Sembang Maniac

Sembang-sembang je

SBDJ Siri 153: Dendam Bomoh Wanita

Di tengah sinar matahari yang kian runduk itu saya terus menggosok pangkal hidung dua tiga kali. Suasana yang diadapi membuat saya rasa marah dan geram. Kenapa datuk harus mengadakan undang-undang sendiri untuk saya. Itu tak boleh, ini tak boleh. Kenapa saya tidak boleh bertanya atau menyoal si baju hitam?

SBDJ siri 139

Di saat saya berjuang dengan perasaan, tiba-tiba datuk batuk kecil. Hati saya berdebar cemas.

Anehnya si baju hitam tetap macam tadi. Melangkah tenang sambil merenung bumi. Sesekali dia angkat kepala merenung ke arah pepokok yang terdapat di kiri kanan jalan tanah merah. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa bimbangnya dari saya.

Matahari kian mengecil, angin bertiup lemah mengerakkan dedaun di hujung ranting. Tupai liar melompat dari dahan ke dahan.

Beburung mula terbang rendah sambil berbunyi memanggil kawan-kawan supaya pulang ke sarang kerana sebentar lagi senjakala akan tiba.

"Tuk," jerit saya.

Seekor monyet botak (dari kepala hingga ke paras pinggang tidak berbulu. Dari paras pinggang ke paras punggung bulunya berwarna merah dan ekor berwarna hitam) bergayut di dahan sambil menyeringaikan giginya. Bersedia mahu melompat ke arah saya.

Datuk dan si baju hitam berhenti melangkah. Merenung ke arah saya sebelum beralih merenung ke arah monyet botak.

"Kita dalam bahaya," keluh si baju hitam.

"Jangan bimbang, pedulikan semuanya, kita jalan terus," ujar datuk lalu mengajak saya dan si baju hitam meneruskan perjalanan.

"Tetapi," terucap kata keraguan dari si baju hitam.

"Tak ada tapinya, kalau dilayan kita yang binasa, mari," datuk segera menarik tangan si baju hitam.

Anehnya, monyet botak melompat dari dahan ke dahan mengikut arah ke mana kami melangkah.

Si monyet botak bagaikan mengawasi apa yang kami lakukan. Suara jeritannya cukup keras menguasai seluruh kawassan sekitar.

Bila saya menoleh ke arahnya, si monyet menunjukkan kemarahan yang amat sangat. Dengan gigi yang menyeringai bersedia untuk mengigit di mana-mana bahagian tubuh badan saya.

Bagi menenangkan perasaan dan mententeramkan hati, saya membuat keputusan tidak mahu merenung ke arah monyet botak.

Saya tidak mahu ambil kisah tentang monyet botak. Mahu menjerit sekuat mana pun, jeritlah.

Kalau mahu melompat setinggi mana pun, lompatlah tetapi, kalau dia menyerang, bagaimana?

Pertanyaan yang muncul dalam hati secara spontan itu membuat kepala lutut saya terasa lemah.

Kalau tadi saya hanya mengetahui yang monyet botak itu bergerak dari dahan ke dahan, di sebelah kiri jalan.

Kini saya mula terdengar bunyi monyet melompat dari dahan ke dahan di sebelah kanan jalan.

Kalau tadi suara jeritan hanya dari seekor tetapi, kini bunyi suara jeritan itu kian bertambah.

Saya tidak boleh mengawal perasaan dan terus menoleh ke kiri dan ke kanan.

"Tuk, semua pokok kiri kanan jalan penuh dengan monyet, macam mengikut langkah kita tuk," nada suara yang meninggi.

Datuk dan si baju hitam renung ke kanan jalan manakala datuk renung ke sebelah kiri.

"Kita tak boleh mengalah, mahu di ujinya kebolehan aku," datuk berkata sambil merenung ke arah saya dan si baju hitam dengan renungan yang tajam membayangkan rasa marah yang amat sangat.

"Kamu berdiri di situ renung ke kanan, Tamar renung ke kiri. Belakang kamu berdua mesti bertemu, renung ke arah masing-masing, jangan ubah, jangan toleh kiri, jangan toleh kanan.

"Jangan tegur apa yang aku buat. Bila aku kata 'selesai', kita semua melangkah macam tadi," datuk keluarkan arahan.

