Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Tanda Sistem Saraf Anda Mula Rosak Dan Makanan Terbaik Untuk Mencegahnya

Organ-organ badan tidak akan berfungsi dengan baik sekiranya berlaku gangguan pada sistem ini, kerana apabila sistem saraf rosak, fungsinya untuk menghantar impuls dari otak ke sistem saraf pusat dan kepada semua bahagian badan akan terhalang.

Sistem Saraf

Gangguan ini dikenali sebagai neuropati periferal atau kerosakan saraf periferal dan pelbagai perkara menjadi punca kerosakan gangguan sistem saraf, antaranya ialah kecederaan, penyakit autoimun, diabetes, angin ahmar atau kesan sampingan ubat-ubatan.

Menurut laporan portal kesihatan Healthline, gangguan atau kerosakan sistem saraf ini boleh dikesan menerusi beberapa gejala yang muncul sebagai simptom awal kerosakan saraf.

Jika ia tidak dirawat dengan segera masalah ini boleh membawa risiko kekal seperti lumpuh.

Mari kita lihat gejala kerosakan saraf periferi dan simptomnya.

1. Sesemut

Ramai orang menganggap masalah sesemut (tingling) sebagai satu perkara yang ringan dan biasa, tetapi ramai yang tidak sedar, sesemut boleh menjadi salah satu petanda kerosakan saraf periferi.

Gejala ini akan menyebabkan seseorang berasa berlakunya denyutan seperti arus elektrik di sekitar tangan dan kaki, terutamanya di jari jemari.

Sesemut yang berlaku untuk tempoh masa pendek tidak perlu dirisaukan namun jika berlanjutan dan berlaku berulang kali, untuk tempoh masa yang panjang, maka segera berjumpa dengan doktor.

2. Sakit rematik

Sensasi rasa terbakar atau kesemutan akan merebak dari bahagian belakang ke kaki yang akan menyebabkan rasa sakit di sekitar pinggul.

Ia bermakna saraf sciatic iaitu saraf di sekitar tulang belakang ke pelvis tertekan atau mengalami kerosakan.

3. Kesukaran untuk bergerak

Kerosakan saraf juga menghalang aliran darah yang akhirnya menyebabkan tubuh rasa kaku dan sukar untuk bergerak.

Kerosakan saraf yang berlaku pada saraf motor pula mengakibatkan kelumpuhan dan gejala ini memberi isyarat anda berdepan masalah yang lebih serius dan perlu ditangani segera.

4. Kelewatan tindak balas otak

Anda rasa lambat bertindak balas? Ia juga memberi petanda kepada kegagalan sistem saraf dan memberi kesan kepada otak bertindak balas di mana saraf deria gagal berfungsi dengan baik.

Misalnya, anda tidak merasa atau lambat mengesan rasa sakit tangan yang terbakar kerana tersentuh api.

Dalam kes ini, saraf deria ‘didiamkan’ dan tidak memberi maklumat kepada otak mengenai keadaan tangan yang cedera.

5. Sakit kepala

Usah meremehkan sakit kepala biasa dengan masalah berkaitan sakit saraf, walaupun sakit kepala bersifat umum, ia juga antara simptom kerosakan sistem saraf.

Apabila ia berlaku berulang kali dan untuk tempoh masa yang lama, anda mungkin perlu berjumpa doktor, kerana kesakitan itu mungkin disebabkan oleh cengkeraman saraf di leher.

Makanan Yang Menyihatkan Otak Dan Sistem Saraf

Sangat penting bagi anda untuk meningkatkan pengambilan nutrisi demi menjaga kesihatan otak sekali gus sistem saraf.

Manusia terdiri daripada empat bahagian fitrah iaitu fizikal, mental, emosi dan rohani.

Makanan memenuhi keperluan fizikal manusia agar tubuh badannya dapat berfungsi dengan baik.

Makanan yang berkhasiat pula akan turut membantu perkembangan mental dan mengawal keadaan emosi seseorang.

Teknik pemakanan yang baik turut menguatkan rohani yang akan membantu perkembangan mental dan emosi seseorang.

Kali ini saya akan berkongsi makanan hebat yang turut membantu meningkatkan tumpuan, menguatkan daya ingatan dan merangsang pertumbuhan sel-sel otak kita selain menyumbang kepada kesihatan tubuh badan yang menyeluruh termasuklah sistem saraf kita.

1. Bijirin Penuh (Wholemeal)

Walaupun otak hanya satu organ yang kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan tubuh badan manusia tetapi otak adalah organ yang paling banyak menggunakan tenaga iaitu 20% daripada keseluruhan tenaga yang dihasilkan oleh badan.

