Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Shukri Hadafi, Kanak-kanak Genius Yang Di Sia-siakan

Pada awal 1980-an para pendidik di negara ini digemparkan oleh kemunculan Mohd. Shukri Hadafi Abdul Aziz, seorang kanak-kanak pintar dari Kuala Ketil, Kedah yang mampu membaca dan menulis ketika berusia empat tahun.

Shukri Hadafi Genius
Shukri Hadafi.

Menurut Zaharah Nawawi yang menulis artikel “Ibu Tahun Ini” dalam majalah Wanita terbitan Ogos 1975 yang mengulas mengenai kepintaran Shukri, “Anaknya (Shukri) berjaya menjadi pandai dalam usia yang begitu muda (empat tahun) yang jarang diperoleh sebarang anak.

“Sekarang Shukri yang berusia empat tahun itu bukan setakat kenal alif, ba, ta. Bukan hanya kenal A, B, C. Bukan cuma kenal ‘sepah bulan’. Tapi boleh membaca apa saja, mengeja apa saja, tanpa teragak-agak dan tanpa salah dan silap”.

Ketabahan Zaharah mendidik Shukri sehingga pandai membaca dalam usia empat tahun telah menobatkan wanita itu sebagai “Ibu Tahun Ini” sempena Tahun Wanita Antarabangsa pada tahun 1975, bertepatan dengan Sambutan Hari Wanita Malaysia pada Ogos dan Ulang tahun ke-6 majalah Wanita.

Menurut Mohd. Hussain Ibrahim menerusi bukunya Pendidikan Pintar-Cerdas: Teori dan Pendekatan (1995), kebolehan istimewa yang dimiliki oleh Shukri ketika itu telah menarik perhatian masyarakat umum sehingga kanak-kanak tersebut diambil berlakon dalam filem Menanti Hari Esok (1977) arahan Tan Sri Jins Shamsuddin bersama bintang ternama ketika itu seperti seniwati Sarimah dan Noor Kumalasari.

Namun begitu, perhatian berlebihan yang diberikan masyarakat ketika itu bukanlah mengenai hubungan antara elemen kepintaran kanak-kanak itu dengan keperluan pendidikannya yang boleh membantu kejayaannya di masa depan.

“Yang menjadi fokus masyarakat pada masa itu ialah bagaimana ibu Shukri mengajar anaknya membaca dan menulis. Oleh itu tidak hairanlah mengapa Shukri kemudiannya tercicir daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya.” (Mohd. Hussain Ibrahim 1995: 2).

Dalam artikel yang disiarkan oleh Mastika edisi Jun 2000 bertajuk “Maafkan Saya”, ia menelusuri kehidupan kanak-kanak pintar berkenaan yang ketika itu tinggal bersama kakaknya di Baling, Kedah.

“Shukri sedar ramai orang yang ingin mengetahui perjalanan hidupnya yang suatu ketika dahulu dianggap budak paling pintar di Malaysia.

“Tapi bukanlah mudah untuk dia (Shukri) luahkan kerana sejak 30 tahun lalu terlalu banyak peristiwa dilaluinya,” (Mastika Jun 2000: 6).

Shukri yang berjaya memperoleh 17 agregat dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1985 seterusnya diambil oleh Profesor Diraja Ungku Aziz menjadi anak angkat supaya kecemerlangannya terus diperhebatkan.

“Tidak lama selepas akhbar keluarkan keputusan peperiksaan itu, saya diberitahu yang Pak Ungku dan Mak Ungku (Profesor Diraja Ungku Aziz dan Puan Azah Aziz) berminat untuk menjadi penjaga saya, menanggung pelajaran supaya kepandaian saya tidak sia-sia begitu sahaja." (Mastika Jun 2000: 9).

Ungku Aziz seterusnya membawa Shukri ke Kuala Lumpur dan dimasukkan ke Sekolah Tinggi Klang (STK).

Malang sungguh, tidak lama kemudian, Shukri mula hanyut, menghisap rokok dan mengabaikan pelajarannya. Suatu malam Shukri ditangkap oleh guru kerana balik lewat ke asramanya.

“Esoknya, saya dapat surat. Saya dibuang dari asrama. Sejak itu Pak Ungku tak mahu jadi penjaga saya lagi. Depa (mereka) betul-betul marah dengan saya,” cerita Shukri lagi (Mastika Jun 2000: 10).

Sejak itu kehidupan Shukri menjadi lintang pukang tanpa haluan. Beberapa kali beliau ditangkap polis kerana mencuri dan membawa ganja seterusnya dipenjarakan.

“Pada 1988 saya dipenjara setahun kerana mencuri di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Kemudian, saya kena penjara setahun lagi kerana membawa enam peket ganja.

“Pada 1998 saya ditangkap pula di Kuala Ketil juga semasa bawa ganja. Hakim jatuhkan hukuman denda RM600 atau tiga bulan penjara. Saya pilih penjara. Duit takdak (tak ada),” luah Shukri (Mastika Jun 2000: 11).

Melalui wawancara itu juga Shukri tidak mahu masyarakat memandang serong terhadapnya sebagai bekas banduan dan beliau insaf kerana melakukan banyak kesilapan dalam hidupnya sehingga mengecewakan ramai orang yang membantunya termasuk Ungku Aziz dan Puan Azah Aziz sehingga gagal mencapai ‘bintang’.

Syarifah Norul Akmar (1990) dalam kertas kerja bertajuk, “Permasalahan serta isu-isu dalam pendidikan pintar-cerdas di Malaysia masa kini” pada Seminar Pendidikan Pelajar Pintar-Cerdas, Institut Ilmu-Ilmu Islam, Kajang Selangor turut menyentuh kisah sedih Shukri.

“Kita masih mengingati kisah sedih Shukri yang pada suatu ketika dahulu boleh digolongkan sebagai kanak-kanak pintar-cerdas.

"Kecerdasan Shukri malangnya tidak dipupuk serta diberikan perhatian yang sewajarnya,” kata Syarifah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Shukri Hadafi, Kanak-kanak Genius Yang Di Sia-siakan"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info