Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Klip Video Lingam Membongkar Skandal Kehakiman Di Malaysia

Pada tahun 1995, DAP kalah di parlimen Bukit Bintang buat kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 1986 namun, kekalahan bukan melalui peti undi sebaliknya melalui pengisytiharan oleh seorang hakim, yang sedekad kemudian dikaitkan dengan skandal kehakiman paling serius pernah disaksikan oleh rakyat Malaysia.

Skandal kehakiman di Malaysia

Pada 2 Ogos 1995, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Fairuz Abdul Halim, dalam menghakimi petisyen pilihan raya Bukit Bintang, mengisytiharkan Wee Choo Keong, wakil rakyat DAP ketika itu, hilang kelayakan sebagai ahli parlimen kerana pensabitan kes di mahkamah.

Ahmad Fairuz kemudian membuat satu lagi keputusan mengejutkan dengan mengisytiharkan calon MCA, Kee Chong Meng yang tewas kepada Wee sebelum ini, sebagai pemenang, tanpa memberikan arahan untuk pilihan raya kecil (PRK) diadakan dan ketua hakim negara ketika itu adalah Eusoff Chin.

Dua belas tahun kemudian, pada 2007, ketika YouTube baru diperkenalkan, sejumlah klip rakaman perbualan antara Fairuz dan seorang peguam dimuat naik, mencetuskan kekecohan di laman maya.

Dalam klip rakaman video itu, peguam berkenaan, antara lain, mendedahkan peranannya dalam memastikan Ahmad Fairuz menjadi hakim besar Malaya, yang merupakan jawatan ketiga paling kanan dalam kehakiman.

Peguam berkenaan, VK Lingam, juga di dengar berjanji untuk menjadikan Ahmad Fairuz sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Meskipun klip video itu hanya didedahkan kepada umum pada 19 Sept 2007, perbualan berkenaan berlaku pada tahun 2002.

Beberapa bulan selepas perbualan itu berlangsung, Ahmad Fairuz menjadi presiden Mahkamah Rayuan pada Disember 2002 dan menjadi ketua hakim negara setahun kemudian.

Lingam mengakui dia sudah berunding dengan Eusoff berhubung pelantikan hakim, juga mendakwa sudah menyuruh ahli perniagaan Vincent Tan dan Tengku Adanan Tengku Mansor yang merupakan timbalan menteri ketika itu "berbisik" kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Correct, Correct, Correct

Butir percakapan Lingam yang mengandungi perkataan "correct, correct, correct" (betul, betul, betul) mungkin parodi internet atau memes pertama rakyat Malaysia.

Namun, bagi pemerhati perundangan, kandungan klip video itu sangat membimbangkan, kerana mereka melihat ada campur tangan dalam memutuskan individu yang menjadi hakim dan berkemungkinan mengawal keputusan penghakiman.

"Tidak, jangan bimbang Datuk, saya tahu berapa banyak anda bersusah payah untuk Eusoff Chin dan Tun kata Datuk Ahmad Fairuz setia 110 peratus. Kita mahu pastikan kawan-kawan kita ada demi perdana menteri dan demi negara ini..

"Anda sudah banyak bersusah payah, banyak yang anda lakukan, untuk petisyen pilihan raya, Wee Choo Keong, semuanya. Betapa banyak, tak ada sesiapa yang akan lakukan semua ini," kata Lingam kepada Ahmad Fairuz dalam rakaman itu.

Perbualan itu yang menyentuh tentang petisyen pilihan raya Bukit Bintang menambahkan lagi keraguan tentang keputusan mahkamah dan menimbulkan persoalan dengan kes-kes sebelum ini.

Enam hari selepas klip video Lingam didedahkan, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal berkenaan.

Kaitan di masa lalu

Nama Lingam, Eusoff dan Vincent yang terlibat dalam rakaman berkenaan bukanlah kali pertama saling dikaitkan.

