memberikan persetujuan dengan menganggukkan kepala.

Sebelum bergerak ke masjid, Haji Bagus menemui salah seorang anak buahnya yang berbadan kurus, berkulit putih menyimpan janggut, misai dan jambang.

Ada sesuatu yang Haji Bagus cakapkan pada si kurus yang banyak mengangguk dari bersuara.

Beberapa minit kemudian, (sebaik saja Haji Bagus selesai bercakap) si kurus keluar dari kumpulannya, lalu bergerak menuju ke arah rumah Haji Bagus.

Apakah pesanan yang dibawa oleh si kurus untuk orang rumah Haji Bagus? Muncul pertanyaan nakal dalam benak saya.

"Awak tak usah marahkan cucu awak tu, dia dah selamat. Aku percaya dia tersesat," tanpa diduga, Haji Bagus bersuara sambil merenung ke arah datuk yang melangkah seiring dengannya.

"Saya tahu Abang Aji, saya tahu tapi..."

"Ha, kenapa tak teruskan, biar aku dengar."

"Tak mahu dengar cakap orang tua-tua."

"Ai, usah ambil kira semuanya tu. Budak-budak memang begitu."

"Semuanya menyangka diri dah pandai, bertindak ikut suka hati. Tak mahu dengar cakap orang," datuk terus merungut kecil kerana Haji Bagus dan Tuk Siak buat tidak kisah dengan apa yang datuk rungutkan. Perkara tersebut mati begitu saja.

Bila masuk di perkarangan masjid, anak buah Haji Bagus bergegas ke perigi membersihkan diri.

Saya dan Andi Kamarool juga tidak ketinggalan. Begitu juga dengan Tuk Siak, Haji Bagus dan datuk.

Saya agak terkejut bila mendapati anak buah Haji Bagus mengenakan pakaian yang baru dan bersih.

"Di mana dapat pakaian baru, Andi?"

Pertanyaan yang saya ajukan itu membuat Andi Kamarool tersenyum lebar. Dua tiga kali bahu saya ditepuknya.

"Kamu tak perasan, masa kamu jumpa dia orang tadi semuanya memakai baju putih, seluar hitam dan kain lilit kepala warna merah."

"Aku tak begitu ambil berat tentang apa yang mereka pakai, itu kelemahan diri aku Andi."

"Lain kali jangan buat macam itu, sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini, bila masuk ke hutan untuk mencari orang hilang atau sesat menggunakan pakaian khas macam tu.

"Pakaian tu disimpan dalam pondok kecil di bucu masjid. Bila kerja dia orang selesai, mereka pakai balik pakaian asal mereka."

"Barangkali dia orang ada ilmu baru."

"Bukan ilmulah Tamar, perkara itu sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini. Aku dah tanya hal ini dengan Tuk Siak."

"Hmm..." saya mengeluh.

"Macam kau, awal-awal lagi datuk kau sudah sediakan pakaian baru untuk kau. Dia tau pakaian kamu mesti kotor. Kau ni tak boleh berfikir langsung," sindir Andi Kamarool.

Sembahyang kesyukuran dan pembacaan doa selamat pun diadakan.

Saya jadi kelam kabut dan cemas semacam, bila sebahagian dari penduduk kampung yang berada dalam masjid mendesak supaya saya menceritakan kembali pengalaman yang dilalui.

Saya tidak ada pilihan terpaksa akur dengan permintaan mereka. Haji Bagus dan Tuk Siak memberikan kata-kata perangsang supaya saya bercerita.

Manakala datuk sendiri, tidak pula melarang atau menyuruh. Segala-galanya terletak atas kebijaksanaan saya untuk membuat keputusan.

"Ceritakan Tamar," desak Andi Kamarool.

"Baik," kata saya tenang.

Setelah rasa kelam kabut dan cemas dapat saya kawal dengan sebaik mungkin, maka dengan wajah yang penuh keyakinan saya memulakan cerita dari kedatangan seorang gadis yang menyerupai (menyamar) sebagai Nurul Hayat.

Dari situ berganjak kepada pengalaman pahit dan ngeri yang saya rasai semasa menjadi tetamu manusia yang disebut mahaguru.

"Itulah yang saya alami," dengan nada suara yang rendah saya mengakhirkan cerita.

Sebahagian daripada orang yang mendengar cerita saya itu terus mengeluh. Malah ada juga yang menggelengkan kepala dengan wajah yang berkedut.

