Sudah hampir lima rantai berjalan. Datuk tidak juga menuturkan sesuatu. Saya masih sabar menanti jawapan darinya. Tetapi, lama-kelamaan rasa sabar itu segera bertukar menjadi rasa cemas dan takut. Mungkin Datuk tersinggung atau mungkin dia marah dengan pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan kepadanya.
Tak mengapa, apa pun yang akan terjadi terpaksa saya hadapi. Sesungguhnya, saya ingin mengetahui sesuatu dengan jelas dan tepat. Saya kira apa yang saya lakukan itu memang wajar, fikir saya sendirian.
"Imam beri dia duit, yang di kumpul dari derma para jemaah", tanpa diduga Datuk bersuara. Melenyapkan kebimbangan yang bersarang dalam dada saya.
"Berapa dia dapat tuk?"
"Itu aku tak tahu, biasanya tak banyak."
"Tak banyak tu berapa tuk?", saya terus mendesak.
"Kamu ni, suka sangat bertanya. Kamu tahu, dia cuma ambil duit tambang dia datang dan balik, kemudian dia ambil tiga empat ringgit untuk beli beras."
"Kalau macam tu, sampai bila-bila pun dia tak senang."
"Dia bukan nak cari kesenangan. Dia mahu menyebarkan ilmu agama pada umat Islam, itu sumbangannya. Kamu harus tahu setiap kita yang hidup ini, bila mati akan disoal apa sumbangan kita pada agama dan manusia."
"Hum... Kalau macam itu sampai bila pun dia tak akan senang."
"Eh kamu," Datuk terus menengking saya.
Saya terdiam, sesungguhnya saya terkejut dengan perubahan sikap Datuk dari ramah bertukar menjadi bengis dan marah-marah.
"Aku tak mahu kamu tanya tentang guru tu, dia tidak mengharapkan wang ringgit dari hasil usahanya", kata Datuk dan saya mula mengetahui punca Datuk menengking saya.
"Dia mengajar dengan ikhlas, dia tidak mengharapkan wang ringgit," kata Datuk lagi, mengulangi apa yang telah diucapkannya.
"Begitu, tapi ada orang mengajar agama kerana wang."
"Itu bukan mengajar namanya, Tamar."
"Kalau bukan mengajar, nak sebut apa tuk?"
"Jangan kamu tak tahu, itu namanya gunakan agama untuk cari duit, itu perbuatan tak ikhlas, faham. Jangan tanya-tanya hal itu lagi."
"Baiklah tuk."
Perjalanan seterusnya terasa sunyi. Cuma kicau burung yang terdengar. Saya mengambil sikap mengunci mulut dan berazam tidak akan menyoal Datuk hingga sampai ke kaki tangga. Tanpa diduga, Datuk bersuara.
"Kamu balik dulu, aku ada hal."
"Tuk nak kena mana?"
"Aku nak pergi ke kaki bukit, nak tengok jerat yang kamu tinggalkan petang semalam."
"Baik tuk balik dulu, lepas tu kita pergi bersama."
"Tak payah, beritahu pada nenek kamu aku ke sana."
Saya segera mempercepatkan langkah ke rumah. Dalam asyik melangkah itu, saya terpandangkan sepasang anak kucing bermain-main di tepi jalan. Timbul keinginan untuk menangkapnya.
Saya terus mendekati dan sepasang anak kucing itu melompat ke dalam semak. Saya terus memburu. Rupa sepasang anak kucing itu sungguh menarik, berbeza dengan anak kucing peliharaan. Bulunya memikat dengan jalur yang besar dan terang.
Makin saya kejar, makin manja sepasang anak kucing itu melompat-lompat di hadapan. Seolah-olah mencabar saya supaya menangkapnya.
Keghairahan saya kian menjadi untuk memiliki dan memelihara sepasang anak kucing tersebut.
Kerana asyik memburunya, dua tiga kali saya terjatuh. Akibatnya kain yang saya pakai terus koyak, begitu juga dengan baju.
Songkok yang dipakai, tidak lagi berada di kepala. Sudah hilang, entah di mana jatuhnya, saya sendiri tidak tahu. Pedulikan dengan songkok.
Tiba-tiba saya dapati diri saya sudah berada jauh dalam hutan. Saya tidak mahu sorot kembali, walau apa pun yang terjadi, sepasang anak kucing itu mesti saya tangkap.
