Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Kemuliaan Wanita Dalam Al-Quran

"Wanita tidak dijadikan dari urat rambut lelaki untuk dijulang dan dipuji, tidak pula dijadikan dari tapak kaki untuk dihina dan dikeji, tetapi wanita dijadikan dari rusuk kiri yang berada dekat dengan hati untuk didampingi, dilindungi dan juga disayangi."

Kemuliaan Wanita

Begitulah kata-kata indah yang sesuai digambarkan kepada wanita. Wanita bukanlah golongan kelas kedua seperti pandangan yang sentiasa bertapak di fikiran manusia. Mereka hanya dipandang sebagai satu objek untuk melariskan barang jualan dan menjadi pemuas nafsu lelaki.

Justeru itu, kedatangan Islam telah menyelamatkan kedudukan wanita dengan meletakkan taraf mereka setaraf dengan lelaki dari segi peranannya dalam membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Pepatah Melayu ada menyatakan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.

Selain itu Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh,dari lelaki atau perempuan,sedang ia beriman,maka mereka itu akan masuk syurga,dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” (Surah al-Nisa’ : 124)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT telah memartabatkan amalan wanita setaraf dengan amalan lelaki. Jadi tidak layak bagi kita untuk untuk meletakkan garis berbezaan taraf antara lelaki dan wanita seperti yang telah dilakukan oleh kaum jahiliah suatu ketika dahulu dengan menganggap bahawa wanita adalah satu bebanan dan malapetaka bagi mereka.

Mereka juga tanpa ada sifat belas kasihan sanggup membunuh anak perempuan yang baru dilahirkan. Jadi dengan kedatangan Islam telah mengubah segala tuduhan dan pandangan terhadap kaum wanita.

Seperti yang telah dikatakan oleh Saiyidina Umar al-Khattab r.a. bahawa, “Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikit pun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”

Kemuliaan Wanita Dalam Al-Quran

Al-Quran juga secara khusus telah memberikan penekanan yang luas berkaitan urusan wanita. Allah SWT telah membuktikan bahawa kaum wanita bukanlah kaum untuk ditindas, dengan menamakan satu surah dalam Al-Quran dengan nama al-Nisa’ yang bermaksud surah wanita.

Kandungan surah ini adalah memberi penekanan tentang kepentingan wanita serta pengurusan yang berkaitan dengan wanita seperti nikah kahwin dan penceraian.

Selain itu, dinyatakan juga persoalan hak persamaan antara lelaki dan wanita. Allah SWT telah berfirman:

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).(kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan;(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya.Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa’ : 32)

Dengan yang demikian jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan wanita dengan mendatangkan satu “modul” khas sebagai panduan untuk manusia berfikir tentang kepentingan peranan wanita dalam kehidupan mereka.

Rasulullah Mengangkat Martabat Wanita

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?”

Baginda menjawab, “Ibumu!”

Lelaki itu terus bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ibumu!” Sekali lagi lelaki itu bertanya, “Kemudian siapa?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bapamu!” (Riwayat al-Bukhari dan al-Muslim)

Dalam hadith ini Rasulullah mengangkat martabat ibu dari bapa. Ini kerana melihat kepada pengorbanan ibu yang melahir dan mengasuh seseorang anak sehingga menjadi seorang insan. Dalam hadist yang lain pula Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang menanggung dua anak perempuan, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi tirai pencegah baginya dari api neraka.” (Riwayat al-Bukhari)

Begitulah tingginya martabat seorang wanita. Wanita bukanlah makhluk yang boleh dijadikan hamba kepada lelaki tetapi wanita adalah golongan yang setaraf dengan lelaki dari segi nilai kemanusian. Mereka bagaikan adik beradik kita sendiri untuk dikasihi dan disayangi.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sebenarnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki.” (Riwayat Abu Daud)

Justeru itu sungguh memalukan bagi setiap lelaki yang bergelar suami yang sanggup mendera, menyakiti, dan menghina isteri mereka.