"Kamu tahu kepala iblis yang paling besar, bukannya lelaki yang di panggil mahaguru. Orang kanan mahaguru itu sebenarnya iblis besar," seorang tua yang duduk dekat tiang seri masjid bersuara lantang. Semua biji mata tertumpu ke arahnya.

"Perempuan jahanam tu dipanggil Bomoh Monah Supandi. Nama sebenarnya adalah Halijah. Ilmu hitamnya cukup tinggi, sihir dan pukaunya tak terkalahkan.

"Kalau dia bergaul dengan kita, dia nampak seperti orang baik-baik, macam orang bangsawan. Namanya selalu berubah," tambah orang tua tu lagi.

Dia tidak peduli dengan biji mata orang ramai yang tertumpu kepadanya.

RESAH

"Kita harus berhati-hati , dia sedang mengembangkan ilmu jahatnya. Anak muridnya bukan saja di Sumatera ni, tetapi sampai ke Jawa dan Tanah Melayu," dengan wajah yang merah padam orang tua berhenti bercakap.

Dia terus duduk dan bersandar di tiang seri masjid.

"Nanti dulu, jangan tinggalkan masjid ni, kita makan dulu," Haji Bagus berdiri di muka pintu masjid menahan orang yang mahu keluar.

Pada sangkaan mereka semuanya sudah tamat sebaik sahaja saya mengakhiri cerita. Orang yang berdiri duduk kembali.

Orang tua yang bersandar di tiang seri nampak resah semacam. Saya segera menghampirinya. Kami bersalam penuh mesra.

"Apa yang mahu saya panggil?"

"Panggil apa saja, kamu tahu aku lebih tua dari datuk kamu," kata orang tua itu ramah.

"Sudah ke Tanah Suci?"

"Sudah dua kali ke sana."

"Kalau begitu saya panggil Tuk Aji saja, boleh?"

"Kamu budak yang bijak, aku tak kisah," orang tuan itu ketawa terkekeh.

Misai putihnya yang lebat turut bergerak. Rambutnya yang lebat sewarna dengan songkok putih (ketayap) yang di pakainya.

"Orang asal kampung ini?" saya merisik rahsia.

Dia gelengkan kepala.

"Dari Kerinci, dari Kampung Lempur Mudek. Datang berziarah ke rumah Tuk Siak.

"Petang semalam tiba. Masa sampai orang di sini heboh tentang kehilangan kamu, mereka bersiap nak mencari kamu," ada segaris senyum bermain di kelopak bibirnya.

"Jumpa dan bercakap dengannya."

"Tuk Aji tak ceritakan apa yang Tuk Aji tahu tentang bomoh perempuan tu."

Saya lihat orang tua tu menarik nafas panjang sambil merenung ke arah beberapa orang anak muda yang sedang menatang beberapa talam hidangan di muka pintu masjid. Hidangan itu segera disusun sebaris di ruang masjid.

Saya juga terlihat datuk, Haji Bagus dan Tuk Siak berada di sebelah masjid, tidak jauh dari tingkap. Mereka seperti berbincang tentang sesuatu.

"Aku dari mula sudah syak yang kamu ni dah masuk perangkap manusia syaitan tu. Tapi, aku tak berani nak cakap pada sesiapa," tanpa diduga orang tua itu bersuara tenang, saya mengigit bibir.

Kumpulan anak muda yang mengatur hidangan segera beredar ke tepi dinding. Tugas mereka sudah selesai.

"Aku tahu, datuk kamu juga sependapat dengan aku tapi, dia tidak mahu menceritakannya.

"Walau apapun, jangan fikirkan yang lalu tu. Kamu dah selamat. Aku bercadang nak mengajak kamu dan datuk kamu ke Tanah Kerinci."

"Kalau tak dijemput pun datuk memang ada rancangan nak ke sana."

"Betul ke?"

"Iya, Tuk Aji," kata saya serius.

"Jemput makan, jamahlah apa yang ada."

NIAT

Haji Bagus mempersilakan tetamu masjid menjamah hidangan yang tersedia. Sudah tentu permintaan tersebut tidak dihampakan.

Hidangan yang disediakan, boleh tahan juga. Keledek rebus, sambal bacang. Tumis petai ikan bilis, pulut putih, kopi dan teh. Pilih sendiri mana yang berkenan di hati.

Dan yang menjadi pilihan saya ialah pulut putih, tumis petai ikan bilis dan kopi. Enaknya tiada terkata.