Badan saya mula berpeluh dalam sinar matahari pagi yang kian keras. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, hutan tebal saya redah.
BERHENTI
Sepasang anak kucing itu berhenti dari berlari, masuk ke kawasan yang ditumbuhi dengan pepokok kecil. Tidak jauh dari pepokok kecil itu terdapat sepohon pokok yang amat besar.
Akar-akar berjuntaian di dahan, kerana daunnya terlalu lebat, sinar matahari tidak sampai ke kawasan tanah di bahagian pangkal pokok.
Walaupun begitu, keadaan sekitar kawasan bawah pokok kelihatan bersih.
Dalam sekelip mata sahaja sepasang anak kucing hilang di pangkal pokok besar. Saya kira, anak-anak kucing itu pasti menyembunyikan diri dalam lubang yang terdapat di perdu pokok.
Saya melangkah dengan perlahan-lahan, saya berusaha supaya ranting dan daun kering yang dipijak tidak mengeluarkan bunyi yang akan mengejutkan anak-anak kucing tersebut.
Hidung saya mula terhidu bau yang kurang menyenangkan. Saya yakin bau itu adalah bau binatang.
Tetapi, saya tidak dapat memastikan apakah bau itu dari binatang yang merbahaya atau sebaliknya.
Kerana mahu menangkap anak-anak kucing, bau tersebut tidak saya hiraukan, saya terus berjalan membongkok menyusup di bawah akar-akar yang berjuntaian.
Secara mendadak sahaja hati saya berdebar, kaki saya tidak berdaya melangkah, perkara yang tidak pernah terlintas dalam otak, kini wujud di depan mata. Badan saya berpeluh.
Ya Allah, selamatkan aku dari kecelakaan dan bencana ini. Sesungguhnya, kerana gagal mengawal nafsu dan keinginan membuat aku jadi susah. Mencari celaka sendiri.
Tolonglah, suara batin saya terus meraung. Badan terus menggigil. Perlahan-lahan saya rendahkan badan lalu duduk di balik pokok besar.
Saya kumpulkan tenaga untuk memulakan langkah seribu. Ternyata saya tidak berupaya berbuat demikian.
Saya rasa, maut sudah hampir benar dengan saya. Dalam keadaan terdesak saya teringatkan surah Al-Fil.
Kata Datuk, kalau surah itu dibaca dalam keadaan diri kita terdesak, boleh menguatkan jiwa, berani menghadap sesuatu dengan cekal.
Dengan terketar-ketar saya menyebut surah al-Fil yang bermula dengan: Alam tarakai fafa 'ala Rabukka bi asha bil fil... ayat itu saya ulang berkali-kali. Rasa gementar pun hilang.
Saya serahkan diri saya pada Allah. Kalau janji saya mahu mati di pangkal pokok besar ini, tetap saya terima. Kalau saya terselamat saya bersyukur pada Allah kerana usia dilanjutkan lagi.
Perlahan-lahan saya bangun dan merenung ke arah tanah yang agak lapang. Saya perhatikan sepasang anak harimau (yang pada awalnya saya sangka anak kucing) bermain-main dengan ibunya.
Ekor ibunya bergerak-gerak. Sesekali menampar dan menggigit badan anaknya yang nakal. Entah macam mana, ibu harimau itu terpandang ke arah saya. Ia segera bangun dan membuka mulut, memperlihatkan gigi dan lidahnya.
Semuanya, terpaksa saya hadapi dengan tenang. Hati saya tidak pernah penat membaca Surah Al-Fil. Satu saat mata saya dengan mata harimau bertentangan.
Perlahan-lahan harimau merendahkan badan. Berguling-guling di bumi bermesra dengan sepasang anaknya yang comel.
Saya segera meletakkan telapak tangan ke bibir. Saya terkejut melihat perangai harimau beranak dua itu. Tidak mempedulikan kehadiran saya.
Ternyata harimau itu tidak mahu menjadikan diri saya sebagai musuh utamanya. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin.
Ketika itu juga, saya teringat kata orang tua-tua yang berbunyi, "Musuh jangan dicari. Tuah jangan ditolak".
Berpegang pada kata-kata tersebut, saya segera berundur setapak demi setapak.
Setelah dihitung, lebih dari dua puluh tapak saya undur ke belakang dan yakin harimau tidak akan mengikuti saya.
Cepat-cepat saya memusingkan tubuh (membelakangi harimau) lalu memulakan langkah seribu. Saya terus memecut dengan sekuat hati, bagaikan tidak cukup bumi.