Pada tahun 1994, ketika Eusoff dilantik menjadi ketua hakim, dia bercuti dengan keluarga Lingam dan Tan Chong Paw, yang merupakan pengawal peribadi Vincent, di New Zealand.

Perkara itu diperincikan dalam laporan pada 2000 oleh firma siasatan Bowman Investigations namun, Lingam dan Eusoff kemudian mendakwa percutian berkenaan hanya kebetulan.

RCI berhubung klip video Lingam, yang turut meneliti percutian itu, kemudian menyatakan, "Dengan mengambil kira dakwaan kebetulan yang banyak, dengan logik akal saja kami boleh kesan kesangsian dalam dakwaan itu. Dalam situasi ini, kami tidak dapat menerima penafian berkenaan."

Pemerhatian itu penting kerana Lingam dan Eusoff pada tahun berikutnya, hadir di mahkamah yang sama dan dalam situasi seperti itu, hakim biasanya akan menarik diri kerana konflik kepentingan.

Pada 1996, Lingam tampil sebagai peguam Vincent dalam saman fitnah terhadap wartawan MGG Pillai dan yang lain, menyaksikan ahli perniagaan mencipta rekod sendiri apabila diberikan pampasan RM10 juta.

Pillai membuat rayuan kes itu sehingga ke Mahkamah Persekutuan, dihadapan panel tiga ahli yang diterajui oleh Eusoff yang mengekalkan keputusan kes.

Dua belas tahun kemudian pada 2008, bekas setiausaha Lingam, G Jayanti memberi keterangan kepada RCI bahawa Lingam menulis penghakiman untuk saman RM10 juta itu.

Jayanti juga memaklumkan bahawa dia dan dua setiausaha lain terlibat dalam kerja "menaip dokumen rahsia".

Pillai meninggal dunia pada tahun 2006.

Mengatur panel Mahkamah Persekutuan

Dalam kes lebih awal melibatkan pertikaian komersial antara Ayer Molek Rubber Company dan Insas Bhd pada April 1995, Mahkamah Tinggi mengarahkan Ayer Molek untuk memindahkan saham kepada Insas dalam tempoh 48 jam.

Ayer Molek kemudian memohon untuk mengenepikan arahan itu namun hakim Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh pendengaran kes melebihi tempoh 48 jam dan enggan meluluskan untuk penangguhan sementara.

Ia menyebabkan Ayer Molek tidak mempunyai pilihan selain memindahkan saham kepada Insas, yang ketika itu diwakili Lingam.

Selepas saham itu dipindahkan, Ayer Molek masih membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan, menyaksikan panel mahkamah yang diketuai hakim Mahkamah Rayuan NH Chan memutuskan bahawa ketidakadilan "dilakukan oleh mahkamah".

Panel mahkamah itu berkata, meskipun tidak lagi dapat memberi kebenaran kepada Ayer Molek untuk mengenepikan arahan kerana saham berkenaan sudah dipindahkan, Insas tidak boleh melakukan apa-apa dengan saham yang baru diperoleh, dengan menegaskan bahawa ketidakadilan perlu "dibetulkan".

Dalam keputusan penghakiman 31 Julai 1995, Chan memetik Shakespeare dalam karya Hamlet, "Ada sesuatu yang busuk di Denmark", sebagai merujuk Denmark House di Kuala Lumpur, yang menempatkan Mahkamah Tinggi ketika itu.

Panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai Eusoff menolak keputusan Mahkamah rayuan 12 hari kemudian dan membuang beberapa bahagian dalam keputusan Mahkamah Rayuan, termasuk keputusan bahawa pasukan hakim Insas termasuk Lingam menyalahgunakan proses mahkamah.

Bagaimanapun, panel mahkamah yang terdiri daripada tiga ahli yang dibarisi oleh Eusoff itu menimbulkan persoalan kerana turut terdiri daripada hakim Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Rayuan boleh dimasukkan dalam panel Mahkamah Persekutuan, namun seorang hakim Mahkamah Tinggi tidak boleh duduk dalam mahkamah persekutuan, yang merupakan mahkamah paling tinggi di Malaysia.