"Masa bila orang rumah Abang Aji buat semuanya ini," tanya datuk yang hanya menghirup kopi panas. Dia tidak menjamah makanan yang lain.

"Saya dah niat dalam hati kalau jumpa cucu awak, saya nak jamu orang yang mencari cucu awak, termasuk orang yang menanti di masjid.

"Kerana itu, sebelum masuk hutan saya suruh orang rumah sediakan barang-barangnya. Bila di beritahu yang cucu awak sudah dapat, orang rumah saya terus masak," Haji Bagus buka rahsia.

"Ini dah kira cukup baik, tengah hari ni, tak payah suruh orang rumah masak," Tuk Siak bersuara lalu disambut dengan ketawa oleh tetamu yang ada.

"Sekarang baru pukul sebelas pagi, lepas waktu zuhur awak lapar semula, terpaksalah orang rumah masak nasi," tingkah datuk yang juga disambut dengan ketawa.

Menjelang pukul dua belas tengah hari masjid jadi sunyi.Para tetamu sudah pulang kerumah masing-masing. Saya, datuk dan Andi Kamarool terus berhenti di rumah Haji Bagus.

Semasa di rumah Haji Bagus, datuk terus menyoal saya secara lebih mendalam lagi tentang perkara-perkara aneh yang saya lihat dan alami semasa menjadi tetamu yang disebut mahaguru itu.

Dua hari kemudian, setelah menunaikan sembahyang Asar, saya dan Andi Kamarool terus berehat di ruang masjid.

Datuk dan orang tua yang saya panggil Tuk Aji berada di bahagian bawah masjid. Mereka berborak panjang di situ.

Barangkali datuk menceritakan kepadanya tentang rancangan untuk pergi ke Tanah Kerinci.

Mungkin bukan perkara itu yang dibincangkan. Siapa tahu, datuk dan orang tua itu sedang menyusun strategi tertentu untuk melanyak gerombolan anak buah mahaguru hingga ke akar umbinya.

Begitulah, sambil baring saya meramalkan sesuatu tentang perbualan datuk dengan Tuk Aji. Mungkin ramalan itu betul, mungkin tidak.

"Assalamualaikum..." terdengar suara di halaman masjid.

Saya dan Andi Kamarool segera bangun dan bergegas ke pintu masjid. Seorang lelaki memakai terendak, di pinggangnya terselit golok dan parang panjang.

Di bahu kanannya tersangkut segulung rotan seni. Dengan pakaian yang agak lusuh dan bertampal di sana sini, lelaki itu berdiri tenang di halaman masjid tanpa sepatu.

"Pencari rotan sesat," bisik Andi Kamarool.

"Barangkali."

"Bagaimana kita ke bawah."

"Ayoh."

Sebaik saja kami sampai di bahagian bawah masjid, tetamu yang tidak dikenali itu sudah pun berjabat tangan dengan datuk dan Tuk Aji.

"Apa hal awak kemari," soal datuk

"Tadi saya ke rumah Haji Bagus dan Tuk Siak, malangnya mereka tak ada di rumah. Orang rumah Haji Bagus suruh saya jumpa awak di masjid.

"Ada hal mustahak yang nak saya sampaikan kepada awak berdua. Saya bukan orang kampung ni.

"Kampung laman saya sebelah hulu tetapi, saya selalu lalu lalang semasa nak masuk ke hutan mencari rotan," tetamu yang tidak dikenali berhenti bercakap.

"Itu saja yang awak nak cakapkan kepada kami," kata Tuk Aji separuh resah.

Saya dan Andi Kamarool berpandangan, sedangkan datuk duduk merenung tanah. Dahinya dikerutkan.

"Bukan itu, ada hal lain yang lebih mustahak dari itu," suara tetamu yang tidak dikenali mula meninggi.

Segulung rotan seni di bahu dihempaskan ke bumi. Terendak yang menyerkup kepala segera dibuka.

Dia mempamirkan wajah garangnya. Mungkin dia tersinggung dengan kata-kata yang diucapkan oleh Tuk Aji.

Dia merasakan kata-kata itu seolah-olah mempersendakan segala usahanya.

"Jangan marah, abang saya ni tak bermaksud untuk memperkecilkan awak, terangkan, saya sedia mendengarnya. Kalau awak nak minta pertolongan, saya sedia membantu," kata-kata dari datuk itu ternyata dapat memadamkan api kemarahan yang meluap-luap di hatinya.

