Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Kurang Hormon Serotonin Punca Anda Tidak Gembira!

Ada kalanya seseorang itu boleh dilanda perasaan sedih berpanjangan, tidak bersemangat, bosan, hilang harapan, enggan bertemu sesiapa dan mudah berputus asa yang sebenarnya berkait rapat dengan emosi yang terganggu dan faktor-faktor ini boleh menyumbang kepada masalah kemurungan.

Kurang Hormon Serotonin

Kebanyakannya lebih gemar berkurung di dalam bilik yang sekali gus boleh memburukkan lagi masalah kemurungan. Ini kerana kurang mendapat cahaya semula jadi mencukupi boleh menyebabkan hormon serotonin menurun.

Apa itu Serotonin?

Serotonin adalah sejenis hormon yang bertanggungjawab meningkatkan emosi seseorang selain mengawal rasa lapar dan keyakinan diri, misalnya perasaan gembira dan rasa puas hati.

Pengeluaran serotonin meningkat apabila seseorang mendapat cahaya matahari secukupnya. Cahaya kelam yang masuk ke dalam bilik melalui celah tirai tidak cukup untuk meningkatkan kadar serotonin dalam badan.

Simptom Kurang Serotonin

Antara simptom kemurungan adalah suka me­nyendiri, tidur seharian selama beberapa minggu, keyakinan diri menurun, terlalu terganggu walaupun disebabkan perkara yang kecil, rasa malu melampau dan serangan panik.

Mereka yang dihimpit rasa murung juga selalunya mengalami masalah tidur kerana mereka tidak cukup hormon serotonin untuk ditukarkan kepada melatonin yang membantu tidur lebih nyenyak.

Lebih parah, kekurangan serotonin juga boleh menyebabkan selera bertambah, sekali gus boleh membuatkan seseorang makan dalam jumlah lebih banyak dan meningkatkan berat badan.

Apabila berat badan bertambah, emosi jadi lebih tidak stabil kerana kurang senang dengan saiz badan yang semakin besar.

Namun berita baiknya, kandungan serotonin dalam tubuh boleh ditingkatkan dengan pengambilan pemakanan seimbang.

Antara makanan yang boleh membantu meningkatkan tahap serotonin dalam tubuh adalah seperti berikut.

1. Sayuran berdaun hijau

Sayuran hijau antaranya bayam dan kailan antara makanan kaya nutrien. Selain baik untuk mengelak kanser dan meningkatkan sistem pertahanan badan, sayuran hijau, bawang, kekacang, cendawan, kumpulan buah beri dan bijian mampu memberi kesan menenangkan pada diri, seterusnya membantu menghindari masalah murung.

Ini kerana ia mampu mengurangkan masalah radang dan membuatkan tubuh dapat berfungsi dengan baik.

2. Kacang walnut

Walnut adalah kekacang yang kaya dengan asid lemak Omega 3 dan beberapa kajian mendapati asid lemak itu mampu me­nyokong kesihatan dan fungsi otak, sekali gus mengurangkan simptom kemurungan.

Kajian Jurnal Psikiatri British menerangkan bahawa 80 peratus daripada otak terdiri daripada lemak lipid yang mempunyai peranan kritikal bagi memastikan kelancaran fungsi otak.

3. Avokado

Avokado mempunyai lemak sihat sebagai makanan otak dan membantunya dapat berfikir lebih tajam. Kira-kira 75 peratus daripada lemak avokado daripada lemak tidak tepu dalam bentuk asid oleik.

Ia juga mengandungi protein, vitamin K, kumpulan vitamin B, C dan E. Selain rendah kandungan gula, ia juga kaya dengan serat yang sesuai untuk mereka sedang berdiet.

4. Kumpulan buah beri

Bluberi, rasberi, strawberi dan beri hitam kaya dengan antioksidan yang baik untuk mengurangkan masalah keradangan.

Menurut kajian, pesakit yang dirawat selama dua tahun dengan antioksidan didapati kemurungan mereka berkurangan.

Kumpulan buah beri umpama pemulih DNA kerana ia mampu membantu memperbaiki sel dan menguatkan ketahanan tubuh.

5. Cendawan

Kandungan kimia dalam cendawan mampu menurunkan kadar gula dalam darah, seterusnya menenangkan mood seseorang.

Ia juga bersifat probiotik dan menggalakkan bakteria baik dalam perut. Kesihatan perut mempengaruhi penghasilan serotonin yang banyak mempengaruhi perasaan.

6. Bawang

Tumbuhan dalam kumpulan bawang seperti bawang putih, bawang merah, bawang besar dan juga daun bawang yang dimakan secara konsisten mampu menjaga kesihatan perut.

Bawang kaya dengan flavonoid yang bersifat antikeradangan dan ia secara tidak langsung menjaga kesihatan tubuh, seterusnya minda.

7. Tomato

Ia mengandungi kadar asid folik dan asid alfa lipoik yang tinggi, kedua-duanya berkesan melawan kemurungan.

Menurut beberapa kajian, kekurangan folat dalam tubuh manusia boleh menyumbang kepada masalah kemurungan.

Asid folik boleh mengelak kandungan sejenis asid amino, homosistin berlebihan yang boleh menyekat penghasilan serotonin.

Asid alfa lipoik pula menyalurkan zat ke otak dan membantu tubuh menukar glukos kepada tenaga, seterusnya menstabilkan mood.

8. Kekacang

Kekacang bagus untuk jantung, mengelak masalah kencing manis dan membantu menghilang­kan berat badan berlebihan. Kekacang dicerna secara perlahan, sekali gus menstabilkan kadar kandungan gula dalam darah.

9. Bjirin

Antaranya biji bunga matahari, biji chia dan flax bagus untuk mengawal mood kerana ia kaya dengan asid lemak omega-3.

10. Epal

Epal juga adalah sejenis buah yang kaya dengan antioksidan dan membantu memperbaiki kerosakan sel akibat radikal bebas pada peringkat selular. Ia juga kaya dengan serat yang baik untuk kesihatan perut dan mengawal paras gula dalam darah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Kurang Hormon Serotonin Punca Anda Tidak Gembira!"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info