Sembang Maniac

Sembang-sembang je

SBDJ Siri 103: Jamung Tengah Malam

Entah mengapa, Uda Lamat yang pendiam dengan usianya yang muda beberapa tahun dari Datuk, masih mahu bercakap dengan Datuk. Paling membosankan perkara yang dikaitkan ialah tentang diri saya. Datuk ternyata terpengaruh dengan pendapat Uda Lamat.

Toyol jadi-jadian

"Bukan lari sebarang lari, perkara macam ni pernah saya alami masa saya muda-muda dulu," Uda Lamat memperkemaskan silanya. Paha kanan diletakkan di atas paha kiri. Jejari kakinya bergerak- gerak.

"Di mana?"

"Di kampung saya, anak buah saya sendiri yang mengalaminya. Menurut bomoh masa itu, anak buah saya diresapi roh jahat. Fasal tu dia buat perkara tak senonoh," lanjut Uda Lamat.

"Kesudahannya macam mana?" tanya Datuk lagi.

"Mati."

Datuk terkejut, biji matanya terbeliak.

"Dia masuk ke hutan cari harimau, bawa parang mahu tetak tengkuk harimau, kesudahannya leher anak buah saya itu dipatahkan oleh harimau, saya berharap perkara macam itu tidak akan jadi pada cucu awak."

"Saya juga harap perkara buruk tak akan terjadi," Datuk garu pangkal dagu.

Mereka berhenti bercakap. Tiba-tiba rasa cemas dan takut menguasai diri saya. Ada bermacam-macam suara datang ke lubang telinga saya.

"Apa yang saya suruh awak buat tadi, semuanya itu, petua yang dibuat oleh orang tua lelaki saya pada anak buah saya yang mengalami perkara yang saya sebutkan tadi," cukup teratur Uda Lamat mengungkapkan kata-kata.

Dan saya mula faham, apa yang dilakukan oleh nenek pada saya di bilik mandi tadi, adalah petua dari Uda Lamat.

"Ya, petua ni kadang-kadang menjadi kadang-kadang tidak," Datuk menyanggah. Saya lihat Uda Lamat anggukkan kepala.

"Memang betul cakap awak. Satu perkara yang pasti, setiap kerja mesti kita mulakan dengan Bismillah. Kerja petua juga dimulakan dengan Bismillah sambil hati mengharapkan Allah yang maha besar menghilangkan penyakit."

"Betul, betul," Datuk angguk kepala.

Uda Lamat hirup kopi yang disediakan oleh nenek. Malam kian larut, suasana terasa sunyi. Sesekali terdengar bunyi suara burung jampuk dan jeritan tikus liar di bawah rumah.

Kesunyian malam yang kian tua itu membekalkan rasa dingin yang keterlaluan. Tetapi, saya masih mahu bertahan untuk berada di anjung dalam keadaan berbaring.

Hati kecil saya bagaikan dipaksa-paksa untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara Uda Lamat dan Datuk.

Saya rasakan kemesraan yang diperlihatkan oleh Uda Lamat itu, adalah sesuatu yang baru.

Lelaki tua berkulit hitam, berbadan tegap, berambut putih yang mengelilingi botak di tengah kepalanya itu, tidak pernah merelakan dirinya menghabiskan masa malamnya di rumah orang.

Biasanya, dia merasa bahagia menghabiskan waktu malamnya dengan salah seorang isteri mudanya.

Semua orang tahu Uda Lamat ada empat isteri. Isteri pertamanya sudah berusia lebih dari lima puluh tahun.

Tetapi, tiga orang lagi isterinya, berusia sekitar tiga puluhan hingga empat puluhan. Ketiga-tiganya memiliki wajah yang menarik.

Kekayaannya memiliki berekar-ekar tanah sawah dan kebun getah memberi peluang padanya mempunyai isteri muda.

Satu keistimewaan Uda Lamat, tiga orang isteri mudanya cacat anggota, ada yang berjalan tempang, tangan kudung dan bisu. Satu hal yang pasti mereka memiliki raut wajah yang ayu.

Kata orang, Uda Lamat kahwin bukan kerana nafsu tetapi lebih banyak didorong oleh rasa simpati mahu menolong sesama insan yang cacat.

Inilah yang membuatkan orang kampung mengagumi dan menghormati Uda Lamat dan Uda Lamat pula tidak pernah merasakan dirinya besar kerana penghormatan itu.

Malah, dia sendiri merasakan penghormatan itu tidak pernah wujud pada dirinya.