Sambil berlari, saya merenung ke belakang. Saya bimbang, kalau harimau beranak dua menyusuri jejak langkah saya.
SELEKOH
Sampai di satu selekoh kecil yang kerap digunakan oleh orang-orang kampung sebagai jalan pintas pergi ke hutan mencari rotan, saya toleh ke belakang.
Dalam perhitungan saya, itulah renungan terakhir untuk harimau dan anak-anaknya.
Beberapa langkah dari selekoh kecil itu adalah kawasan perkampungan yang subur dengan pepohon pisang dan perdu tebu.
“Aduh."
Saya terasa bahu sebelah kanan terlanggar sesuatu yang lembut dan badan saya ikut jatuh bersama benda yang saya langgar itu.
Apa yang saya lihat ialah kepulan awan putih. Saya tidak terdaya mahu merenung ke kiri dan ke kanan. Bila saya gerakkan anggota tubuh terasa sakit.
Dalam keadaan yang agak cemas itu, saya terasa benda yang saya langgar bergerak lemah. Serentak dengan itu saya terdengar desir nafas.
Apakah desir nafas itu dari manusia? Atau dari ular sawa? Timbul pertanyaan dalam diri.
Kata orang, hembusan nafas ular sawa yang tertindih, tidak jauh bezanya dengan hembusan nafas manusia.
Saya jadi panik dan saya kira saya jatuh atas lingkaran badan ular sawa. Saya tidak berani menggerakkan badan dan saya pasrah pada Allah.
Saya segera membayangkan, sebentar lagi ular sawa yang tertindih itu akan membelit tubuh saya lalu menjerutnya dengan sekuat hati.
Segala tulang-temulang saya remuk. Badan menjadi lembik dan ular menelan saya perlahan-lahan.
Benda yang saya tindih terasa bergerak dan sepasang tangan memeluk tubuh saya erat-erat. Saya cuba meronta-ronta. Sehelai daun tebu jatuh atas pipi kiri. Saya mula terasa miang.
“Babi kamu Tamar, lari tak tengok orang,” terdengar rungutan.
Serentak dengan itu badan saya di angkat dan ditolak ke kanan dengan kuat. Saya jatuh atas dedaun tebu kering. Saya terpaksa bangun perlahan-lahan di perdu tebu.
"Kamu tak ada otak”, sambung Mazlan lalu mencabut golok perak di pinggang.
Saya lihat mukanya bercalar terkena tebu muda. Bajunya koyak, kain ikat kepalanya terlucut.
"Kalau orang lain, aku tikam kamu dengan golok ini sampai terburai isi perut. Kamu tengok botol kopi aku pecah, nasi bekal aku habis bertabur atas tanah", lanjut Mazlan yang kerja sehari-hariannya mencari rotan. Saya terdiam.
Saya lihat air kopinya yang meresap ke bumi, saya lihat bekalnya bertaburan. Timbul rasa belas dalam hati.
"Kamu bayar semua ini?”, Mazlan mula mengugut.
"Aku tak sengaja."
"Tak sengaja, kepala bapak kamu."
“Maafkan aku Mazlan, aku tak sengaja."
“Bodoh, sial," kutuk Mazlan.
“Cakap jangan sebarang, silap cakap buruk padahnya," rasa marah mula meruap dalam dada saya.
Terasa malu dan hilang harga diri bila disebut bodoh dan sial. Mazlan yang lebih besar bentuk tubuhnya itu saya renung.
“Ada mata, tak tahu nak guna, lari membabi buta inilah akibatnya. Ada otak tak tahu guna,” Mazlan membakar perasaan saya dengan kata-kata yang amat menyakitkan.
“Kamu juga tak tahu gunakan mata, kalau kamu gunakan mata tentu kamu boleh mengelak bila aku datang," saya meningkah.
Kata-kata itu menaikkan kemarahan Mazlan seratus-peratus. Matanya tidak berkedip merenung muka saya. Mazlan menerpa ke arah saya sambil mengangkat goloknya tinggi-tinggi.
Bila dia menjatuhkan goloknya ke arah bahu kanan saya, cepat-cepat saya mengelak dan melepaskan buah silat lalu menendang tangan yang memegang golok.
Mazlan terdorong ke kiri. Mata goloknya yang tajam sempat merebahkan lima batang tebu dalam sekelip mata.