Otak bukan sahaja mengawal aktiviti yang dirancang seperti berfikir, menulis, bergerak dan lain-lain, malah otak juga mengawal aktiviti di luar kawalan kita (sistem saraf) seperti degupan jantung, denyutan nadi, menghantar matlumat, menerima isyarat deria, pengaliran darah keseluruhan badan dan banyak lagi dalam sistem bio tubuh kita.

Di sini, peranan bijirin penuh amat penting kerana ia dapat memberi tenaga yang konsisten kerana proses pembebasan tenaganya yang perlahan mampu memberi tenaga dalam tempoh yang lama.

Hasilnya, kita dapat memberi lebih tumpuan dan fokus ketika bekerja dalam jangka masa yang panjang.

Vitamin B di dalamnya dapat memelihara sistem saraf yang menjadi tunjang utama bagi mekanisme kerja otak.

Anda disarankan mengambil bijirin untuk sarapan pagi kerana masa yang panjang untuk menunggu waktu rehat tengahari boleh melesukan otak yang dipaksa bekerja tanpa makan.

Tabiat bersarapan pagi juga sangat baik untuk otak malah dapat mengelakkan kelupaan dan nyanyuk.

Antara bijirin yang menjadi sunnah Rasulullah SAW adalah seperti barli dan gandum yang dibuat roti.

2. Omega 3, Omega 6, DHA & EPA

“Ternyata sel-sel otaknya sedang berhubung!” begitulah bunyi iklan susu kanak-kanak yang menekankan peranan DHA dan EPA untuk otak.

Kekurangan zat ini ternyata meningkatkan risiko untuk menghidapi alzhemier dan menjejaskan kapasiti memori anda.

Justeru, orang dewasa juga memerlukan khasiat ini kerana struktur dan fungsi otak diperlukan seumur hidup.

Omega 3 hadir di dalam minyak ikan dalam bentuk EPA dan DHA, manakala ikan seperti tuna, salmon dan sardin mengandungi kandungan minyak ikan yang tinggi turut mengandungi Omega 6.

Selain itu, vitamin B3, B6 dan B12 di dalam minyak ikan juga meningkatkan ketajaman fikiran.

Masyarakat Jepun yang gemar menikmati menu ikan mentah dari sushi dilihat mempunyai pencapaian akademik yang tinggi.

Jadi, tidak hairanlah kenapa saintis mula tertarik untuk mengkaji budu malah masyarakat Jepun juga telah mula meminatinya.

Selain dari ikan, khasiat ini juga boleh didapati dari minyak soya, biji labu, minyak kacang walnut dan kacang sacha inchi.

3. Telur

Telur mengandungi asid amino yang baik untuk otak selain menjadi sumber protein yang baik dan kaya dengan acetylcholine yang membantu menguruskan daya ingatan anda sehingga mampu mengingati di mana anda menyimpan kunci kereta.

Zat ini juga meningkatkan daya belajar dan menghilangkan kekaburan fikiran selain menjaga kesihatan neuron otak.

4. Kekacang

Kekacang mengandungi tenaga karbohidrat kompleks yang menjadi glukosa berfungsi sebagai sumber tenaga untuk otak, juga kaya dengan protein, sumber serat, mineral dan vitamin.

Sebagai contoh kombinasi vitamin E dan tiamin berperanan melindungi membran sel saraf dan otak.

Potassium (kalium) pula memastikan fungsi tubuh dan otak berada di paras optimum, manakala kandungan antioksida di dalam kekacang dapat melawan radikal bebas yang menyerang sel otak.

Antara kekacang yang menjadi pilihan utama sebagai makanan tambahan otak adalah badam, yang sangat dipercayai oleh bangsa Yahudi untuk menjadikan anak mereka cerdas dan pintar.

Jika anda seorang pelajar, makan amalkan badam bersama kurma, kismis dan habatu sauda’ sebelum tidur selama 44 hari bersama doanya jika mahu memulakan penghafalan.

Selain itu, seorang ibu muda juga telah berkongsi bahawa antara rahsia pemakanan untuk anaknya yang berjaya menghafal 30 juzuk al Qur’an di usia 3 tahun adalah dengan mengamalkan badam bersama makanan sunnah yang lain.

Kajian yang didedahkan pada tahun 2010 di International Conference on Alzheimer Desease menunjukkan bahawa kacang walnut yang menyerupai bentuk otak terbukti meningkatkan kemampuan belajar, menguatkan memori dan membaiki koordinasi motor pada manusia.

Tahukah anda bahawa otak yang tidak dijaga dengan baik akan lebih cepat tua berbanding usia kita?