Jam di dinding rumah berbunyi dua belas kali. Satu teko kopi tanpa susu yang disediakan oleh nenek sudah habis diminum, sedangkan saya sudah dua kali terlelap.

Bualan Datuk dengan Uda Lamat kian mengendur. Tidak serancak tadi. Uda Lamat sudah beberapa kali menguap panjang.

"Dah pukul dua belas malam," Uda Lamat menggosok belakang tangan kanannya. Datuk mendirikan lutut kanannya. Dia senyum ke arah Uda Lamat.

"Ngape, dah mengantuk ke?"

"Tidak, tapi sejuk."

"Kalau begitu kena baliklah, kena cari kawan yang boleh menghilangkan sejuk," Datuk berjenaka lalu disambut oleh Uda Lamat dengan ketawa panjang.

Matanya berair. Dua tiga kali telapak tangan kanannya memukul lantai anjung. Usikan Datuk itu amat mencuit hatinya.

"Kalau begitu nasihat awak, biarlah saya balik," kata Uda Lamat setelah ketawanya berakhir.

Saya yang baring segera angkat kepala. Saya kira Uda Lamat pasti angkat punggung sebaik sahaja kata-katanya berakhir. Sangkaan saya meleset. Uda Lamat kian memperkemaskan silanya.

"Tunggulah sampai subuh, lepas tu bolehlah balik, kalau ada perkara yang tak baik jadi pada cucu saya, bolehlah awak beri petua," Datuk menjentik kepala lutut Uda Lamat.

"Saya rasa cucu awak tak apa-apa."

"Tapi saya mahu awak menemani saya."

"Tak apa, dia dah pulih, saya yakin perasaannya sudah aman dan tenteram, cucu awak dah pulih. Biarlah saya balik dulu," Uda Lamat segera bangun.

Datuk garu hujung dagunya beberapa kali. Datuk turut bangun dan berdiri di sisi Uda Lamat.

"Saya tak berapa seronok, bila awak balik cepat. Rasanya, saya perlukan pertolongan awak, banyak perkara yang boleh awak tolong saya," Datuk luahkan perasaannya.

Tangan kanannya diletakkan atas bahu kiri Uda Lamat. Buat beberapa saat Uda Lamat genggam tangan Datuk erat-erat. Perlahan-lahan tangan Datuk yang tersadai atas bahu dijatuhkannya.

"Tak apa, dengan izin Allah. Cucu awak tak apa-apa. Awak bacalah Quran sampai subuh," Uda Lamat tepuk bahu Datuk berkali-kali. Senyum Datuk terukir di bibir.

Saya tahu, senyum itu sekadar untuk melindungi keresahan dalam dirinya. Dia tidak berhasil menahan Uda Lamat bertahan di rumah hingga menjelang subuh.

"Biar saya pergi dulu."

Uda Lamat menghulurkan tangan. Datuk sambut dengan perasaan yang berbelah bagi. Datuk mengiringi langkah Uda Lamat hingga ke muka pintu.

Jamung di kaki tangga pun dinyalakan. Angin malam yang bertiup terus merempuh di jamung yang mula marak. Kokok ayam terdengar sayup-sayup.

"Saya balik dulu."

"Ya, selamat jalan. Terima kasih kerana awak sanggup bersusah payah menolong saya," suara Datuk merendah.

"Itu hanya adat, hidup sekampung kenalah tolong-menolong."

"Hanya Allah saja dapat membalas jasa awak."

"Apa yang kita lakukan adalah atas kemahuan-Nya juga," Uda Lamat merendahkan diri. Dia pun memulakan langkah pertamanya.

JAMUNG

Bertemankan cahaya jamung, Uda Lamat terus membelah malan yang kian tua. Api jamung melintuk-liuk dirempuh angin.

Langkah Uda Lamat tetap teratur. Makin lama, makin jauh dan mengecil api jamung yang dijulang oleh Uda Lamat dari penglihatan mata Datuk.

Kokok ayam kian bertalu-talu. Dan angin pun kian rancak berhembus menyentuh dedaun dan reranting pokok hingga melahirkan bunyi yang tidak menentu.

Datuk masuk ke rumah. Daun pintu dirapatkan, terus dikunci. Datuk menyuruh saya masuk ke bilik. Saya mohon padanya supaya saya dibenarkan tidur di ruang anjung.

"Masuk ke dalam bilik," suara Datuk keras.

"Saya rasa di sini selesa, tuk."