Andainya saya tidak sempat mengelak, bukanlah satu perkara yang mustahil tali perut saya bertabur atas bumi.
Mazlan yang marah itu terus bangun serta-merta. Dia membuka langkah silat. Saya tergamam. Bukanlah mudah untuk menentang kawan seperguruan.
Masing-masing tahu kelemahan dan kelebihan rentak serta langkah masing-masing. Siapa silap membaca langkah dan lambat bertindak, orang itu pasti tewas.
“Jaga kamu Tamar.”
Mazlan terus menyerang. Saya mengelak lagi sambil menyusun langkah di balik batang tebu. Mazlan bertambah marah.
Dia tahu saya cuba menjadikan batang-batang tebu yang tumbuh itu sebagai perisai.
Dia terpaksa merebahkan batang-batang tebu terlebih dahulu, sebelum menghunuskan mata goloknya ke tubuh saya.
Mazlan terus bertindak macam orang gila. Semua batang tebu yang saya jadikan perisai habis rebah ke bumi. Saya terdesak.
“Hei, kamu tahu, aku langgar kamu tadi kerana harimau kejar aku," saya menjerit.
Langkah silat dan gerak tangan Mazlan yang pantas bergerak, terhenti serta-merta.
“Apa Tamar?”
“Aku dikejar harimau, pasal tu aku lari.”
“Tamar", suara Mazlan lemah. Golok di tangannya terlepas.
“Harimau, aku dikejar harimau," saya bersuara dengan keras dan berpusing ke kanan lalu lari.
“Tamar, nanti dulu,” pekik Mazlan. Saya berhenti berlari dan menoleh ke arahnya.
“Aku tak boleh tunggu kamu, Mazlan. Aku takut."
“Tunggulah, aku maafkan kamu. Jangan tinggalkan aku,” suara Mazlan bertambah lantang.
Rasa belas timbul dalam hati. Ingin sekali saya memenuhi permintaannya.
Bagaimana? Bila sudah berdekatan dia bertindak lain pula, mana tahu dia terus menyerang. Mungkin saya menemui ajal di hujung goloknya atau cedera parah.
Cakapnya, bukan boleh dipercayai. Hati manusia selalu berubah. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Ada baiknya, saya melupakan tentang dirinya. Pergi jahanam dengan Mazlan. Saya membuat keputusan nekad.
“Maafkan aku Mazlan, aku tidak boleh menolong kamu," jerit saya lalu membuka langkah semula.
Melihat saya tidak mahu menunggunya, Mazlan segera renung kiri dan kanan dengan wajah yang amat cemas.
Beberapa detik kemudian, Mazlan terus membuka langkah seribu. Saya lari arah ke rumah Datuk dan Mazlan lari ke rumahnya. Dia terus berteriak sepanjang masa berlari.
"Tolong, harimau, harimau masuk kampung", teriaknya bertali-tali.
Berjaya menarik perhatian para penduduk kampung. Mereka keluar beramai-ramai ke halaman rumah dengan rasa terkejut dan hairan.
Beberapa orang dari mereka yang turun ke sawah dan ke kebun pagi itu terpaksa membatalkan rancangan mereka.
Anehnya, tidak sampai setengah jam kemudian, keadaan kampung jadi haru-biru.
Bermacam-macam cerita yang menakutkan mula timbul.
MENGADU
"Dah dua orang di baham harimau keramat", kata seorang penduduk yang datang mengadu pada Datuk.
Saya yang kepenatan terus duduk di kerusi kayu dekat tiang seri di bawah rumah.
Datuk pula yang kebetulan baru sahaja pulang dari melihat jerat di kaki bukit termenung sejenak. Wajah penduduk kampung yang singgah di kaki tangga direnungnya.
“Jadi kamu ni nak ke mana?”, tanya Datuk.
“Nak ikut orang-orang kampung menghalau harimau keramat dan nak ambil mayat orang yang dibahamnya," terang penduduk tersebut.
Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Baru setengah jam saya meninggalkan pinggir hutan bermacam-macam cerita terjadi.
“Siapa yang kena baham harimau tu?”
“Zaharin, anak Alang Usman."
“Mana kamu tahu?", soal Datuk bersungguh-sungguh.
Rasa penat yang menguasai diri saya beransur kurang. Saya lihat beberapa orang kampung membawa kayu dan parang berlari ke arah pinggir hutan. Datuk jadi cemas melihat keadaan tersebut.