Saya dan si baju hitam anggukkan kepala dan segera mematuhi dengan apa yang datuk suruh.

Datuk segera mengelilingi kami tiga kali berturut-turut. Suara monyet tetap kedengaran bagaikan suara orang bersorak.

Selesai saja datuk mengelilingi kami, dia segera membongkok mengambil sehelai daun tua di hujung kakinya.

Daun itu diramas-ramasnya hingga hancur menjadi serbuk dan serbuk daun itu dicampakkan ke kiri dan ke kanan jalan. Aneh, suara jeritan monyet segera berhenti.

Datuk pun membuka langkah silat yang disebut SILAT MONYET BETINA yang banyak mengunakan gerak kaki kiri dan tangan kanan. Gerak dua anggota itu cukup pantas.

RATUS

Kerana gerakan itu terlalu pantas, datuk dilihat seolah-olah berdiri sebelah kaki. Tangan kanannya seolah olah menjadi beratus-ratus tangan.

Tubuhnya menjadi lembut boleh dilentur, boleh dilipat untuk mengabui mata musuh yang mahu menyerangnya.

Pada hemat saya, SILAT MONYET BETINA jarang di temui kini, malah dikatakan sudah pupus.

Tidak ada pendekar yang dapat mewarisi atau mempertahankannya untuk di warisi oleh generasi sekarang.

SILAT MONYET BETINA itu dikatakan berasal dari daerah YUNAN yang penduduknya beragama Islam.

Silat tersebut dibawa oleh para pengembang agama Islam ke daerah tersebut sekitar tahun 680 Masihi.

Menurut ceritanya, para pengembang agama Islam itu memanfaatkan silat tersebut, bila mereka di serang oleh pihak musuh yang ingin merampas harta benda mereka.

Pada mulanya silat tersebut tidak dipanggil SILAT MONYET BETINA. Ada nama lain. Begitu juga dengan geraknya.

Bagi menyesuaikan dengan keadaan setempat, ilmu mempertahankan diri itu dipinda atau diubah suai dengan suasana setempat.

Berdasarkan pada cerita tersebut, tidak keterlaluan kalau kita membuat kesimpulan bahawa ilmu mempertahan diri pada awalnya dimiliki oleh mubaligh Islam yang akhirnya diubah dengan pelbagai nama hingga menghilangkan identiti asal dari mana ilmu mempertahankan diri itu bermula.

"Tamar."

Suara datuk yang meninggi itu membunuh apa yang berlegar-legar dalam kepala.

"Ubah renungan mata kamu ke arah aku. Tetapi, belakang kamu mesti bertemu dengan belakang kamu, mulakan langkah dari kiri," lanjut datuk lagi.

Sambil bercakap itu datuk tetap mengatur langkah silat. Apa yang datuk sebut, segera dipatuhi.

Suasana sebenarnya bertambah gawat dan cemas. Semua monyet yang bergayut di pokok kiri kanan jalan ghaib dengan serta merta kecuali monyet botak.

Dari atas pokok terus melompat ke atas jalan berdepan dengan datuk. Tubuhnya yang tadi kelihatan kecil terus bertukar menjadi besar, sebesar kambing jantan (runduk).

Dalam sekelip mata saja, monyet botak itu menyerang datuk. Mujur datuk dapat mengelak.

Belum pun sempat datuk mencari kedudukan yang selesa, bagi mengemaskan kedudukannya, monyet botak menyerang lagi.

Monyet botak juga saya lihat memperagakan silat. Pertarungan antara manusia dengan binatang ini ternyata kemenangan berada di pihak datuk.

Binatang mengunakan kekuatan sedangkan manusia mengunakan kekuatan dan akal. Tanpa menerima sebarang sepakan datuk, penumbuk dari datuk, monyet botak keletihan.

Datuk lebih banyak mengelak dan mengajak monyet botak menyerang, dengan cara itu tenaga dan kekuatan monyet botak beransur lemah dan akhirnya keletihan, tergolek atas jalan.

"Selesai," jerit datuk

Saya dan si baju hitam segera kembali dalam keadaan asal (seperti sebelum didatangi monyet botak) untuk memulakan perjalanan menuju ketempat yang di hajati.