"Jangan bantah cakap aku, masuk ke dalam. Kalau ada apa-apa hal senang nak bertindak. Kalau tidur di luar nanti kamu melompat tingkap susah pula nanti."

"Hmm.." saya lepaskan keluhan kecil.

Panas rasa hati, bila Datuk menyindir saya begitu. Rasa benci terhadap Datuk datang meluap-luap.

Saya mula terdengar suara Amjal Kamal mengeluarkan perintah yang berbunyi:

"Ini perintah, dari hati dari perasaan, dari semangat rohani dan jasmani. Kau ikut apa yang aku perintah. Orang itu adalah musuh."

Saya termangu-mangu, suara itu datang dari segenap sudut, bagaikan mahu pecah gegendang telinga saya dibuatnya.

Saya tidak ada jalan lain, terpaksa menekup kedua belah telinga dengan telapak tangan. Suara itu masih bergema juga. Saya terpaksa melekapkan telinga ke celah paha.

Usaha saya tidak juga berhasil. Batang tubuh Amjal Kamal terpamer di depan mata. Dia mengangkat tangan menyuruh saya melakukan sesuatu.

"Ya, dia musuh," kata saya.

"Mesti dibunuh, kau lihat kerlipan di bahagian dada kirinya."

"Ya, saya nampak saya harus membunuhnya. Saya mesti menikamnya dengan pisau belati," sehabis sahaja saya memberikan pengakuan, sebilah pisau belati jatuh di depan saya. Segera saya ambil.

Saya merasai diri saya bukan berada di dalam rumah. Tetapi, berada di satu ruang bangunan yang luas macam istana.

Seorang lelaki yang kurang jelas wajahnya berdiri di depan saya. Dada sebelah kirinya mengeluarkan cahaya yang berkelip-kelip. Rasa marah datang meluap-luap dalam rongga dada.

Saya mendekati lelaki itu dengan pisau di tangan. Aneh lelaki itu tetap menanti saya. Inilah yang membuatkan saya bertambah marah.

Saya renung benda yang berkelip-kelip di dada sebelah kiri lelaki itu. Saya terus membuat perhitungan untuk membenamkan pisau ke dada lelaki itu.

Saya sudah menemui sasarannya. Dengan sekali tikam sahaja, saya yakin lelaki itu akan tergolek di lantai.

Saya juga yakin, bila semuanya terlaksana dengan baik. Suara ghaib, yang memerintah saya melakukan perbuatan itu akan memuji saya. Tentu saya diberikan hadiah.

"Kau sudah sampai saatnya," terdengar lagi perintah ghaib.

"Tapi," perasaan saya bersuara.

"Tidak ada tapi, inilah saatnya untuk kamu membunuh musuh, tikam dengan cepat," datang lagi suara ghaib. Saya masih berdepan dengan lelaki yang wajahnya tidak jelas.

Saya sudah nekad untuk menyelesaikan tugas yang diberikan. Secepat kilat, saya meluru ke arah lelaki yang wajahnya tidak berapa jelas itu.

Tanpa membuang masa, saya melepaskan tikaman dengan sekuat hati ke dada kiri lelaki yang berkelip-kelip itu.

"Tamar, kamu melawan," satu tempikan yang kuat menyumbat ke lubang telinga saya.

Badan saya terasa bergoyang. Muka saya menerima tamparan yang kuat. Kulit muka terasa pecah kepedihannya tidak dapat saya gambarkan.

Kerana tidak terdaya menahan sakit, saya rebahkan badan di lantai. Saya terdengar bunyi suara yang amat kuat macam suara deru kereta api.

Saya pejamkan mata kerana dalam perhitungan saya, saat kematian sudah sampai.

WAJAH

Bila suara menderu macam kereta api itu hilang. Terasa suasana jadi fana dan sepi sekali. Saya buka mata, orang pertama yang saya lihat ialah wajah Datuk.

"Kenapa tuk?" tanya saya.

"Tak ada apa-apa," jawabnya.

Sungguhnya jawapan itu tidak dapat saya terima. Datuk menyembunyikan sesuatu dari saya.

Saya kumpulkan segala fikiran untuk menyorot apa yang terjadi. Semuanya tidak berhasil. Saya tidak dapat mengingati apa-apa pun.

"Kenapa tuk?" ulang saya lagi.

"Kau menumbuk dada aku tamar," suara Datuk kesal.

Saya terdiam, hampir mahu menangis saya mendengar kata-kata dari Datuk. Dialah satu-satunya lelaki di dunia ini yang saya hormati dan saya sayangi.