“Aku baru balik dari kaki bukit, aku tak nampak apa-apa," Datuk menarik nafas sambil menggaru pangkal dagunya.
“Itu saya tak tahu, orang-orang kampung semuanya dah bersiap sedia nak halau harimau."
“Dari mana kamu tahu semuanya ini?", Datuk mula mencungkil rahsia.
“Si Ramli beritahu. Dia dapat cerita dari Suhaimi dan Suhaimi pula dapat tahu dari Syamsuri dan Syamsuri dapat cerita dari siapa saya tak tahu", orang itu menelan air liur.
Di mukanya terbayang keresahan. Tidak suka dirinya disoal begitu.
“Kalau awak nak ikut mari, saya nak bantu orang kampung, kemudian nak cari mayat si Zaharin," orang itu memberi kata putus lalu melangkah meninggalkan Datuk.
Dua tiga kali Datuk gosok pangkal hidung. Dia jadi serba salah. Hati menyuruh pergi, sedangkan fikirannya menyuruh dia bersabar.
Setelah ditilik dan ditimbang dengan teliti, Datuk membuat keputusan untuk mengikut kata hatinya. Datuk segera mengikut langkah lelaki itu.
Dua kali saya memanggil nama Datuk. Sayang, seribu kali sayang, panggilan saya tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga Datuk. Dia memburu lelaki itu.
Mereka bersatu dan melangkah seiring sebaik sahaja sampai dekat pokok tualang yang mati pucuk. Rasa sesal mula bertandang dalam hati. Kerana penat berlari saya tidak dapat menerangkan keadaan sebenar pada Datuk.
Apa yang perlu dilakukan sekarang? Perkara yang wajar dibuat, ikut Datuk dan lelaki itu. Terangkan keadaan sebenar pada mereka. Itu keputusan yang saya ambil.
Tanpa berlengah-lengah lagi saya terus mengejar Datuk. Bukan mudah mahu mendekati mereka. Mereka sudah terlalu jauh.
Saya terus berlari. Saya berazam, bila Datuk menoleh ke belakang, saya akan melambaikan tangan ke arahnya.
Apa yang saya harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Datuk dan lelaki itu sampai ke pinggir hutan (di tempat saya melanggar Mazlan hingga jatuh).
Bila saya sampai ke tempat tersebut, Datuk dan lelaki itu sudah meninjau ke arah lain.
Melihat batang-batang tebu yang bersepah. Badan saya berpeluh, saya lihat ramai orang-orang kampung di situ.
Beberapa orang dari mereka memikul senapang kampung berlaras satu dan dua. Sebahagiannya membawa kayu dan parang panjang. Keadaan di situ memang kelihatan sibuk.
Semua yang hadir bercakap besar. Masing-masing mahu membantai harimau jahanam sampai mampus.
Beberapa orang pemuda membawa buluh kuning yang sudah ditajamkan.
“Kamu hidup lagi, tadi dia orang kata kamu dibaham harimau, badan kamu dah dibawa harimau ke dalam hutan", kata Shahril lalu melihat tubuh saya atas bawah.
Dia bagaikan tidak percaya yang dirinya sedang berdepan dengan kawan sekampung yang pernah main gasing dan guli. Malah pernah bertumbuk kerana kalah main congkak.
“Dari mana kamu dengar cerita ni, Sha?”
“Jaafar, dia dapat cerita dari Mazlan", Shahril terus memerhatikan pakaian saya yang terdapat kesan tanah dan koyak.
Dia melihat lengan kanan saya luka dan bercalar. Wajahnya jadi cemas.
“Kau berjaya selamatkan diri dari harimau, kau gunakan ilmu silat menentang harimau, kau memang handal", jerit Shahril hingga menarik perhatian orang-orang lain.
Dalam beberapa detik sahaja saya terus dikerumuni oleh orang-orang kampung. Saya jadi resah. Terasa seram sejuk, bila bercupak-cupak biji mata orang kampung tertumpu ke arah saya.
Dari raut muka dan gerak-geri beberapa orang dari mereka secara terang-terangan mengagumi kehebatan saya.
Mulut Shahril yang tidak terkawal itu terus memuji-muji diri saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat Datuk dan kawannya berdiri tidak jauh dari depan saya.
“Mana satu yang betul, tadi orang ini mengatakan Zaharin anak Alang Usman yang dibaham harimau. Sekarang dah lain pula orangnya," Datuk melangkah setapak, memisahkan dirinya dari kumpulan orang ramai. Jari telunjuknya masih mengarah kepada lelaki di sebelahnya.
