Sembang Maniac

Sembang-sembang je

Misteri Telaga Ajaib Gua Mother Shipton Di England

Bandar Knaresborough di North Yorkshire, England, mempunyai satu fenomena yang aneh. Di sana terdapat sebuah "telaga ajaib" yang dikatakan mempunyai keupayaan untuk menukar semua objek menjadi batu.

Mother Shipton Cave
Mother Shipton Cave.

Fenomena misteri ini telah menjadi salah satu tarikan kepada berjuta-juta pelawat yang datang untuk menyaksikannya setiap tahun.

Menurut Amusing Planet, telaga ajaib itu pertama kali diketengahkan oleh John Leyland pada tahun 1538, sebelum zaman Raja Henry VIII.

John Leyland menyatakan dalam tulisannya mengatakan bahawa, telaga ajaib itu dianggap sebagai benda ajaib yang mempunyai kuasa penyembuhan oleh penduduk tempatan.

Tulisannya itu merupakan permulaan kepada legenda yang menyelubungi "telaga ajaib" itu untuk satu tempoh yang lama.

Telaga ajaib yang dikatakan mempunyai kuasa untuk menukar semua objek menjadi batu itu terletak di dalam sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Mother Shipton (Gua Ibu Shipton).

Nama gua itu berasal daripada seorang wanita tempatan yang dipercayai seorang penyihir, Ursula Southeil, juga dikenali sebagai Mother Shipton.

Menurut legenda, Mother Shipton adalah anak hasil daripada hubungan seorang pelacur bersama syaitan dan dia dilahirkan di dalam gua itu. Selain kepercayaan pelik itu, Mother Shipton juga adalah seorang peramal terkenal.

Mother Shipton dipercayai telah meramal beberapa peristiwa sebelum ianya berlaku seperti kekalahan angkatan bersenjata Sepanyol pada tahun 1588, Kebakaran Besar London yang berlaku pada tahun 1666 sehinggalah kepada penciptaan telefon bimbit!

Selain legenda Mother Shipton yang dikatakan boleh memberi ramalan yang menakutkan itu, ia juga mempunyai legenda lain yang lebih menarik perhatian.

Seperti yang dilaporkan John Leyland, telaga yang berada dalam gua itu juga mempunyai kuasa ajaib yang boleh menyembuhkan.

Ramai penduduk tempatan dan dari luar yang berkunjung ke telaga ajaib ini kerana kepercayaan itu.

Menurut Oddity Central pula, seorang ahli fizik telah memeriksa telaga ajaib itu pada awal tahun 1600-an. Daripada penyelidikan itu dia telah membuat kesimpulan bahawa air yang mengalir melalui telaga itu mempunyai keajaiban untuk menyembuh apa-apa jenis penyakit. Sejak itu, telaga itu menjadi semakin popular.

Namun, keajaiban yang terbukti ada pada telaga itu ialah keupayaannya untuk mengubah sebarang objek menjadi batu.

Walaupun dipenuhi dengan legenda, Mother Shipton yang dikatakan mempunyai kuasa ajaib untuk menyembuh untuk satu masa yang panjang, keupayaan telaga itu mengubah objek menjadi batu adalah sepenuhnya secara semula jadi.

Menurut Force To Know, telaga itu mengubah objek menjadi batu adalah kerana kandungan mineral yang tinggi di dalam airnya. Melalui proses penyejatan dan mendapan dari masa ke semasa, objek yang ditinggalkan di situ berubah menjadi batu kerana ia dilindungi oleh mineral padu.

Proses semula jadi itu juga pernah dikaitkan dengan salah satu kuasa sihir Mother Shipton. Sebagai seorang penyihir, dia dikatakan mempunyai kuasa untuk menukar segala objek menjadi batu.

Legenda yang menakutkan itu diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa apabila dilihat dari satu sisi, gua itu kelihatan seperti sebuah tengkorak gergasi.

Legenda yang sering diperturunkan oleh penduduk tempatan dan pelawat itu meningkatkan lagi rasa ingin tahu ramai orang.

Apabila Hutan Diraja yang menempatkan Gua Mother Shipton dijual oleh Raja Charles I kepada Sir Charles Slingsby pada tahun 1630, gua itu sudah pun begitu terkenal.

Ramai orang datang untuk menyaksikan proses pengerasan aneh itu dengan mata mereka sendiri. Pemilik baru tempat itu memutuskan untuk meraih pendapatan dengan mengadakan lawatan berbayar kepada pengunjung yang hadir di tanah miliknya.

Dengan berbuat demikian, Sir Charles Slingby secara tidak langsung telah mencipta tempat tarikan pelancong yang pertama di England.

Pada hari ini, kebanyakan orang tahu bahawa telaga itu tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib tetapi hanyalah proses unik alam semula jadi.

Walau bagaimanapun, juataan pelancong masih lagi melawat tempat itu kerana kebolehannya mengubah objek menjadi batu.

Walaupun ciri-ciri ajaib yang dikaitkan dengan telaga Knaresborough ini mungkin terbukti salah tetapi disebabkan sifat ingin tahu, ia mempunyai keupayaan yang kuat untuk menjadikan tempat ini tarikan pelancong menarik di England.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi



Banyak lagi menarik FB kami

http://bit.ly/14Mtwjx
via Sembang Maniac
0 Komentar untuk "Misteri Telaga Ajaib Gua Mother Shipton Di England"

 
Copyright © 2014 Sembang Maniac - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info