"Maafkan saya tuk, saya tak sedar dengan apa yang saya lakukan," saya berlutut di depan Datuk.

"Sudahlah, aku secara tak sengaja menampar kamu," Datuk terus memeluk saya.

Pipi saya diusapnya berkali-kali. Wajah Datuk nampak sungguh sedih. Dalam keadaan yang agak gawat itu dia mencium dahi saya. Tanpa disedari saya menangis.

"Sudahlah Tamar, masuk ke bilik. Pergi tidur."

"Maafkan saya tuk, saya tak tahu dan tak ingat apa yang saya buat."

"Sudahlah, ada sesuatu yang tak kena pada kamu, pergilah tidur," begitu lembut nada suara Datuk.

Permintaannya segera saya akur. Perasaan saya sungguh terharu, Datuk sendiri mengemaskan ranjang tidur untuk saya. Datuk selimutkan tubuh saya.

MIMPI

Seperti selalu, Datuk tetap mengingatkan saya untuk membaca ayat-ayat suci sebelum mengajak mata tidur.

Itu pun saya lakukan. Saya baca fatihah dua puluh satu kali, baca ayat kursi tujuh kali, mengucap dan beberapa ayat lain lagi saya baca.

Saya bersyukur setelah mematuhi cakap Datuk itu, saya dapat tidur dengan lena. Tidak ada mimpi yang kurang menyenangkan saya alami.

"Bangun Tamar."

Badan saya digoncang berkali-kali. Antara mahu dengan tidak, saya terpaksa membuka kelopak mata. Buang gebar tebal yang membaluti tubuh.

"Bangun sembahyang," sambung Datuk.

"Ya," saya terus bangun. Duduk mencangkung di bibir ranjang.

"Sebelum ambil air sembahyang, buat senaman dulu Tamar."

"Ya," jawab saya pendek.

Senaman yang biasa saya amalkan terus saya lakukan. Datuk melakukan sembahyang sunat subuh.

Selesai senaman, saya pun mahu bergegas ke bilik mandi. Tetapi, saya tidak meneruskan langkah tersebut.

"Tamar."

"Ya tuk."

"Kita Sembahyang sendirian."

"Baiklah tuk," saya pun meneruskan langkah yang terhenti.

Rancangan yang sudah disusun mengalami gangguan sebentar. Pintu bilik air tertutup rapat. Nenek sedang mandi, saya terpaksa menunggu.

Sementara menanti nenek keluar, saya duduk di bangku tidak jauh dari bilik air.

Pada mulanya saya berjuntai kaki, kerana tidak tahan disebabkan kedinginan, kaki segera saya letakkan di atas bangku. Saya berpeluk tubuh.

Sepatutnya, saya tidak mengalami rasa kedinginan, saya sudah bersenam dan peluh pun sudah pecah.

Barangkali angin pagi bertiup kencang di luar, fikir saya dalam hati sambil menguap panjang. Rasa mengantuk masih terasa.

"Tamar."

Saya merenung wajah nenek.

"Datuk kamu di mana?" sambung nenek.

"Di atas."

"Dia biarkan kamu seorang diri di sini?” Nenek tidak berpuas hati dengan tindakan Datuk.

Saya tersenyum dan saya harus bertindak dengan bijak agar tidak berlaku sebarang ketegangan antara Datuk dengan nenek yang berpunca dari saya.

"Saya yang minta Datuk, jangan ikut saya."

"Kamu ni, dah sihat benarkah?"

"Sihat, saya memang tidak apa-apa nenek."

"Hum tak ada apa-apa, bila kau memekik dan nak lari tu bukan apa-apa namanya," nenek jegilkan biji mata ke arah saya.

Tidak ada jawapan yang dapat saya berikan untuk menafikan kata-kata yang nenek ungkapkan itu.

"Pergi, biar aku tunggu kamu di sini."

"Tak payah tunggu saya nek, saya tak apa-apa. Kalau nenek tunggu, saya tak mahu masuk ke bilik air," saya menggunakan senjata ugutan. Malu rasanya sudah besar begini, masih ditunggu nenek.

"Kamu memang keras kepala, tak apalah aku tak tunggu tapi, ada apa-apa cepat-cepat beritahu aku," kata nenek.

"Saya tahu, nenek."

"Hisss....." nenek menjuihkan bibir ke bawah. Kemudian melangkah ke biliknya. Saya tersenyum lalu bersiul kecil sambil melangkah ke bilik air.

Pada mulanya, saya bercadang mahu mengambil air sembahyang sahaja. Tetapi, bila sudah berada dalam bilik air, seluruh tubuh terasa panas.