“Siapa di antara kita yang berbohong. Perkara mati jangan dibuat main-main, boleh menyusahkan orang yang hidup, terutama keluarga yang terbabit," sambung Datuk lagi. Semua wajah orang kampung ditatapnya satu-persatu.
“Kamu Sha," jari telunjuk Datuk menghala ke arah Shahril.
"Jumpa Jaafar di mana?”, lanjut Datuk lagi.
“Dekat kedai, dia dapat cerita dari Mazlan," jawab Shahril dengan tenang dan penuh keyakinan.
Orang kampung berpandangan sama sendiri. Mereka masih tertanya sesama sendiri, macam mana cerita seperti ini boleh tersebar dengan luasnya.
“Itu dia Zaharin," kata salah seorang dari kumpulan orang kampung.
Semua biji mata tertumpu arah selatan. Zaharin berjalan dengan tenang keluar dari rerumpun pokok kecil sambil membuka kain ikat kepalanya. Dia mendekati kumpulan orang kampung.
“Kenapa berkumpul? Ada apa-apa masalah?”, tanyanya.
“Kami dapat tahu kamu dibaham harimau," jawab rakan Datuk.
“Dibaham harimau? Siapa yang beritahu?”, Zaharin kehairanan.
“Mazlan," jawab Datuk.
“Hiss. Ini dah mengarut, memang kami berdua nak ke hutan mencari rotan. Saya masuk ke hutan dulu dan berjanji dengannya bertemu di tempat biasa,” Zaharin berhenti bercakap.
Sepasang matanya merenung tepat ke wajah saya. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Hati orang-orang kampung terus berdebar, menanti cerita darinya.
“Saya tunggu-tunggu, dia tak datang. Saya keluar ni nak cari dia," terang Zaharin dengan wajah kesal.
Dia sendiri terasa aneh, macam mana cerita dirinya dibaham harimau boleh timbul.
“Kita ni sebenarnya, salah faham. Bila dah salah faham kita pula tak mahu mencari macam mana punca salah faham tu boleh timbul," Datuk bersuara dengan rasa kecewa. Tanpa disangka-sangka sepasang mata Datuk tertumpu ke arah saya.
“Kamu ni, apa kena calar-balar? Pakaian koyak-rabak apa fasal? Apa tadi kamu tak terus pulang ke rumah," saya tergamam dengan pertanyaan yang tidak diduga sama sekali keluar dari mulut Datuk. Saya renung ke arah Shahril minta simpati dan bantuan darinya.
“Kamu mesti selesaikan perkara ini, terangkan pada kami kedudukan sebenar. Macam mana kamu dengan Zaharin disebut-sebut sudah dibaham harimau?" terdengar suara dari arah belakang.
Saya renung ke arah Datuk. Dia nampak serius. Tunduk merenung bumi.
“Ceritakan, kami nak tahu siapa yang bawa cerita palsu ini?" terdengar lagi suara dari arah belakang.
“Ya, kami nak tahu," sahut dari sebelah kiri. Saya jadi serba salah.
“Begini mulanya, sa...”, saya tidak terdaya meneruskan kata-kata.
Diganggu oleh bunyi sorakan yang kuat dari arah pangkal kampung. Saya segera menoleh ke arah tersebut. Apa yang saya lihat amat mengejutkan. Mazlan dipegang oleh beberapa orang lelaki dan dibawa ke arah kami.
Mazlan meronta-ronta dan cuba menendang ke kiri dan ke kanan. Usahanya itu tidak mendatang apa-apa hasil. Orang-orang kampung yang memegangnya bukan orang lain tetapi dari keluarganya sendiri.
“Sekarang terangkan pada kami macam mana perkara ini boleh terjadi", Usman, Abang Mazlan yang paling tua bersuara. Mazlan merenung ke arah saya.
“Kau terangkan Tamar," katanya.
“Aku, Mazlan?”
“Ya, siapa lagi kalau bukan kamu.”
“Hum", kata saya lalu renung muka Datuk.
Perlahan-lahan Datuk anggukkan kepala suruh tunaikan permintaan Mazlan. Semua orang kampung yang berada di situ tatap muka saya kembali.
"Tadi balik dari masjid saya nampak anak harimau. Saya ikut sampai dalam hutan dan tengok ibunya. Kemudian saya lari kerana takut. Masa lari tu saya terlanggarkan Mazlan," dengan tenang saya mulakan cerita.