"Terlalu banyak halangannya," kata datuk seperti merungut.

Masa itu saya dan si baju hitam sudah pun berjalan lebih dari dua puluh langkah mengekori datuk.

Saya menoleh ke arah monyet botak yang terkapar di belakang. Saya dapati monyet itu sudah tiada di situ.

"Kamu menoleh ke arahnya dia sudah hilang," saya terkejut mendengar cakap datuk itu. Rupa-rupanya dia boleh mengesan apa yang saya lakukan. Walaupun dia tidak menoleh kearah saya. Inilah kebolehan datuk yang saya kagumi.

"Sebenarnya, sebelum kita mulakan langkah tadi si monyet tu dah ghaib. Kamu tahu, itu monyet jadian. Mana ada monyet tak berbulu sekerat badan," lanjut datuk lagi.

Saya dan baju hitam hanya anggukkan kepala. Demi keselamatan dan menghindarkan kebimbangan, jarak saya dengan si baju hitam sengaja saya dekatkan.

Begitu juga dengan si baju hitam, dia sengaja mendekatkan dirinya dengan datuk sehingga mengganggu langkah datuk.

SAMAR

Hari sudah beransur samar-samar. Saya tidak tahu berapa banyak lagi saya harus melangkah.

Saya renung ke langit melihat awan serta sekawan keluang yang terbang tinggi. Badan yang berpeluh membuat saya tidak selesa berjalan.

"Saya tahu, bila saya ikut awak, banyak rintangan yang awak terima," mendadak saja si baju hitam bersuara.

"Kita hadapi bersama, aku mahu kamu jadi orang baik-baik," sahut datuk.

"Mudah-mudahan hajat awak dikabulkan oleh Allah."

"Begitulah hendaknya."

Datuk dan si baju hitam berhenti bercakap tetapi, kaki terus melangkah. Bunyi kicau burung mula berkurangan.

Hati kecil saya masih mengharapkan, datuk mendesak si baju hitam supaya menjelaskan kenapa dia tidak meneruskan percakapan tentang dirinya dan kawan-kawannya yang suka mencuri buah jambu.

Kerana tidak ada percakapan yang berlaku antara kami bertiga membuat suasana agak sunyi.

"Siapa nama kamu?" soal datuk.

"Andi Kamarool, maafkan saya kerana tidak menerangkan nama saya kepada awak."

"Tak mengapa. orang yang bermusuh tidak akan memberitahu namanya kepada lawannya, sekarang kita dah bersahabat, wajarlah aku bertanya begitu. Kamu ni, aku anggap macam cucu aku," begitu tenang datuk bersuara.

Si baju hitam segera menoleh ke arah saya sambil menghadiahkan senyuman persahabatan.

"Sekarang cuba kamu ingat, sebelum kejadian monyet botak menyerang kita, ada pertanyaan aku yang tak kamu jawab."

Saya jadi terkejut dengan pertanyaan yang datuk ajukan kepada si baju hitam.

Pertanyaan diluar dugaan itu sebenarnya jawapan terhadap keraguan yang bersarang dalam hati saya.

Si baju hitam mengerutkan kening, dia cuba mengingati sesuatu. Dua tiga kali dia meraba dan menggaru batang leher.

Kemudian dia tersengih. Barangkali dia sudah dapat mengingati, apa yang datuk maksudkan.

"Saya ingat."

"Bagus, sekarang kamu jelaskan, aku nak dengar."

Si baju hitam renung kiri kanan jalan. Tarik nafas dalam-dalam. Langkah kakinya tetap macam tadi.

Debar di dada saya kian kencang, ingin mengetahui apa yang akan diucapkan oleh si baju hitam.

"Saya cuma nak tanya, kerana saya rasa pelik. Macam mana awak berdua boleh lalu ikut jalan ini?" jawapan dari si baju hitam membuat saya dan datuk tersentak.

Kami saling berpandangan. Bermacam persoalan muncul akibat jawapan dari si baju hitam.

Agaknya, datuk juga terfikir seperti yang saya fikirkan. Hati saya mula tidak aman.

"Kenapa kamu tanya hal macam itu, Andi?"

Si baju hitam tersenyum.

"Kenapa kamu tersenyum!" sergah datuk.