Kajian pada tahun 2009 di dalam Journal of Nutrition Food membuktikan bahawa walnut tidak mampu menghentikan proses penuaan, sebaliknya mengembalikan otak kepada usia lebih muda.

Jenis kekacang lain adalah seperti kacang tanah, kacang hazel, kacang gajus dan biji bijan.

Anda juga boleh cuba menggantikan jajan dengan kekacang yang ternyata baik untuk otak anda.

5. Sayur-sayuran

Percayalah. Bukan sahaja sayur-sayuran baik untuk kesihatan, mencantikkan kulit, mengawal berat badan malah sangat membantu melindungi otak.

Seorang ahli kesihatan David Perlmutter (MD) menulis di dalam “The Better Brain Book” menyatakan bahawa bahagian tubuh yang paling sensitif terhadap serangan radikal bebas adalah otak.

Sayuran hijau pekat dan berwarna terang ternyata dapat membantu membendung serangan ini.

Bayam mengandungi vitamin B9 yang meningkatkan memori untuk kecerdasan otak, vitamin C dan E pula meningkatkan sistem kognitif.

Warna hijau pekat pada brokoli menunjukkan kandungan vitamin K yang tinggi berperanan meningkatkan fungsi kognitif dan kuasa otak.

Biji labu mempunyai khasiat zink yang bertindak menambah memori dan kemahiran berfikir.

Warna terang pada buah labu dan lobak merah pula menunjukkan sayuran ini kaya dengan nutrisi dan antioksida untuk membantu sel otak menjadi sihat dan kuat.

Ini satu lagi sunnah yang boleh dilakukan kita iaitu sayur labu yang menjadi kegemaran Rasulullah SAW juga boleh ditambah di dalam diet harian kita.

Selain itu, lobak merah mengandungi komponen luteolin yang tinggi untuk mengelakkan proses penuaan pada otak.

Komponen ini juga membantu masalah kehilangan memori dan keradangan pada otak seperti kajian yang dikeluarkan di dalam Journal Nutrition pada tahun 2010.

Sumber lain bahan ini boleh juga ditemui di dalam minyak zaitun dan sayur seledri (celery).

6. Buah-buahan

Buah-buahan adalah pilihan utama bagi makanan yang boleh dimakan sepanjang masa tanpa rasa bersalah tanpa menyebabkan kenaikan berat badan.

Buah-buahan memang sinonim dalam menu menguruskan badan tapi berapa ramai yang tahu khasiat buah untuk otak?

Kajian dari Universiti Tuft, USA menunjukkan bahawa keluarga buah Beri dapat mengelakkan kehilangan kapasiti memori jangka pendek bagi mereka yang mengamalkannya.

Hasil penelitian Dr Elizabeth Devore bersama pasukannya di Sekolah Harvard pula mendapati wanita yang makan buah-buahan beri memiliki memori yang lebih baik terutamanya dengan faktor peningkatan usia.

Buah seperti strawberry, blueberry dan blackberry misalnya mempunyai anthocyanidins yang tinggi iaitu antioksida yang sangat bermanfaat untuk mencegah kerosakan dan membantu pemulihan sel-sel otak.

Selain itu, keluarga Beri merendahkan tanda-tanda depresi iaitu sejenis tekanan pada sel akibat proses penuaan sekali gus membantu meningkatkan isyarat keupayaan otak.

Buah epal pula mempunyai sejenis antioksida dinamakan quercetin, yang melindungi sel-sel otak dari kerosakan radikal bebas.

Buah epal juga dapat merendahkan risiko alzheimer. Menurut penelitian Lembaga Pertanian dan Hasil Tani dari Kanada, buah epal merah ternyata mempunyai antioksida yang lebih tinggi berbanding epal yang mempunyai warna kulit yang lebih pucat.

Keluarga limau terkenal kaya dengan vitamin C. Buah oren misalnya mengandungi vitamin C yang baik untuk sistem pertahanan tubuh.

Selain itu buah oren mempunyai kandungan flavonoids yang sangat bermanfaat untuk otak.

Haruman segar oren dan lemon boleh merangsang otak dan membangkitkan kita dari rasa mengantuk.

Bukan sahaja baik untuk otak malah komponennya boleh membersihkan perut selain menjaga kecantikan kulit.

Ini ada satu fakta menarik tentang buah delima, salah satu buah yang telah disebut di dalam al Qur’an seperti berikut:

"Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima." (Surah Ar-Rahman: 68)

Sesuai sebagai buah penghias syurga, buah delima ternyata mengandungi khasiat yang sangat tinggi seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus.

