Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Fakta Kesan Buruk Seumur Hidup Pesakit Covid-19 Yang Sembuh

Dalam kita bersedih melihat ada kes-kes kematian terbaharu dilaporkan akibat Covid-19, hati turut berasa lega angka kematian di negara kita berada pada tahap peratusan yang rendah berbanding negara yang terjejas teruk.

Pesakit Covid-19

Kisah-kisah individu yang terselamat dan kembali pulih daripada jangkitan wabak Covid-19 semakin kerap dikongsikan dalam siaran media.

Wajah-wajah gembira yang dipaparkan menunjukkan wabak ini merupakan sesuatu yang mampu kita lawan.

Walaupun begitu, kisah-kisah tentang individu bekas pesakit wabak SARS pada tahun 2003 kerap menghantui, kerana kesan jangka panjang jangkitan pada mereka sebenarnya agak sukar untuk ditangani.

Pernahkah anda tertanya-tanya, adakah wujud kesan kerosakan jangka panjang melibatkan pesakit Covid-19?

Jika kes Covid-10 dan SARS 2003 serupa, kemungkinan itu tetap ada.

Pengajaran daripada China

Pada tahun 2003, seluruh dunia terpaksa berhadapan dengan wabak SARS, sejenis serangan virus novel yang belum pernah dilalui sebelum itu.

Beberapa negara terjejas teruk dan sudah tentulah China, negara di mana jangkitan bermula menjadi salah satu negara paling terkesan.

Kesemua pesakit SARS termasuklah pesakit Covid-19, boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan tahap jangkitan: sederhana (mild), di mana pesakit hanya mengalami simptom yang ringan dan tidak berisiko tinggi, kedua, kritikal dan berjaya pulih serta yang terakhir, kritikal dan membawa kepada kematian.

Bagi individu yang mempunyai tahap simptom kritikal dan bernasib baik dapat pulih, tahap jangkitan pada mereka serta kesan rawatan yang mereka terima, membawa kepada beberapa komplikasi besar.

Hasil penelitian terhadap semua pesakit kritikal SARS yang selamat, terdapat 3 kesan jangka masa panjang yang akan berlaku pada pesakit bergantung kepada tahap jangkitan mereka.

Yang pertama sudah pastilah pada tahap kesihatan mental, kerana kajian menunjukkan 50% daripada kesemua pesakit SARS yang pulih menampakkan kesan trauma kebimbangan dan 20% lagi menampakkan petanda mereka sentiasa hidup dalam ketakutan selepas itu.

Ramai bekas pesakit SARS tidak mampu meneruskan hidup seperti biasa disebabkan oleh kesan ubat-ubatan yang perlu mereka ambil, menyebabkan mereka mengalami masalah hilang ingatan, tidak boleh fokus dan menghadapi kemurungan.

Sudah direkodkan beberapa kali cubaan membunuh diri berlaku melibatkan bekas pesakit SARS yang pulih, tetapi gagal mengembalikan hidup seperti sebelumnya.

Selain kesan ubatan itu sendiri, situasi ini diburukkan lagi oleh beberapa faktor antaranya masalah kewangan, hilang pekerjaan atau mula disisihkan masyarakat.

Rosak tulang pinggul akibat kesan ubat-ubatan

Bagi majoriti bekas pesakit SARS 2003 di China, kesan ubat-ubatan berbentuk steroid yang mereka ambil menyebabkan wujud kondisi yang dinamakan dalam bidang perubatan sebagai osteonecrosis.

Osteonecrosis merupakan keadaan di mana berlakunya kekurangan bekalan darah ke dalam tulang, sehingga mampu menyebabkan trauma pada bahagian yang terjejas.

Bekas pesakit SARS berhadapan dengan keadaan yang digelar sebagai 'femoral head avascular necrosis' atau AVN di mana tulang pinggul mereka mengalami masalah, sehingga ada yang perlu menjalani pembedahan bagi membaiki tulang tersebut.