"Jalan ni sudah berbelas-belas tahun tidak di gunakan oleh orang-orang di sini. Ada jalan baru yang elok, tidak berbahaya. Kenapa tak ikut jalan tu," suara si baju hitam lembut penuh sopan.

Datuk berhenti melangkah dan merenung ke arah saya. Kerana datuk berhenti secara mengejut, si baju hitam jadi tercengang-cengang.

"Kenapa?" tanyanya cemas.

"Tak ada apa-apa, cuma aku nak beritahu kamu. Sengaja kami pilih jalan ini, kami tak suka jalan baru, bagi kami jalan lama banyak kenangan dan seronok untuk kami lalui," datuk memberi alasan (sebenarnya datuk berbohong) sambil tersenyum ke arah saya dan si baju hitam.

"Begitu, tapi jalan lama merbahaya," tingkah si baju hitam.

"Merbahaya? Maksud kamu," saya lihat datuk gigit bibir.

Si baju hitam renung ke langit, renung kiri dan kanan jalan. Macam ada sesuatu yang dicari dan di curigai.

TANGKAP

Datuk dapat menangkap keresahan dalam diri si baju hitam. Dia pun menepuk bahu kanan si baju hitam sambil memberikan isyarat supaya meneruskan langkah yang berhenti.

Saya tetap macam tadi, sentiasa cemas dan tidak mengizinkan saya berada dalam jarak agak jauh dengan si baju hitam. Kalau boleh mahu rasanya jalan beriringan.

"Andi," suara datuk merendah.

"Iya, ada apa?"

"Kalau kamu rasa tak sedap hati, terus terang dengan aku, jangan simpan dalam hati," lanjut datuk kerana dia mula menyedari yang si baju hitam mula rasa gelisah.

Sering sahaja merenung ke udara dan menoleh ke kiri dan ke kanan jalan. Kami terus melangkah. Saya kira tidak berapa lama lagi sampailah ke tempat yang dituju.

"Saya nak beritahu satu hal..." si baju hitam bersuara.

"Apa dia?" sanggah datuk.

"Sejak jalan ini tak digunakan oleh penduduk kampung, macam-macam cerita timbul. Jalan ni dijadikan laluan manusia yang mengamalkan ilmu batin.

"Pada mulanya dikuasai oleh Pawang Ali, bila Pawang Ali mati bertukar kepada Dukun Sumbing, orang Batak.

"Dukun Sumbing muntah darah dan berak darah kerana kalah berlawanan ilmu kebatinan dengan Bomoh Munah Supandi," si baju hitam berhenti bercerita.

Dia menarik nafas dalam-dalam dan berusaha mendekatkan tubuhnya dengan tubuh datuk. Langkah mereka hampir mahu berlaga.

"Itu saja ceritanya Andi."

"Ada lagi."

"Kalau ada teruskan."

"Selepas Dukun Sumbing mati, Bomoh Minah Supandi terpaksa berdepan dengan tiga orang bomoh lain. Semua bomoh tu dapat dikalahkannya.

"Bomoh yang kalah tu, dipotong lehernya. Darahnya diambil untuk diminum oleh anak muridnya.

"Badan bomoh yang kalah tu dikerat dua belas dan di tanam di bawah busut jantan."

"Busut jantan tempat kamu melompat tadi," potong datuk.

"Iya."

"Kamu minum darah manusia?" risik datuk lagi.

"Tidak, belum sampai giliran. Giliran saya ialah minum darah awak," turut si baju hitam dengan tenang.

Saya terkejut mendengar cerita itu. Darah saya tersirap dan badan saya mula mengigil. Hal-hal yang buruk mula terbayang dalam kepala saya.

Patutlah, dia berusaha mendekatkan dirinya dengan datuk. Rupa-rupanya dia ada maksud untuk membunuh datuk.

Anehnya, datuk tidak merasa tergugat atau cemas dengan apa yang dituturkan oleh si baju hitam.

Walaupun si baju hitam secara terang-terang menyatakan dia mahu minum darah datuk.

"Jadi, kamu sekarang mengidam darah aku," kata datuk sambil ketawa kecil.

Saya cuma senyum tetapi, si baju hitam gelengkan kepala.