Dikenali sebagai Super Fruit, buah delima memberi banyak manfaat kepada pesakit kanser lebih-lebih lagi kerana kandungan antioksidanya yang tinggi.

Dalam sebuah kajian oleh Pediatric Research pula menyatakan, dengan mengambil jus buah delima selama kehamilan dapat membantu melindungi otak bayi yang baru lahir.

Buah delima juga adalah sumber bagi asid folik yang tinggi untuk mencegah kecacatan tiub saraf pada bayi.

Tidak hairanlah ibu yang makan buah delima bukan sahaja memiliki kulit yang cantik malah anaknya juga dilahirkan sihat dan cerdas.

Kerana kebaikannya pada sel dan saraf, buah delima juga membantu pesakit Alzheimer.

Tomato ternyata mempunyai kandungan lycopene yang tinggi iaitu sejenis antioksida yang melawan serangan radikal bebas pada sel.

Kumpulan peneliti dari Institut Penelitian Kesihatan dan Perubatan Perancis mendapati salah satu punca kepada penuaan otak dan dementia adalah kerana kekurangan lycopene dan zeaxathin dalam tubuh.

Tomato juga kaya dengan vitamin B9 yang bersifat melindungi otak dari masalah kehilangan memori dan kehilangan kewaspadaan mental.

Buah pisang selalu dipandang remeh oleh masyarakat kita mungkin kerana begitu mudah untuk mendapatkannya, namun pisang sebenarnya sangat memberi manfaat untuk otak dan kesihatan.

Lebih mengujakan apabila ada perkataan pisang disebutkan dalam al Qur’an.

"Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya. Dan naungan yang tetap terbentang. Dan air yang sentiasa mengalir." (Surah Al-Waqi’ah:27-31)

Buah pisang kaya dengan nutrien, vitamin, antioksida dan kalium yang baik untuk sistem saraf dan otak.

Makan tiga biji pisang sehari, risiko serangan strok dan sakit jantung dapat dikurangkan.

Pisang juga sangat baik untuk merawat penyakit berkaitan dengan tekanan, sakit mental dan ketagihan.

Trytophan di dalamnya dapat membantu menenangkan fikiran, mengurangkan tekanan pada otak, membantu mereka yang bergelut dengan ketakutan dan kegemuruhan, obesiti dan tabiat rokok.

Kandungan fosfor di dalam pisang pula dikatakan bermanfaat untuk perkembangan otak dan kemampuan akal seperti kecerdasan, berfikir dan menghafal.

7. Dark Coklat

Teksturnya yang halus dan ringan, di dalam mulut coklat ini cair dengan sensasi yang sungguh mengasyikkan, sehingga terpejam mata dibuatnya dek menghayati kelazatan coklat.

Tapi jangan tersilap memilih coklat kerana yang dimaksudkan di sini adalah coklat tulen (pure butter cocoa), bukan coklat manis yang menggunakan lemak sayuran biasa (compound chocolate) seperti kebanyakan di pasaran.

Coklat ternyata mengandungi flavonoid yang memacu pembentukan dan pertumbuhan sel saraf baru pada otak yang dapat meningkatkan kemampuan memori anda.

Makan coklat dan pembebasan Endorphines akan dirangsang dari otak anda, bukan sahaja penahan sakit semulajadi malah dapat membantu mengubah emosi anda menjadi lebih tenang dan gembira.

Kehebatan coklat tidak perlu ditunggu ketika dimakan sahaja. Kajian juga membuktikan bahawa dengan menghidu bau coklat sahaja, gelombang theta pada otak akan meningkat seterusnya merangsang ketenangan kepada anda.

Selain menghilangkan tekanan emosi yang tidak bagus untuk otak dan mengelakkan depresi pada diri anda, jelas juga coklat memberi manfaat yang baik untuk kesihatan jantung anda.

Nikmatilah coklat gelap (70% komposisi coklat) untuk menjaga kesihatan anda. Terlalu pahit? Boleh juga menikmati coklat gelap berkomposisi 50% coklat, lebih manis sedikit.

Kesimpulan

Walaupun kumpulan makanan ini kelihatan kecil iaitu 7 sahaja yang saya kongsikan tapi pada setiap kumpulan makanan terdapat pelbagai pilihan untuk anda. Anda boleh mix, match menu anda setiap hari dengan kreativiti tersendiri.

Sayuran dan buahan yang berwarna-warni misalnya selalu membuatkan kita teruja untuk menyediakannya. Siapa kata makanan sihat itu membosankan?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2



Banyak lagi menarik FB kami

http://bit.ly/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Tanda Sistem Saraf Anda Mula Rosak Dan Makanan Terbaik Untuk Mencegahnya"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info