Semua orang kampung terdiam. Masing-masing pasang telinga mahu dengar cerita dari saya.
Tangan Mazlan tidak lagi dipegang oleh keluarganya. Dia dilepaskan. Miang daun tebu jelas kelihatan lekat di pipi dan baju Mazlan. Lengan dan pipinya calar balar. Ada kesan luka dipangkal kening kirinya.
"Bila saya langgar Mazlan, dia terus marah dan nak tikam saya dengan golok," saya sambung kembali cerita yang terputus.
“Lepas tu apa yang terjadi?" soal Abang Mazlan.
"Kami bergaduh. Masa bergaduh tu saya beritahu Mazlan ada harimau kejar saya. Mazlan terkejut. Masa Mazlan tergamam tu saya tinggalkan dia."
"Kamu lari ke mana?" Datuk ajukan pertanyaan.
“Saya lari ke rumah, Mazlan saya tak tahu ke mana dia pergi."
“Habis siapa yang beritahu orang kampung tentang harimau yang mengganas?" lelaki di sisi Datuk menyoal.
Saya terdiam dan terfikir bahawa soalan yang diajukan ada kena-mengena dengan diri Mazlan. Ada baiknya Mazlan menjawab pertanyaan tersebut.
“Saya yang beritahu, saya menjerit sepanjang masa saya berlari. Saya beritahu, harimau, harimau," Mazlan menyelesaikan kebuntuan yang bersarang dalam hati saya.
“Habis, macam mana boleh timbul aku yang kena baham harimau?” mendadak sahaja Zaharin menyoal. Saya lihat Mazlan menarik nafas lemah.
“Masa lari tu, saya jumpa Jaafar. Dia tanya kamu, aku kata kamu di hutan. Itu saja," dengan penerangan Mazlan itu kesilapan kian terserlah.
Dan tanpa diduga, Jaafar yang ada dalam kumpulan orang kampung tampil ke depan.
“Cakap Mazlan tu betul. Apa yang saya dengar saya beritahu orang kampung, saya cuma menambah sikit cerita tu dengan menyebut mungkin Tamar mati dibaham harimau, begitu juga dengan Zaharin yang ikut Mazlan ke hutan. Entah macam mana cerita itu boleh berubah begitu jauh," Jaafar bersuara dengan rasa penuh kesal.
Orang-orang kampung segera gelengkan kepala. Beberapa orang dari mereka segera mencampakkan kayu yang mereka bawa ke dalam hutan. Manakala yang memikul senapang terus mengeluh dengan penuh rasa kesal.
“Semuanya terjadi kerana tidak ada usul periksa, terlalu cepat bertindak ikut perasaan. Apa salahnya bila dah dengar khabar ada yang kena baham harimau pergi tanya keluarganya dulu sebelum beritahu orang lain," lelaki di sisi Datuk melepaskan kehampaan.
Dia wajahnya terbayang rasa kecewa yang amat sangat. Mungkin dia merasa dirinya bersalah kerana menyampaikan berita yang tidak tepat kepada Datuk dan kemudian mengheret Datuk ke mari.
“Tak apalah, jadikan semuanya ini satu pengalaman dan pengajaran. Di masa-masa akan datang jangan diulangi," ujar Datuk dalam nada suara yang lembut.
Dengan penuh hormat Datuk menggesa orang-orang kampung yang berkumpul itu supaya bersurai. Permintaan Datuk diperkenankan.
MARAH
Kerana marah di leter oleh Datuk agak lama, saya mengambil keputusan memprotes perbuatannya itu.
Saya mengelakkan diri dari memandang wajahnya serta tidak mahu bertutur walau sepatah pun perkataan dengannya.
Sejak lepas makan tengah hari, saya terus meninggalkan rumah. Menghabiskan masa dengan kawan-kawan bermain catur di bawah pokok cempedak dekat surau.
Jemu main catur, kami main gasing atau godam. Kawan-kawan bagaikan bersimpati dengan saya. Tidak seorang pun yang mahu bertanya berhubung dengan peristiwa pagi tadi. Mereka melupakan terus bagaikan peristiwa itu tidak pernah terjadi.
“Tamar, aku nak cari kerja, kau nak ikut?”, Najib anak anggota polis yang baru bersara membisikkan ke telinga saya.