"Tidak, saya tak berniat macam tu. Saya nak buang semua yang jahat."

"Bagus, kalau itu cita-cita kamu, sekarang jangan cerita atau sebut tentang hal bomoh tu. Kalau ada niat simpan saja dalam hati," cukup tenang datuk bersuara.

"Kenapa?" Si baju hitam ingin tahu.

"Sampai kerumah nanti, kau cerita," jawab datuk.

NYAMUK

Saya mula terasa nyamuk menyerang telinga kanan saya. Semuanya itu tidak saya hiraukan, langkah kami semakin cepat. Masing-masing mahu sampai ke tempat yang di tuju.

Hari bertambah samar, sayup-sayup terdengar suara ungka di kaki bukut memanggil kawan-kawan pulang.

"Kalau tak silap pengagak saya, kira-kira lima rantai lagi sampailah kita ke kawasan kampung, cuba lihat tu ada asap, orang kampung membakar sampah," si baju hitam bersuara.

Jari telunjuknya menuding ke arah kepulan asap yang nampak berbalam dalam suasana samar menjelang senjakala.

"Aku pun fikir macam tu juga," sahut datuk.

Dialog yang diucapkan oleh datuk dan si baju hitam amat mengembirakan hati saya.

Tanda-tanda pengembaraan yang amat menyeksakan ini akan berakhir. Saya sudah tidak mampu mahu melangkah lebih jauh lagi.

Sayup-sayup kedengaran bunyi tekukur dan merbuk peliharaan tingkah meningkah.

"Kita dah dekat nak sampai Tamar," datuk menoleh ke arah saya. Kata-kata itu saya sambut dengan kegembiraan.

Setelah melepasi dua kawasan yang berbukit kecil, kami berdepan dengan kawasan lapang yang agak tinggi.

Seluruh kawasan itu di tanam dengan pokok tebu, betik pisang, ubi kayu, ubi keledek dan berbagai-bagai lagi jenis tanaman yang biasa di tanam dalam kawasan berhampiran perkampungan.

Setelah melalui kawasan tanaman tersebut, kami berdiri di hujung tanah tinggi merenung ke bawah, ke arah kawasan perkampungan yang agak luas. Kami dapat melihat masjid yang di kelilingi berbelas-belas rumah.

"Tamar."

"Iya tuk."

"Mari dekat aku, begitu juga kau Andi."

Saya segera mendekati datuk. Berdiri di sebelah kirinya dan si baju hitam berdiri di sebelah kanannya. Di wajah datuk terbayang kepuasan dan kebanggaan yang amat sangat.

"Kau lihat Tamar," datuk menuding jari telunjuknya ke arah kawasan perkampungan.

"Itulah kampung nenek moyang aku, di rumah besar sebelah kanan masjid itulah, aku dilahirkan," sambut datuk.

Aku renung ke arah masjid yang datuk maksudkan. Rumah besar di kanan masjid kelihatan masih kukuh.

Ada kumpulan kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia belasan tahun bermain gasing.

"Ini juga kampung halaman saya tapi, sudah lama saya tinggalkan. Saya tak tahu apa khabar emak dan bapa saya, adik beradik saya. Kaum keluarga saya," sampuk si baju hitam.

Mulut datuk terlopong, barangkali terkejut dengan pengakuan si baju hitam.

"Sejak bila kamu tak balik ke sana?" tanya datuk.

"Sejak saya jadi pengikut Minah Supandi."

"Hummm..." suara datuk terkulum.

"Agaknya aku kenal kedua orang tua kamu. Orang tua kamu memang anak jadi kampung ni," sambung datuk lagi.

"Orang tua saya asal dari Sulawesi, di Ujung Padang," jelas si baju hitam.

"Tapi sudah lama menetap di situ."

"Agaknya begitulah," si baju hitam tersenyum.

"Tak kira di mana berasal sama ada dari Jawa, Sumatera, Tanah Melayu, Kalimantan kita semua adalah serumpun. Agama sama, ada budaya sama, bahasa pun hampir sama," ujar datuk sambil menatap sepasang biji mata si baju hitam. Datuk menepuk bahunya dua tiga kali.

Saya tersenyum, datuk sudah dapat menerima si baju hitam menjadi sebahagian dari kerabatnya.