Saya membuat keputusan mengejut. Ambil gayung lalu jirus air ke tubuh. Sebaik sahaja air satu gayung menyentuh badan, terdengar bunyi tapak kaki orang berlari. Saya tergamam dan gayung di tangan tidak jadi menyenduk air dalam kolah.

"Tamar, kau buat apa tu," terdengar suara nenek.

"Saya mandi."

"Selalunya kau tak mandi pagi, kenapa kau mandi pagi kali ni, Tamar."

"Nek, saya sedar apa yang saya buat," kata saya lalu membuka pintu bilik air.

HULUR

Saya hulurkan kepala untuk nenek melihat keadaan saya yang sebenar. Ternyata perbuatan saya itu dapat meyakinkan nenek yang saya masih waras. Masih berada di alam nyata.

Tanpa diduga, tindak-tanduk saya itu membuatkan nenek ketawa terkekeh. Agaknya, dia terasa lucu.

Nenek kembali ke tempatnya. Pintu bilik mandi saya rapatkan. Mandi yang terganggu, saya teruskan kembali.

Baru lima gayung air membasahi tubuh, saya terasa sejuk dan terus menggigil. Gigi atas dengan gigi bawah terus berlaga hingga mengeluarkan bunyi.

Saya berhenti mandi dan mengambil air sembahyang, kesejukan yang menguasai tubuh membuat saya merasa kurang selesa untuk berjalan atau bergerak ke mana-mana.

Ini merupakan gangguan yang kurang menyenangkan. Tetapi saya terus melawan rasa sejuk itu dengan melakukan senaman dan berlari hingga sampai ke dalam bilik tidur. Saya sarung kain, pakai baju dan songkok.

Saya melangkah dari bilik tidur untuk melakukan sembahyang subuh. Datuk masih duduk tertonggok membaca al-Quran. Suaranya cukup jelas dan nyaring.

Sebaik sahaja saya melangkah bendul pintu bilik, kaki kiri saya terasa berat untuk meneruskan langkah ke arah sejadah yang terbentang di sisi Datuk. Telapak kaki saya bagaikan melekat di papan.

Rasa cemas dan menggelabah mula datang ke dalam diri, darah gemuruh mula terasa. Saya jadi marah dengan keadaan yang saya lalui.

Saya kumpulkan tenaga, fikiran dan perhatian untuk melawan keadaan yang melingkari diri saya ketika itu.

Dalam saat yang genting itu, saya merasai seluruh tubuh badan terumbang-ambing, perasaan dan fikiran saya seperti berada dalam satu tempat atau suasana yang berlainan, seolah-olah saya berada dalam dunia yang serba asing.

Diri saya berada dalam satu ruang dewan yang cukup luas. Penuh dengan bangku-bangku yang tersusun rapi tidak diduduki oleh manusia.

Ada irama muzik yang lembut. Di pentas, seorang lelaki dengan wajah yang tidak berapa jelas berdiri di situ.

Sekali imbas, wajah lelaki itu menyerupai wajah Datuk tetapi bila direnung lama-lama wajah itu bertukar menjadi samar-samar serta tidak begitu jelas.

Saya jadi terpaku dengan apa yang saya hadapi. Saya jadi bodoh, tidak tahu apa yang mesti saya lakukan.

Dalam keadaan terpinga-pinga itu, saya terdengar bunyi deru kereta api malam yang memekakkan anak telinga, kepala terasa sakit, ruang dewan nampak bergegar. Bangku-bangku kosong berlaga sesama sendiri.

Saya tutup telinga dengan telapak tangan. Saya pejamkan sepasang kelopak mata dengan serapat-rapatnya.

Saya berusaha berhempas pulas untuk melepaskan diri dari keadaan yang tidak menyenangkan itu.

Dalam pergelutan itu, tanpa diduga wajah Amjal Kamal muncul beberapa detik di ruang mata.

Bila wajahnya hilang, bunyi yang tidak menyenangkan itu juga turut hilang. Suasana teramat amat sepi. Kalau sebatang jarum jatuh pun pasti dapat didengar.

Dalam suasana yang hening itu terdengar suara Amjal Kamal bergema dari sudut ruang, mengeluarkan perintah:

"Ini perintah, dari hati dan perasaan, dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku perintah. Orang itu adalah musuh."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 103/284

BACA: SBDJ Siri 102: Rahsia Sebuah Rumah Tinggal
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "SBDJ Siri 103: Jamung Tengah Malam"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info