Wanita adalah makhluk yang diciptakan untuk mendapatkan pembelaan dari seorang lelaki dan bukan untuk ditindas oleh lelaki. Jika ada sebarang kekurangan pada mereka, perbetulkanlah secara berhikmah.

Ia diibaratkan seperti membetulkan tulang yang bengkok, jika digunakan kekerasan maka ia akan patah. Jadi ia perlu diurut dengan cermat agar dapat dibetulkan dengan selamat.

Sesungguhnya Allah telah menjadikan wanita itu pasangan untuk lelaki dan bukannya hamba yang boleh ditindas sesuka hati. Lelaki dan perempuan adalah pasangan yang saling melengkapi.

Hal ini merujuk kepada sifat lelaki yang mempunyai fizikal yang kuat, kasar dan tegas, manakala wanita pula diciptakan dengan mempunyai fizikal yang lemah tetapi memiliki hati yang tabah.

Dari perbezaan ini akan lahirnya suatu keserasian yang hebat dalam kehidupan yang berpasangan.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum : 21)

Kewajipan Wanita

Pada hari ini, ketika arus kemodenan menyusur di hadapan mata. Terdapat sebilangan wanita yang telah terpersona dengan apa yang menghiasi mata mereka. Dengan pertambahan serangan barat untuk melemahkan umat Islam melalui media massa dan sebagainya.

Kaum wanita pada hari ini telah bertindak untuk mengatasi kaum lelaki dengan mempersoalkan kuasa-kuasa yang telah ditetapkan oleh Islam kepada lelaki. Sebagai contoh mereka mempersoalkan tentang pembahagian harta pusaka, lafaz cerai, dan juga poligami.

Ini adalah sebahagian dari pandangan golongan liberalism yang telah menyerap masuk ke dalam akal wanita masa kini.

Selain itu kaum wanita pula didedahkan dengan fesyen yang diciptakan oleh barat bagi menjatuhkan kehormatan wanita Muslimah. Sebagai seorang wanita yang beragama Islam mereka wajib menutupi aurat dan perhiasan mereka.

Pakaian yang dipakai adalah untuk menutupi aurat dan perhiasan mereka tetapi apa yang terjadi sekarang, wanita menjadikan pakaian itu sebagai perhiasaan mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak segan silu memakaikan pakaian yang nipis, ketat dan sebagainya. Mereka mudah meniru apa yang dicurahkan oleh musuh Islam kepada mereka.

Hal ini telah diberi peringantan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian dan berkata. ‘Aku ikut sahaja seperti orang-orang itu. Jika mereka baik, aku pun baik, jika mereka jahat, aku pun jadi jahat.’ Tetapi teguhkan hatimu dengan keputusan bahawa jika orang-orang melakukan kebaikan, maka aku akan mengerjakannya, dan jika orang-orang melakukan kejahatan, maka aku tidak akan mengerjakannya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Antara kewajipan lain yang patut kepada seorang wanita adalah mentaati suami kerana Rasulullah SAW telah bersabda:

“Kalau saja aku diperbolehkan memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada selain Allah, niscaya aku akan perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya. Demi Dzat yang jiwa Muhammad di Tangan-Nya, sungguh seorang isteri itu tidak dikatakan menunaikan hak Rabb-nya hingga ia menunaikan hak suaminya. Kalau saja suami memintanya untuk dilayani, sementara ia sedang berada di atas pelana kendaraan, maka ia tidak boleh menolaknya.” (Riwayat Ibnu Majah, Abu Dawud, Ahmad & Ad Darimi)

Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud:

Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kalian dan perbanyakkanlah istighfar. Karana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka ? Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami." (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dll)

Wanita pula berperanan mendidik dan mengasuh anak-anak beliau supaya menjadi seorang yang berguna dan beriman kepada Allah.

Mereka juga perlulah memperbanyakkan amal makruf dan nahi munkar kerana ia bukan hanya di wajibkan keatas lelaki sahaja seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah : 71)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: arasmega



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Kemuliaan Wanita Dalam Al-Quran"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info