Semoga selepas ini, si baju hitam tidak akan memperlakukan atau memperlihatkan tindak-tanduk yang boleh membuat datuk dan saya merasa curiga terhadap dirinya.

"Mari kita ke sana."

Datuk menarik tangan saya dan si baju hitam. Kami pun mula melangkah menurun cerun bukit dengan hati-hati.

Di antara kami bertiga, ternyata langkah datuk sungguh bersemangat dan ancak sekali.

Sebaik saja kami masuk ke kawasan kampung tercium bau sampah yang dibakar.

Suara kanak-kanak jelas kedengaran begitu juga dengan suara burung terkukur dan merbuk peliharaan sahut-menyahut. Suara kerbau menguak dan suara lembu mengemuh.

Kami terus masuk ke tengah kampung bagaikan pahlawan pulang dari medan juang.

"Assalamualaikum, mahu ke mana," seorang lelaki muncul dari rumpun pisang dengan parang panjang ditangan. Matanya merenung wajah datuk.

"Waalaikum musaallam saya..." jawap datuk.

"Kamu Mat Diah," jerit lelaki itu memotong cakap datuk.

Parang panjang dicampaknya ke tanah. Dia menerpa lalu memeluk datuk dengan erat sekali.

"Kamu balik, patut dua hari lalu mata kanan aku sebelah atas berkedip pagi, berkedip petang rupanya nak tengok orang jauh," riang benar suara lelaki yang saya kira usianya jauh lebih tua dari datuk.

Kening dan rambutnya sudah putih. Begitu juga dengan janggut dan jambang tetapi, dia kelihatan gagah.

Air mukanya bersih. Penglihatannya cukup terang, nada suaranya keras bertenaga.

LANGKAH

Dari apa yang saya lihat ternyata orang tua itu, bukan tua sebarangan. Tua berisi ilmu dunia dan akhirat.

Atur langkah dan gerak tangannya membayangkan yang dirinya memiliki ilmu mempertahankan diri yang tinggi.

"Kamu tak kenal aku? Belum pun sampai lapan puluh tahun dah lupa," sambung orang tua itu bila melihat datuk terkebil-kebil mecam mengingati sesuatu,

"Saya ingat-ingat lupa, kalau tak silap saya Haji Bagus," kata datuk ragu-ragu. Orang tua itu tersenyum.

"Betullah tu, kita ni saudara dua pupu dari sebelah ayah kamu," orang tua itu terus menepuk-nepuk bahu datuk.

"Mari ke rumah aku dulu, hari dah senja tak usah pergi ke rumah lama," sambung orang tua itu. Dan datuk patuh dengan permintaannya.

"Rumah pusaka tu, terbiar begitu saja ke abang aji, " datuk bertanya sebaik saja memijak anak tanga pertama rumah haji Bagus.

Haji Bagus tidak menjawab. Dia hanya tersenyum saja dan menyuruh orang rumah membuat kopi.

Dia juga memerintahkan telaga (tempat mandi) di kosongkan untuk memberi laluan kami bertiga mandi dulu. Maklumlah waktu maghrib hampir tiba.

Kerana kedudukan masjid dengan rumah Haji Bagus tidak jauh, kami masih ada kesempatan untuk menikmati air kopi panas yang disediakan oleh orang rumah Haji Bagus.

"Saya, bagi air suam," kata datuk sebaik Haji Bagus meletakkan cawan kopi di depannya. Haji Bagus renung sepasang biji mata datuk dengan renungan yang luar biasa. Renungannya cukup tajam sampai ke jantung hati dan ruang fikir datuk. Lebih tepat dengan renungan makrifat.

"Saya ikhlas, saya tak berapa suka kopi, beri saya air suam," nada suara merendah.

Haji Bagus segera meletakkan cawan kopi ke dada talam kembali. Haji Bagus memegang pergelangan tangan datuk sebentar.

"Aku percaya dengan cakap kamu," kata Haji Bagus sambil tersenyum.

Dia segera menyuruh orang rumahnya membawa segelas air suam. Arahan Haji Bagus segera ditunaikan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 153/284

BACA: SBDJ Siri 152: Ketuanya Bomoh Wanita
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "SBDJ Siri 153: Dendam Bomoh Wanita"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info