RESAH

Bila perasaannya sudah cukup tenteram, terendak di kepala diletakkan kembali ke kepala dan segulung rotan di bumi segera diambil lalu disangkutkan ke bahu kiri semula.

Dengan senyum dia menatap wajah datuk. Tetapi, dia seperti keberatan untuk mengucapkan sesuatu kepada datuk.

"Cakapkan, jangan segan-segan," datuk mendesak.

"Kerana kejadian tu saya kira terjadi dalam kawasan jagaan Haji Bagus, eloklah saya beritahu kepada orang-orangnya dengan..." dia tidak meneruskan kata-katanya akibat diganggu rasa gatal di leher. Dia terus mengaru dengan sepuas-puasnya.

"Dengan berbuat begitu perkara ini boleh awak sampaikan kepadanya, iaitu Haji Bagus," sambungnya.

"Apa halnya," celah Tuk Aji tanpa sabar.

"Begini. Semasa saya mencari rotan di kaki bukit, saya terserempak dengan sepasang suami isteri. Katanya, mereka datang dari Tanah Melayu dan tersesat jalan, saya tunjukkan jalan."

"Kamu bantu mereka?" soal datuk.

"Iya. Saya bawa bermalam di rumah saya. Pagi tadi sebelum mencari rotan saya bawa dia orang ke pekan dan saya perkenalkan mereka dengan orang yang selalu berulang alik ke Tanah Melayu."

"Dia tak cakap apa-apa dengan kamu?" soal Tuk Aji.

"Ada."

"Apa dia."

"Katanya, lepas cari rotan di hutan, dia suruh saya pergi ke satu tempat jumpa ketuanya untuk ambil hadiah. Saya ikut apa yang dia suruh."

"Kamu jumpa ketuanya?" soal datuk lagi.

Saya lihat tetamu yang tidak dikenali tu terdiam. Dia nampak resah. Dua tiga kali dia kedutkan dahi. Mundar mandir di depan datuk macam kucing hilang anak.

"Saya jumpa ketuanya dalam keadaan sungguh menakutkan. Seluruh badanya rentung terbakar.

"Tempat kediamannya berselerak tetapi, beberapa patung manusia dan binatang yang dibuat dari tembaga kuning masih elok.

"Saya juga terjumpa beberapa bahagian tanah yang diturap dengan simen, tidak jauh dari tubuh yang terbakar hangus tu, saya jumpa mayat orang lelaki.

"Mayat itu juga terbakar?" datuk serkap jarang.

"Mayat lelaki tu rentung separuh badan dari pinggang ke atas. Dari pinggang ke kiri, keadaannya elok."

"Macam mana kamu tahu dia lelaki?" soal Tua Aji.

"Alat sulitnya, alat sulitnya elok."

"Lagi apa yang kamu jumpa?" desak datuk lagi.

Pertanyaan itu membuat tetamu tidak dikenali melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

Matanya merenung ke arah papan dinding masjid. Saya kira dia sedang memerah otak untuk mengingati sesuatu.

"Semasa saya berpusing-pusing di situ saya juga terjumpa pedang lama dan tempayan. Oh ya. Saya jumpa mayat perempuan mati dihempap pokok besar separuh badannya terbenam dalam tanah.

"Perkara inilah yang hendak saya sampaikan kepada Haji Bagus. Ohh... Terlupa pulak nak bagi tau nama," tetamu yang tidak dikenali itu tersengih merenung saya dan Andi Kamarool.

Barangkali dia sendiri terasa lucu dengan tindak tanduknya itu. Sudah sampai mahu berbuih mulut, baru teringat mahu beritahu namanya kepada kami.

"Nama saya Khatib Koyan tapi orang panggil Koyan saja," katanya lalu membelakangi datuk dan Tuk Aji.

Orang itu pun meneruskan perjalanan pulang. Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki meninggalkan kami, orang itu berpatah balik.

"Ini ada beberapa bungkus barang yang diberikan oleh pasangan suami isteri itu kepada saya. Dia minta barang-barang ini disampaikan kepada Haji Bagus."

"Apa barangnya?" soal Tuk Aji.

Koyan pun mengeluarkan tiga bungkusan yang berbalut dengan kain hijau, putih dan merah dari dalam bajunya.

Bungkusan itu berukuran panjang kira-kira tiga inci dan lebarnya tiga inci. Tingginya dalam dua inci lebih, berbentuk empat segi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 166/284

BACA: SBDJ Siri 165: Dikejar Makhluk Aneh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info