Kajian yang dilaporkan pada tahun 2020 melibatkan pesakit jangkitan tahun 2003, menunjukkan kesan pereputan tulang itu akan berkurangan secara sendiri dalam tempoh 2 tahun terawal bagi majoriti pesakit namun masih lagi terkesan walaupun selepas 10 tahun pengambilan steroid.

Individu yang terjejas teruk akibat AVN dianggarkan peratusannya seramai 17.5% daripada kesemua bekas pesakit SARS.

Mereka akan mengalami masalah pergerakan terhad di bahagian pinggul serta mula mengalami masalah arthritis. Dalam sesetengah kes, hanya selepas 15 tahun barulah kesan itu akan mula beransur-ansur hilang.

Kesan jangka panjang pada paru-paru

Bagi bekas pesakit SARS yang dilaporkan sembuh daripada jangkitan, selain daripada AVN yang disebabkan oleh kesan ubat-ubatan, pesakit juga berisiko mempunyai keadaan kerosakan pada paru-paru yang diistilahkan sebagai 'induced pulmonary fibrosis' atau 'fibrosis pulmonari teraruh'; khasnya bekas pesakit yang sudah berusia lanjut 70 tahun ke atas.

Ini disebabkan oleh kesan jangkitan virus SARS itu sendiri yang menyerang paru-paru.

Kebanyakan kes berlakunya fibrosis pada bekas pesakit SARS, melibatkan pesakit yang mengalami jangkitan 6 ke 8 minggu pada tahap kritikal sebelum tubuh mula melalui fasa penyembuhan.

Dalam fasa terakhir jangkitan virus, tisu-tisu pulmonari darah akan bertukar menjadi tisu-tisu fibrotic (tisu yang mempunyai kesan parut) serta menyebabkan pembentukan lebihan kolagen dalam paru-paru.

Ini menyebabkan wujud kondisi dalam dinding paru-paru khasnya kawasan alveoli yang tidak lagi sekata kerataan dindingnya.

Kajian yang dijalankan melibatkan 97 orang bekas pesakit SARS di Hong Kong pada tahun 2005 menunjukkan 27.8% pesakit mempunyai masalah pada bahagian paru-paru, sama ada dalam bentuk lebih ringan ataupun pada tahap fibrosis.

Bekas pesakit SARS akan berhadapan dengan situasi ini dalam tahap tertinggi selama 6 bulan pertama mereka menjalani rawatan susulan, sebelum keadaan paru-paru mereka akan menjadi lebih baik, 2 tahun selepas itu.

Apa yang melegakan, peluang untuk bekas pesakit yang mengalami kondisi fibrosis untuk sembuh agak tinggi.

63% dilaporkan sembuh sepenuhnya, 34% mengalami penurunan pada tahap kemampuan paru-paru yang tidak berbahaya dan hanya 3% mengalami masalah pernafasan yang bersifat kekal selepas 15 tahun dijangkiti virus SARS.

Bagaimana dengan Covid-19?

Gambaran awal yang telah diketahui tentang kesan SARS yang terjadi pada tahun 2003 banyak membantu kita mengenalpasti kesan jangka panjang Covid-19 yang sedang melanda.

Adakah Covid-19 bakal menampakkan kesan jangka panjang serupa?

Petunjuk awal setakat ini memberikan kita idea yang agak menakutkan; walaupun virus SARS-CoV-1 penyebab SARS 2003 dan SARS-CoV-2 penyebab Covid-19 datang daripada jenis virus yang hampir serupa, kesan virus Covid-19 diramal agak berbeza kerosakannya pada tubuh bekas pesakitnya.

Seandainya SARS menyebabkan fibrosis, AVN dan masalah mental pada pesakitnya, Covid-19 setakat ini dikatakan turut sama mampu mengakibatkan ketiga-tiganya dengan tambahan beberapa kerosakan baharu yang berbeza.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Fakta Kesan Buruk Seumur Hidup Pesakit Covid-19 Yang Sembuh"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info