Saya tergamam sebentar. Otak saya ligat berfikir, apakah cadangan Najib itu wajar saya terima atau saya tolak.
“Kerja apa kau nak minta?”
“Aku nak minta polis, aku dapat tahu tak lama lagi polis nak cari orang baru. Aku nak minta kerja tu di Alor Setar."
“Kenapa nak pergi ke sana. Alor Setar tu jauh Jib."
“Di sana peluang aku cerah."
"Peluang kau cerah di sana?” saya bertanya hairan.
Sukar untuk menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib. Mungkin dia mahu bergurau dengan saya. Mungkin kerana Najib tidak mahu rancangannya diketahui oleh kawan-kawan yang lain dia segera menarik tangan saya menuju ke warung Wak Dollah.
Kami duduk di bangku yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Najib minta dua cawan kopi sambil memberitahu saya:
“Kamu jangan bimbang Tamar, hari ini aku belanja kamu. Tapi, kamu mesti ingat, aku cuma belanja minum saja. Kalau kamu makan kuih, sendiri bayar.”
"Aku tahu, kamu bukannya ada duit sangat."
“Kamu bijak", jawab Najib berjenaka.
Serentak kami ketawa. Beberapa detik kemudian air kopi yang dipesan diletakkan oleh Wak Dollah atas meja depan kami.
“Sebab aku nak ke Alor Setar kerana harapan aku nak dapat kerja cukup cerah", Najib membuka rahsia.
Memang saya tahu, kedua orang tua Najib berasal dari Alor Setar. Datang ke kampung kelahiran saya sejak Najib dilahirkan.
Kedua orang tuanya mahu memperjudikan nasib di rantau orang. Mereka membeli tanah sawah. Ternyata usaha kedua orang tua Najib berhasil.
Dari sekeping tanah, mereka berjaya membeli berpuluh keping tanah sawah dan jadi orang yang agak kaya dan ternama di kampung saya.
“Bapa saudara aku jadi OCPD di Alor Setar, dia boleh tolong rekomen aku. Kalau kamu mahu, dia boleh tolong", satu cadangan dan harapan yang amat baik dari Najib.
Soalnya, apakah Datuk bersedia mengizinkan saya pergi ke Alor Setar mengikut Najib.
“Apa macam nak ikut tak?", tanya Najib.
“Kena tanya Datuk aku dulu."
“Kalau dia tak izinkan, macam mana?”
“Aku tak pergilah.”
“Tapi, kamu nak jadi polis, bukan begitu.”
“Tentu", saya anggukkan kepala.
Najib terus menghirup air kopi. Otak saya terus bekerja untuk mencari jalan bagaimana mahu memujuk Datuk. Kalau permintaan saya tidak diperkenankan apakah yang wajar saya lakukan.
“Kalau Datuk kamu tak kasi, kamu lari saja dari rumah ikut aku", Najib memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam kepala saya.
“Itu satu cadangan yang baik tapi, sulit untuk aku kerjakan Najib."
“Tak sulit, kau bukan lari untuk selama-lamanya, lari sehari dua untuk cari kerja. Sama ada dapat kerja atau tidak kau balik juga ke rumah."
“Betul juga cakap kamu Najib", kata saya riang.
Susulan dari keriangan itu, cepat-cepat telapak tangan Najib saya sambar. Buat seketika tangan kami bergoncangan. Mata berpandangan penuh sejuta makna.
“Jadi," kataku.
“Berjaya", sahut Najib.
Senyum kami pun bertambah lebar. Serentak kami menghirup kopi dalam cawan hingga habis.
“Bila kita mulakan?”, saya menyoal tanpa sabar.
“Aku tulis surat dulu pada bapa saudara aku, bila pemilihan itu mahu diadakan, bila dapat jawapan kita terus pergi."
“Kau jangan main dan tipu aku."
“Tidak, aku berjanji," jawab Najib.
Lagi sekali telapak tangan kami bercantum dan bergoncang. Warung Wak Dollah kami tinggalkan.
Saya mula membayangkan betapa hebatnya saya memakai pakaian seragam polis dengan kayu cota di pinggang. Bertindak cergas menangkap orang jahat.
Saya senyum sendirian.
Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 96/284
BACA: SBDJ Siri 95: Di Kunjungi Gadis Waktu Malam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)
-SENTIASAPANAS.COM

Banyak lagi menarik FB kami
https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "SBDJ Siri 96: Harimau Disangka Kucing"