Adik Lingam, K Thirunama kemudian memberi keterangan kepada RCI bahawa selepas dua bulan keputusan itu, Lingam membawa Eusoff dan isteri melawat sebuah rumah di Petaling Jaya yang ditawarkan kepada pasangan itu.

Menurut Thirunama, yang menemani Lingam ketika mengunjungi rumah itu, pasangan berkenaan tidak begitu senang dengan rumah itu dan mahukan tanah yang lebih luas untuk membina rumah pilihan sendiri, yang seterusnya dipersetujui Lingam dan mengarahkan Thirunama untuk mencari tanah yang sesuai.

Thirunama juga memaklumkan bahawa dia menghantar hadiah bagi pihak Lingam kepada keluarga Eusoff pada 1996, termasuk beg tangan, dompet dan telefon bimbit.

Dua puluh tahun selepas kes Ayer Molek, hakim bersara Mahkamah Rayuan KC Vohrah, yang turut bersama dalam panel dengan Chan, mendedahkan bahawa Eusoff cuba campur tangan dalam keputusan mereka. Ahli panel lain adalah hakim Mahkamah Rayuan Siti Norma Yaakob.

Hakim yang berani katakan tidak pada Lingam

Kes Pillai dan Ayer Molek mendapat perhatian dalam dan luar negara. Majalah International Commercial Litigation, dalam edisi Nov 1995, menyiarkan artikel bertajuk "Malaysian Justice on Trial" (Kehakiman Malaysia Diadili), menyatakan bahawa Lingam dan Vincent mempunyai hubungan dengan hakim.

Lingam memfailkan saman RM100 juta terhadap beberapa peguam, wartawan dan beberapa pihak lain susulan artikel itu.

Lingam berhujah bahawa penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Ayer Molek sudah diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Eusoff.

Bagaimanapun, saman fitnah Lingam ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Hishamudin Mohd Yunus pada tahun 2006.

Dalam keputusan yang tegas, Hishamudin memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Ayer Molek masih boleh diguna pakai dan perlu dipatuhi kerana panel Mahkamah Persekutuan hanya terdiri daripada dua hakim yang layak, sementara ahli panel ketiga tidak layak kerana merupakan hakim Mahkamah Tinggi.

Hishamudin, yang bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2015, dinafikan untuk naik pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sebanyak tiga kali.

Dari kes petisyen pilihan raya Bukit Bintang sehingga kes saman fitnah Pillai dan Ayer Molek, klip video Lingam dan RCI susulan pada 2007 membantu untuk mendapatkan konteks beberapa kes meragukan yang terjadi dalam tempoh lebih sedekad lepas.

Meskipun RCI mencadangkan tindakan ke atas individu yang terlibat dalam rakaman video itu, tiada tindakan pernah diambil.

RCI dalam laporannya memutuskan bahawa bukan saja 'pesakit' perlu dirawat, 'penyakit' itu juga perlu dihapuskan.

"Dalam kata lain, usaha bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk menangani akar permasalahan yang sudah didedahkan," katanya.

Dua tahun kemudian pada 2009, Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) berkuatkuasa dua bulan sebelum Abdullah Ahmad Badawi mengundur diri sebagai perdana menteri.

JAC berperanan untuk menyaring dan memastikan integriti serta kebebasan hakim, namun keputusan akhir masih di tangan perdana menteri dan persoalan tentang integriti kehakiman masih kekal.

Hari ini, ketika perdebatan tentang integriti dan kebebasan kehakiman, adakah akar kepada penyakit dalam sistem kehakiman negara sudah ditangani?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini



Banyak lagi menarik FB kami

https://ift.tt/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Klip Video Lingam Membongkar Skandal Kehakiman Di Malaysia"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info